Saturday, June 20, 2015

Adam dan Orang Miskin

Adam sangat suka sebuah buku cerita.

Di dalam buku itu, ada gambar perempuan dan beberapa orang kanak- kanak yang memakai pakaian yang bertampal.

Mama tunjuk pakaian tu kepada Adam. Mama kata :
"Tengok, Adam. Ini orang miskin. Kesian dia, baju dia koyak, kena tampal. Dia tak ada duit nak beli baju lain."

Adam sangat menghayati kata- kata Mama. Adam asyik buka muka surat itu dan cakap, "Teng, teng.. (Miskin, miskin...)".
Wajah Adam penuh dengan ekspresi kesedihan.

Adam asyik nak tengok gambar orang miskin tu. Nak tidur malam pun Adam bawa buku itu masuk ke dalam bilik.

Semalam, Mama tengok Adam asyik meraba- raba baju tidur yang Adam pakai. Sambil tu, mata Adam tengok gambar orang miskin di dalam buku itu.
Kemudian, Adam berusaha tanggalkan baju Adam. Sampai menangis- nangis Adam nak tanggalkan baju.

Mama perasan ada sesuatu yang tak kena. Mama tanya Adam, "Kenapa Adam nak tanggalkan baju ni,"
Adam tunjukkan pada tampalan baju perempuan yang ada dalam buku itu dan cakap, "Teng, teng".

Rupa- rupanya, Adam tak puas hati sebab baju tidur Adam tu ada tampalan juga. Adam tak mahu pakai "baju orang miskin".



Selepas Mama tanggalkan baju, barulah Adam puas hati. Terpaksalah pula Mama cari jalan untuk pujuk Adam.
Akhirnya, Mama tunjuk baju Adam dan bandingkan dengan baju orang miskin dalam gambar itu, Mama beritahu, "Tampal di baju Adam ni tak sama dengan tampal di baju orang miskin. Tengok, baju orang miskin tak ada gambar. Tampal di baju Adam ada gambar Mickey Mouse. Kalau ada gambar Mickey Mouse, tak apa. Tak miskin."

Selepas dipujuk, barulah Adam nak semula pakai baju itu.

Ya Allah, cerdiknya anak Mama ni. Jauh betul pemerhatian Adam.

Semoga pada suatu hari nanti, Adam akan menghapuskan air mata orang- orang miskin!

Mama ai Adam.

Sunday, June 14, 2015

Adam Dah Pandai Mengira

Dalam usia 1 tahun 5 bulan, Adam dah boleh mengira walaupun belum begitu sempurna.

Antara yang Adam ingat ialah 4, 5, 7, 8, 9 dan 10.

Apabila Mama kira 1,2,3, Adam akan sambung 4.

Adam juga dah kenal huruf U dan O.

Huruf U mula- mula Adam pelajari. Adam kenal dari televisyen. Sebab selalu keluar huruf U sebelum satu- satu rancangan bermula.

Mama sayang Adam sangat- sangat.


Wednesday, June 10, 2015

Aktiviti Anak-anak Mama

10 Jun 2015 : Habis sepeket tepung beras




31 Mei 2015, Habis ABM yang Mama tampal di dinding!





Adam Nak Jadi Pemimpin

Adam dan Amina suka sangat tengok video Umar al-Khattab tolong ibu dan anak- anaknya yang kelaparan.

Mama cakap pada Adam, "Bila besar nanti, Adam jadi pemimpin ya. Adam mesti jadi pemimpin macam Umar al- Khattab."

Adampun ulang kata- kata Mama. Adam memang akan ulang kata- kata orang lain sekarang ni. Adam dalam proses untuk bercakap sepenuhnya.

Selepas itu, apabila ditanya Adam nak jadi apa, Adam akan jawab :

"Peimpin"

"Pemimpin macam siapa?"

"Ottob"

Insya-Allah, Mama doakan anak Mama, Adam Ann Wei Sheng akan jadi pemimpin seperti Umar al- Khattab.

Mama sayang Adam!

Perkembangan Adam

Dalam usia 1 tahun 4 bulan, Adam Ann Wei Sheng dah boleh susun stacker dengan betul.

Mama perasan ada sesuatu yang menarik tentang Adam. Apabila ditanya soalan "Kenapa...", Adam akan jawab "Bak (sebab)", walaupun Adam tak dapat teruskan perkataan selepas itu.

Termasuk semasa sedang menangis. Adam akan jawab juga soalan itu dalam tangisan.

Dalam usia 1 tahun 5 bulan pula, Adam dah kenal huruf O.

Adam juga boleh mengira "juh, pan, lan, puloh".

Tapi tak pernah dengar pula Adam kira 'satu, dua, tiga'. Tak tahulah kenapa Adam dapat yang atas dulu. 

Adam juga dah boleh disuruh ambil itu dan ini serta letakkan sesuatu di satu tempat.

Adam tetap cerdik dan memahami semua benda walaupun Adam belum boleh bercakap dengan betul.

Mama ai Adam. 


Sunday, June 7, 2015

Amina dan Labah- labah

Semalam, Amina tengok seekor labah- labah memanjat dinding.

"Hei, spider, jangan panjat! Nanti jatuh, patah kaki, mati nanti, tak tau!"

Mama ketawa tengok telatah Amina.

"Spider tak jatuh, Amina. Allah dan buat kaki spider, kaki lizard boleh melekat kat dinding. Memang spider dan lizard berjalan di dinding."

"Kita tak boleh berjalan kat dinding sebab kita manusia. Kaki manusia tak melekat kat dinding."

Amina pun cuba panjat dinding. 

"Haa, tengok, tak boleh." Amina beritahu Mama.

"Mama buat kaki Amina melekat kat dinding." Amina minta.

"Mama tak boleh buat. Bukan kita yang buat. Allah yang buat." Mama terangkan pada Amina.

 "Amina nak minta Allah buatlah."

"Kita tak boleh minta Allah  buat, Amina. Kita hamba, Allah Tuhan. Allah sendiri yang nak buat, kita tak boleh suruh." Mama jelaskan lagi pada Amina.

"Allah ikut sistem, ya Mama?"

Haa? Ini perkataan baharu yang Mama dengar daripada mulut Amina. Ikut sistem la pulak! Manalah Amina dapat perkataan 'sistem' tu?

"Ya, Allah ikut sistem la," Mama jawab. Dalam hati Mama fikir, sistem tu sunnatullah lah.

Mama sayang Amina Ann Hui Fen!

Friday, June 5, 2015

Amina Dah Tahu Pembahagian Najis

(Nota untuk Amina: Ini perkembangan yang lambat dikemaskini. Mama minta maaf sebab masa selalu tidak mengizinkan)

Semasa Amina berusia 2 tahun lebih, Amina sudah tahu tentang najis mughallazah dan najis mutawassitah.

Bukan Mama yang mengajar Amina, sebaliknya Jaddah dan Mok Su.

Alhamdulillah, Amina dikelilingi insan- insan yang sentiasa membantu Amina menambahkan ilmu.

Suatu hari, Amina beritahu Mama, "Mama, dog tu najis mughallazah. Amina tak boleh pegang."

Semasa Mama buang najis Adam ke dalam tandas pula Amina beritahu, "Ini najis mutawassitah ni."

Paling melucukan Mama apabila satu hari Amina minta nak mandi. Apabila Mama tanggalkan pakaian Amina, Amina pegang pampers dan cakap "Busuknya, ada najis mutawassitah kat dalam ni, Mama."

Mama pun ajar Amina, "Nak bersihkan najis mutawassitah, kita kena istinjak dengan air."

Apabila masuk bilik air beberapa hari selepas itu, Amina beritahu Mama, "Amina nak istimbak dengan air."

Mama betulkan, "Bukan istimbak, istinjak."

Amina tanya Mama, "Istinjak tu apa, Mama?"

Mama terdiam sekejap. Lepas tu, Mama fikir, apa salahnya gunakan bahasa yang tinggi untuk menerangkannya kepada Amina. Sebabnya, otak kanak- kanak berusia 1 - 4 tahun dapat menyerap ilmu seperti span. Kenapa pula Mama nak merendahkan kemampuan Amina?

"Istinjak tu bersihkan qubul dan dubur daripada najis."

"Qubul dan dubur tu apa Mama?"

Mama pun tunjukkan qubul dan dubur Amina. Pada masa itu Mama terfikir, inilah baiknya kalau Mama sendiri yang mengajar anak- anak Mama dalam usia yang masih kecil. Perkara yang Mama beritahu Amina sebenarnya terkandung dalam sukatan pelajaran Pendidikan Islam Tahun 1. Dah beberapa tahun Mama mengajar pun, Mama tak dapat menerangkannya kepada murid- murid sejelas Mama yang terangkan kepada Amina.

Sekarang Amina dah tahu makna istinjak, qubul dan dubur. Amina boleh gunakannya dalam percakapan seharian. 

Ramai murid yang bertanggapan pelajaran itu susah sebab mereka hanya menemukannya dalam buku teks sekolah. 

Malah, anak-anak guru juga.

Mama rasa perkara ini satu kerugian besar sebab banyak perkara yang sebenarnya kita boleh pelajari secara semulajadi dan santai.

Terutamanya sesuatu yang berkaitan dengan Islam. Sebabnya, tujuan pelajaran Pendidikan Islam itu adalah untuk diaplikasikan dalam kehidupan, bukannya untuk dihafaz bagi tujuan peperiksaan sahaja.

Semoga anak Mama menjadi seorang yang berilmu dan beramal.

Mama akan terus berusaha untuk bantu Amina lebih mudah menghadapi pelajaran di bangku seekolah nanti. Supaya Amina rasa apa yang dipelajari nanti ialah sesuatu yang Amina dah biasa jumpa.

Mama ai Amina! 

Wednesday, June 3, 2015

Cerita EQ Untuk Kanak- kanak


Beberapa minggu lepas, Adam menonton video tentang kisah seorang ibu memasak batu untuk anak- anaknya kerana tiada makanan (pada zaman Umar al- Khattab) . Anak- anak itu menangis. Adam berlari kepada Mama, buat- buat menangis dan berkata, " tuk...tuk"

Mama peluk Adam dan cakap, "Bukan, Adam bukan takut. Adam sedih. Adam tengok budak menangis sebab tak ada makanan ya? Adam menangis sebab Adam sedih."

Peristiwa ini mengingatkan Mama kepada sebuah buku, CERITA EQ UNTUK KANAK- KANAK.

Sebabnya, buku ini ada memberikan panduan supaya ibu bapa membimbing anak- anak mengenali emosi mereka. Seperti dalam situasi Adam, Adam berasa sesuatu yang tidak menyeronokkan, tapi Adam tak tahu nak menamakan perasaan itu.

Buku ini telah Mama beli lama. Sebelum Mama berkahwin lagi. Mama beli buku ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Buku ini ditulis dan berdasarkan kajian yang dibuat oleh Dr Sohaimi Abdul Aziz.

Cerita EQ untuk Kanak- kanak ini merupakan sebuah buku panduan. Di dalamnya, disenaraikan 50 buah cerita kanak- kanak dari serata dunia (antaranya yang sudah kita ketahui), yang boleh digunakan untuk menyuburkan kecekapan emosi kanak- kanak.

Rupa- rupanya, kecerdasan emosi merupakan sesuatu yang boleh dipupuk dan diasuh, seperti juga kecerdasan IQ.

Salah satu cara mengasahnya adalah dengan menggunakan cerita- cerita.

Mama teringat pula kepada salah satu panduan pendidikan anak- anak menurut Dr Abdullah Nasih Ulwan melalui bukunya, Pendidikan Anak- anak Menurut Islam, beliau juga menekankan teknik mengajar melalui bercerita.

Tetapi, buku ini menyarankan bukan sahaja teknik bercerita atau membaca secara kuat untuk menyuburkan EQ kanak- kanak. Dr Sohaimi turut menyediakan satu set soalan yang mesti ditanya kepada kanak- kanak tersebut untuk membantu menyuburkan EQnya.

Menurut penulis, terdapat 3 domain utama dalam kecerdasan emosi :

1.Kesedaran dan pengurusan kendiri

2.Memotivasi emosi

3.Empati dan kemahiran sosial

Soalan- soalan yang disediakan membantu kanak- kanak meningkatkan domain- domain yang disebutkan. Contohnya, dalam cerita Gadis Kecil Si Penjual Mancis, antara soalan yang perlu ditanya ialah : 

1.Apakah yang dirasai oleh kanak- kanak itu apabila dia tidak dapat menjual mancisnya?

2.Mengapakah kanak- kanak itu berasa kecewa?

Dalam buku ini juga, dinyatakan 4 cara ibu bapa bertindak terhadap emosi negatif (seperti marah, kecewa, sedih dsb)  anak- anak mereka iaitu:

1.Tidak ambil kisah - membiarkan dan langsung tidak peduli kepada emosi negatif anak- anak.

2.Menolak - menghukum anak- anak yang menunjukkan emosi negatif

3.Liberal - berempati tetapi tidak membantu mengatasi masalah atau meletakkan sempadan emosi negatif itu

4.Pengasuh emosi - menghargai emosi negatif itu dan mengambil peluang mendekati mereka serta menerangkan cara mereka patut bertindak

Peristiwa bersama Adam itu menyedarkan Mama, betapa pentingnya panduan ibu bapa untuk kanak- kanak mengenal emosinya, meluah perasaannya dan mengawal emosi sendiri.