Tuesday, December 13, 2016

Permainan Pancing Ikan




Ini permainan memancing ikan yang Mama buat untuk anak- anak Mama. Prosesnya mengambil masa hampir dua bulan. Sebabnya, Mama sangat sibuk. Tapi, Mama nak juga buat aktiviti yang menarik dan berfaedah untuk anak- anak.

Permainan ini mudah saja. Mama cetak bentuk ikan dengan suku kata di atasnya, kemudian Mama laminasikan dan distapler pada hujung mulutnya. Pada batang kail, Mama lekatkan magnet di hujung benang. Jadi, magnet akan menangkap stapler pada mulut ikan. Untuk magnet, terima kasih kepada seorang murid Mama, Farish Rayyan yang beri magnet itu kepada Mama.

Rupa- rupanya, banyak cara permainan ni boleh dimainkan untuk mendedahkan anak- anak Mama kepada macam- macam ilmu. Selain mengenal huruf dan suku kata, Mama juga guna untuk ajar mengira. Mama minta Amina dan Adam berlumba pancing ikan, kemudia kira bilangan ikan yang dipancing.

Malangnya, setelah siap, Mama kurang masa pula untuk menemani Amina dan Adam bermain. Apabila Amina dan Adam bermain sendiri, adalah ikan yang hancur.

Tak apalah, semoga Allah berkati usaha ini dan jadikan anak- anak Mama insan yang berilmu.

Mama sayang anak- anak Mama sangat- sangat! 

Amira Tujuh Bulan


Ini Amira yang berusia tujuh bulan.

Amira dah menyusur jauh ke sana ke mari.

Amira juga dah pandai bercakap, " A..ta, a...ta, aaa...aaa...aaa...".
Bising Amira bercakap.

Amira juga dah pandai panggil Mama, terutamanya semasa menangis.

Amira anak yang sihat, dah boleh bermain dengan abang dan kakak. Amira paling suka rampas pensil yang kakak/ abang guna untuk menulis.

Mama sayang Amira!

Basikal Baharu Amina & Adam


9 Disember 2016 - Mama belikan Amina dan Adam basikal baharu.Harga basikal Amina RM180 dan basikal Adam RM160.

Seronok tengok anak Mama gembira dapat basikal baharu.

Yang istimewanya, basikal ini Mama beli dengan duit yang Mama kumpul hasil perniagaan dropship Mama!

Alhamdulillah.

Mama sayang Amina dan Adam.

Monday, October 24, 2016

Bernaung Di Bawah Sayap Malaikat




Dah lama Mama bercita- cita untuk membawa anak- anak Mama ke masjid untuk menghadiri majlis ilmu. Mama nak membudayakan budaya ilmu dalam keluarga kita. 

Alhamdulillah. akhirnya tercapai juga hasrat Mama dengan menghadiri Kuliah Mingguan Dhuha oleh Sahibus Samahah Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri di Masjid Putra Nilai. Sehingga entri ini ditulis, telah tiga minggu berturut- turut anak- anak Mama berpeluang menghadiri kuliah tersebut.

Mama nak sangat anak-  anak Mama menjadi ahli masjid dan ahli al- Quran. Itulah doa Mama selalu. Mama berasa sangat tenang apabila berada di rumah Allah. Mama berdoa supaya anak- anak Mama diberikan rezeki untuk sentiasa berada di rumah Allah ini.

Ya Allah, perkenankanlah hajatku! Rezekikan kami menjadi ahli solat, ahli al-Quran dan ahli masjid.

Mama sayang Amina, Adam dan Amira sangat- sangat! 







Wednesday, October 19, 2016

Hasil Kerja Adam


Ini hasil kerja Adam pada 17 Oktober 2016, semasa usia Adam 2 tahun 9 bulan.

Kalau nak dibandingkan dengan kakak, perkembangan akademik Adam agak lambat. Dalam usia menghampiri 3 tahun, Adam belum dapat membentuk garis atau bulatan dengan baik. 

Tapi, Mama tak kisah sebab Mama tahu setiap anak Mama ada keistimewaannya yang tersendiri.

Lagipun, semasa kakak kecil, Mama ada banyak masa menemaninya membuat pelbagai aktiviti. Tapi, Adam kena berkongsi perhatian Mama dengan kakak sejak awal lagi. Kemudian dengan Amira pula.

Apabila sesekali berpeluang menunjuk ajar Adam dan buat aktiviti dengan Adam, Mama berasa sangat seronok.

Apapun, Adam tetap anak yang bijak. Adam sentiasa ingat dengan baik apa- apa pesanan Mama, Jaddah dan orang- orang lain. Adam juga anak yang sangat bertanggungjawab dan boleh diharap.

Mama sayang dan bangga dengan Adam!

Hasil Kreativiti Amina

Sejak kecil, Amina memang sukakan seni. Habis dinding rumah penuh dengan hasil seni Amina @ lukisan. 

Baru- baru ini, Mama ajar Amina satu cabang seni yang baharu menggunakan tablet. Amina pun mula meneroka dan mengasah kemahiran dalam bidang baharu ini.

Tapi, Amina cuma berpeluang menghasilkan karya baharu ini kadang- kadang saja. Sebab Mama jarang beri Amina gunakan tablet.

Tak apalah, apa yang Mama ajar cuma pendedahan awal untuk Amina. Nanti, apabila tiba masa yang sesuai, Amina tonjolkanlah bakat Amina dalam bidang layout dan grafik ini ya.

Semoga anak Mama menjadi anak yang berjaya dan berkemahiran dalam banyak bidang!

Inilah antara hasil kreativiti Amina :




Mama sayang Amina Ann Hui Fen!

Tuesday, October 18, 2016

Amira 6 Bulan & Satu Kesyukuran


7 Oktober 2016 - Amira genap 6 bulan yang juga merupakan tarikh keramat bagi Mama!

Mama telah dinobatkan sebagai Johan Sayembara Penulisan Rencana Isu Dakwah Kontemporari anjuran Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bagi Mama, hadiah ini merupakan hadiah untuk Amira. 

Kenapa?

Sebabnya...Mama menulis rencana tersebut seminggu selepas Amira dilahirkan. Semasa mengandung, badan Mama sangat lemah dan Mama memang tak mampu nak menjana idea untuk menulis. Selepas bersalin, anak Mama yang seorang ni sangat baik dan asyik tidur. Kebetulan pula kesihatan Mama sangat cepat pulih selepas melahirkan Amira. Jadi, Mama mengambil peluang untuk menulis.

Lagipun, Mama teruja dengan hadiah wafer emas yang ditawarkan. Untuk kakak & abang, Mama beli emas 10 gram sebulan selepas mereka lahir sebagai bekalan untuk masa depan mereka. Masa Amira, kewangan Mama kurang mengizinkan untuk Mama beli emas. Jadi, Mama masuk sayembara ini bagi mendapatkan hadiah emas untuk Amira.

Masa tu, Mama sentiasa berada di rumah, dikelilingi kerenah dan keletah anak- anak. Mungkin sebab itu, Mama terdorong untuk memilih tema "Pengabaian Anak" daripada banyak tema yang diberikan.

Lalu, terhasillah sebuah rencana... Penggunaan Peranti Secara Berleluasa ; Tanda Pengabaian Hak Anak Oleh Ibu Bapa.

Alhamdulillah. Memang telah tertulis dalam perancangan Allah, emas tersebut rezeki Amira!  

Amira dengan emas hadiah.


Mama ai Amira Ann Hui Fang!

Anak-anak Mama Yang Kreatif


Mama duduk dalam bilik, menyusukan & menidurkan Amira. Dua orang lagi buah hati Mama bermain berdua di ruang tamu. Apabila Mama keluar, Mama lihat hasil kreativiti kedua- dua budak bertuah ni :



Lebih menarik, inilah gam yang digunakan....


Ini pula telatah Amina & Adam apabila jumpa bunga di dalam stor. Nak tergelak Mama dengar anak- anak Mama menyanyi dengan lirik lagu yang direka secara spontan. Pandainya budak- budak ni!



Mama sayang Amina & Adam sangat- sangat!

Amira 5 Bulan



Dalam usia 5 bulan, berat Amira meningkat sikit je, menjadi 5.75kg. Anak Mama yang seorang ni memang kecil dan comel. Tapi, Amira tetap aktif.

Berbeza dengan kakak dan abang, Amira menangis semasa menerima suntikan vaksin kali ini.

Mama sayang Amira! 

Sunday, October 16, 2016

Kisah Adam

Kegemaran Adam kini, dalam usia menghampiri 3 tahun; Memasukkan pelbagai barang ke dalam beg kemudian memikulnya ke sana sini. Kalau tak ada beg, dapat beg kertas atau beg plastik pun jadi juga.


Beg Adam dah terkoyak sebab Adam masukkan lori ke dalamnya.


Jadi, beg kakak pula menjadi mangsa. Mama terpaksa sorokkan beg daripada pandangan Adam. Rimas tengok Adam pikul beg ke sana sini. Kalau ada barang- barang yang hilang, Mama dah tahu nak cari di mana. Bukalah beg Adam, mesti akan jumpa botol air, stoking, seluar dsb.

Errr, Adam ni nak jadi backpacker macam Ayah Long ke?

Mama ai Adam!

Friday, October 14, 2016

Follow Me!!!

I'm on Instagram as @fatimahbunyamin. Install the app to follow my photos and videos. https://instagram.com/download/?r=1439208948

Friday, September 30, 2016

Anak-anak Mama Yang Rajin


Inilah anak-anak Mama yang rajin. Tertidur dengan pensil dan buku.
Sayang Amina & Adam!

Wednesday, August 10, 2016

Amira 4 Bulan


Amira dah berusia 4 bulan.

Berat Amira bertambah sedikit menjadi 5.35kg. Panjang 59cm.

BMI Amira berada di garis kuning.

Apapun, Amira anak yang aktif. Masih suka senyum apabila diagah. Maah, kini Amira dah pandai ketawa terkekek- kekek.

Mamasayang sangat Amira!

Friday, August 5, 2016

Amira Dah Meniarap

Hari ini, Amira Ann Hui Fang meniarap buat kali pertama, pada usia hampir 4 bulan!

Alhamdulillah. Tapi, Mama tak sempat rakamkan pertama kali Amira meniarap macam kakak dan abang dulu

Mama nak ambil kakakdi PASTI. Jadi, Mama bawa Amira ke bilik Jaddah dan letakkan Amira di situ.

Tiba- tiba Jaddah menjerit, "Dah jadi dah!"

Rupa- rupanya, cubaan Amira untuk meniarap sejak beberapa hari dah menjadi! Mama sempat juga tengok sebelum Mama keluar ambil kakak.

Mama sayang Amira!

Tuesday, July 12, 2016

Amira 3 Bulan


Amira Ann Hui Fang telah berusia 3 bulan.

Berat Amira naik tak banyak, 500 gram saja. Jadi, berat Amira sekarang 4.9kg.

Suntikan vaksin untuk usia 3 bulan ditangguhkan sebab Amira hadapi masalah kulit. Kulit Amira jadi kering dan muka Amira naik ruam. Kata doktor, tiada masalah untuk suntik Amira, tapi Mama minta ditangguhkan seminggu.

Amira dah bercakap banyak. Amira cukup suka apabila dibacakan al-Quran. Riuh mulut Amira ikut bacaan orang.

Alhamdulillah. Anak Mama membesar dengan sihat.

Mama ai Amira Ann Hui Fang!

Saturday, June 18, 2016

3 Ann

Inilah 3 Ann yang mengisi hidup Mama dengan kebahagiaan :







Bercuti di Kampung

1 Jun 2016 - Kita pulang ke kampung setelah lebih kurang setengah tahun tak balik.

Kali ini, kita lama di kampung sebab Mama ambil cuti menjaga anak selama 3 bulan. Mama tinggal di kampung bersama Amina, Adam & Amira sepanjang bulan Ramadhan. Selepas hari raya, insya Allah, kita balik ke Nilai.

Anak- anak Mama gembira di kampung. Mula- mula sampai, Adam menangis sebab tak biasa dengan orang- orang di sini. Amina, macam biasa, terus aktif berkawan dengan semua orang. Tak lama kemudian, Adam pun dapat biasakan diri.

Lepas tu, setiap hari Adam cakap, "Seronoknya kat kampung Jaddah!"

Bergaya dengan baju yang Om belikan di Thailand


Mama perkenalkan Amina & Adam dengan embun. Bimbang kalau- kalau belajar tentang air mutlak nanti, tak kenal pula air embun. 



Amina Mula Solat

n


14 Mei 2016 - Kali pertama Amina solat bersama Mama. Comel sangat anak Mama bertelekung sembahyang.

Mama rasa gembira sangat. Amina gunakan telekung Little Darina yang Mama hadiahkan semasa hari lahir Amina yang ke-4 tempoh hari.

Semoga Amina menjadi anak solehah yang menjaga solat.

Mama sayang Amina sangat- sangat!

Amira 2 Bulan


Amira Ann Hui Fang telah berusia 2 bulan.

Berat Amira dah 4.4 kg. Panjang 56 cm.

Berat Amira naik sikit je. Sebab akhir- akhir ni Amira kurang menyusu. Mungkin sebab Amira selsema.

Apapun, Amiralah baby yang paling baik pernah Mama miliki. Kadang- kadang, tak perasan kewujudan Amira dalam rumah. Amira banyak tidur dan tak banyak menangis. Kalau tak tidur pun, Amira diam je. Amira tak banyak kerenah. Mama lebih sibuk uruskan kakak & abang daripada Amira. Kakak dan abang Amira lebih banyak kerenah yang perlu dilayan berbanding Amira.

Mama sayang Amira Ann Hui Fang. Semoga Amira terus membesar menjadi anak yang baik dan sihat.

Sunday, May 22, 2016

Adam di Kedai Gunting

Ini kali kedua Adam ke kedai gunting. Tengoklah muka Adam...



Kan dan hensem!

Amira Sebulan



Anak Mama dah cukup sebulan.

Berat Amira bertambah menjadi 3.79kg. Panjang Amira 49 cm.

Amira anak yang sihat dan aktif.

Mama gembira dengan perkembangan Amira.

Mama sayang Amira Ann Hui Fang!

Amira Botak


2 Mei 2016 - Daddy cukur rambut Amira.

Amina & Adam dulu dicukur oleh Mama, Amira lain sikit sebab dicukur oleh Daddy.

Comel anak Mama dengan gaya baharu!

Sunday, April 17, 2016

Hari ke-10

16 April 2016 - Hari kesepuluh Amira Ann Hui Fen.

Jururawat ke rumah untuk memeriksa keadaan Mama dan Amira.

Berat Amira hari ni dah 2.8kg.

Alhamdulillah, cepat anak Mama membesar walaupun lahir tak cukup berat.

Mama sayang anak Mama!

Surat Beranak Amira

15 April 2016

Anak Mama telah didaftarkan secara rasmi sebagai seorang warganegara Malaysia dengan nama Amira Ann Hui Fang. Daddy yang uruskan pendaftaran nama Amira di Jabatan Pendaftaran Negara, Sepang. 

Nama Amira bermaksud pemimpin dalam bahasa Arab. Hui Fang pula bermakna baik hati dan berbau harum dalam bahasa Mandarin.   

Semoga Amira Ann Hui Fang membesar sebagai seorang pemimpin yang mengharumkan nama Islam.

Mama sayang Amira Ann Hui Fang.

Wednesday, April 13, 2016

Tanggal Pusat

12 April 2016

Anak Mama dah tanggal pusat pada hari ke-6, sama dengan kakak Amina dulu.

Semasa nak mandikan anak Mama, tiba- tiba Mama tengok pusat anak Mama dah tertanggal dan jatuh di atas lantai bilik air.


Tuesday, April 12, 2016

Hari Ke-5

11 April 2016 - Mama bawa anak Mama ke Klinik Kesihatan Nilai untuk uji bacaan jaundis.

Bacaan jaundis hari ini ialah 176, meningkat daripada Sabtu lepas, 128.

Bagaimanapun, berat badan anak Mama dah meningkat daripada 2.45kg kepada 2.5kg.

Kata jururawat, biasanya berat badan bayi menyusut pada hari kelima, tapi anak Mama bagus sebab berat badannya naik. Anak Mama pun nampak aktif dan sihat.

Yalah, sepanjang malam tadi, anak Mama tidur dengan puting dalam mulut. Apabila terlepas saja puting, anak Mama merengek. Mama perasan, yang anak Mama betul- betul tidur hanya 2 jam, daripada pukul 2-4 pagi.

Mama yang kurang tidur. Siang hari, semasa baby tidur, Mama kena layan kerenah kakak & abang. Malam, baby  pula yang berjaga.

Apapun, Mama sayang anak Mama! 

Sunday, April 10, 2016

The Third MACHINE Story

Amira Berusia 1 hari
 

MACHINE (MAlay + CHINEse) Mama & Daddy yang ketiga telah hadir ke dunia ini pada 7 April 2016, awal 12 hari daripada tarikh jangkaan.  Alhamdulillah, betapa syukur Mama dapat melahirkan seorang lagi umat Nabi  Muhammad s.a.w. yang insya Allah akan mengharumkan nama Islam suatu hari nanti.

6 April 2016
Mama berasa sangat penat selepas balik dari sekolah jam 4 lebih. Selepas solat Maghrib, Mama terus tidur. Mama terfikir, kalaulah tiba- tiba pecah ketuban, macam mana dengan solat Isyak yang belum ditunaikan. Tapi, Mama betul- betul keletihan dan tak larat nak bangun.

7 April 2016

2.35 pagi
Mama terjaga. Rasa letih dah kurang, tapi Mama teruskan tidur sikit lagi walaupun tak berapa lena.

3.39 pagi
Mama bangun untuk ke tandas. Selepas itu Mama ke dapur, makan biskut & minum. Mama rasa lapar sebab semalam, Mama langsung tak makan malam. Jaddah buat kari daging. Mama teringin nak makan kari daging tapi tak sempat sebab letih sangat.
Mama mula terasa sakit- sakit perut tapi Mama masih tak dapat pastikan sakit apa. Mama takut tertukar rasa kontraksi dengan rasa sakit perut untuk buang air.
Apabila sakit makin kerap, Mama agak yakin yang Mama dah mula rasa kontraksi. Mama pun segera tunaikan solat Isyak dan solat sunat hajat selepasnya, mohon supaya dipermudahkan kelahiran. Mama juga beritahu Daddy tentang rasa sakit tu.
Selepas solat, Mama ambil al-Quran untuk baca surah Maryam. Dalam  masa yang sama, abang Adam terjaga dan menangis minta susu. Jaddah tolong buatkan susu dan abang Adam yang manja minta Mama temankan dia tidur. Mama pun terlena sekejap dengan rasa sakit yang makin kuat dan kerap datang.

6.40 pagi
Selesai Mama dan Daddy solat Subuh, kami bertolak ke Hospital Islam Az-Zahrah di Bangi. Beberapa kilometer sebelum sampai ke tol Bangi, jalan jem. Daddy terpaksa gunakan lorong kecemasan. Rupa- rupanya, lebih kurang 2 km daripada simpang tol Bangi, ada kemalangan berlaku. Sebuah lori terbalik dan mengakibatkan kesesakan.

7.20 pagi
Jururawat membuat pemeriksaan jantung bayi. Masa ni, Mama perhatikan kontraksi berlaku setiap 5 minit dan berlangsung kira- kira seminit. Apabila diperiksa, bukaan jalan dah 4 cm.

8.30 pagi
Jururawat dah minta Mama masuk ke bilik bersalin tapi bilik itu perlu dibersihkan dulu. Mama pun masuk ke bilik Tun Teja 2. Daddy pula turun membeli sarapan untuk Mama. Sementara itu, Mama makan kurma dan minum air zam zam yang dibawa.
Mama diberi ubat untuk buang air besar. Sambil menunggu jururawat datang untu membawa Mama ke bilik bersalin, Mama duduk di bilik sambil berbual- bual dengan Daddy. Masa ini, kontraksi dan makin kerap datang dan Mama berasa sangat sakit.
Peliknya, tiada tanda seperti air atau darah yang keluar.

9.50 pagi
Mama disorong masuk ke bilik bersalin. Jururawat menawarkan untuk menyuntik ubat bagi mengurangkan kesakitan. Setelah bertanya tentang kesan sampingan ubat itu, Mama bersetuju untuk disuntik.
Memang ubat itu mengurangkan banyak rasa sakit. Mama berasa agak lali, tapi semasa konstraksi, Mama masih dapat rasakan separuh kesakitan.
Doktor datang memeriksa bukaan jalan. Lebih kurang 7 atau 8 cm. Doktor memecahkan air ketuban untuk mempercepatkan proses bersalin. Rupa- rupanya, anak Mama dah membuang najis di dalam perut.
Doktor meminta Mama dimasukkan air untuk mempercepatkan proses bukaan jalan. Tak lama kemudian, Mama mula berasa hendak meneran. Tapi bukaan jalan baru 9 cm dan jururawat meminta Mama menunggu seketika.
Mama mula meneran. Doktor, jururawat dan Daddy sudah boleh nampak kepala anak Mama. Semua orang mendorong Mama untuk terus meneran supaya anak Mama cepat keluar. Mama cuba sedaya upaya untuk keluarkan anak Mama ke dunia ini.
Setelah beberapa kali meneran, doktor ambil keputusan untuk menggunting bagi membantu anak Mama keluar.
Tepat jam 11.01 pagi, anak Mama selamat dilahirkan. Jururawat meletakkan anak Mama di atas dada Mama. Tak tergambar perasaan gembira Mama melihat anak Mama yang kecil dan comel. Suara tangisannya pun sangat halus. Anak Mama memang kecil, 2.45kg saja beratnya.
Tapi, Mama masih lagi dalam keadaan lali dan tak dapat nak dukung anak Mama. Dalam keadaan  lali dan mengantuk tu, Mamadengar jururawt dan Daddy berbual- bual cakap anak Mama macam Cina.
Anak Mama terpaksa diberikan bantuan oksigen sebab dah tertelan air najis. Mama sempat cium anak Mama sekejap sebelum anak Mama dibawa keluar.

12.20 tengah hari
Mama dibawa masuk ke bilik Tun Teja 2 semula. Semasa disorong ke bilik, Mama bertembung dengan jururawat yang mula- mula memeriksa bukaan jalan Mama pagi tadi. Dia terkejut apabila melihat Mama telah selamat bersalin. Katanya, cepat sangat proses Mama bersalin.
Anak Mama masih tiada di sisi. Mama rasa janggal sikit tanpa bayi bersama Mama selepas melahirkan. Tapi, disebabkan Mama masih rasa lali dan pening sikit, Mama ambil kesempatan ini untuk berehat. Mama cuba tidur tapi tak berapa lena. Setiap kali terjaga, Mama teringatkan anak Mama. Lalu, Mama baca surah al- Fatihah dalam hati dengan niat untuk disedekahkan kepada anak Mama.

4.35 petang
Mama minta jururawat bawakan anak Mama untuk disusukan. Tapi, jururawat cakap anak Mama masih diberikan oksigen dan akan dibawa masuk ke bilik sebaik sahaja keadaannya pulih. Bilik yang Mama duduk ini berhadapan dengan masjid. Mama dapat dengar azan dengan jelas setiap kali massuk waktu. Setiap kali selepas menjawab azan, Mama doakan supaya anak Mama kuat dan segera pulih.

5.15 petang
Jururawat bawa anak Mama masuk ke bilik. Mama berasa lega. Mama sangat teringin nak susukan anak Mama. Tapi, anak Mama asyik tidur.

7.50 malam
Setelah dikejutkan, anak Mama bangun. Ya Allah, seronoknya Mama dapat tengok mata anak Mama buat kali pertama. Mama picit susu dan kolestrum keluar. Mama beri anak Mama menjilat dan menghisap susu. Mama rasa susu tiada atau sangat sikit, tapi Mama beri juga anak Mama hisap untuk merangsang pengeluaran susu. Perasaan menyusukan anak Mama buat kali pertama sangat membahagiakan.
Tak lama selepas diletakkan, anak Mama bangun menangis lagi. Mungkin masih kelaparan sebab susu Mama sikit sangat. Mama minta jururawat bawa anak Mama pergi untuk diberi susu.
Malam itu,Mama bermalam tanpa bayi di sisi. Mama tidur tak berapa lena. Setiap kali terjaga, Mama tertanya- tanya keadaan anak Mama. Mama terbayangkan anak Mama menangis tanpa ada orang yang mempedulikannya. Mama tahu, di hospital ada ramai bayi sampai jururawat tak sempat nak melayan tangisan setiap bayi.

8 April 2016
7.00 pagi
Jururawat bawa masuk anak Mama ke bilik. Mama berasa lega dapat tengok wajah anak Mama lagi. Hari ini, insya Allah kita akan balik ke rumah.

2.00 petang
Setelah diperiksa oleh doktor dan menunggu pelbagai prosedur untuk keluar hospital, akhirnya Mama dan bayi yang Mama lahirkan disorong keluar dari Hospital Islam Az- Zahrah, Bangi untuk pulang ke rumah kita di Nilai.

3.00 petang
Anak Mama menghirup udara di rumah kita buat kali pertama. 

Mama ai ni!    

     

Saturday, April 2, 2016

Adam Dah Pandai Baca Doa Makan

12 Mac 2016 - Kali pertama Mama dengar Adam baca doa makan sepenuhnya sendiri.

Ya Allah, Adam dah pandai baca doa makan walaupun tak pernah diajar secara formal. Mungkin sebab Adam selalu dengar Mama dan kaka baca doa itu.

Alhamdulillah, pandai anak Mama!

Semoga Adam menjadi anak yang soleh.

Mama ai Adam!

Tahun Belakang & Ayat Meja

Mama selalu juga menyebut perkataan "Tahun depan". "Tahun depan umur Amina 5 tahun...", "Tahun depan Amina masuk tadika Cina..." dsb.

Suatu hari Amina bertanya kepada Mama :
"Mama, kalau "tahun belakang" macam mana?

Ya Allah, nak! Mana ada "Tahun belakang". Mama terangkan kepada Amina, "tahun depan" lawannya "tahun lepas", bukan "tahun belakang". Tahun lepas tu, masa Amina umur 3 tahun.

Sebelum tidur, Mama selalu ajak anak- anak baca Ayat Kursi. Dua malam yang lepas, Mama baca ayat Kursi perlahan saja. Tiba- tiba Adam berkata, "Mama, nak tidur kena baca ayat telusi kan?"

"Ya, Kan Mama dah baca. Kita baca ayat Kursi untuk minta Allah lindungi kita."

"Kalau ayat meja, Mama?"

Oh, anak! Soalan anak- anak Mama ni, kadang- kadang macam dialog pelawak kat TV. Tapi, Mama tahu, Amina & Adam bukan nak buat lawak. Soalan yang ditanya memang tulus lahir daripada naluri ingin tahu seorang kanak- kanak.

Semoga Amina & Adam terus menjadi anak- anak yang bijak dan keletah.

Mama sayang Amina dan Adam!


Kreativiti Amina

Semua ni ialah hasil kerja Amina pada 31 Mac 2016 :

Amina minta Mama cetak gambar Ana Muslim & Adam minta gambar Spiderman. Lebih kurang sejam kemudian, inilah hasilnya. Amina kata, "Adam lukis tak cantik." Mama betulkan Amina. "Amina jangan cakap macam tu. Kalau budak 2 tahun buat macam ni, cantiklah ni, kalau budak 4 tahun buat macam Amina pun cantik. Kita kena bagi galakan kepada adik & ajar dia." 



Amina semakin kreatif dan suka melukis sekarang. Semoga bakat Amina terus berkembang & memberi kebaikan kepada Amina & manusia lain suatu hari nanti.

Mama berharap sangat suatu hari nanti, Amina dapat jadi ilustrator buku yang Mama tulis atau buku yang Amina sendiri tulis.

Mama sayang Amina!

Thursday, February 25, 2016

Cuti Tahun Baharu Cina

Cuti Tahun Baharu Cina yang lalu, Mama rasa puas dapat duduk di rumah dengan anak- anak Mama. Mama bersihkan lantai mozek di halaman rumah setiap hari supaya Amina dan Adam mudah keluar masuk untuk bermain.

Walaupun pada awal cuti kita tidak ke mana- mana, Amina dan Adam sangat riang sebabdapat bermain sepanjang hari dengan bebas. Mama pun seronok dapat menemani anak- anak Mama buat pelbagai aktiviti & dapat memasak dan suap anak- anak Mama makan.

Angpow Tahun Baharu daripada Daddy
Hasil kerja Amina menggunakan warna air. Mama ajar Amina buat teknik tiupan menggunakan straw. Amina juga minta nak main penyangkut baju. Mama tak tahulah apa imaginasi Amina semasa susun penyangkut baju macam tu. Tak apalah, nak. Bermainlah mengikut fitrahmu.
Kali pertama Amina & Adam mandi laut. Mama gembira sangat melihat anak- anak Mama seronok!

Mama berasa sangat seronok melihat dan menemani anak- anak Mama bermain. Sesuatu yang jarang Mama dapat buat pada hari bekerja. Sebab Mama selalu penat. Seronoknya menjadi suri rumah dan melayani anak- anak Mama membesar mengikut fitrah.

Mama sayang Amina dan Adam!