Saturday, December 22, 2012

BERITA GEMBIRA!

18 Dis 2012 : Mama semak keputusan rayuan pertukaran. Alhamdulillah, pertukaran Mama diluluskan ke Negeri Sembilan! Gembiranya Mama!

20 Dis 2012 : Mama bawa Amina ke HUSM untuk buat ECHO. Imbas untuk tengok keadaan jantung Amina. Alhamdulillah, Amina dah tak menghadapi masalah lagi. Syukur.

Semasa menunggu untuk bayar bil hospital, Mama duduk merenung. Betapa indah percaturan Allah. Agaknya, Allah beri Amina sedikit masalah jantung baru- baru ni hanya untuk membolehkan Mama dapat surat doktor untuk mohon bertukar.

Mama berasa gembira sangat. Mama mula membayangkan kehidupan baharu di Negeri Sembilan. Akhir- akhir ni, Mama dan mula sibuk melayari internet mencari tentang dekorasi rumah untuk menghias rumah yang baru dibeli. Mama mula buat belanjawan untuk buat kabinet dapur, rak buku di dinding, pergola, rumput hiasan, air terjun mini dan pondok kecil untuk halaman.
Inilah gambar rumah yang Mama beli. Mama akan jadikannya syurga tempat Amina dibesarkan, insya Allah.

Tapi, buat sementara ini, Mama perlu cari rumah sewa dulu di Negeri Sembilan. Sebabnya, rumah itu masih dalam proses pembelian. Apabila selesai nanti, Mama akan buat pengubahsuaian dulu sebelum kita berpindah ke rumah tu.

Mama sayang Amina!

Saturday, December 15, 2012

Amina Yang Aktif

Hmmm...Mama cukup penat melayan Amina sekarang. Amina dah semakin aktif dan lasak. Nak suap makanan pun susah sebab Amina tak mahu duduk diam. Mama kena kejar Amina keliling rumah untuk habiskan semangkuk makanan. Apapun, Mama bersyukur kepada Allah kerana anugerahkan Mama seorang anak yang sihat, baik dan aktif. Mama tetap seronok melayan Amina walaupun kepenatan dan kadang- kadang sangat menduga kesabaran Mama.

Amina masih belum boleh duduk, tapi Amina dah berpaut dan berdiri. Nampaknya, Amina dah tak ikut turutan lagi. Selalunya, seorang bayi dapat duduk dulu, baru berdiri. Malah, Amina sangat suka nak berdiri dan memanjat. Pantang ada orang duduk dekat Amina, atau ada sesuatu yang agak tinggi, Amina akan panjat, berpaut dan cuba untuk berdiri. Mama suka betul tengok wajah Amina yang penuh keazaman apabila cuba buat sesuatu.

Mama rasa seronok dapat layan Amina sepanjang hari. Entah macam manalah apabila sekolah dibuka nanti.Mama tentu kepenatan dan tak dapat layan Amina macam sekarang. Nampaknya, terpaksalah Amina makan beberapa suap setakat Amina nak duduk diam saja sebab Mama tentu tak berapa banyak masa nak mengejar Amina untuk disuap.

Dalam keadaan ni, Mama terasa betapa bertuahnya ibu yang tak perlu bekerja untuk menyara anaknya. Mama berharap Mama dapat duduk rumah dan tumpukan perhatian jaga Amina. Tapi, nampaknya sekarang belum rezeki Mama untuk buat begitu. 

Semoga Allah bukakan pintu rezeki supaya Mama dapat berhenti kerja dan jaga Amina.

Mama sayang anak Mama dan nak lihat Amina membesar depan mata!

Thursday, December 6, 2012

Jongkong Emas Untuk Amina

Semalam, Mama ke Kuwait Finance House untuk tambah simpanan Amina. Dengan tidak disangka- sangka, Amina mendapat satu cenderamata, SEKETUL JONGKONG EMAS 1000 g!

 Inilah jongkong emas Amina.

He...he...sebenarnya sebuah tabung duit. Inilah tabung Amina yang pertama. Mama memang bercadang nak belikan Amina tabung. Dengan adanya "jongkong emas" ini, tak payahlah Mama belikan lagi.

Mama nak pupuk sikap suka menabung pada Amina. Mama masih ingat, semasa kecil, Mama dan pak cik- pak cik Amina pun ada tabung sebuah seorang. Sebuah tabung berbentuk bulat, diperbuat daripada buluh. Akhirnya, hanya tabung Mama yang penuh dan isinya dimasukkan ke bank. Tabung, pak cik Amina yang berdua tu...hampeh.

Semoga Amina ikut sikap Mama yang suka menabung.

Ai Amina!

Wednesday, December 5, 2012

Maafkan Mama, Sayang

3 Disember 2012 - Amina dah boleh berpaut pada kerusi dan berdiri. Tahniah, anak Mama sayang!

Amina semakin lasak dan selalu menguji keabaran Mama. Amina kuat merengek dan selalu nak Mama saja. Selalunya, walaupun Amina tengah bergelak ketawa dengan orang lain, apabila Mama muncul saja, Amina terus menangis dan merengek minta Mama angkat. Amina...Amina...

Mama selalu sabar menghadapi kerenah Amina walaupun kadang- kala ada orang  merungut tentang perangai Amina. Pada Mama, Amina ialah anugerah Allah yang tidak ternilai dalam hidup Mama. Mama akan jaga amanah yang Allah beri ini sebaik mungkin. Mama tak mahu marah- marah, tinggikan suara dan buat suasana hidup Amina tak tenteram. Mama mahu Amina membesar menjadi anak yang tenang dan sabar.

Tetapi, 3 Dis ini, kesabaran Mama benar- benar teruji. Amina meronta- ronta tak mahu duduk masa Mama nak bersihkan Amina yang buang air besar. Kebetulan Mama tengah penat sangat. Mama tinggikan suara. Amina terkejut dan peluk Mama. Mama kasihan tengok Amina lalu Mama pujuk Amina dan bersihkan Amina. 

Keluar dari bilik air, Amina buat perangai lagi. Mama susah betul nak pakaikan Amina lampin sebab Amina tak mahu duduk diam. Semasa Mama nak pakaikan baju pun, Amina asyik meronta dan merengek. Akhirnya, Mama tampar lengan Amina. Mama rasa geram sangat. Amina terdiam. Lepas tu Amina tak banyak meronta. Amina cuma menangis sikit- sikit saja. Mungkin Amina terkejut sangat sebab inilah kali pertama Mama berkasar dengan Amina.

Selepas saja pukul Amina, Mama rasa bersalah sangat- sangat. Mama peluk dan cium Amina. Mama tak mahu berkasar dengan Amina tapi Mama hilang sabar. Mama mohon keampunan daripada Allah sebab hilang sabar.

Ya Allah, tolonglah berikan aku hikmah dan kesabaran dalam mendidik anakku ini. Aku mahu dia menjadi seorang yang berEQ tinggi.

Maafkan Mama, sayang. Mama sayang Amina.

Wednesday, November 28, 2012

Amina Merangkak & Percutian

Perkembangan penting : Amina telah merangkak untuk kali pertama pada 27 November 2012 di rumah Jaddah di kampung!



Amina menempuh perjalanan jauh dan dapat banyak pengalaman semasa cuti sekolah ini. Dalam perjalanan pulang ke kampung di Kelantan, Amina singgah bermalam di rumah kawan Jaddah di Kuantan dan Sutera Resort di Setiu, Terengganu. Amina dapat pengalaman pertama bermalam di resort tepi pantai yang indah, mendengar deruan ombak dan menikmati angin laut.
Pemandangan yang indah dari beranda bilik resort.

Di kampung, Mama bawa Amina keluar setiap pagi dan petang. Amina dapat udara pantai yang segar. Amina dapat tengok ayam, kambing dan lembu. Amina juga tengok bunga- bungaan dan rama- rama. Menariknya, disebabkan rumah Jaddah terletak di tepi jalan, Amina juga dapat tengok pelbagai jenis kenderaan. Sesuatu yang Amina tak dapat di Sri Jaya. Amina nampak seronok di kampung.

Semasa Mama cuti ini juga, makan Amina lebih teratur. Amina makan 3 kali sehari. Menu Amina ialah :
 Pagi - Nestum + Kurma/ Pisang/ Mangga
 Tengah hari & Malam - Bubur nasi + sayur- sayuran + ayam/ daging/ isi ikan/ ikan bilis

Mama juga susukan Amina lebih kurang 3 jam sekali. Sesekali, Mama beri juga Amina susu botol sebab Mama takut Amina tak mahu susu botol kalau lama tidakdiberi.

Mama seronok sediakan makanan dan suapkan Amina makan. Mama akan cuba buat yang terbaik dan beri makanan yang berkhasiat untuk Amina. Mama mahu anak Mama menbesar dengan sihat. Mama mahu otak Amina terbentuk dengan baik dan cerdas.

Sayang Amina!  

Sunday, November 18, 2012

Amina Bercakap

Amina, anak Mama semakin membesar. Mama seronok lihat perkembangan Amina. Sekarang, Amina dah boleh angkat dada dan punggung. Tapi, Amina belum lagi boleh gerakkan kaki dan tangan ke depan untuk merangkak.

Amina semakin aktif. Amina selalu menyusur dan bergolek- golek atas tilam sampai Mama dah tak boleh biarkan Amina bersendirian lagi.

Amina juga dah mula makan banyak. Mama seronok suap Amina makan. Mama harap, Amina akan terus membesar dengan sihat, aktif dan ceria. Mama sangat bersyukur tengok perkembangan Amina.

Amina juga dah mula suka membebel. Macam- macam yang Amina sebut. Kadang- kadang, apa yang Amina sebut menyerupai perkataan tertentu.



Ya Allah, peliharalah anakku Amina. Jadikan dia bayi yang sihat dan cergas. Jadikan dia hamba-Mu yang solehah!

Sayang Amina!

Tuesday, November 13, 2012

6 Bulan

Alhamdulillah, Amina dah genap 6 bulan pada 2 November 2012. Sebagai bayi 6 bulan, Amina dah mula makan makanan pepejal. Mama beri Amina bubur nasi dan pisang.

Selama 6 bulan, susu Mama menjadi sumber utama tumbesaran Amina. Daripada seorang bayi yang kecil dan lemah, Amina sudah jadi bayi yang aktif, pandai meniarap, membebel dsb. Sekarang, bermula fasa lain dalam hidup Amina.Amina tidak lagi bergantung sepenuhnya pada susu Mama. Sudah ada sumber lain yang lebih banyak untuk Amina. Alhamdulillah, Mama bersyukur. Tetapi, jauh di sudut hati Mama , Mama menginsafi bahawa semakin terlerailah (secara fizikalnya) hubungan antara Mama dan Amina. Itulah juga yang terjadi bagi semua hubungan ibu-anak di dunia ini.

Pada 4 November 2012, Amina demam. Inilah kali pertama dalam sejarah, Amina demam. Sebelum ini, Amina tak pernah demam walaupun dicucuk imunisasi. Amina banyak merengek semasa demam. Pada mulanya, Mama cuma lekatkan Kool Fever untuk kurangkan panas Amina. Apabila badan Amina masih panas, Mama terpaksa beri Amina ubat demam.


Amina yang tetap ceria walaupun pakai Kool Fever

Dalam usia 6 bulan ini, berat Amina 6.5 kg dan panjang 65 cm.

Mama sayang Amina sangat- sangat!

Tuesday, October 23, 2012

5 Bulan

Mama berharap Mama dapat selalu menulis dalam blog ini supaya perkembangan Amina dapat dikemas kini tepat pada tarikhnya.

Malangnya, Mama terlalu banyak kerja yang perlu diuruskan.

Amina genap 5 bulan pada 2 Oktober. Berat Amina bertambah sedikit saja. Dari 6.25 kepada 6.47. Panjang Amina tetap 64 cm manakala ukur lilit kepala 40 cm.

Anak Mama dah semakin kuat. Amina tak menangis pun masa disuntik imunisasi! Hebat betul anak Mama ni!

Sejak Mama berkursus di Muar pada 26-29 September, Amina dah mula tidur awal. Amina tidur seawal jam 9 malam. Tetapi Amina terjaga beberapa kali untuk menyusu sepanjang malam. Mungkin Amina memahami situasi Mama yang penat terpaksa menempuhi perjalanan jauh dan berkursus sehingga ke petang. Mama bersyukur dengan perubahan Amina. Sekarang, Mama tidak lagi bimbang apabila menjelang malam.


Amina dah kembali banyak cakap dan semakin cerdik. Amina cukup suka apabila Mama, Cik Linda atau Cik Zirah nyanyikan lagu kami sendiri mengikut rentak lagu tema Doraemon. Mama selalu nyanyikan lagu tu dengan sebut nama Amina, "Amina..Mina..Mina, Amina..Mina..Mina..."  Versi Cik Linda pula, "Amina Ada kawan, namanya Muhammad Rayyan..." Kalau Amina nak menangis pun, selalunya dapat dipujuk dengan lagu tu.

Mama tukar susu Amina kepada susu NAN. Nampaknya Amina kurang serasi dengan NAN sebab tumbuh ruam di badan Amina. Mama pun bawa Amina ke Klinik Pakar Kanak- kanak Choo di Muar. Mama tak kisah berhabis duit asalkan boleh beri yang terbaik untuk Amina.

Dalam perjalanan balik, Mama bawa Amina ke Giant. Disebabkan Amina menangis apabila diletakkan di dalam carrier, Mama letak tilam Amina dalam troli barang dan baringkan Amina di situ. Semua orang tengok je Mama bawa Amina dalam troli. Mula- mula Amina baring je. Apabila Mama ambil roti Gardenia dan letak di sebelah Amina, Amina mula sibuk nak meniarap sebab nak pegang roti tu. Mama pun letakkan Amina meniarap dan Amina terus peluk roti tu.

Mama terus bawa Amina dalam troli sampai ada orang datang tanya sambil tunjuk kat Amina, "Yang ni beli kat mana?"

Tiba- tiba ada pekerja Giant lalu sebelah Mama tunjuk kat Amina, "tengok anak akak.."

Mama pun tengok Amina yang tengah meniarap dalam troli. Rupa- rupanya...


Anak Mama dah tertidur dalam troli berbantalkan roti. Siannyaaa anak Mama!

Macam- macam keletah Amina.

Mama sayang Amina sangat- sangat!

Sunday, September 16, 2012

Amina Dah Pandai Meniarap!

Hari ini, Ahad, 16 September 2012, Amina dah berjaya meniarap!Umur Amina dah 4 bulan setengah. Mama rasa gembira sangat. Tahun lepas, pada tarikh ini, Mama baharu saja menyedari kehadiran Amina dalam rahim Mama. Mama rasa seronok dapat lihat perkembangan Amina.

Tempat pertama Amina meniarap ialah di rumah Nek Chik, Desa Tasik.

Mama sayang Amina!







Wednesday, September 12, 2012

4 Bulan

Amina genap 4 bulan pada 2 September 2012. Berat Amina 6.25kg. Panjang Amina 64 cm.
Kali pertama Amina keluar dengan Mama sahaja ke klinik sebab Amina dah ada car seat.

4 September 2012- Amina ikut Mama ke Muar. Buat kali pertamanya, Amina menjejakkan kaki ke masjid, iaitu, Masjid Sultan Ismail yang terletak di tebing sungai Muar.


Amina sekarang semakin manja. Sempena bulan Syawal ni, Mama bawa Amina ke banyak rumah terbuka. Amina mula tunjukkan perangai tak mahu dengan orang lain. Pernah sekali tu, Mama nak solat Maghrib. Tapi Amina menangis meraung- raung apabila kawan Mama nak tolong pegang Amina. Mama pening, macam mana Mama nak solat ni? Akhirnya Mama baringkan Amina sebelah tempat Mama solat. Boleh pula Amina duduk diam sampai Mama habis solat. Amina lebih suka baring seorang daripada orang lain pegang Amina.

Banyak kali terjadi Amina menangis kuat- kuat apabila orang lain pegang, apabila Mama ambil je, Amina terus diam.

Di rumah Cikgu Fazlun. Tengok, anak manja Mama seorang je menangis sebab Mama tinggal!

Kelakuan Amina buat Mama rasa istimewa sebab Amina nak Mama saja. Tapi, dalam masa yang sama Mama risau sebab kalau macam ini, macam mana Mama nak hantar Amina ke rumah pengasuh tahun depan? Lagipun, susahlah Mama untuk bawa Amina keluar berjalan, apabila Mama nak solat, makan atau ke bilik air.

Macam- macam la anak kesayangan Mama ni....

Monday, August 13, 2012

3 Bulan

Amina genap 3 bulan pada 2 Ogos 2012. Tapi, Mama bawa Amina ke klinik pada 7 Ogos sebab tarikh tersebut jatuh pada hari Selasa, hari untuk bawa bayi ke klinik di Poliklinik Bukit Serampang. 

Berat Amina sudah 5.6kg. Panjang 63 cm.

Amina berperangai lain sikit apabila dah 3 bulan ni. Amina tak berapa layan bila orang bercakap dengan Amina. Amina tak peramah macam dulu. Tapi, Amina suka tengok siling, bercakap dan ketawa. Amina lebih berminat pada benda bukan hidup macam kipas dsb.

Dua tiga hari ini juga, Amina banyak meragam. Amina suka menangis kuat- kuat. Mama risau tengok Amina. Beberapa hari lepas, Amina tak mahu menyusu badan sebelah kiri. Amina menangis kuat- kuat bila Mama beri susu. Lepas tu, Amina menangis lagi sebab lapar. Apabila diberi susu botol, Amina hisap sampai habis sebab Amina lapar sangat. Apabila diberi susu badan sebelah kanan pun Amina hisap juga. Tak tahulah Mama kenapa Amina tak mahu menyusu sebelah kiri sampai Mama terpaksa pam susu keluar sebab dada Mama dah bengkak.

Tapi, petang semalam dan pagi ni, Amina dah nak menyusu di kedua- dua belah.Mama rasa lega.

Sabtu lalu, Mama belikan Amina baju Doraemon. Comel sangat anak Mama dalam bentuk Doraemon. Mama juga belikan Amina almari Angry Birds untuk simpan baju Amina.



Almari pertama Amina!

Thursday, August 9, 2012

Lailatul Qadar?

Semalam, Amina tidur agak awal. Lebih kurang jam 9.50 p.m.Biasanya, Amina tidak akan bangun malam walaupun seawal manapun Amina tidur. Mama pun ambil peluang tidur sebab Mama sangat penat. Tapi, Amina terjaga semula jam 10 lebih. Mama beri susu dan Amina tidur lagi. Sekali lagi Amina terjaga hampir jam 11. Akhirnya, lepas Amina tidur semula hampir jam 12, Mama dah tak terasa mengantuk sebab tidur dah terganggu 2 kali.

Mama pun ambil keputusan untuk tunaikan solat sunat. Inilah peluangnya sebab Mama dah jarang tunaikan ibadah sunat akhir- akhir ni. 

Mama solat dan berdoa untuk kesejahteraan semua.

Pagi ini, seorang guru di sekolah Mama nyatakan bahawa mungkin semalam Lailatul Qadar. Dia sebutkan beberapa tanda.

Mungkinkah? Kalau betul begitu, alangkah bertuahnya Mama. Semalam, Amina ubah tabiat untuk membolehkan Mama beribadat pada malam Qadarkah? 

Bertuahnya Mama ada anak macam Amina!

Mama sayang Amina!

Tuesday, August 7, 2012

Di Keheningan Malam...

Jam 2.00 pagi.

Mama bangun untuk tukar lampin Amina. Selepas lampin ditukar, dalam keadaan mata masih terpejam, Amina meronta- ronta dan nganga mulut. Tanda nak menyusu la tu. Mama pun susukan Amina dan tak lama kemudian Amina tidur semula.

Apabila tengok wajah comel Amina semasa tidur, bertambah- tambah kasih sayang dan rasa syukur Mama kerana Allah kurniakan Amina kepada Mama.

Dua tiga hari ini, Mama asyik terkenangkan nostalgia Ramadhan tahun lalu. Pada 5 Ogos tahun lalulah, Mama dapat tahu yang saluran tiub fallapio Mama tersumbat apabila menjalani pemeriksaan di Klinik Tey, Muar. Hanya Allah yang tahu betapa sedihnya perasaan Mama masa tu.

Pada masa tu, Mama tahu hanya Allah sahajalah yang mampu menolong Mama untuk membolehkan Mama hamil. Mama cuba mencari zikir dan selawat yang dapat membantu. Melalui sebuah buku, Mama dapat tahu bahawa Selawat Munjiah elok diamalkan oleh pasangan yang inginkan zuriat. Caranya ialah dengan membacanya sebanyak 500 kali sehari.

Mama cuba amalkan selawat tersebut. Setiap hari, semasa menunggu waktu berbuka, Mama duduk di sofa dan membaca selawat. 2 atau 3 minit sebelum waktu berbuka yang juga waktu mustajab doa, Mama panjatkan doa supaya dikurniakan zuriat yang baik. Memang Mama tak mampu nak baca selawat Munjiah sampai 500 kali sehari. Tapi, Mama baca sahaja seberapa banyak yang Mama mampu sebab Mama yakin Allah itu Maha Pengasih dan tidak akan membebankan hamba-Nya.

Pada akhir Ramadhan 1432, sepatutnya Mama datang bulan. Tapi, haid Mama terus tidak datang, sehinggalah Mama disahkan hamil beberapa minggu selepas Aidilfitri.

Betapa besar rahmat Allah. Mama cukup yakin akan janji dan pertolongan-Nya. Mama cukup syukuri akan anugerah-Nya, Amina Ann Hui Fen kepada Mama.

Maha Suci Engakau, Ya Allah!  

Amina membaca al-Quran

Sunday, August 5, 2012

Amina Cuba Meniarap

Semalam, Amina cuba meniarap. Tapi belum berjaya. Lama- lama, Amina pun menangis....



Permainan Kegemaran Amina

Minggu lepas, semasa ke Bukit Gambir, Mama belikan Amina kotak muzik berbentuk beruang di Pasaraya KINI. Amina suka sangat dengan permainan ini. Kalau Amina menangis pun, Amina akan berhenti (kadang- kadang sekejap je), senyum dan bercakap- cakap dengan beruang ni. Berbaloi rasanya Mama beli mainan ni untuk Amina.

Mama sayang Amina!


Tuesday, July 31, 2012

Amina di Sri Jaya

Dah masuk 3 minggu Amina di Sri Jaya.

Cuaca di sini lebih sejuk berbanding dengan di kampung. Mama rasa Amina agak selesa di sini. Pada waktu malam, Amina tidur awal sikit. Ada sekali Amina tidur jam 12.30 malam. Selalunya sekitar jam 9 lebih - 11 lebih.

Mama rasa lega sikit sebab Amina dah tak tidur pukul 1 atau 2 pagi macam dulu.

Bezanya, di sini Mama rasa Amina lebih banyak meragam dan manja.Amina selalu nak didukung dan dipangku. Tak tahulah kenapa Amina jadi macam tu.

Amina juga dah makin banyak bercakap. Amina juga lebih banyak terdedah kepada bacaan al-Quran dan zikir di sini. Selalu Mama, Jaddah dan Mak Su bacakan al-Quran bergilir- gilir kepada Amina. Amina memang suka bacaan al-Quran dan zikir. Amina akan senyum dan "ikut" bacaan itu. Amina paling suka kalau  Mama sebut nama- nama Allah.

Mama harap Amina akan terus dengan minat Amina sekarang. Semoga Amina menjadi hamba-Nya yang solehah.

Mama ai ni!

Thursday, July 19, 2012

Amina Ke Sekolah

18 Julai 2012. Mama kembali ke sekolah. Mama rasa sedih nak tinggalkan Amina. Pukul 6 pagi, Mama cuba susukan Amina walaupun Amina masih tidur. Amina menyusu sikit je.

Mama cakap pada Amina yang tengah tidur, Mama akan tinggalkan Amina sekejap pagi ni. Mama pesan supaya Amina tak menangis masa tinggal dengan Jaddah. Mama tahu Amina dengar dan faham cakap Mama walaupun Amina sedang tidur.

Di sekolah, Mama asyik teringatkan Amina. Mama rindu sangat pada Amina. Tapi, Mama tak sempat balik untuk menyusukan Amina sebab Mama ada banyak kerja di sekolah. 

19 Julai 2012. Sekolah Mama adakan majlis tahlil dan akikah. Mama bawa Amina ke sekolah untuk sertai majlis itu. Amina ditahnikkan sekali lagi. Kali ini oleh Ustaz Ghufran, menggunakan sedikit madu.

Di Sri Jaya ni, Amina ada ramai kawan. Kawan rapat Amina ialah Rayyan sebab Mama Rayyan tinggal serumah dengan Mama.




Sunday, July 15, 2012

Amina Beralih Tempat

14 Julai 2012, Amina menempuh perjalanan jauh buat kali pertama. Dalam perjalanan dari Kelantan ke Johor, Amina singgah bermalam di Resort Rumbia, Paka. Ini juga kali pertama Amina bermalam di resort. Keesokan harinya, Amina meneruskan perjalanan. Tapi, sekali lagi Amina singgah di Melaka dan bermalam di Hotel Permaisuri, berhampiran Stadium Hang Jebat sebab Daddy ada program di bawah Jabatan Agama Islam Melaka. Penginapan di Hotel Permaisuri disediakan oleh pihak JIM.

Di mana pun Amina tidur, Amina tetap tidur jam 1.40 atau 2.00 pagi. Penatnya Mama melayan anak bertuah ni! Tak tahulah macam mana apabila Mama mula mengajar nanti. Sekarang, Mama selalu ganti waktu tidur tu  pada pagi hari sebab Amina akan tidur pagi sampai kadang-kadang pukul 12 atau 1. 

Macam- macam kerenah Amina. Tapi Mama tetap sayang!

Saturday, July 7, 2012

Mama Bimbang...

Semalam, sekali lagi Amina tidur jam 3 pagi. Mama susukan Amina sampai tertidur. Apabila Mama letakkan Amina, tak lama kemudian Amina meronta- ronta sambil gesel- gesel hidung. Nafas Amina tak berapa lancar. Beberapa kali terjadi macam tu. Amina macam susah nak bernafas apabila dalam keadaan berbaring.

Amina nampak mengantuk sangat tapi tak boleh tidur. Mama sapukan Vicks supaya Amina rasa lega sikit. Akhirnya pukul 3 pagi baru Amina dapat tidur.

Mama risau tengok Amina. Dah beberapa kali jaadi macam ni. Selalunya, Amina merengek- rengek, meronta, akhirnya muntah, baru Amina lega dan dapat tidur. Mama bimbang sebab kata Jaddah, macam tu lah keadaan arwah adik Mama yang meninggal dunia sebab jantung berlubang dulu.

Sekarang pun Amina makin susah nak tidur malam. Paling awal Amina tidur 12.30. Selalunya pukul 1 lebih, kadang- kadang pukul 2 atau 3 pagi.

Amina nampak sihat waktu siang. Tapi apabila malam Amina susah nak tidur. Cuaca sejuk buat Amina susah bernafas ke?

Mama nak bawa Amina ke klinik pakar lagi untuk periksa masalah pernafasan Amina.

Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini. Beri Amina kesihatan yang baik.

Mama sayang Amina.


Thursday, July 5, 2012

Amina Oh Amina

Semalam, untuk pertama kalinya Amina menangis kuat dan lama.

Mama pun tak tahu kenapa Amina menangis. Selalunya apabila Mama bagi susu, Amina akan berhenti menangis. Tapi, kali ni Amina menangis terus. Tak nak menyusu.



Mama dukung Amina bawa jalan- jalan. Amina berhenti menangis sekejap lepas tu menangis semula. Apabila Mama duduk, Amina lagi kuat menangis. 

Akhirnya, Mama dukung Amina sambil baca ayat-ayat lazim. Amina pun beransur- ansur diam. Apabila Mama duduk dan teruskan baca ayat, Amina diam juga.

Amina tertidur atas pangkuan Mama dengan iringan bacaan ayat al-Quran.

Amina....Amina....sayang anak Mama!

Monday, July 2, 2012

Genap 2 Bulan

Hari ini usia Amina Ann Hui Fen genap 2 bulan.

Mama bawa Amina ke klinik untuk pemeriksaan bulanan. Berat Amina 4.8 kg, panjang 56 cm dan ukur lilit kepala Amina 38 cm.

Mama bersyukur sebab tumbesaran Amina tetap normal walaupun Amina ada sikit penyakit. Tapi, Mama bimbang juga sebab doktor di Klinik TMC kata mungkin kesan penyakit Amina tak nampak sekarang tetapi timbul apabila Amina dah besar sikit.

Apapun, Mama tetap berdoa supaya kesihatan Amina terpelihara. Hanya Allah yang menentukan segalanya dan Dia mengetahui apa yang akan berlaku.

Tiada daya upaya selain daripada kekuasaan-Nya.

Mama berharap mendapat takdir yang baik!

Mama sayang Amina.

Thursday, June 28, 2012

Jantung Amina



Hari ini, Mama bawa Amina ke USAINS, HUSM. Temu janji Amina semalam telah ditangguhkan ke hari ini sebab doktor tiada di klinik semalam.

Doktor sahkan ada lubang kecil pada jantung Amina. Lubang antara atrium kanan dan kiri jantung tu wujud bagi semua janin semasa dalam kandungan.Sepatutnya lubang itu tertutup apabila bayi tersebut dilahirkan tetapi dalam kes Amina, lubang tersebut tidak tertutup. Oleh sebab itu, bahagian kanan jantung Amina terpaksa bekerja keras sikit sebab banyak darah pergi ke situ.

Menurut doktor, ada kemungkinan lubang itu tertutup dengan sendirinya apabila Amina semakin besar. Tetapi, ada juga kemungkinan lubang itu tidak tertutup. Apabila keadaan yang kedua berlaku, Amina terpaksa dirawat untuk menutup lubang tersebut.

Amina perlu ke hospital lagi 6 bulan selepas ini untuk lihat sama ada lubang itu tertutup atau tidak.

Apapun, keadaan Amina tidak serius. Mama bersyukur sebab Amina tak hadapi masalah yang lebih teruk. Amina tetap nampak sihat dan ceria.Semoga kesihatan Amina terus terpelihara. Tak apalah Allah beri kita sedikit ujian. Allah nak duga kesabaran kita. Bukankah Allah dan berfirman dalam al-Quran yang Dia akan berikan ujian kepada kita dengan sedikit ketakutan, kelaparan dsb? Allah juga menjanjikan berita gembira untuk orang yang sabar....

Mama tak boleh menulis panjang- panjang sebab Amina dah menangis. Sejak tahu jantung Amina berlubang, Mama rasa takut nak biarkan Amina menangis kuat- kuat, takut jantung Amina makin tertekan.

Ai Amina!

Wednesday, June 27, 2012

......

Beberapa hari ni Mama kurang sihat. Mama demam dan muntah. Dah beberapa kali Mama demam dan tak sihat sejak lepas pantang. Sekarang Mak Su Amina ada di rumah. Jadi, Mama senang sikit. Apabila Mak Su dan Om ada di rumah, bolehlah Mama rehat sikit. Nak makan dan ke tandas pun tak tergesa- gesa sangat. Sebabnya, pak cik dan mak cik Amina tu rajin betul layan Amina. Mereka asyik mengelilingi Amina sampai masa Amina tidur pun mereka duduk di tepi Amina, tengok muka Amina, tangkap gambar dan rakam video aktiviti Amina. Anak Mama ni glamour betul!

Sekarang Amina dah makin banyak "bercakap" dan dah pandai gelak banyak- banyak sampai ternganga- nganga. Satu lagi yang buat Mama gembira ialah, semalam Amina dah nak hisap susu botol semula. Tapi apabila Mama ada dan Amina dah dengar  suara Mama, Amina tak mahu botol lagi. Amina nak susu Mama saja.

Apapun, hari ni Mama nak bawa Amina ke USAINS Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian untuk pemeriksaan lanjut jantung Amina. Tempoh hari, doktor di Klinik TMC mengesan kelainan pada bunyi jantung Amina. Katanya, jantung Amina ada bunyi tambahan. Bunyi tersebut selalunya terjadi apabila ada lubang pada jantung atau ada injap yang sepatutnya tertutup, terbuka. Macam mana pun, hari ni baru Mama dapat pastikan apa masalah Amina.

Mama harap Amina sihat dan apa-apa. Semoga Allah lindungi Amina dan beri Amina kesihatan yang baik!

Mama ai ni!


Friday, June 22, 2012

Aktiviti Amina

Dah lama Mama tak dapat update blog sebab broadband Mama bermasalah. Banyak aktiviti yang Amina dah lalui dalam masa lebih seminggu ni. Amina agak banyak berjalan sekarang. Pada 20 Jun 2012, untuk pertama kalinya Amina memasuki kompleks beli-belah, iaitu, KB Mall bersama Mama dan Daddy. Hari itu juga, Amina menyertai perbincangan intelek Daddy bersama kawannya yang juga pengarah Syarikat Penerbitan Dian di Restoran Natural Vegetarian.

19 Jun 2012, semasa menyusu, tiba-tiba Amina berhenti, melepaskan puting dan merenung muka Mama. Lepas tu Amina tersenyum dengan senyuman yang paling manis kepada Mama. Ini kali pertama Amina buat begitu, menunjukkan Amina sudah pandai berinteraksi, bukan sekadar menyusu dan tidur. Mama akan sentiasa ingat saat itu. Mama rasa bahagia sangat tengok senyuman anak Mama. Selepas itu, Amina selalu buat macam tu. Amina tidak lagi menyusu terus menerus tetapi Amina selalu berhenti sekejap untuk "bercakap-cakap" dengan Mama. Anak Mama dah semakin pandai! 

Pada 18 Jun 2012, Amina pergi ke Kampung Bukit, Wakaf Bharu untuk menziarahi tiga pupu Amina yang juga baru lahir. Usianya pada hari tersebut ialah 23 hari, manakala Amina 48 hari. Namanya Nur Sofea. Ibunya Nur Saadah binti Alias ialah dua pupu Mama. Datuknya, Alias bin Deraman ialah sepupu Jaddah dan  moyangnya Selamah binti Seman ialah kakak kepada moyang Amina, Sepiah binti Seman.

Mama nak ajar Amina sentiasa menjaga hubungan silaturrahim dengan saudara- mara sebab Allah perintahkan kita berbuat begitu. Harap Amina akan teruskan amalan menziarahi saudara- mara seperti ini.

Amina dan Sofea

Wednesday, June 13, 2012

Khatan & Simpanan

11 Jun 2012, Amina genap 41 hari.

Sekali lagi Mama bawa Amina ke Pusat Perubatan An-Nisa', tempat Amina dilahirkan. Kali ini, Amina pergi untuk dikhatankan. Berkhatan merupakan perkara sunat bagi kanak- kanak perempuan Islam. 

Sama macam waktu disuntik dulu, Amina menangis sekejap saja. Lepas tu Amina diam macam tak ada apa-apa berlaku. Kuat sungguh anak Mama ni!

Pada hari yang sama juga, Mama membuka akaun untuk Amina di Kuwait Finance House (KFH).Simpanan yang pertama untuk Amina.

Tujuan Mama berbuat demikian bukanlah untuk menjadikan Amina seorang yang materialistik. Sebaliknya, Mama mahu Amina menjadi seorang yang bijak merancang dan sentiasa membuat persediaan untuk masa hadapan.

Orang Islam mesti menjadi seorang yang kaya sebab kita menyembah Allah Yang Maha Kaya. Allah cintakan mukmin yang kaya kerana mukmin yang kaya boleh memberikan banyak manfaat kepada orang lain  menggunakan hartanya dan Allah suka kepada orang yang banyak memberi manfaat kepada orang lain.

Amina akan Mama didik menjadi seorang yang zuhud terhadap dunia. Tetapi, menjadi  zahidah bukan bermakna Amina perlu menjadi fakir. Zuhud bukan bermaksud kita tidak memiliki harta. Zuhud diibaratkan seperti kita dikelilingi oleh gunung emas tetapi emas tersebut tidak masuk dalam hati kita.

Mama doakan Amina Ann Hui Fen menjadi seorang yang kaya jiwa dan kaya harta!


اَللهُمَّ اجْعَلْ الدُّنْيَا فِي يَدِي وَلاَ تَجْعَلْ الدُّنْيَا فِي قَلْبِي

Ya Allah, jadikan dunia berada di tanganku tetapi jangan jadikannya berada di dalam hatiku

Friday, June 8, 2012

Amina Mendera Mama!


Alhamdulillah, Amina dah tertidur selepas menyusu selama sejam. Itupun, sebab didodoi oleh Jaddah. Kalau ikutkan tadi, Amina nak susu lagi. Tapi, Mama dah tak tahan lalu ke bilik air untuk mandi. Jaddah pun ambil Amina yang tengah terkebil- kebil untuk didodoikan, baru Amina tidur. Tak tahulah untuk berapa lama.

Dah 3 hari Amina tak mahu tidur siang. Malam pun Amina susah nak tidur semula apabila terjaga. Semalam, Amina tidur pukul 11.15 (lepas berapa puluh kali Mama susukan), lepas tu terjaga jam 3.15. Pukul 4.30, barulah Amina tidur semula.

Mama tak dapat buat kerja lain. Makan dan mandi pun kena cepat- cepat sementara Jaddah tengokkan Amina. Amina asyik menyusu. Apabila Amina tidur, Mama letakkan dan Amina terjaga dalam masa tak sampai 5 minit. Lepas duduk terkebil- kebil sekejap, Amina nak menyusu lagi. Cara Amina menyusu pula macam dah sejam tak dapat susu. Amina asyik lapar. Memang Amina ni jenis kuat makan ke?

Hari ni Mama pelik betul sebab bila Amina dah menyusu lama sangat sambil baring, apabila Mama bangun, Amina pun terjaga juga. Sedangkan Mama rasa puting Mama dah bengkak sebab Amina hisap lama sangat. Nasib baiklah Amina tidur juga...

Tapi, Mama tengok Amina tak tenang masa tidur. Amina asyik kerutkan muka dan sampai tersedu- sedu dalam tidur.

Ya Allah, permudahkanlah urusanku untuk menjaga Amina!

Sayang Amina Ann!

Amina yang tertidur lepas menyusu banyaaaak sangat

Tuesday, June 5, 2012

Amina Botak!

“Bersama seorang anak satu akikah, maka tumpahkan untuknya darah (yakni sembelihan akikah) dan bersihkan kotorannya (yakni mencukur rambut).” [Shahih al-Bukhari, no: 5472, Fath al-Bari, jld. 27, ms. 24]

Semalam, Mama dah sempurnakan satu lagi sunnah untuk Amina. Mama dah cukur rambut Amina sampai botak! Nanti, rambut Amina akan ditimbang dan dinilai dengan berat perak.  Mama akan sedekahkan wang bersamaan nilai perak tersebut, sesuai dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Mama akan cuba laksanakan semua sunnah dalam menyambut kelahiran Amina dengan harapan Amina akan membesar sebagai seorang yang mencintai Rasulullah dan sunnah Baginda.  

Hmmm...semalam Amina tak mahu tidur lagi. Amina asyik nak menyusu sehingga jam 2 pagi. Kata orang, ada bayi yang baru dicukurkan rasa tak selesa sampai dia tak nak tidur. Mungkin juga Amina rasa tak selesa. Hari ni pun Amina tak mahu tidur. Tapi nasib baiklah Amina boleh duduk lama sikit dengan tak merengek. Tiba- tiba Mama sedar, mungkin dah sampai masanya untuk Mama berikan Amina apa- apa ilmu. Hari tu Mama asyik bimbang sebab Amina asyik tidur dan menetek. Bila masa nak ajar Amina? Kata orang, bayi dah boleh mula belajar sejak dalam kandungan lagi?

Sayangnya, Mama tak ada flash card  Alif Ba Ta. Mama tak sempat beli sebelum bersalin tempoh hari. Mama pun ajar Amina mengenal anggota badan dan nyanyi Alif Ba Ta. Nanti, apabila ada kesempatan, Mama akan keluar beli kad imbasan untuk Amina.

Amina separuh botak

   Amina dengan gaya baru!

Sunday, June 3, 2012

Genap 1 Bulan

Amina dah genap 1 bulan.Mama dan Daddy bawa Amina ke klinik untuk dapatkan imunisasi dan pemeriksaan kesihatan. Berat badan Amina dah 3.7 kg. Panjang Amina 53 cm. Semasa disuntik imunisasi Hapetitis B,Amina menangis sikit je. Amina memang bayi yang kuat. Mama bangga dengan Amina!

Jadual tidur Amina berubah lagi. Amina dah  makin kurang tidur siang. Waktu tidur malam Amina pula makin panjang. semalam, Amina tidur pukul 1.20 pagi dan cuma merengek minta susu lagi semasa orang azan Subuh. Malam sebelumnya, Amina tidur pukul 12 malam dan bangun minta susu jam 4 pagi. Jadi, dapatlah Mama tidur puas sikit pada  waktu malam.

Amina juga makin kuat menyusu. Susu badan Mama pun adi bertambah banyak sampai kadang- kadang baju Mama basah sebab susu mengalir keluar walaupun Amina baru saja menyusu. Mama harap supaya dapat perah susu untuk tinggalkan kepada Amina apabila Mama mula mengajar nanti. Tapi setakat ni susu Mama tak keluar banyak masa diperah.

Mama harap, air susu Mama akan membesarkan Amina Ann Hui Fen untuk menadikannya seorang hamba Allah yang solehah.

Sayang Amina!

Amina Dalam Usia 1 Bulan




Friday, May 25, 2012

Air Mata Mama

Semalam hari yang agak penat bagi Mama. Malam sebelumnya, Amina berjaga sehingga jam 1.25 pagi. Puas Mama susukan, Amina tak lena-lena. Amina asyik merengek nak susu.

Semalam pun, Amina tak tidur siang sangat. Amina tidur sekejap je, lepas tu terjaga semula. Nasib naik Daddy ada. Daddylah yang jaga Amina, jadi Mama sempat pergi mandi dan makan. Mama pun sempat baring sekejap  tapi tetap tak boleh tidur. Daddy rajin betul dukung Amina bawa jalan- jalan sampai Mama takut kalau- kalau Amina asyik nak dukung apabila Daddy tak ada nanti.

Malamnya, Mama ingat Amina boleh tidur lena sebab Amina tak tidur siang. Tapi Amina tetap juga tak mahu tidur. Mama susukan Amina sampai Amina betul- betul puas. Akhirnya Amina terlena. Mama pun letakkan Amina dan tengok jam sebab nak tahu berapa lama Amina tidur. Pukul 11.11 malam. Mama pun berbaring keletihan. 

Tiba- tiba, belum sempat Mama betul- betul lena, Amina menangis. Mama bangun tengok jam. Baru pukul 11.21 malam. Baru 10 minit Amina tidur. Daddy pun terjaga dan bimbang kenapa Amina tak mahu tidur. Daddy bangun dan nak dukung dan dodoi Amina. Mama tak bagi sebab Mama tahu nanti bila diletakkan Amina akan menangis lagi. Mama cuba susukan Amina sambil berbaring. Selalunya, apabila menyusu sambil baring, Amina cepat terlena. Tapi, kali ni lama betul Amina menyusu. Apabila susu terlepas dari mulut Amina, Amina merengek- rengek lagi. Lenguh badan Mama mengiring bagi Amina susu. Sambil tu Mama berdoa dalam hati minta dipermudahkan Amina tidur.

Akhirnya, Mama sampai menitiskan air mata fikirkan keadaan Amina yang tak mahu tidur. Tambahan pula badan dan tangan Mama dah rasa lenguh betul. Mama pun tadah tangan minta pertolongan daripada Allah supaya tidurkan Amina dan beri Amina kesihatan yang baik. Mama berdoa sungguh- sungguh sambil menangis. Mama usap- usap kepala Amina supaya Amina  tidur.

Tak lama selepas tu, Amina pun  lepaskan puting susu dan terus tidur. Mama tak berani nak betulkan kedudukan tidur Amina sebab takut Amina terjaga lagi.Jadi, Mama biarkan saja Amina tidur dalam keadaan muka mengiring ke kanan walaupun Mama takut Amina tak selesa. 

Mama pun boleh tidur sama. Hanya pada pukul 3.50 pagi, baru Amina bangun  untuk menyusu lagi. Lepas tu, Amina tidur semula sampai jam 7 lebih. Jadual tidur Amina dah teratur semula.

Amina...Amina. Mama tetap sayang Amina!

Wednesday, May 23, 2012

Hiduplah Amina Kerana Allah

Pagi tadi, sambil memangku Amina yang tertidur selepas menyusu, Mama belek-belek wajah Amina. Tiba- tiba, Mama terperasan yang pada kelopak mata kiri Amina yang sedang tertutup, ADA URAT YANG MEMBENTUK HURUF LAM LAM HA YANG BERSAMBUNG, membentuk ejaan lillah dalam bahasa Arab yang bermaksud "kerana Allah"!

Mama tunjukkan urat tu kepada Nek Su dan Jaddah. Nek Su kata Amina ni budak bertuah. Sayangnya, Mama tak boleh nak ambil gambar  sebab tulisan tu kecil sangat. Amina sendiri pun tentu tak boleh tengok sebab tulisan tu cuma nampak apabila Amina pejam mata.

Tak apalah, apa- apa pun, Mama harap Amina hiduplah kerana Allah. Jadikan seluruh pancaindera dan anggota badan Amina berbuat sesuatu semata- mata untuk menunaikan ketaatan kepada-Nya. Mama nak, catatan ini akan sentiasa mengingatkan Amina bahawa Amina ialah hamba yang Allah pilih untuk menjadi seorang yang solehah.  

Mama ai Amina!

Tuesday, May 22, 2012

Amina 3.4



Hari ini, usia Amina genap 3 minggu. Ada jururawat klinik desa ke rumah untuk timbang berat Amina. Mama tak sangka yang berat Amina dah bertambah hampir 1 kg dalam masa 3 minggu! Daripada 2.5 kg semasa mula-mula dilahirkan, berat Amina sekarang ialah 3.4 kg.

Memang Amina kuat menyusu. Mama selalu lenguh tangan apabila Amina menyusu. Amina...Amina...Kata orang, baby boy yang kuat menyusu. Tapi, girl Mama ni pun kuat menyusu juga.

Tak apalah...macam Mama selalu cakap kat Amina, susu Mama ni memang Allah ciptakan untuk Amina. Tanpa kehadiran Amina, Mama takkan ada susu. Jadi Amina menyusulah sepuas- puasnya. Semoga Amina menjadi hamba Allah yang mensyukuri nikmat-Nya.

Daddy gembira bila Mama beritahu perkembangan Amina. Daddy ucapkan terima kasih kepada Mama sebab katanya itu tanda Mama jaga Amina betul- betul. 

Mama sayang Amina Ann Hui Fen!

Saturday, May 19, 2012

Selepas 2 Minggu

Hari ini usia Amina dah masuk 18 hari. Amina semakin mudah dijaga. Jarang dapat dengar Amina menangis kuat- kuat. Pada waktu siang, Amina banyak tidur dan merengek- rengek minta susu setiap 2 atau 3 jam. Selepas disusukan, Amina terus tidur. Kadang- kadang, Amina main agah- agah sekejap. Pada waktu malam pun, Amina macam dah ada jadual. Amina akan bangun jam 3 pagi lebih, dan sekali lagi jam 6 atau 7 pagi lebih. 

Mama makin senang jaga Amina. Alhamdulillah. Lagi satu, sekarang Amina memang dah menyusu badan sepenuhnya. Amina dah tak mahu susu botol. Maknanya, hari tu cuma lebih kurang seminggu Amina minum susu botol. Mama rasa syukur dan bangga dapat susukan anak Mama dengan susu badan Mama sendiri. 

Semoga Amina membesar jadi anak yang sihat dan solehah.

Mama sayang Amina!

  

Wednesday, May 16, 2012

Akikah Untuk Amina

15 Mei 2012, Amina genap usia 14 hari. Hari ini merupakan hari yang sibuk bagi Amina juga kaum keluarga Amina. Kehadiran Amina dalam keluarga Mama diraikan secara rasmi dan diumumkan kepada masyarakat sekitar melalui majlis akikah. Menurut sunnah Nabi, akikah afdal diadakan apabila bayi berusia tujuh atau empat belas atau dua puluh satu hari. Cadangan Mama pada mulanya hendak membuat akikah pada hari ketujuh. Tetapi, disebabkan kesihatan Mama yang belum begitu baik dan keadaan pun masih belum terurus sepenuhnya, majlis ditangguhkan pada hari ke-14.

Sejak malam Selasa, nenek-nenek saudara Amina sibuk membantu buat persediaan untuk kenduri. Kedua- dua orang bapa saudara Amina juga pulang ke kampung untuk raikan majlis akikah. Pagi Selasa, Daddy, dua orang datuk saudara Amina dan dua orang bapa saudara Amina pergi menyembelih dan melapah daging kambing sementara nenek- nenek saudara di rumah menyediakan bahan-bahan masakan. Semua orang sibuk untuk meraikan Amina.

Petangnya, Amina ditahnikkan oleh Ustaz Ubaidillah al-Hafiz, Imam Masjid Kg. Berangan yang juga seorang penghafaz al-Quran yang warak. Sebelum ini, Jaddah bercadang nak bawa Amina untuk ditahnikkan oleh Tuan Guru Menteri Besar Kelantan. Tapi, disebabkan jarak dan masa yang tidak mengizinkan, Amina dibawa kepada Ustaz Ubaidillah yang lebih dekat. Moga-moga Amina juga menjadi hamba Allah yang alim dan warak macam ustaz.

     
Malamnya, diadakan majlis selawat dan jamuan makan untuk meraikan Amina. Sayangnya, rambut Amina belum boleh dicukur sebab Amina ada ruam di kepala. Mama bimbang kulit kepala Amina luka nanti. Menariknya, kenduri akikah Amina ini turut dihadiri oleh YB Mohamad Zaki bin Ibrahim, iaitu ADUN Kelaboran merangkap Timbalan Speaker yang juga kenalan Daddy.

Kambing akikah Amina


Amina bersama YB Zaki

Sunday, May 13, 2012

Hari Ibu Yang Pertama Buat Mama

Hari ini, 13 Mei 2012 ialah Hari Ibu. Buat pertama kali, Mama menyambutnya. Semuanya kerana kehadiran Amina Ann Hui Fen dalam hidup Mama.

Kadang-kadang Mama rasa mcam tak percaya. Tahun lepas, masa Hari Ibu, Mama beritahu Daddy, tak kira apapun, tahun depan Mama nak juga sambut Hari Ibu. Alhamdulillah, Allah kabulkan hasrat Mama.

Mama tak tahu nak gambarkan betapa syukurnya Mama atas anugerah yang Allah beri kepada Mama, Amina Ann Hui Fen. Mama sentiasa berdoa supaya Mama boleh menjadi ibu yang paling baik untuk Amina dan Mama tidak akan sia-siakan amanah yang Allah beri ini.

Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini.Bimbinglah aku supaya sentiasa berada di jalan-Mu yang lurus. Berikanku kesabaran, hikmah dan kebijaksanaan dalam mendidik anakku. Ampunkan segala dosaku dan jangan jadikan dosaku hijab untuk aku mendapat petunjuk-Mu! 


p/s : Hmm..Mama tak sempat-sempat lagi nak tukar background blog ni. Hari tu, baru saja Mama nak edit html, Amina merengek nak susu pula. Terpaksalah Mama tutup laptop dan susukan Amina dulu.

Friday, May 11, 2012

Janji Mama Kepada Amina

Ini wajah puteri solehah Mama yang bakal memimpin Mama ke Jannah


Wasiat As-Syahid Dr Abdullah Azzam kepada kaum muslimat :

Wahai kaum muslimat…
Jauhilah kemewahan kerana ia musuh kepada jihad
Ia juga pembinasa diri manusia
Oleh itu, janganlah menunjukkan sesuatu yang berlebihan
Cukuplah sekadar keperluan sahaja.

Didiklah dan latihlah anak-anak kalian dengan kegagahan
dan kejantanan serta kepahlawanan dan jihad
jadikan rumah-rumah kalian sebagai kandang-kandang singa
dan bukannya reban ayam yang menunggu gemuk
untuk disembelih oleh taghut
Tanamkan ke dalam jiwa anak-anak kalian kecintaan kepada jihad
Keinginan kepada medan perang
Dan lapangan yang penuh dengan keributan perang

Hiduplah kalian dengan tidak melupakan penderitaan yang ditanggung oleh umat Islam
Cubalah sedaya upaya menjadikan sehari dalam seminggu sekuarng-kurangnya
Hidup bagaikan mujahidin
Dengan hanya memakan roti kering tanpa lauk
Dan meminum secawan teh tanpa gula 



Mama nak, anak Mama Amina Ann Hui Fen hayati pesanan ini. Mama berjanji, Mama akan didik Amina untuk menjadi seorang mujahidah. Mama tak akan biasakan Amina dengan kehidupan yang mewah dan selesa. Sebabnya, mewah dan selesa selalu menjadikan seseorang itu malas dan manja. Jadi, Amina jangan marah dan salahkan Mama kalau kehidupan Amina tak macam kanak-kanak lain. Kerana Amina anak Mama, orientasi Amina akan diarahkan ke akhirat. Dunia ni cuma persinggahan kita yang sementara. Akhirat yang kekal itulah matlamat sebenar kita.

Anak Mama akan dididik menjadi pejuang, tidak kira dalam lapangan apa. Kalau pedang dan senjata sudah tidak releven lagi pada zaman ini, anak Mama akan berjuang melalui pena, melalui kata-kata, melalui harta atau apa saja sarana yang sesuai dengan peredaran zaman kini.

Yang penting, anak Mama mesti menjadi "seekor singa" yang gagah menerkam musuh Islam, bukannya ayam daging yang gemuk yang cuma menunggu masa untuk disembelih musuh.