Wednesday, December 25, 2013

Terus Menanti...

Pada 15 Disember yang lalu, Mama dah nampak jantina bayi dalam kandungan Mama melalui imbasan yag dibuat di klinik.

Bayi lelaki!

Mama berasa gembira dan syukur. Mama telah mempunyai seorang anak perempuan yang sangat cerdik, baik dan keletah. Tentulah Mama teringin untuk merasai pengalaman memiliki  anak lelaki pula.

Alhamdulillah!

Bagaimanapun, Mama risaukan keadaan darah Mama yang terlalu cair. Hemoglobinnya cuma 9.5. Selepas seminggu Mama ambil ubat yang diberi oleh doktor di Klinik an- Nisa', HB naik kepada cuma 9.6. Kata doktor, HB Mama tidak selamat untuk proses kelahiran. Mama terpaksa ditambah darah selepas bersalin dalam keadaan ini. Sekurang- kurangnya HB  mesti mencapai 10.

Mama berasa risau.

Amina pula agak agresif dan suka mengamuk akhir- akhir ini. Kalau ada sesuatu yang tak kena, Amina akan berguling- guling di lantai dan menangis. Susah pula nak reda tangisan Amina. Mama rasa penat pujuk dan layan kerenah Amina.

Amina juga sangat suka tengok youtube ABC dan Alif, Ba, Ta melalui tablet. Setiap hari Amina akan tengok beberapa kali dan leka dengan tablet. Apabila bangun sahaja tidur, Amina terus sebut nak ABC atau Alif, Ba, Ta.

Ya Allah, tetapkanlah kesabaran Mama untuk terus mendidik anak- anak Mama menjadi hamba- Mu yang soleh dan solehah.

Mama penat tapi Mama bahagia dengan kehadiran anak- anak Mama. Mama akan cuba sedaya upaya untuk menjadi Mama yang solehah buat anak- anak Mama, walaupun ada masanya Mama hilang sabar dan berkasar dengan Amina.

Mama ai Amina dan adik! 

Monday, December 9, 2013

Menanti Detik Itu...

Jam dah menghampiri 2.00 pagi.

Seperti malam- malam yang lepas, sejak kira- kira sebulan yang lalu, Mama tak dapat melelapkan mata. Mata sangat mengantuk. Tetapi badan Mama terasa lenguh apabila berbaring, berasa sangat tidak selesa yang menyebabkan Mama menghadapi masalah tidur yang teruk.

Adakalanya, menjelang jam 3.00 atau 4.00 pagi, baru Mama dapat lena.

Masalah yang sama Mama hadapi semasa mengandungkan Amina. Tetapi, tidaklah seteruk ini. Masalah ini menyebabkan Mama selalu tidak terjaga untuk solat Subuh. 

Mama rasa berdosa dan terseksa. Beratnya cabaran yang dihadapi semasa mengandung kali ini. Amina pula semakin manja akhir- akhir ini. Amina pantang Mama tak ada di depan mata, asyik cari Mama walaupun ramai orang lain di rumah Jaddah ni.  Apapun, Mama sentiasa terangkan kepada Amina yang tidak lama lagi Mama terpaksa tinggalkan Amina sekejap sebab Mama nak ke hospital untuk "ambil" baby. Masa tu, Amina kena tinggal dengan Jaddah. Mama tahu Amina faham sebab Amina anak yang cerdik.

Mama berharap agar waktu bersalin segera tiba sebab rasa dah taak larat bawa baby dalam perut ni, beserta pelbagai masalah dan kesakitan yang timbul. Tapi, mengingatkan sakit yang bakal ditanggung semasa melahirkan, Mama bertambah ngeri!

Ya Allah, permudahkanlah segalanya. Kepada Engkaulah aku menyerahkan segalanya!  

Saturday, December 7, 2013

Al- Quran Untuk Baby Ann

Hari ini, Mama telah khatamkan bacaan al-Quran sebanyak 30 juzuk, yang Mama hadiahkan khusus untuk bayi dalam kandungan Mama. Bacaan al- Quran ini Mama mulakan pada bulan Mei yang lepas, sebaik sahaja Mama mengetahui kewujudan bayi yang Mama sayangi di dalam rahim Mama.

Mama berasa sangat bersyukur sebab berjaya mengkhatamkan bacaan al- Quran ini sebelum kelahiran anak Mama. Pada mulanya, Mama agak bimbang Mama tak dapat khatam al-Quran sebab semasa alahan yang teruk dahulu, beberapa hari juga Mama tidak baca al-Quran.

Mama harap, al-Quran yang Mama bacakan akan sebati dalam diri anak Mama. Semoga anak Mama menjadi seorang ahli al-Quran, dan hidup mengikut panduan al-Quran.

Kalau boleh, Mama nak anak Mama jadi penghafaz al-Quran.

                        اَللَّهُمَّ اَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي

Mama sayang anak Mama!