Showing posts with label Teratak Kecil Kita. Show all posts
Showing posts with label Teratak Kecil Kita. Show all posts

Monday, November 2, 2020

Ruang Tamu PKPB

Sempena PKPB di Nilai pada 28 Oktober - 10 November 2020, Mama sediakan ruang tambahan di luar rumah sebagai tempat anak- anak bersantai dan buat kerja.

Jadi, anak- anak Mama tidaklah terperap di dalam rumah saja, sebaliknya terperap di luar rumah.

 

Tuesday, July 4, 2017

Taman Kecil Kita

Mama suka halaman berumput dan ada taman kecil. Sebab itu, walaupun rumah kecil kita dah disimen halamannya semasa Mama beli, Mama minta simen itu dipecahkan sebahagiannya supaya Mama boleh buat taman mini.

Selama lebih dua tahun impian Mama nak tanam rumput dan buat halaman yang cantik tertangguh. Sebabnya, Daddy halang Mama upah orang tanam rumput. Katanya, dia boleh buat sendiri. Mama cuba untuk percaya dan berharap supaya impian tercapai. Tapi akhirnya, seperti janji-janji yang lain, Mama kecewa juga. Bukan main Mama berusaha upah orang potong rumput liar yang menyemak, kemudian terbongkok berhari- hari cabut akar rumpai yang tinggal untuk memudahkan Daddy tanam rumput. Dah la masa tu Mama tengah mengandungkan Amira. Tapi, usaha Mama sia- sia. "Nanti...nanti...nanti...tak ada masa", itu saja alasannya sepanjang masa.

Kemudian Daddy tambun pasir di hadapan rumah. Kucing datang "membuang". Terpaksalah kita menahan bau busuk najis kucing pula. Amina dan Adam pula asyik kena marah sebab main pasir tahi kucing. Sedihnya Mama. Impian Mama untuk sediakan halaman yang sesuai untuk anak- anak bermain dengan bebas terhalang.

Akhirnya, Mama keluarkan kos RM450 untuk upah orang tanam rumput dan bersihkan halaman. Nak cari orang yang sudi buat kerja ni pun susah juga. Sebab biasanya orang tak terima projek menanam rumput di halaman yang kecil.

Alhamdulillah, akhirnya impian Mama tercapai. Pada 30 Jun 2017, halaman kita dan berumput baharu. Sejuk mata memandang dan selesa untuk anak Mama bermain.

Mama sayang anak- anak Mama dan sanggup buat apa sahaja untuk keselesaan dan kegembiraan kalian!







#Untuk projek menanam rumput, boleh hubungi En. Azmi 012 2975337. Nurseri beliau terletak di Banting.

Thursday, December 11, 2014

Persekitaran Baharu

Pemandangan di hadapan rumah kita


9 November 2014 : Hari pertama Mama berpeluang bawa Amina dan Adam keluar meneroka kawasan kejiranan kita.

Persekitaran di sini menyeronokkan dan menenangkan. Petang itu Mama bawa Amina dan Adam berjalan- jalan di hadapan rumah, di tepi padang.

Beberapa orang jiran kita duduk di tepi padang sambil menemani anak- anak mereka bermain. Mama menyertai mereka. Ramai kanak- kanak, anak-anak jiran kita dan kanak- kanak lain dari rumah- rumah yang agak jauh dari padang datang bermain di situ pada waktu petang. Mereka mermain bola atau duduk- duduk di pangkin yang ada dihujung padang. Ada yang memanjat pokok.

Suasana nyaman dengan tiupan angin. Amina dan Adam dilayan oleh kakak- kakak dan abang- abang jiran kita.

Amina sangat seronok berlari dan bermain. Amina nak turut serta abang- abang bermain bola di padang.

Ini kali pertama Amina keluar, bermain, berlari dan buat kawan dengan bebas. Mama tengok, Amina sangat riang.

Mama gembira sangat tengok Amina seronok dan bebas berlari!

Alhamdulillah. Persekitaran di sini baik untuk Amina dan Adam.

Sekurang- kurangnya, fitrah kanak- kanak Amina dan Adam untuk bermain dapat dipenuhi.

Semoga anak- anak Mama terus membesar dengan baik dan sihat.

Mama sayang anak- anak Mama!

Sunday, December 7, 2014

Hijrah Kita


Alhamdulillah, tanggal 23 November 2014, hari Ahad, kita telah selamat berpindah masuk ke rumah kita di Taman Semarak, Nilai.

Selepas dua minggu, baru Mama berpeluang menulis tentang hijrah ini kerana terlalu sibuk menguruskan banyak hal.

Mama berasa sangat seronok dan bersyukur. Inilah kali pertama Mama tinggal di dalam rumah yang Mama beli dengan hasil titik peluh Mama sendiri.

INILAH RUMAH KITA!

Rumah ini lebih luas dan selesa. Amina pun dapat berlari dan bermain dengan lebih bebas. 

Lebih menyeronokkan, rumah kita ini menghadap padang. Jadi, apabila memandang ke luar rumah, kita dapat lihat pokok- pokok dan rumput di padang. Pemandangan yang hijau ini menyejukkan mata.

Memang rumah ini lebih sejuk berbanding dengan rumah di Desa Jasmin.

Cuma, yang agak tidak seronok, di padang itu, selalu kelihatan anjing berkeliaran. Udara di sini juga agak tidak sihat kerana berhampiran dengan kilang.

Di dalam rumah, Mama sudah sediakan penyegar udara (air purifier). Untuk halaman, Mama akan tanam banyak pokok bunga dan hiasan berdaun supaya dapat memerangkap habuk, supaya udara akan lebih segar.

Apapun, Mama berdoa dan berharap supaya rumah kita ini menjadi rumah yang diberkati, yang damai dan menenangkan untuk kita sekeluarga.

Saturday, September 27, 2014

Selepas 10 Hari

Tambahan stor/ bilik di belakang dapur...

Pemandangan dari lorong belakang rumah

Pemandangan dari tepi/ dalam. Lantai basah sebab mereka bersihkan lepas habis buat kerja.

Tepi bilik kedua dan ketiga@ tapak mini indoor garden
Memang bersepah sebab belum siap sepenuhnya lagi. Sliding door sebagai ganti tingkap yang dipecahkan di Bilik B belum dipasang.

Halaman depan @ tempat letak kereta

Alhamdulillah, selepas 10 hari, inilah hasil kerja- kerja pengubahsuaian rumah kita. Mama rasa, kerja yang dibuat berjalan dengan agak cepat. Itu pun, Ustaz Ali kata dah lambat sebab masalah cuaca.

Di sini, Mama nak berbicara tentang masalah kontraktor rumah. Mama dapati, ramai orang lebih suka memilih kontraktor Cina berbanding Melayu. Alasan yang paling selalu diberi ialah kerja orang Cina lebih cepat dan cekap, serta bayaran perkhidmatan yang lebih rendah.

Mama bukan rasis (kalau Mama rasis, Amina dan Adam takkan lahir). Tapi, dalam memilih kontraktor atau apa sahaja urus niaga, Mama akan mengutamakan orang Islam terlebih dahulu (dalam konteks Malaysia, majoriti Islam ialah Melayu). Walaupun harga yang ditawarkan sedikit mahal dan ada sedikit kelemahan.

Sebabnya mudah. Kita mesti membantu orang yang lemah. Kita mesti menghulur tangan untuk memimpin orang yang baru bertatih. Contohnya antara Amina dan Adam, mestilah Mama dukung dan pimpin adik Adam sebab Adam masih kecil dan baharu hendak belajar berjalan sedangkan Amina dah boleh berlari, melompat dan memanjat.

Begitu juga dalam dunia perniagaan. Orang Melayu-Islam baru bertatih dalam bidang ini, sedangkan orang Cina sudah mempunyai empayar yang besar.

Mama bersyukur sebab dapat kenal ustaz Ali. Terima kasih kepada kawan Mama yang perkenalkan ustaz ini kepada Mama. Menurut kawan Mama, dia mula- mula dapatkan khidmat ustaz ini semasa nak ubahsuai bilik air di rumahnya. Dia dapatkan sebut harga daripada beberapa orang kontraktor. Semuanya mahu RM2500. Paling murah RM2400. Ustaz meletakkan harga sebanyak RM1500 sahaja. Ada lagi tawaran yang lebih menarik, ustaz boleh beri harga RM1000 saja kalau dia beli sendiri jubin.

Menarik kan?

Semasa mula- mula Mama hubungi ustaz, dia ada beritahu, kalau Mama mahu khidmat tukang Melayu, harganya mahal sikit, dan kadang- kadang lambat sikit. Mama beritahu dia, Mama tak kisah bayar sedikit mahal atau terpaksa menunggu. Yang Mama tak mahu, kerja terbengkalai atau tak sempurna, tak berbaloi dengan harga yang dibayar.

Memang orang Melayu terpaksa menjual mahal sebab mereka bayar harga yang lebih mahal kepada pembekal bukan Melayu.

Kalau orang Melayu sendiri tak mahu menyokong Melayu sebab harga mahal. Sampai bila pun peniaga Melayu akan terus jadi peniaga kecil.

Mama tak kisah bayar mahal, selagi mana harga itu dalam kemampuan Mama. Mama anggap lebihan wang yang dibayar itu sebagai satu sedekah kepada saudara seagama. Mereka berusaha mencari rezeki, apa salahnya kita bantu. Pekerjaan itu ibadah bagi orang Islam. Apabila kita membuka jalan untuk mereka bekerja, maknanya kita membuka jalan untuk mereka beribadah. Setiap sen yang orang Islam belanjakan untuk keluarganya itu dianggap sebagai sedekah. Kalau kita memberi wang untuk mereka belanjakan kepada keluarga mereka, bukankah kita membantu mereka untuk bersedekah.

Alhamdulillah,Mama tak menyesal pilih ustaz Ali untuk ubahsuai rumah. Beliau dah buktikan yang orang Islam pun boleh buat kerja dengan baik. Malah, frame untuk sliding door dalam bilik kedua tu dah lama ustaz siapkan. Tapi, sliding doornya yang Cina kedai tu lambat  siapkan, sebab itu tak boleh pasang lagi.

Tapi, ramai orang Melayu sendiri yang kalau dengan Cina, dia boleh sabar menunggu. Tapi, kalaulah orang Melayu yang buat lambat tu, mulalah riuh satu negara, orang Melayu lambat, tak boleh harap.......

Mungkin juga bukan salah pengguna, sebab Mama banyak juga dengar masalah yang ditimbulkan oleh peniaga/ penyedia perkhidmatan berbangsa Melayu- Islam yang memang buat kerja secara melepaskan batuh di tangga.

Jadi, kita orang Islam ni kenalah banyak muhasabah dan perbaiki diri supaya menjadi khaira ummah ...

Bagi orang yang di sekitar Nilai dan kejiranannya, memang Mama cadangkan supaya cari ustaz Ali untuk kerja- kerja renovation, wiring dan seumpamanya.

Memang berbeza kerja orang yang anggap kerja tu ibadah dan berpegang teguh kepada agama ni. 

Sunday, September 21, 2014

Sedikit Masalah

Kerja pengubahsuaian rumah hanya ada sedikit perkembangan.

Hujan yang selalu turun dalam beberapa hari ni melambatkan proses.

Sedikit masalah timbul. Jubin yang Mama beli hari tu, banyak yang retak dan ada sekotak yang pecah.

Kesan retak pada jubin

Sedih!

Memang silap Mama. Mama beli jubin yang murah sangat. Hari tu memang Mama kelam- kabut sangat sebab rancangan kita untuk bertolak ke Pulau Pinang awal- awal pagi terpaksa ditangguhkan ke tengah hari sebab Mama kena bergegas beli jubin.

Mama ke kedai yang Ustaz Ali cadangkan, tapi di situ tak ada jubin yang Mama berkenan. Jadi, Mama pergi ke kedai satu lagi dan terus beli sebab memang ada corak yang Mama suka semasa Mama pergi survey hari Jumaat sebelumnya.

Memang harganya murah sangat. Mama dah cuba berhati- hati untuk tak beli yang murah sangat sebab Mama memang dah dengar pengalaman orang lain yang beli jubin murah, tapi tak lama lepas tu, banyak yang pecah.

Tapi hari tu Mama memang kelam- kabut!

Terpaksalah terima je keadaan ini dan anggap ini satu pengajaran. Tapi, pengajaran ni agak perit la bagi Mama dengan sumber kewangan Mama yang terhad.

Sedih lagi!

Sekarang ni, Mama cuma berharap pada Ustaz Ali. Dia dah cuba kurangkan risiko jubin tu cepat pecah dengan mampatkan simen di bawahnya. 

Moga- moga dapat membantu! 

Monday, September 15, 2014

Pengubahsuaian Bermula


Hari ini, kerja- kerja pengubahsuaian rumah kita bermula.

Mama rasa seronok sangat.

Sejak beberapa minggu lepas, Mama dah sibuk bawa Ustaz Ali, kontraktor yang akan menjalankan kerja pengubahsuaian meninjau rumah itu.

Mama pun jadilah pelukis pelan dan pereka dalaman tak bertauliah, buat lakaran penambahan ruang dan kabinet dapur untuk panduan ustaz Ali.





Hee... hee... disebabkan Mama nk cikgu, bukannya arkitek lakaran dibuat atas kertas buku tulis saja.

Lukisan pun macam murid pra sekolah.

Mama juga sibuk buat belanjawan berdasarkan sebut harga yang Ustaz Ali beri. Juga sibuk ke sana sini dan layari internet untuk tinjau harga barang macam jubin.

Mama buat kerja- kerja pengubahsuaian sebelum kita berpindah masuk supaya Amina dan Adam tak terganggu oleh bunyi bising dan habuk- habuk yang banyak.

Sebenarnya sekarang rumah tu ada penyewa. Nasib baiklah penyewanya anak- anak muda bujang. Cikgu sekolah Mama juga, dan mereka memahami. Macam mana pun, Mama kurangkan sewa mereka sebab mereka terganggu juga dengan kerja- kerja ni.

Pagi-pagi lagi Mama dah keluar beli jubin untuk dipasang di stor yang baru nak dibina dan garaj kereta.

Baru Mama tahu yang untuk garaj kita kena guna jubin yang tebal dan lasak. Istilah yang digunakan dalam pembinaan nk ialah heavy duty.

Jumlah semuanya ialah RM 1322. Nasib baik di Nilai mudah untuk Mama ke beberapa kedai untuk bandingkan harga. Tapi Mama ke dua buah kedai saja, ikut saranan kawan -kawan.

Mama tak larat dan kesuntukan masa untuk survey  banyak sangat.

Friday, September 12, 2014

Teratak Kecil Kita

Mulai hari ini, Mama akan tambah satu lagi label dalam blog ini. Label bertajuk "Teratak Kecil Kita".

Sebabnya, sekarang Mama sedang sibuk dengan urusan mengubahsuai rumah sebelum kita berpindah masuk pada awal Disember ini, insya Allah.

Tiba- tiba saja Mama terceburkan diri dalam bidang pembinaan. Semenjak dua menjak ni, Mama banyak belajar dan cari maklumat tentang pengubahsuaian rumah, pembinaan kabinet dapur, pembinaan kabinet bilik tidur, wiring, tiling, ....

Bukan itu saja, Mama juga sibuk cari rekaan landskap taman mini,  jenis- jenis bunga dan tanaman daun yang sesuai ditanam, digantung dan sebagainya.

Sambil- sambil tu, Mama intai juga binaan pergola, garden stepping, bla...bla...bla.

Banyak pengetahuan baharu yang Mama dapat akhir- akhir ini.

Macam- macam Mama ni kan. Sebabnya, Mama nak jadikan rumah kita rumah yang baik dan selesa untuk Amina dan Adam diami. Dari rumah inilah Amina dan Adam akan melangkah keluar ke dunia yang lebih luas dan mencabar....

Jadi, rumah Mama mestilah berperanan dalam membentuk peribadi anak- anak yang ceria, tenang berkeyakinan diri, mempunyai nilai- nilai murni dan berfikiran tajam dan terbuka.

Rumah kita kecil saja. Sebab Mama tak mampu nak beli rumah yang besar dan mewah untuk anak- anak Mama. Tapi, Mama akan usahakan sedaya upaya untuk jadikan teratak kecil kita ini tempat yang selesa, tenang dan mendamaikan untuk kita sekeluarga.

Mama yakin, dari rumah kecil ini, akan lahir insan- insan yang berjiwa besar, yang bakal beri sumbangan besar kepada dunia!


Huu...huuuu, tersedih pulak Mama. Memang setiap kali berfikir tentang rumah, hati Mama tersentuh.
Mama wujudkan entri dan label dalam blog ini supaya suatu hari nanti Amina dan Adam boleh membaca "sejarah" rumah kita dan "perjuangan" Mama menbangunkannya.

Nanti anak- anak Mama tahu yang Mama ni sebenarnya seorang superwoman. Haa...haaa...

Nanti Mama akan snap gambar- gambar rumah kita yang belum diubahsuai dan keadaannya selepas pengubahsuaian.

Mama sayang sangat Amina dan Adam!