Monday, April 30, 2012

Detik-detik Awal

Masih belum ada tanda-tanda kelahiran baby yang menyebabkan Mama berasa agak bimbang. Agaknya seronok ya duduk dalam perut Mama sampai baby belum nak keluar? Esok, Daddy akan datang untuk luangkan masa bersama Mama sampai 3 Mei. Mungkin juga anak Mama ni nak tunggu kedatangan Daddynya, baru nak keluar.

Mama baru berkesempatan untuk uploadkan detik-detik awal kehamilan yang Mama catat, khusus untuk tatapan anak Mama apabila dia dewasa nanti. Moga-moga anak Mama memahami apa yang Mama lalui untuk membolehkan dia menghirup udara di dunia ini. Moga-moga anak Mama menjadi hamba-Nya yang lebih menghargai kehidupan :

Jumaat, 16 September 2011
Sudah seminggu Mama tidak sihat. Mama rasa badan Mama panas dan kepala terasa pening. Dua malam lepas, Mama muntah. Haid Mama sudah terlewat kira- kira 2 minggu. Beberapa orang kawan mengatakan mungkin Mama telah “berisi”. Tapi, Mama takut untuk mempercayainya sebab dah banyak kali Mama kecewa dengan keputusan ujian kehamilan yang Mama buat.
Hari ini Daddy ada bersama Mama. Daddylah yang tidak sabar- sabar menyuruh Mama buat ujian kehamilan. Mama sudah pun membeli alat ujian kehamilan semalam.
Pagi- pagi, bangun sahaja daripada tidur, Mama terus membuat ujian tersebut. Hati Mama berdebar- debar. Dalam masa beberapa saat sahaja, Mama melihat hasilnya bersama Daddy. Ohh, ada dua garisan yang timbul. Nampaknya, MAMA HAMIL! Mama bagaikan tidak percaya, MAMA HAMIL?
Daddy sangat gembira. Mama juga. Selesai solat Subuh, Mama buat sujud syukur. Tetapi, Mama masih dalam keadaan percaya atau tidak. Berkali- kali Mama melihat semula alat ujian kehamilan itu, memang ada dua garisan merah. Apapun, Mama akan ke klinik untuk membuat ujian sekali lagi pada Isnin nanti.
Tiba- tiba, Mama teringat tarikh hari ini 16 September, Hari Malaysia. Memang anak Mama Anak Malaysia. Anak Mama kan hasil penyatuan 2 bangsa terbesar di Malaysia.

Isnin, 19 September 2011
Mama ke Poliklinik Bukit Serampang untuk membuat ujian kehamilan sekali lagi. Alhamdulillah, keputusannya memang positif. Mama hamil kira-kira 7 minggu. Petang itu juga Mama buat buku ibu mengandung. Mama mula menghebahkan berita gembira ini kepada saudara- mara dan sahabat rapat. Semua bergembira dengan berita ini.
Hari- hari seterusnya dilalui dengan perasaan gembira yang tidak dapat digambarkan walaupun kesihatan Mama terus dalam keadaan tidak begitu baik. Rasa syukur, seronok dan sedikit tidak percaya bercampur- baur dalam diri Mama. I’m going to be a mother? Itulah persoalan yang selalu bermain di fikiran Mama.
“Bolehkan aku jadi seorang ibu yang  baik?”
“Sudah lengkapkah persediaanku untuk menjadi seorang ibu yang boleh mendidik anak- anak menjadi hamba-Nya yang bertaqwa?”
“Ya Allah, jadikanlah aku seorang ibu yang solehah, dan jadikan suamiku seorang bapa yang soleh. Moga- moga kami boleh menjadi contoh yang baik untuk anak kami dan membimbingnya menjadi hamba-Mu yang soleh.”
Setiap hari Mama panjatkan doa. Ramai orang berdoa supaya anaknya menjadi anak yang soleh. Tetapi, Mama lebih takut sekiranya Mama tidak berjaya menjadi ibu yang solehah kerana Mama percaya bahawa anak yang soleh hanya akan lahir daripada seorang ibu yang solehah.
Dalam masa yang sama, perasaan takut dan bimbang masih menebal. Takut untuk terlalu berharap kerana dengan usia kandungan yang masih terlalu muda, masih banyak risiko yang boleh berlaku. Setiap Mama berpesan kepada janin dalam kandungan :
“Anak Mama pegang kuat-kuat ya kat dalam. Anak Mama tak boleh jatuh. Mama dan Daddy dah lama tunggu anak Mama ni datang. Anak Mama kan kuat. Daripada berjuta-juta benih Daddy, anak Mama saja yang berjaya senyawakan ovum Mama.”  

Khamis, 22 September 2011
Ulang tahun kelahiran Mama yang ke-30. Mama menyambutnya di atas katil. Hari ini, Mama rasa sangat teruk sampai Mama terpaksa ambil cuti sakit. Kepala rasa pening dan pandangan berpinar- pinar. Bagaimanapun, Mama cuba paksa diri untuk mengambil makanan sebab Mama bimbang anak Mama tak dapat cukup nutrien untuk terus membesar dalam rahim Mama. Hari ini juga, Mama perlu ke klinik untuk menjalani pemeriksaan kehamilan buat kali pertama. Mama gagahkan juga diri untuk pergi.
Hari- hari yang dilalui dengan alahan ini menyebabkan Mama semakin memahami betapa besarnya pengorbanan seorang ibu. Setiap waktu ada rasa mual dan loya. Badan pun rasa lemah, panas dan tidak sihat. Makan pun tidak berselera dan ditelan dengan terpaksa. Jenis makanan juga dipilih- pilih. Patutlah Allah meletakkan kedudukan ibu pada darjat yang sangat tinggi. Patutlah syurga itu berada di bawah tapak kaki ibu. Susahnya mengandung ni! Tapi, segalanya dihadapi dengan tabah kerana rasa kasih sayang yang mendalam terhadap anak yang berada dalam kandungan. Rasa syukur dan sayang telah berjaya mengatasi semua rasa tidak selesa yang dialami.
Suatu perkara yang Mama perhatikan, ada banyak kebetulan dan nasib baik yang berlaku berkaitan dengan makanan. Apabila Mama terasa nak makan pizza yang dibuat oleh isteri seorang cikgu di sekolah, tiba-tiba esoknya dia bawa pizza tersebut walaupun Mama tak suarakan pun keinginan itu kepadanya. Pernah sekali Mama terasa nak makan pisang, seorang cikgu di sekolah bawa pisang untuk dimakan beramai- ramai di bilik guru. Agaknya, anak Mama ni murah rezeki.
Mama juga bersyukur sebab kawan- kawan di sekeliling sangat prihatin dan memahami. Semoga Allah membalas semua kebaikan mereka.

Sabtu, 24 September 2011
Mama telah khatam bacaan al-Quran buat kali yang entah keberapa. Lalu, hari ini Mama mulakan bacaan yang baru. Kali ini, bezanya ialah Mama sedekahkan bacaan Mama ini kepada bayi yang sedang terbentuk dalam rahim Mama. Mama berharap supaya Mama dapat khatamkan bacaan al-Quran ini sebelum anak Mama dilahirkan. Biar bayi ini terbentuk sempurna bersama 30 juzuk al- Quran dalam jiwanya.
Mama juga mengamalkan membaca al-Fatihah setiap hari dengan niat menyedekahkannya kepada roh anak Mama ini.
Moga- moga dengan cara tersebut anak Mama akan terbentuk menjadi insan yang soleh.

Jumaat, 7 Oktober 2011
Mama baru habis mengikuti kursus KSSR Bahasa Arab bagi Tahun 2 2012 di Muar, yang bermula 3 Oktober. Selama 5 hari ni, Mama berulang setiap hari ke Muar. Tumpang kereta kawan. Kursus bermula jam 8 pagi sehingga 4.30 petang. Penat.
Malam, apabila Mama ke tandas sebelum tidur, ada sedikit darah keluar semasa Mama buang air kecil. MAMA TERKEJUT DAN BIMBANG! Mama segera hubungi jiran yang Mama tahu pernah alami kejadian yang sama. Dia yakinkan Mama yang tidak apa- apa yang bahaya berlaku. Lagipun Mama tak rasa sakit pun.
Mama batalkan niat untuk ke klinik malam itu. Tapi, Mama tidur dalam keadaan bimbang. MAMA SANGAT TAKUT KEHILANGAN ANAK YANG BARU SEKEJAP MAMA NIKMATI KEBAHAGIAAN MENGANDUNGKANNYA INI. Mama panjatkan doa kepada Allah, “Tolonglah jangan ambil anak ini. Rezekikanlah dia untuk Mama miliki.”

Sabtu, 8 Oktober 2011
Ketul kecil darah masih keluar semasa Mama buang air kecil. Pagi-pagi lagi, Mama hubungi jururawat di Poliklinik Bukit Serampang untuk maklumkan keadaan Mama.
Mama ke Klinik Keluarga di Bukit Gambir. Buat kali pertamanya, Mama dapat lihat ciptaan Allah yang cukup indah dalam rahim Mama.     ITULAH ANAK MAMA! Janin itu masih sangat kecil tapi sudah bergerak aktif. Kata doktor, dia sedang menggerak- gerakkan tangannya (kata Daddy apabila Mama beritahu tentang ini, anak Mama tengah menulis. Hmmm...like daddy like baby). Doktor mengesahkan bahawa tidak ada apa- apa masalah tentang janin yang Mama kandung. Mungkin darah yang keluar itu datang dari salur kencing. Mungkin air kencing Mama kotor. Mama rasa lega.  

24 – 26 November 2011
Mama mewakili Johor dalam Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan. Sebenarnya, Mama hampir menarik diri dari pertandingan ini memandangkan kesihatan yang tidak begitu baik. Walau bagaimanapun, syukurlah tarikh pertandingan dipinda beberapa kali sehingga Mama kesihatan Mama agak stabil. Mama rasa anak Mama ni akan menjadi seorang yang berani ke hadapan sebab sepanjang tempoh hamil Mama selalu juga kena buat pengucapan awam. Semasa anak Mama baru kira-kira sebulan dalam kandungan, Mama buat pementasan tentang Tun Dr Mahathir di Dataran Tangkak sempena sambutan sambutan kemerdekaan peringkat daerah, yang turut disaksikan oleh YB Menteri Besar Johor, Dato Abdul Ghani Othman. Semasa menghadiri kursus KSSR, walaupun Mama dah memilih untuk duduk di barisan belakang sebab tidak begitu sihat, Mama tetap juga kena pilih jadi pengacara majis. Sekarang, Mama buat pementasan untuk pertandingan ini pula. Walaupun kumpulan Mama, Permata Ledang gagal mendapat tempat pertama, kedua atau ketiga, pengalaman yang didapati sangat berharga bagi Mama.

Khamis, 1 Disember 2011
Mama pulang ke Kelantan. Mama memang berniat nak luangkan banyak masa cuti ni di Kelantan sebab Mama nak isi masa dengan menghadiri kelas al-Quran, bacaan Hadis dan ceramah Tafsir yang selalu nenek baby hadiri. Nasib baik Daddy izinkan Mama bercuti di kampung. Mama nak anak Mama ni jadi seorang yang mencintai ilmu dan suka menghadiri majlis-majlis ilmu. Kalau boleh, biarlah anak Mama sampai ke tahap jadi orang alim yang mengendalikan majlis ilmu seperti datuk dan moyang-moyangnya.

Mama sayang anak Mama!

Friday, April 27, 2012

Black & White Baby

Persediaan menyambut baby dah lengkap.Mama ada jahitkan sarung bantal untuk anak Mama. Cadangnya nak buat beberapa sarung bantal dengan corak berlainan tapi tema warna yang sama, iaitu, hitam dan putih. Tapi yang sempat Mama siapkan satu saja, selain daripada satu sarung tilam dan sarung bantal yang dijahit oleh Tok Su baby.


 Kenapa hitam dan putih? Ramai orang pelik dengan warna pilihan Mama. Selalunya, orang akan pilih warna yang ceria atau warna yang lembut untuk barangan bayi. Tetapi, melalui buku How To Have A Smarter Baby, Mama dapati ada kajian yang menunjukkan bahawa bayi baru lahir sehingga usia beberapa bulan lebih sukakan warna hitam dan putih dengan corak geometri. Apabila ditunjukkan dengan warna dan corak tersebut, mata bayi akan lebih fokus dan otak bayi akan distimulasikan.

Apa yang Mama buat ialah sebagai rangsangan awal kepada bayi Mama supaya persediaan awal supaya pancaindera dan anggota badan bayi Mama lebih fokus dan bersedia untuk menerima pelajaran.

Mama ai baby Ann!

Thursday, April 26, 2012

Mama,Buku & Ilmu

Mama dah seminggu di Kelantan.Bercuti awal sementara menunggu tarikh bersalin.

Isnin, Mama ke klinik di Kg Tujoh untuk pemeriksaan rutin ibu mengandung. Seperti biasa, Mama bawa sebuah buku untuk dibaca sementara menunggu giliran. Buku yang Mama sedang baca sekarang ialah "Anak Apak" karya Subky Latif.

Jururawat peramah yang bertugas di klinik itu menegur Mama, "Memang minat membaca ya?Selalu bawa buku."

Baru Mama teringat, masa datang pemeriksaan bulan Disember tahun lepas, Mama sedang habiskan membaca buku "Leaving Microsoft to Change The World" karya John Wood, yang Mama bawa ke mana-mana. 


Melalui "Leaving Microsoft to Change The World", Mama mengagumi kegigihan John Wood yang rela meninggalkan kerjaya bergaji tingginya di syarikat Microsoft semata- mata untuk menubuhkan Room To Read, sebuah badan NGO yang membina perpustakaan dan memberi biasiswa pendidikan kepada kanak- kanak perempuan di beberapa buah negara miskin.


Melalui "Anak Apak", Mama dapat beberapa maklumat tambahan tentang senario perjuangan dan jatuh bangun politik negara sejak zaman Jepun dan zaman awal kemerdekaan melalui catatan peribadi penulisnya, Subky Latif.


Mama sedih apabila membaca tentang bagaimana pelajaran agama, seterusnya tulisan Jawi terpinggir dan akhirnya disingkirkan daripada tanah air kita yang merdeka. Sedihnya, anak bangsa Melaayu sendiri yang mengambil keputusan untuk meminggirkan tulisan Jawi yang menjadi sarana penyebaran ilmu dan agama Islam di kalangan orang Melayu suatu ketika dahulu. Impaknya, jauhnya anak- anak Melayu daripada tulisan Jawi menjarakkan juga mereka daripada al-Quran dan agama Islam. Malah, perkara yang sama dilakukan oleh pemimpin berfahaman sekular di negara- negara Islam lain bagi menghakis penghayatan cara hidup Islam dalam kalangan umat Islam.


Hari ini, di negara majoriti Melayu yang merdeka, tulisan orang Melayu terpinggir, sedangkan tulisan bangsa- bangsa lain terus diwariskan daripada generasi ke generasi. Malah, akhbar yang menggunakan tulisan tersebut (Utusan Zaman) mati ditelan zaman.


Seperti kata penulis "Anak Apak" : Utusan Melayu berjuang untuk mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan tercapai, tetapi kemerdekaan tidak dapat menyelamatkan akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman.


Mama rasa sangat sedih membaca kisah bagaimana tulisan Jawi dihapuskan daripada kehidupan masyarakat Melayu sehingga Mama terpaksa berhenti membaca "Anak Apak". Malu rasanya untuk menitiskan air mata di hadapan khalayak ramai yang sedang menunggu giliran di klinik.


Dalam hati Mama, Mama bertekad untuk menjadikan anak Mama seorang yang celik Jawi. Memang sebelum ini Mama telah mengambil keputusan untuk mengenalkan anak Mama dengan huruf- huruf Hijaiyah dahulu sebelum mengenal huruf Roman. Anak Mama akan pandai membaca al-Quran, kalam Allah dahulu sebelum mengenal kalam manusia.


Walaupun anak Mama bukan anak Melayu tulen, anak Mama mesti diwariskan dengan semua kebaikan yang ada pada bangsa Melayu. Mama bukan orang yang fanatik bangsa. Bukanlah Melayu yang diperjuangkan tetapi ciri-ciri Islam yang ada pada bangsa Melayu itu yang mahu Mama pertahankan.


Seterusnya, anak Mama akan mahir juga dalam tulisan Rumi malah tulisan kanji. Ilmu Allah itu tiada sempadan. Apa sahaja ilmu yang baik, mesti anak Mama pelajari.  


Mama ai ni!

Wednesday, April 11, 2012

Hadiah Mama Untuk Baby Ann


Alhamdulillah, pagi ini, selepas solat Subuh, Mama berjaya mengkhatamkan bacaan al-Quran sebanyak 30 juzuk, sebagaimana yang Mama niatkan. Bacaan tersebut Mama mulakan pada 24 September 2011(ketika itu anak Mama berusia kira- kira 7 minggu dalam kandungan), Mama hadiahkan khusus untuk baby Mama.

Mama rasa, tiada lagi hadiah yang lebih berharga untuk seorang ibu berikan kepada anak yang disayanginya selain bacaan kalamullah ni.

Mama harap, bacaan al-Quran tersebut akan tersimpan kukuh dalam dada anak Mama. Mama harap, ayat- ayat al-Quran akan sebati dengan darah dan daging zuriat Mama, mengalir bersama darah menerusi urat- uratnya ke seluruh tubuhnya, untuk membentuk pemikirannya dan memandu seluruh hidupnya.

Masih ada 2 atau 3 minggu lagi anak Mama akan bersama Mama sebelum keluar menjenguk dunia ini. Masa yang selebihnya ini akan Mama gunakan untuk membacakan pula surah- surah pilihan dan ayat- ayat yang elok diamalkan oleh ibu- ibu hamil.

Satu peristiwa tentang tilawah al-Quran ini.Selalunya anak Mama akan bergerak- gerak, "membaca" bersama Mama selepas solat Subuh. Tapi, semalam, Mama rasa anak Mama diam saja semasa Mama membaca al-Quran. Selepas habis membaca, Mama usap perut dan bertanya : "Hari ni anak Mama tak baca al-Quran dengan Mama ya? Kenapa? Anak Mama mengantuk sangat ya, sampai tak boleh baca al-Quran?"

Hari ini, Mama dapati anak Mama kembali bangun tidur dan "membaca" bersama Mama. Anak Mama ni memang anak yang baik. Sekali Mama tegur saja dia dah dengar kata Mama!

Sayang anak Mama!