Thursday, June 28, 2012

Jantung Amina



Hari ini, Mama bawa Amina ke USAINS, HUSM. Temu janji Amina semalam telah ditangguhkan ke hari ini sebab doktor tiada di klinik semalam.

Doktor sahkan ada lubang kecil pada jantung Amina. Lubang antara atrium kanan dan kiri jantung tu wujud bagi semua janin semasa dalam kandungan.Sepatutnya lubang itu tertutup apabila bayi tersebut dilahirkan tetapi dalam kes Amina, lubang tersebut tidak tertutup. Oleh sebab itu, bahagian kanan jantung Amina terpaksa bekerja keras sikit sebab banyak darah pergi ke situ.

Menurut doktor, ada kemungkinan lubang itu tertutup dengan sendirinya apabila Amina semakin besar. Tetapi, ada juga kemungkinan lubang itu tidak tertutup. Apabila keadaan yang kedua berlaku, Amina terpaksa dirawat untuk menutup lubang tersebut.

Amina perlu ke hospital lagi 6 bulan selepas ini untuk lihat sama ada lubang itu tertutup atau tidak.

Apapun, keadaan Amina tidak serius. Mama bersyukur sebab Amina tak hadapi masalah yang lebih teruk. Amina tetap nampak sihat dan ceria.Semoga kesihatan Amina terus terpelihara. Tak apalah Allah beri kita sedikit ujian. Allah nak duga kesabaran kita. Bukankah Allah dan berfirman dalam al-Quran yang Dia akan berikan ujian kepada kita dengan sedikit ketakutan, kelaparan dsb? Allah juga menjanjikan berita gembira untuk orang yang sabar....

Mama tak boleh menulis panjang- panjang sebab Amina dah menangis. Sejak tahu jantung Amina berlubang, Mama rasa takut nak biarkan Amina menangis kuat- kuat, takut jantung Amina makin tertekan.

Ai Amina!

Wednesday, June 27, 2012

......

Beberapa hari ni Mama kurang sihat. Mama demam dan muntah. Dah beberapa kali Mama demam dan tak sihat sejak lepas pantang. Sekarang Mak Su Amina ada di rumah. Jadi, Mama senang sikit. Apabila Mak Su dan Om ada di rumah, bolehlah Mama rehat sikit. Nak makan dan ke tandas pun tak tergesa- gesa sangat. Sebabnya, pak cik dan mak cik Amina tu rajin betul layan Amina. Mereka asyik mengelilingi Amina sampai masa Amina tidur pun mereka duduk di tepi Amina, tengok muka Amina, tangkap gambar dan rakam video aktiviti Amina. Anak Mama ni glamour betul!

Sekarang Amina dah makin banyak "bercakap" dan dah pandai gelak banyak- banyak sampai ternganga- nganga. Satu lagi yang buat Mama gembira ialah, semalam Amina dah nak hisap susu botol semula. Tapi apabila Mama ada dan Amina dah dengar  suara Mama, Amina tak mahu botol lagi. Amina nak susu Mama saja.

Apapun, hari ni Mama nak bawa Amina ke USAINS Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian untuk pemeriksaan lanjut jantung Amina. Tempoh hari, doktor di Klinik TMC mengesan kelainan pada bunyi jantung Amina. Katanya, jantung Amina ada bunyi tambahan. Bunyi tersebut selalunya terjadi apabila ada lubang pada jantung atau ada injap yang sepatutnya tertutup, terbuka. Macam mana pun, hari ni baru Mama dapat pastikan apa masalah Amina.

Mama harap Amina sihat dan apa-apa. Semoga Allah lindungi Amina dan beri Amina kesihatan yang baik!

Mama ai ni!


Friday, June 22, 2012

Aktiviti Amina

Dah lama Mama tak dapat update blog sebab broadband Mama bermasalah. Banyak aktiviti yang Amina dah lalui dalam masa lebih seminggu ni. Amina agak banyak berjalan sekarang. Pada 20 Jun 2012, untuk pertama kalinya Amina memasuki kompleks beli-belah, iaitu, KB Mall bersama Mama dan Daddy. Hari itu juga, Amina menyertai perbincangan intelek Daddy bersama kawannya yang juga pengarah Syarikat Penerbitan Dian di Restoran Natural Vegetarian.

19 Jun 2012, semasa menyusu, tiba-tiba Amina berhenti, melepaskan puting dan merenung muka Mama. Lepas tu Amina tersenyum dengan senyuman yang paling manis kepada Mama. Ini kali pertama Amina buat begitu, menunjukkan Amina sudah pandai berinteraksi, bukan sekadar menyusu dan tidur. Mama akan sentiasa ingat saat itu. Mama rasa bahagia sangat tengok senyuman anak Mama. Selepas itu, Amina selalu buat macam tu. Amina tidak lagi menyusu terus menerus tetapi Amina selalu berhenti sekejap untuk "bercakap-cakap" dengan Mama. Anak Mama dah semakin pandai! 

Pada 18 Jun 2012, Amina pergi ke Kampung Bukit, Wakaf Bharu untuk menziarahi tiga pupu Amina yang juga baru lahir. Usianya pada hari tersebut ialah 23 hari, manakala Amina 48 hari. Namanya Nur Sofea. Ibunya Nur Saadah binti Alias ialah dua pupu Mama. Datuknya, Alias bin Deraman ialah sepupu Jaddah dan  moyangnya Selamah binti Seman ialah kakak kepada moyang Amina, Sepiah binti Seman.

Mama nak ajar Amina sentiasa menjaga hubungan silaturrahim dengan saudara- mara sebab Allah perintahkan kita berbuat begitu. Harap Amina akan teruskan amalan menziarahi saudara- mara seperti ini.

Amina dan Sofea

Wednesday, June 13, 2012

Khatan & Simpanan

11 Jun 2012, Amina genap 41 hari.

Sekali lagi Mama bawa Amina ke Pusat Perubatan An-Nisa', tempat Amina dilahirkan. Kali ini, Amina pergi untuk dikhatankan. Berkhatan merupakan perkara sunat bagi kanak- kanak perempuan Islam. 

Sama macam waktu disuntik dulu, Amina menangis sekejap saja. Lepas tu Amina diam macam tak ada apa-apa berlaku. Kuat sungguh anak Mama ni!

Pada hari yang sama juga, Mama membuka akaun untuk Amina di Kuwait Finance House (KFH).Simpanan yang pertama untuk Amina.

Tujuan Mama berbuat demikian bukanlah untuk menjadikan Amina seorang yang materialistik. Sebaliknya, Mama mahu Amina menjadi seorang yang bijak merancang dan sentiasa membuat persediaan untuk masa hadapan.

Orang Islam mesti menjadi seorang yang kaya sebab kita menyembah Allah Yang Maha Kaya. Allah cintakan mukmin yang kaya kerana mukmin yang kaya boleh memberikan banyak manfaat kepada orang lain  menggunakan hartanya dan Allah suka kepada orang yang banyak memberi manfaat kepada orang lain.

Amina akan Mama didik menjadi seorang yang zuhud terhadap dunia. Tetapi, menjadi  zahidah bukan bermakna Amina perlu menjadi fakir. Zuhud bukan bermaksud kita tidak memiliki harta. Zuhud diibaratkan seperti kita dikelilingi oleh gunung emas tetapi emas tersebut tidak masuk dalam hati kita.

Mama doakan Amina Ann Hui Fen menjadi seorang yang kaya jiwa dan kaya harta!


اَللهُمَّ اجْعَلْ الدُّنْيَا فِي يَدِي وَلاَ تَجْعَلْ الدُّنْيَا فِي قَلْبِي

Ya Allah, jadikan dunia berada di tanganku tetapi jangan jadikannya berada di dalam hatiku

Friday, June 8, 2012

Amina Mendera Mama!


Alhamdulillah, Amina dah tertidur selepas menyusu selama sejam. Itupun, sebab didodoi oleh Jaddah. Kalau ikutkan tadi, Amina nak susu lagi. Tapi, Mama dah tak tahan lalu ke bilik air untuk mandi. Jaddah pun ambil Amina yang tengah terkebil- kebil untuk didodoikan, baru Amina tidur. Tak tahulah untuk berapa lama.

Dah 3 hari Amina tak mahu tidur siang. Malam pun Amina susah nak tidur semula apabila terjaga. Semalam, Amina tidur pukul 11.15 (lepas berapa puluh kali Mama susukan), lepas tu terjaga jam 3.15. Pukul 4.30, barulah Amina tidur semula.

Mama tak dapat buat kerja lain. Makan dan mandi pun kena cepat- cepat sementara Jaddah tengokkan Amina. Amina asyik menyusu. Apabila Amina tidur, Mama letakkan dan Amina terjaga dalam masa tak sampai 5 minit. Lepas duduk terkebil- kebil sekejap, Amina nak menyusu lagi. Cara Amina menyusu pula macam dah sejam tak dapat susu. Amina asyik lapar. Memang Amina ni jenis kuat makan ke?

Hari ni Mama pelik betul sebab bila Amina dah menyusu lama sangat sambil baring, apabila Mama bangun, Amina pun terjaga juga. Sedangkan Mama rasa puting Mama dah bengkak sebab Amina hisap lama sangat. Nasib baiklah Amina tidur juga...

Tapi, Mama tengok Amina tak tenang masa tidur. Amina asyik kerutkan muka dan sampai tersedu- sedu dalam tidur.

Ya Allah, permudahkanlah urusanku untuk menjaga Amina!

Sayang Amina Ann!

Amina yang tertidur lepas menyusu banyaaaak sangat

Tuesday, June 5, 2012

Amina Botak!

“Bersama seorang anak satu akikah, maka tumpahkan untuknya darah (yakni sembelihan akikah) dan bersihkan kotorannya (yakni mencukur rambut).” [Shahih al-Bukhari, no: 5472, Fath al-Bari, jld. 27, ms. 24]

Semalam, Mama dah sempurnakan satu lagi sunnah untuk Amina. Mama dah cukur rambut Amina sampai botak! Nanti, rambut Amina akan ditimbang dan dinilai dengan berat perak.  Mama akan sedekahkan wang bersamaan nilai perak tersebut, sesuai dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.

Mama akan cuba laksanakan semua sunnah dalam menyambut kelahiran Amina dengan harapan Amina akan membesar sebagai seorang yang mencintai Rasulullah dan sunnah Baginda.  

Hmmm...semalam Amina tak mahu tidur lagi. Amina asyik nak menyusu sehingga jam 2 pagi. Kata orang, ada bayi yang baru dicukurkan rasa tak selesa sampai dia tak nak tidur. Mungkin juga Amina rasa tak selesa. Hari ni pun Amina tak mahu tidur. Tapi nasib baiklah Amina boleh duduk lama sikit dengan tak merengek. Tiba- tiba Mama sedar, mungkin dah sampai masanya untuk Mama berikan Amina apa- apa ilmu. Hari tu Mama asyik bimbang sebab Amina asyik tidur dan menetek. Bila masa nak ajar Amina? Kata orang, bayi dah boleh mula belajar sejak dalam kandungan lagi?

Sayangnya, Mama tak ada flash card  Alif Ba Ta. Mama tak sempat beli sebelum bersalin tempoh hari. Mama pun ajar Amina mengenal anggota badan dan nyanyi Alif Ba Ta. Nanti, apabila ada kesempatan, Mama akan keluar beli kad imbasan untuk Amina.

Amina separuh botak

   Amina dengan gaya baru!

Sunday, June 3, 2012

Genap 1 Bulan

Amina dah genap 1 bulan.Mama dan Daddy bawa Amina ke klinik untuk dapatkan imunisasi dan pemeriksaan kesihatan. Berat badan Amina dah 3.7 kg. Panjang Amina 53 cm. Semasa disuntik imunisasi Hapetitis B,Amina menangis sikit je. Amina memang bayi yang kuat. Mama bangga dengan Amina!

Jadual tidur Amina berubah lagi. Amina dah  makin kurang tidur siang. Waktu tidur malam Amina pula makin panjang. semalam, Amina tidur pukul 1.20 pagi dan cuma merengek minta susu lagi semasa orang azan Subuh. Malam sebelumnya, Amina tidur pukul 12 malam dan bangun minta susu jam 4 pagi. Jadi, dapatlah Mama tidur puas sikit pada  waktu malam.

Amina juga makin kuat menyusu. Susu badan Mama pun adi bertambah banyak sampai kadang- kadang baju Mama basah sebab susu mengalir keluar walaupun Amina baru saja menyusu. Mama harap supaya dapat perah susu untuk tinggalkan kepada Amina apabila Mama mula mengajar nanti. Tapi setakat ni susu Mama tak keluar banyak masa diperah.

Mama harap, air susu Mama akan membesarkan Amina Ann Hui Fen untuk menadikannya seorang hamba Allah yang solehah.

Sayang Amina!

Amina Dalam Usia 1 Bulan