Showing posts with label Inspirasiku Buku. Show all posts
Showing posts with label Inspirasiku Buku. Show all posts

Wednesday, June 3, 2015

Cerita EQ Untuk Kanak- kanak


Beberapa minggu lepas, Adam menonton video tentang kisah seorang ibu memasak batu untuk anak- anaknya kerana tiada makanan (pada zaman Umar al- Khattab) . Anak- anak itu menangis. Adam berlari kepada Mama, buat- buat menangis dan berkata, " tuk...tuk"

Mama peluk Adam dan cakap, "Bukan, Adam bukan takut. Adam sedih. Adam tengok budak menangis sebab tak ada makanan ya? Adam menangis sebab Adam sedih."

Peristiwa ini mengingatkan Mama kepada sebuah buku, CERITA EQ UNTUK KANAK- KANAK.

Sebabnya, buku ini ada memberikan panduan supaya ibu bapa membimbing anak- anak mengenali emosi mereka. Seperti dalam situasi Adam, Adam berasa sesuatu yang tidak menyeronokkan, tapi Adam tak tahu nak menamakan perasaan itu.

Buku ini telah Mama beli lama. Sebelum Mama berkahwin lagi. Mama beli buku ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Buku ini ditulis dan berdasarkan kajian yang dibuat oleh Dr Sohaimi Abdul Aziz.

Cerita EQ untuk Kanak- kanak ini merupakan sebuah buku panduan. Di dalamnya, disenaraikan 50 buah cerita kanak- kanak dari serata dunia (antaranya yang sudah kita ketahui), yang boleh digunakan untuk menyuburkan kecekapan emosi kanak- kanak.

Rupa- rupanya, kecerdasan emosi merupakan sesuatu yang boleh dipupuk dan diasuh, seperti juga kecerdasan IQ.

Salah satu cara mengasahnya adalah dengan menggunakan cerita- cerita.

Mama teringat pula kepada salah satu panduan pendidikan anak- anak menurut Dr Abdullah Nasih Ulwan melalui bukunya, Pendidikan Anak- anak Menurut Islam, beliau juga menekankan teknik mengajar melalui bercerita.

Tetapi, buku ini menyarankan bukan sahaja teknik bercerita atau membaca secara kuat untuk menyuburkan EQ kanak- kanak. Dr Sohaimi turut menyediakan satu set soalan yang mesti ditanya kepada kanak- kanak tersebut untuk membantu menyuburkan EQnya.

Menurut penulis, terdapat 3 domain utama dalam kecerdasan emosi :

1.Kesedaran dan pengurusan kendiri

2.Memotivasi emosi

3.Empati dan kemahiran sosial

Soalan- soalan yang disediakan membantu kanak- kanak meningkatkan domain- domain yang disebutkan. Contohnya, dalam cerita Gadis Kecil Si Penjual Mancis, antara soalan yang perlu ditanya ialah : 

1.Apakah yang dirasai oleh kanak- kanak itu apabila dia tidak dapat menjual mancisnya?

2.Mengapakah kanak- kanak itu berasa kecewa?

Dalam buku ini juga, dinyatakan 4 cara ibu bapa bertindak terhadap emosi negatif (seperti marah, kecewa, sedih dsb)  anak- anak mereka iaitu:

1.Tidak ambil kisah - membiarkan dan langsung tidak peduli kepada emosi negatif anak- anak.

2.Menolak - menghukum anak- anak yang menunjukkan emosi negatif

3.Liberal - berempati tetapi tidak membantu mengatasi masalah atau meletakkan sempadan emosi negatif itu

4.Pengasuh emosi - menghargai emosi negatif itu dan mengambil peluang mendekati mereka serta menerangkan cara mereka patut bertindak

Peristiwa bersama Adam itu menyedarkan Mama, betapa pentingnya panduan ibu bapa untuk kanak- kanak mengenal emosinya, meluah perasaannya dan mengawal emosi sendiri.

Saturday, August 16, 2014

Anakku Seorang Hafiz

Baku ini Mama beli semasa cuti selepas melahirkan Adam. Dibeli di Kedai  Buku  Muda Osman di Terbak,Tumpat.


Buku ini ditulis oleh Ustaz Mohd Solleh bin ab Razak yang juga seorang hafiz dan imam. Penulisan beliau santai tetapi tidak lari dari bentuk ilmiah kerana beliau memberi rujukan- rujukan kepada fakta yang beliau nyatakan.

Menariknya buku ini kerana di dalamnya dinyatakan sebab perlunya anak- anak dididik untuk menghafaz al-Quran sebelum mempelajari ilmu- ilmu lain. Setelah membaca buku ini, Mama berazam dan berdoa supaya anak- anak Mama dapat menjadi hafiz dan hafizah seawal usia mungkin.

Di dalam buku ini juga, penulis memberi tips-tips dan langkah untuk membimbing anak- anak menghafaz al-Quran. Antaranya yang Mama praktikkan ialah selalu memperdengarkan al- Quran kepada anakyangmasih belum boleh bertutur (yang ini Mama dah praktikkan sejak lama dahulu). Bagi anak- anak yang sudah boleh bercakap, ibu bapa boleh mengajar anak menghafaz dengan memperdengarkan satu ayat secara berulang- berulang dalam masa beberapa hari, dan dibaca secara perlahan-lahan (satu persatu) supaya anak boleh mengikutnya.

Cara ini juga Mama praktikkan kepada Amina. Lagipun, Mama tengok Amina boleh nyanyi lagu "Twinkle Little Star", "Insha Allah" dan "Tobat Maksiat" apabila selalu dengar. Jadi, lebih baik Mama gunakan kecerdikan Amina itu untuk Amina hafaz ayat- ayat Allah.

Setakat ini, Amina dah boleh baca surah al-Ikhlas, An- Nas dan tiga ayat al-Falaq dengan cara tersebut. Amina pelat dan agak sukar menyebut perkataan yang panjang. Jadi, apabila Amina boleh menyambung bacaan Mama daripada surah itu, Mama tahu yang Amina dah ingat. Kalau surah an- Nas, Amina boleh baca ayat kedua "malikin nas", dan ayat ketiga "ilahinnas" dengan penuh. Yang lain, Amina akan sambung- sambung yang Mama baca.

Mama akan terus berusaha sebab Mama mahu sangat anak-anak Mama jadi penghafaz al-Quran. 

Semoga Allah makbulkan!

Sayang Amina dan Adam!

Wednesday, August 6, 2014

Kisah-Kisah Inspirasi Para Ibu Yang Melahirkan Orang-orang Berjaya


Buku ini Mama beli semasa dalam cuti selepas melahirkan Amina. Dibeli di Kedai Buku Muda Osman, Tesco Kota Bharu.

Kisah- kisah inspirasi yang dimuatkan di dalam buku ini cukup menyentuh hati. Antara kisah tokoh yang dimuatkan dalam buku ini ialah Siti Hajar , bonda Nabi Ismail; Ibu Imam Syafie, Nancy Mattews Edison, ibu kepada Thomas Alva Edison; Blanche Rudolph, ibu kepada pelari wanita terpantas di dunia dan 12 tokoh lain.

Ibu- ibu yang cerita mereka dimuatkan di dalam buku ini bukan sekadar melahirkan, malah mereka telah berjaya mendidik seorang manusia kecil sehingga menjadi tokoh besar.

Lebih hebat lagi, terdapat di antara anak mereka yang merupakan anak yang dipandang lemah dan bodoh sewaktu kecil. Tetapi, dengan keyakinan diri dan sikap tidak mudah menyerah kalah, para ibu tersebut berjaya "mengubah takdir" anak mereka, menjadikan anak yang lemah dan bodoh itu seorang yang terpandang di sisi masyarakat!

Contohnya ialah Thomas Alva Edison yang disingkir daripada sekolah kerana menurut gurunya dia "sangat bodoh dan sukar diajar".

Wilma Rudolph pula lahir sebagai anak yang menghidapi pelbagai penyakit dalam sebuah keluarga berkulit hitam yang miskin.Sewaktu kecil, doktor menyatakan bahawa dia tidak akan boleh berjalan. Tetapi, ibunya meyakinkan bahawa dia pasti boleh berjalan. Si ibu dengan tidak kenal putus asa membawanya menempuh jarak sejauh 80km untuk mendapatkan rawatan sebanyak 2 kali seminggu.

Akhirnya, Wilma bukan sahaja boleh berjalan, malah menjadi pelari wanita yang terpantas di dunia!

Keyakinan dan doa ibu memang membuahkan keajaiban dalam kehidupan anak- anak!
  
Mama berasa sangat terinspirasi dan bersemangat untuk mencontohi ibu- ibu tersebut dalam mendidik anak- anak Mama. Mama mahu anak- anak Mama menjadi tokoh besar dunia, bukan untuk kebanggaan Mama dan kesenangan dunia semata- mata, tetapi supaya anak Mama boleh mengubah dunia ini menjadi tempat yang lebih tenang, aman dan selamat untuk manusia sejagat.

Semoga Allah makbulkan hajat Mama.

Mama sayang Amina dan Adam.

Saturday, July 19, 2014

Detik Kelahiran Si Permata Hati


Buku ini Mama baca pada mingu- minggu terakhir kehamilan, sebelum melahirkan Amina.

Detik Kelahiran Si Permata Hati memuatkan beberapa pengalaman bersalin. Perkongsian pengalaman ini sangat menarik dan banyak membantu Mama meningkatkan pengetahuan tentang persedian yang perlu dibuat, cara melegakan kesakitan, cara menghadapi situasi ketika kontraksi dan sebagainya.

Lebih memudahkan, perkongsian pengalaman dalam buku ini disusun mengikut cara bersalin, iaitu, secara normal, secara normal dengan bantuan peralatan, secara caesarean dan teknik natural childbirth.

Bagi Mama, buku ini perlu dibaca oleh bakal ibu, terutamanya bagi yang akan bergelar ibu buat kai pertama!

Thursday, July 3, 2014

Melahirkan Tanpa Rasa Sakit


"Melahirkan Tanpa Rasa Sakit" , Mama beli pada Mei 2011. Ketika itu Mama belum mengandung pun. Semasa ikut Daddy ke satu program di The Mines, kami ke Pesta Buku yang diadakan di situ. Tiba- tiba, Mama tertarik dengan buku ini serta "Membesarkan Bayi Jadi Anak Pintar". Mama terus minta Daddy belikan.

Alhamdulillah, Ogos tahun itu, Mama disahkan hamil. Memang nalurilah yang mendorong Mama beli buku ini.

"Melahirkan Tanpa Rasa Sakit" memberi panduan kepada bakal ibu untuk mengurangkan kesakitan semasa bersalin dengan kaedah  Relaksasi HypnoBirthing. 

Buku ini juga memberikan banyak penerangan tentang proses kelahiran, termasuklah tanda- tanda kelahiran seperti kontraksi, air ketuban, bukaan jalan lahir,malah menyenaraikan peralatan yang perlu dibawa ke hospital bagi keperluan ibu dan bayi yang baru lahir.

Perkongsian pengalaman melahirkan menggunakan kaedah Relaksasi HypnoBirthing ini sangat menarik. Sedikit petikan daripada pengalaman seorang ibu yang menggunakan teknik ini ketika bersalin secara pembedahan :

Ketika anak saya ditarik keluar - karena rupanya kakinya tersangkut di antara tulang iga, yang kalau dirasakan sebenarnya terasa sakit luar biasa- saya membayangkan sebuah tangan yang besar sekali, lembut dan putih, mengalihkan anak itu ke dalam pelukan saya. Sungguh, itu adalah pengalaman yang sulit saya gambarkan. Tiba- tiba saja bidan sudah memperlihatkan wajah bayi yang benar- benar masih berselimut lendir. Kami pun berkontak mata.

Buku ini memang sangat berguna sebagai panduan untuk bakal ibu, terutamanya bagi yang pertama kali hendak bergelar ibu. Kaedah relaksasi diterangkan secara langkah demi langkah. Secara umumnya, kaedah yang digunakan ialah kaedah hipnosis, iaitu, suatu seni komunikasi yang dapat mempengaruhi alam bawah sedar manusia secara efektif.

Menggunakan metod ini, bakal ibu menghipnosis diri sendiri supaya berada dalam keadaan tenang dan relaks. Secara tidak langsung keadaan itu menjadi bius kepada kesakitan yang dirasai semasa proses kelahiran.

Mama sendiri ada mencuba satu dua kaedah relaksasi yang dicadangkan tetapi Mama tidak mampu untuk mempraktikkannya sehingga mencapai tahap alpha. Relaksasi telah Mama buat sejak masih mengandung. Berkomunikasi dengan bayi juga telah Mama lakukan sebelum membaca buku ini tetapi buku ini ada mencadangkan kaedah yang lebih sistematik dan berfokus.

Panduan yang cukup Mama ingat dalam buku ini ialah teknik mengatur pernafasan, iaitu menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan- lahan. Apabila berada dalam kesakitan, seseorang cenderung untuk bernafas pendek- pendek. Hal tersebut tidak baik bagi bayi dan proses kelahiran. Buku ini mencadangkan supaya ibu yang sedang dalam proses melahirkan menarik nafas panjang dan teratur supaya si ibu dan bayi mendapat cukup oksigen. Oksigen yang cukup akan membantu melancarkan proses bersalin.

Satu lagi panduan yang Mama ingat ialah, "terdapat kaitan antara otot vagina dan otot mulut". Oleh itu, jangan kacip rapat rahang dan jangan tegangkannya. Biarkan mulut sedikit terbuka dan kendurkan rahang supaya vagina juga akan membuka. Apabila rahang rileks, vagina juga akan rileks. Semasa kontraksi, Mama ingat petua ini dan cuba praktikkannya. Alhamdulillah, memang ada kesan positif.

Buku ini banyak membantu dan memberi ilmu kepada Mama untuk menjalani proses melahirkan yang sememangnya perit dan menyakitkan.

Tetapi hasilnya amat manis dan menggembirakan...

Amina dan Adam yang comel dan keletah, yang sangat Mama cintai! 

Sunday, June 22, 2014

Membesarkan Bayi Jadi Anak Pintar


Dah lama  Mama nak kongsikan maklumat tentang buku- buku berkaitan perkembangan kanak- kanak dan kehamilan yang pernah Mama baca. 

Masa selalu tak mengizinkan!

Akhirnya, Mama berkesempatan juga buat perkongsian ini. 
Semoga anak- anak Mama tahu betapa seriusnya usaha Mama untuk menjadi seorang ibu yang berilmu!
Mama nak anak- anak Mama dibesarkan dengan baik dan menjadi manusia hebat yang menyumbang kepada pembangunan ummah dan manusia secara keseluruhannya.

Sebaik sahaja Mama tahu yang Mama hamil, inilah buku pertama yang Mama baca.

Buku ini menyentuh tentang pemakanan yang baik dan penjagaan kesihatan bayi secara keseluruhannya. Sebenarnya, untuk melahirkan anak pintar bukanlah dengan menggunakan cara- cara yang pelik dan bombastik, sebaliknya dengan cara menjaga pemakanan dan kesihatan sejak anak berada di dalam kandungan lagi. Selain daripada itu, penulis juga menyelitkan beberapa aktiviti yang boleh meningkatkan daya ingatan anak- anak.

Mama tertarik untuk berkongsi pandangan penulis tentang aktiviti bermain, menurut penulis, kegiatan bermain bagi kanak- kanak akan mencipta berjuta- juta "interkoneksi" sel otak. Anak yang kurang bermain, perkembangan otaknya menjadi kurang.
  
Sedikit petikan daripada buku tentang kepentingan pemakanan ibu dan bayi :

Kesempatan menambah pintar otak anak tidak datang dua kali. Sejak masih di kandungan ibu, agar tumbuh penuh, otak anak membutuhkan makanan sehat. Khususnya pada dua tahun pertama "masa tahun emas" anak, menu yang ibu beri menentukan nasib otak anak. Bila gagal terpenuhi pada masa itu, tak tersedia lagi waktu mengoreksinya di kemudian hari. Dan, makanan sehat di meja makan rumah tidak harus berharga tinggi.

Menurut penulis juga :

Tak ada kesempatan kedua menciptakan anak pintar. Sekali lancung tak mungkin bisa diperbaiki. Padahal, membesarkan anak menjadi unggul tak perlu ongkos berbiaya tinggi, atau teknik rumit untuk mulai melakukannya.


Penulis juga telah menyenaraikan antara perkara yang terjadi sewaktu proses persalinan, yang boleh mengurangkan kecerdasan bayi. Antaranya ialah apabila bayi tertahan lama di jalan lahir. Dalam keadaan itu, sel otak akan kekurangan asid pada waktu yang lama yang menyebabkan sebahagiannya rosak dan mati. Bayi yang lahir secara vacuum juga berisiko untuk menjadi kurang pintar.

Fakta inilah yang mendorong Mama berusaha sedaya upaya untuk cepat- cepat keluarkan Amina dan Adam semasa proses kelahiran kalian! 


Buku ini membincangkan lebih seratus tip sederhana yang perlu atau tidak boleh dilakukan supaya anak boleh menjadi seorang pintar suatu hari nanti.

Sedikit mengenai penulis :
Dr Handrawan Nadesul merupakan seorang doktor dan penulis yang prolifik. Beliau menjadi kolumnis dalam banyak majalah di Indonesia, juga giat memberikan ceramah serta menjadi jemputan dalam rancangan radio dan televisyen. Buku ini merupakan buku beliau yang ke-71.  



Tuesday, February 19, 2013

BRINGING UP BEBE


Semasa bersiar- siar di Kedai Buku Popular, Nilai bersama Amina dan Daddy pada cuti Tahun Baru Cina, Mama terpikat dengan sebuah buku.

Tajuknya, Bringing Up Bebe.

Sebelum ini, memang dah berpuluh buah buku dan artikel tentang pendidikan anak- anak yang Mama baca. Mama pun dah tak mahu beli lagi buku tentang ini sebab Mama rasa isinya lebih kurang sama.

Tetapi, buku ini berbeza!

Buku tersebut ditulis oleh Pamela Druckerman, seorang wartawan Amerika yang pernah bertugas di Perancis. Semasa tinggal di sana, beliau kagum dan tertanya- tanya apabila mendapati kanak- kanak dan bayi orang Perancis sangat tertib dan terkawal tingkah laku mereka. Dalam masa yang sama, mereka bukanlah pasif. Mereka tetap juga kanak- kanak yang ceria, aktif dan kreatif.

Hal ini (menurut penulis) berbeza daripada sikap anak- anak orang Amerika yang sangat sukar dikawal. Mama rasa, tidak jauh bezanya dengan anak- anak di Malaysia ini.

Percaya atau tidak, penulis menceritakan pengalamannya masuk ke sebuah kedai untuk membeli cenderahati semasa percutiannya di salah sebuah pantai di Perancis. Anaknya yang ketika itu berusia 1 tahun lebih menarik- narik baju T yang tergantung di situ. Seorang pekerja kedai itu memandang dengan jengkel dan berkata, "Oh, saya tak pernah jumpa budak yang buat macam ni sebelum ni".

Pelik kan? Mama rasa, kalau di Malaysia, bukan budak setahun lebih saja yang tarik- tarik baju macam tu, budak 10 tahun pun ada yang berlari- lari dan main- main barang apabila masuk ke kedai orang. 

Ibu bapa Perancis juga tidak tertekan dalam menguruskan anak mereka serta tidak perlu banyak menjerit. Anak- anak Perancis sangat mudah memahami dan mematuhi perkataan "tidak".

Semua ini membuatkan beliau cuba menyiasat dan membuat kajian tentang cara orang Perancis mendidik anak.

Kajian yang dibuat selama beberapa tahun, melalui penelitian, temubual dan sebagainya ini akhirnya dibukukan. 

Beliau dapati, perbezaannya bukanlah pada falsafah pendidikan anak itu, sebaliknya, orang Perancis melihat anak mereka daripada sudut yang berbeza.

Secara asasnya, orang Perancis menganggap bayi juga seorang manusia. Jadi, sebagai manusia, mereka mempunyai hati, perasaan, fikiran yang sama dengan kita, orang dewasa. Oleh sebab itu, mereka bertanggapan bahawa bayi boleh memahami dan menurut arahan. Bayi juga boleh mengikut disiplin dan mematuhi batasan sesuatu perkara.

Kefahaman dan tanggapan ini dikongsi oleh masyarakat Perancis secara keseluruhannya. Sebab itu, anak- anak kecil dilayan dan di"mesti"kan bertingkah laku mengikut etika yang betul. Hasilnya, anak- anak di Perancis membesar dalam keadaan beradab dan mematuhi peraturan.

Membaca buku ini, Mama menyedari satu kesilapan yang selama ini kita buat. Perasan atau tidak, selama ini ramai dari kalangan kita yang sebenarnya menganggap bahawa bayi atau kanak- kanak kecil itu "bukan manusia" (maksud Mama dari segi moralnya). Sebab itu kita "membenarkan" perlakuan salah dalam kalangan kanak- kanak. Apabila seorang anak mengamuk di khalayak ramai, merosakkan barang, bermain barang- barang di rumah orang, kita tidak melarang dengan alasan, "Alah, dia budak kecil. Bukannya tahu apa". Istilah "bukannya tahu apa" itulah yang telah menafikan kemampuan intelek dan emosi anak- anak daripada mempelajari sesuatu.

Hasilnya? Seperti ramai anak- anak yang Mama jumpa di sekolah atau di mana sahaja. Mereka tidak pandai mematuhi peraturan. Menjerit dan berlari tak kena tempat, memukul dan mengambil barang orang dan lain- lain salah laku.

Sebabnya mereka tidak dididik untuk menjadi "manusia" sedari kecil!

Banyak lagi perkara baharu yang Mama temukan dalam buku ini. Harap- harap, Mama dapat ilmu berguna daripada buku ini untuk membesarkan anak Mama menjadi anak yang lebih baik.

Mama sayang Amina dan mahu buat yang terbaik untuk anak Mama!