Wednesday, March 28, 2012

SEDIH!

Baru- baru ini, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia ada membuka tawaran untuk program Pengkarya Guru. MBKM akan membuat kursus penulisan dan penerbitan buku kanak- kanak sebanyak 4 siri, iaitu, awal bulan April, Mei, Jun & Julai.Antara bimbingan yang akan diberikan ialah berkenaan penulisan story board, illustrasi, cara menerbitkan sendiri buku dan lain- lain. Peserta program juga akan diberi peluang untuk menerbitkan buku dengan penerbit- penerbit tempatan.

Yang seronoknya, Kementerian Pelajaran Malaysia akan menaja sepenuhnya penginapan dan makan minum peserta yang terpilih mengikuti kursus ini!

Mama sememangnya sangat berminat dalam bidang penulisan. Jadi, Mama mencuba nasib untuk memohon sebagai salah seorang peserta. Dalam permohonan itu, guru dikehendaki melampirkan contoh penulisan masing- masing untuk dinilai.

Jam 2.59 petang tadi, Mama dihubungi oleh seorang pegawai dari KPM, menyatakan yang nama Mama telah disenarai pendek sebagai salah seorang peserta. Beliau bertanyakan kesanggupan Mama untuk menghadiri keempat- empat kursus itu. Secara jujur, Mama menyatakan yang Mama memang tidak boleh menghadiri kursus siri 2 yang dijadualkan pada 4,5 & 6 Mei kerana Mama dijangka bersalin pada masa itu. Tetapi, Mama sanggup untuk menghadiri kursus siri 1,3 & 4 kerana Mama memang sangat berminat untuk mengikuti kursus itu.

Malangnya, Mama tidak dapat diterima sebagai peserta kursus kerana tidak boleh menghadiri keempat- empat siri itu. SEDIHNYA MAMA! Menitik air mata Mama kerana terlalu kecewa. Mama cuba kawal perasaan. Mama usap perut dan berkata, "Ya Alllah, aku sayangkan dan mahukan anak ini lebih dari segala- galanya."

Tak apalah, Mama tak dapat hadiri kursus yang Mama minat sebab baby Mama ni. Insya Allah, kalau ada rezeki, kursus itu akan diadakan lagi lain kali dan Mama boleh mohon lagi. Mama percaya dan yakin, kegembiraan yang bakal anak Mama berikan kepada Mama, lebih daripada keseronokan menghadiri kursus itu. Insya Allah.

Sayang baby Mama! 

Saturday, March 24, 2012

Minggu Ke-34

Khamis,22 Mac dan Jumaat 23 Mac 2012, dua hari berturut- turut Mama menjalani pemeriksaan ibu mengandung. Hari Khamis merupakan pemeriksaan rutin di Poliklinik Bukit Serampang, manakala hari Jumaat Mama diminta ke Hospital Sultanah Fatimah di Muar untuk tempahan wad dan pemeriksaan di sana. Satu prosedur yang mesti dilalui oleh ibu- ibu mengandung yang menjalani pemeriksaan di klinik-klinik kerajaan di daerah Muar, terutamanya bagi anak pertama.

Semuanya baik. Cuma berat badan Mama meningkat kurang 700 gram daripada yang sepatutnya.Memang akhir- akhir ini selera makan Mama tidak sehebat sebelum ini. Mungkin juga sejak kelas tasmik pada sebelah petang berjalan, jadual makan tengah hari Mama mulai tidak teratur. Tapi, tak apalah, Mama akan cuba untuk terus menjaga pemakanan demi anak yang Mama sayangi ini.

Sejak seminggu lalu, Mama mengalami sakit di urat paha yang menyebabkan langkah Mama agak perlahan. Seksanya ke hospital seorang diri. Parkir kereta di hospital penuh macam biasa. Jadi, Mama terpaksa meletakkan kereta agak jauh daripada bangunan hospital. Terpaksalah Mama melangkah berdengkut- dengkut untuk mencari  bahagian klinik ibu mengandung. Setelah selesai, terpaksa pula melangkah payah di tengah panas untuk ke tempat letak kereta semula. Inilah cabaran bagi seorang ibu hamil yang tinggal berjauhan dengan suami. Kalau datang dengan suami, mungkin dia boleh turunkan berdekatan dengan pintu masuk, kemudian baru dia pergi mencari tempat parkir. Ada sedikit rasa sedih dan sayu dalam hati Mama. Tapi, Mama cuba kuatkan hati dan semangat. Moga- moga anak Mama nanti pun akan menjadi seorang yang kuat semangat.

Yang seronoknya, jururawat di poliklinik dan doktor di hospital mengatakan bahawa kepala baby Mama sudah pun berada di bahagian bawah perut. Semasa scan pada minggu ke-30, doktor menyatakan yang baby  Mama berada dalam keadaan menyongsang, iaitu, kepalanya berada di atas, berhampiran pusat Mama. Bimbang juga Mama dengan keadaan ini walaupun masa kelahiran masih jauh. Apabila balik dari klinik, Mama bercakap dengan baby, "When the time comes, you must turn you head down, ok. The way out is down there." Sejurus selepas itu, Mama dapat rasakan gerakan anak Mama agak kuat, lebih daripada kebiasaannya. Agaknya, pada masa tu anak Mama dah pusingkan kepalanya mengadap ke bawah. Baiknya anak Mama ni. Mendengar kata. Bertuah Mama dapat anak yang baik macam ni.


Baby Ann, Mama ai ni!

Tuesday, March 6, 2012

Gula Oh Gula

Salah satu ujian yang wajib dijalani oleh ibu hamil ialah ujian kandungan gula dalam darah. Prosedurnya ialah, ibu tersebut perlu berpuasa dari pukul 10 malam. Keesokan paginya, dia mesti ke klinik untuk diambil darahnya. Selepas mengambil darah, dia mesti meminum segelas besar air glukos yang sangat pekat dan manis. Setelah 2 jam, sampel darahnya diambil lagi untuk dibanding bacaan gulanya dengan sampel darah yang pertama tadi.


Semalam, Mama ke klinik untuk ujian tersebut. Jam 8 pagi Mama sudah berada di klinik. Segala- galanya berjalan dengan baik sehingga Mama meminum air gula/ glukos. Rasanya? Yaaakkk! Dengan susah payah Mama menghabiskan air tersebut. Rasanya masa tu wajah Mama dah bertukar warna. Jururawat mengingatkan Mama supaya tidak muntah. Agaknya memang ada kes orang yang minum air tu sampai muntah.


Pada mulanya, Mama bercadang untuk balik ke sekolah dan meneruskan tugas sebelum datang semula ke klinik untuk ambil darah kali kedua pada pukul 10.30 pagi. Tapi selepas habis segelas air tu, badan Mama dah rasa lain macam sebab rasa air itu yang teruk, ditambah dengan keadaan perut yang kosong. Jururawat itu pun nasihatkan Mama tunggu saja di klinik sehingga waktu yang ditetapkan.


Mama pun duduk di katil yang ada dalam bilik tu. Tak sampai beberapa minit, Mama rasa perut bergelojak dan badan tak sedap. Puas Mama cuba tahan, tapi akhirnya.....UWEKKKK...Nasib baik Mama sempat ke sinki. Keluar agaknya separuh daripada air gula yang Mama minum tadi. Sebahagiannya jatuh di atas lantai.


Hmmmm...gagallah ujian gula Mama pada hari itu. Mama terpaksa ulangi lagi pada Khamis nanti. Ya Allah, seksanya nak kena minum air gula tu lagi. Mama balik ke sekolah dan terpaksa berehat di bilik rawatan. Muntah tu mengganggu seluruh sistem badan dan menyebabkan Mama berasa tidak sihat sepanjang hari.


Rasanya, dalam banyak- banyak ujian, ujian inilah yang paling sukar dihadapi. Kalaulah boleh dielakkan...mahu Mama elakkan.


Rasa takut sangat nak menghadap hari Khamis ni. Ya Allah, tolonglah. 


Cuma apabila ingatkan anak Mama yang bakal hadir lebih kurang 2 bulan lagi, Mama jadi kembali kuat untuk hadapi semua ujian semasa hamil ni.


Baby Ann, Mama ai ni.