Saturday, February 25, 2012

Harapan Mama...

Semalam, Mama terima satu Youtube daripada laman web Oumma.com. Laman web Islam Perancis.


Seronoknya Mama tengok si kecil ni. Mama pun berdoa dan berharap supaya anak Mama boleh jadi seperti tu. Mama memang bercita- cita untuk jadikan anak Mama seorang hafiz. Sebab tu, sejak dari awal mengandung, Mama perdengarkan anak Mama dengan bacaan al-Quran pada setiap hari. Malah, Mama siap beli satu MP3 player untuk diletakkan di perut Mama supaya anak Mama dapat dengar bacaan al-Quran yang dialunkan oleh seorang qari yang cukup Mama suka, Syeikh Saad Said al-Ghamidi.

Mama juga sedang berusaha untuk mengkhatamkan bacaan al-Quran untuk anak Mama sepanjang tempoh kehamilan ini. Alhamdulillah, walaupun sibuk, setakat ini Mama dah menghampiri juzuk 20. Insya Allah, harap-harap sempatlah Mama khatamkan 30 juzuk. Bacaan Syeikh Saad pula sudah 2 kali anak Mama khatam, kan?

Sayang Mama, Mama bukanlah orang yang terbaik. Tetapi Mama cuba jadikan anak Mama orang yang lebih baik daripada Mama dan Daddy. Mama akan berikan dan usahakan apa saja yang Mama mampu. Mama harap anak Mama jadilah hamba Allah yang soleh, seorang hafiz dan faqih.

Sayang anak Mama! 

Friday, February 17, 2012

Salam Pembukaan

Alhamdulillah, hari ini baru Mama berpeluang untuk menulis dalam blog baby Ann ni. Sebenarnya, kewujudan blog ini telah lama Mama rancang, sejak mula- mula mengetahui kewujudan seorang baby dalam hidup Mama lebih kurang 5 bulan yang lalu . Tapi, keadaan kesihatan Mama ketika itu tidak begitu mengizinkan. Tambahan pula, masih banyak kemungkinan yang perlu difkirkan pada waktu itu membuatkan Mama jadi takut untuk terlalu mengharap. 

Hari ini, kandungan Mama sudah mencecah usia 7 bulan. Semalam, Mama ke klinik untuk pemeriksaan bulanan. Berat badan Mama sudah 49kg (berat badan ideal sepatutnya 48kg, tapi sebelum hamil, berat Mama cuma 38-40kg saja). Hb darah Mama juga sudah meningkat kepada 11.2 (sewaktu mula- mula mengandung, 11hb, kemudian turun kepada 10.4). Segala- galanya baik dan normal. Alhamdulillah, Mama berasa syukur kepada Allah atas kurniaan kesihatan yang Dia anugerahkan. Selera makan Mama memang sangat baik akhir- akhir ini. Mama cuba menjaga pola pemakanan supaya semuanya cukup dan seimbang untuk tumbesaran baby Mama. Yang sangat perlu Mama kawal sekarang ialah pengambilan gula memandangkan semasa mengandung ni, Mama cukup suka makanan dan minuman manis, terutamanya yang berasaskan coklat.

Selasa lepas, Mama juga ke klinik swasta untuk scan baby. Seronok dapat tengok baby Mama yang nampaknya dah besar. Tapi, jantinanya tidak dapat dipastikan. Mama berharap untuk dapat anak lelaki. Tapi, kalaulah ditakdirkan bayi ini perempuan, kasih sayang Mama tetap tidak akan berkurang. Mama cuma sangat berharap anak ini akan menjadi hamba-Nya yang soleh, jadi manusia yang banyak menyumbang manfaat kepada dunia ni.

Di sekolah, kerja Mama sentiasa banyak dan sibuk. Itu yang mengekang Mama untuk menulis dan menghias blog ini. Tapi, tak apalah, Mama akan buat apa yang termampu,mencatat apa yang terdaya supaya suatu hari nanti, anak Mama dapat mengenal dirinya, memahami betapa dalamnya kasih sayang Mama serta betapa tinggi harapan Mama terhadapnya melalui catatan dari blog ini.

Baby Ann, Mama ai ni!