Tuesday, February 19, 2013

BRINGING UP BEBE


Semasa bersiar- siar di Kedai Buku Popular, Nilai bersama Amina dan Daddy pada cuti Tahun Baru Cina, Mama terpikat dengan sebuah buku.

Tajuknya, Bringing Up Bebe.

Sebelum ini, memang dah berpuluh buah buku dan artikel tentang pendidikan anak- anak yang Mama baca. Mama pun dah tak mahu beli lagi buku tentang ini sebab Mama rasa isinya lebih kurang sama.

Tetapi, buku ini berbeza!

Buku tersebut ditulis oleh Pamela Druckerman, seorang wartawan Amerika yang pernah bertugas di Perancis. Semasa tinggal di sana, beliau kagum dan tertanya- tanya apabila mendapati kanak- kanak dan bayi orang Perancis sangat tertib dan terkawal tingkah laku mereka. Dalam masa yang sama, mereka bukanlah pasif. Mereka tetap juga kanak- kanak yang ceria, aktif dan kreatif.

Hal ini (menurut penulis) berbeza daripada sikap anak- anak orang Amerika yang sangat sukar dikawal. Mama rasa, tidak jauh bezanya dengan anak- anak di Malaysia ini.

Percaya atau tidak, penulis menceritakan pengalamannya masuk ke sebuah kedai untuk membeli cenderahati semasa percutiannya di salah sebuah pantai di Perancis. Anaknya yang ketika itu berusia 1 tahun lebih menarik- narik baju T yang tergantung di situ. Seorang pekerja kedai itu memandang dengan jengkel dan berkata, "Oh, saya tak pernah jumpa budak yang buat macam ni sebelum ni".

Pelik kan? Mama rasa, kalau di Malaysia, bukan budak setahun lebih saja yang tarik- tarik baju macam tu, budak 10 tahun pun ada yang berlari- lari dan main- main barang apabila masuk ke kedai orang. 

Ibu bapa Perancis juga tidak tertekan dalam menguruskan anak mereka serta tidak perlu banyak menjerit. Anak- anak Perancis sangat mudah memahami dan mematuhi perkataan "tidak".

Semua ini membuatkan beliau cuba menyiasat dan membuat kajian tentang cara orang Perancis mendidik anak.

Kajian yang dibuat selama beberapa tahun, melalui penelitian, temubual dan sebagainya ini akhirnya dibukukan. 

Beliau dapati, perbezaannya bukanlah pada falsafah pendidikan anak itu, sebaliknya, orang Perancis melihat anak mereka daripada sudut yang berbeza.

Secara asasnya, orang Perancis menganggap bayi juga seorang manusia. Jadi, sebagai manusia, mereka mempunyai hati, perasaan, fikiran yang sama dengan kita, orang dewasa. Oleh sebab itu, mereka bertanggapan bahawa bayi boleh memahami dan menurut arahan. Bayi juga boleh mengikut disiplin dan mematuhi batasan sesuatu perkara.

Kefahaman dan tanggapan ini dikongsi oleh masyarakat Perancis secara keseluruhannya. Sebab itu, anak- anak kecil dilayan dan di"mesti"kan bertingkah laku mengikut etika yang betul. Hasilnya, anak- anak di Perancis membesar dalam keadaan beradab dan mematuhi peraturan.

Membaca buku ini, Mama menyedari satu kesilapan yang selama ini kita buat. Perasan atau tidak, selama ini ramai dari kalangan kita yang sebenarnya menganggap bahawa bayi atau kanak- kanak kecil itu "bukan manusia" (maksud Mama dari segi moralnya). Sebab itu kita "membenarkan" perlakuan salah dalam kalangan kanak- kanak. Apabila seorang anak mengamuk di khalayak ramai, merosakkan barang, bermain barang- barang di rumah orang, kita tidak melarang dengan alasan, "Alah, dia budak kecil. Bukannya tahu apa". Istilah "bukannya tahu apa" itulah yang telah menafikan kemampuan intelek dan emosi anak- anak daripada mempelajari sesuatu.

Hasilnya? Seperti ramai anak- anak yang Mama jumpa di sekolah atau di mana sahaja. Mereka tidak pandai mematuhi peraturan. Menjerit dan berlari tak kena tempat, memukul dan mengambil barang orang dan lain- lain salah laku.

Sebabnya mereka tidak dididik untuk menjadi "manusia" sedari kecil!

Banyak lagi perkara baharu yang Mama temukan dalam buku ini. Harap- harap, Mama dapat ilmu berguna daripada buku ini untuk membesarkan anak Mama menjadi anak yang lebih baik.

Mama sayang Amina dan mahu buat yang terbaik untuk anak Mama!

Tuesday, February 12, 2013

Gong Xi Fa Chai!

10 Februari 2013 merupakan Tahun Baru Cina yang pertama untuk Amina.

Tahun ini merupakan tahun Ular Air. Tahun kelahiran Amina, tahun lepas ialah tahun Naga Air.

Comel sangat Amina pakai samfu warna merah!


Mama ai Amina!

Tuesday, February 5, 2013

Amina Yang Suka Muzik & Tumbuh Gigi

Amina dah semakin aktif dan cerdik. Sekarang, Amina dan faham dan beri tindak balas kepada soalan "Who is Amina Ann Hui Fen? Raise up your hand"

Amina juga dah betul- betul pandai panggil Mama, Jaddah dan kadang- kadang Daddy. 

Gigi Amina juga dah keluar! Dua batang gigi di sebelah bawah.

Minat Amina terhadap muzik memang Mama sedari dari dahulu. Semasa dalam kandungan, Amina akan bergerak- gerak apabila dengar nasyid. Semasa kecil pun, walaupun tengah menangis, Amina akan diam apabila dengar muzik. Sekarang, minat tersebut semakin jelas. Amina akan goyang- goyangkan badan atau tangan, menari apabila dengar muzik. Semua orang ketawa dan seronok dengan telatah Amina. Amina cukup suka dengan beruang koala yang Daddy belikan.


Mama sayang Amina!

Kehidupan Baharu Amina

Lamanya Mama tak menulis tentang Amina. 8 Januari lalu, Mama mula melapor diri di sekolah baharu, SK Desa Jasmin, Bandar Baru Nilai. Kita pun berpindahlah dari Sri Jaya ke Nilai. Mama kelam kabut sikit meninggalkan Sri Jaya.

Mama belum dapat rumah sewa di Nilai. Jadi, Mama berulang- alik dari rumah Nek Chik di Sungai Besi ke Nilai setiap hari. Perjalanan lebih kurang 40 minit. Jaraknya juga 40 km. Mama turun awal setiap hari, paling lewat 6.45 pagi. 

Sekolah baharu Mama ni selalu adakan mesyuarat di sebelah petang. Jadi, Mama selalu sampai lewat ke rumah, kadang-kadang hampir pukul 6 petang.

Kasihan, Amina. Petang- petang baru dapat jumpa Mama. Tapi, di rumah Nek Chik, ada ramai orang layan Amina. Amina seronok dan ceria di sana. Amina pun dah pandai macam- macam kemahiran sebab Nek Chik rajin melayan dan mengajar Amina.

Di sini, waktu mengajar dan tugasan di sekolah tidak banyak. Selalunya, Mama dapat selesaikan semuanya di sekolah. Jadi, apabila di rumah, Mama memang tumpukan perhatian kepada Amina. Cuma masalahnya perjalanan jauh meletihkan Mama. Sebab itu Mama tiada masa untuk benda lain termasuk menulis di blog Amina.

Bagaimanapun, semalam, Mama dah dapat kunci untuk rumah sewa di Nilai. Dekat dengan sekolah Mama. Jauh sikit je berbanding dengan rumah kita dengan sekolah di Sri Jaya dulu. Mama rasa lega sangat- sangat. Selepas ini, Mama akan ada lebih masa untuk anak yang Mama sayang.

Alhamdulillah, nanti kita akan mulakan kehidupan di tempat baharu. Bezanya, tak ramailah orang yang layan Amina lepas ni.

Mama ai Amina.