Showing posts with label Amina Ann Hui Fen. Show all posts
Showing posts with label Amina Ann Hui Fen. Show all posts

Wednesday, February 14, 2018

Rezeki Hujung Minggu

Rezeki hujung minggu Amina : 

10 Februari 2018 - Naib Johan Pertandingan Mewarna di Masjid Al- Azim, Taman Semarak sempena Program Ziarah Mesra Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Kategori 5 - 7 tahun.

Hadiahnya hamper makanan.





11 Februari 2018 - Naib Johan Pertandingan Mewarna di Tapak Pasar Malam Taman Semarak sempena Majlis Semarak Kasih Pemimpin. Kategori 5 - 6 Tahun.

Hadiahnya set peralatan mewarna.




Tahniah Amina, anak Mama yang berbakat!

Wednesday, November 15, 2017

Hadiah Untuk Amina


Sebaik saja Mama pulang dari sekolah, Amina memberitahu dengan gembira :

"Mama, hari ni Amina dapat hadiah!"

"Ye ke? Kenapa?"

"Sebab Amina pandai baca."

"Pandainya. Amina baca apa?".

"Baca Peter and Jane."

Seronoknya Amina dapat hadiah. Adam pun turut bersemangaf.

"Nanti Adam lima tahun, Adam pun nak pandai baca jugak, lepas tu cikgu bagi hadiah."

Insya - Allah,sayang. Semoga anak- anak Mama jadi anak- anak yang cemerlang!

Mama sayang anak- anak Mama.

Sunday, October 29, 2017

Ustazah Amina

Semalam, semasa di dalam bilik air, Mama mendengar suara Amina :

"Allah tu Maha Berkuasa. Kita tak boleh lawan Allah.."

Yang selebihnya Mama tak dengar dengan jelas.

Apabila Mama keluar, Mama tengok puteri kecil Mama dah tertidur. Adam pun dah tidur. Agaknya, tadi Amina beri nasihat akhir sebelum tidur kepada Adam, macam Mama selalu buat pada kalian.

Ya Allah, betapa besar anugerah yang Kau berikan kepadaku!

Mama kasih, sayang dan bangga dengan anak- anak Mama. Semoga anak- anak Mama membesar menjadi kekasih Allah!


Saturday, October 28, 2017

Kad Kemajuan Amina


 27 Oktober 2017 - Mama ambil kad laporan Amina di tadika.

Alhamdulillah, Amina mendapat tempat ketiga daripada 21 orang murid di dalam kelas. Markah Amina sangat baik walaupun Bahasa Cina agak merosot.

Masa tengok markah Bahasa Cina Amina, Mama rasa bersalah sebab tak buat ulangkaji langsung dengan Amina sebelum peperiksaan. Sebabnya, Amina demam dan tak hadir dua hari ke sekolah. Jadi, kertas BC dan Matematik Amina duduki bersama dengan peperiksaan lain selepas itu.

Kebetulan pula, lepas Amina demam, Adam dan Amira sambung pula demam. Jadi, Mama agak sibuk jaga anak- anak yang demam ni.

Tapi, Amina dapat juga kedudukan yang baik dalam kelas.

Mama rasa bangga dan bersyukur.

Mama ai Amina Ann Hui Fen!

Friday, October 20, 2017

Keletah Anak- Anak Mama

Amina berlakon jadi chef sekaligus pelayan restoran.

Amina bertanya kepada  Mok Su:

"Awak nak makan apa?"

"Telur mata kerbau."

Amina diam seketika.

"Tahu tak cara buat telur mata kerbau? " Mok Su tanya.

"Tau. Letak telur, letak mata, letak kerbau," jawab Amina.

Amina tanya Mama pula.

"Awak nak makan apa?"

"Nasi goreng Cina."

Tiba- tiba Adam pula datang bertanya.

"Mama, nasi goreng India ada tak?"




Tuesday, June 6, 2017

Amina dan SJK (C)

Setelah lima bulan belajar di tadika Cina, perkembangan Amina agak memuaskan. Mengikut laporan daripada guru Amina, Amina menguasai bacaan bahasa Cina. Amina boleh membaca lebih baik daripada budak Cina sendiri. Cuma Amina berat mulut, tidak  mahu bercakap dan bergaul dengan rakan- rakan sekelas. Keputusan ujian pertengahan tahun Amina juga sangat baik dalam semua mata pelajaran. Amina mendapat markah 55/ 58 bagi subjek Bahasa Cina.

Mendengar laporan itu, Daddy mula cuba- cuba bercakap Cina dengan Amina di rumah. Alhamdulillah,perkembangan yang positif. Tapi, Amina pula yang tak mahu bercakap. Mama minta Daddy teruskan juga usaha itu.  

Hari ini, Mama dan Daddy ke sekolah untuk pendaftaran tahun satu Amina. Di kawasan ini, ada dua SJK (C). Pada mulanya, Mama memohon kemasukan ke SJK (C) A yang lebih dekat dengan rumah kita dan sekolah Mama. Apabila ke sana, Mama dapati enrolment murid berbangsa lain di sekolah itu lebih ramai daripada murid berbangsa Cina. Mama bimbang Amina tak akan bercakap Cina dan tidak menguasainya apabila berada dalam situasi begitu. Jadi, setelah berfikir dan meminta pandangan dua orang guru Cina, Mama menukar permohonan ke SJK (C) B.

Di SJK (C) B, semua murid bukan Cina yang memohon masuk perlu ditemuduga oleh Guru Besar terlebih dahulu. Guru Besarnya agak tegas dalam mengawal kemasukan murid bukan Cina ke sekolahnya. Melalui enrolment yang Mama lihat di pejabat sekolahnya, bilangan murid Melayu dan bangsa lain jauh lebih sedikit berbanding murid Cina.

Sejak awal perbualan, Guru Besar itu nampak keberatan dan cuba menukar fikiran kami untuk tidak menyekolahkan anak di sekolah Cina. Dia menyatakan sama saja sekolahnya dengan sekolah A, ramai juga murid bukan Cina, jadi, jangan harapkan Amina dapat pandai bahasa Cina di sekolah. Guru Besar itu siap mengeluarkan keputusan muridnya dan menunjukkan betapa teruk gred yang diperolehi oleh murid- murid bukan Cina dalam subjek Bahasa Cina, Matematik dan Sains. Sedangkan murid itu mendapat gred yang baik dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Menurutnya, tidak pernah ada murid bukan Cina yang cemerlang di sekolahnya. Tetapi, di sekolah A, ada.

Guru Besar itu bertanya soalan mudah dalam bahasa Cina kepada Amina dan Amina menjawabnya dengan salah (padahal Daddy dah ajar tapi Amina tak mahu ikut). Kemudian, dia meminta Amina menulis nama dalam tulisan Cina. Amina baru belajar tulis nama ni beberapa minggu yang lepas. Amina cuma dapat tulis "Ann" saja. Mama rasa tidaklah pelik sebab ramai budak lima tahun belum pandai menulis nama sendiri walaupun dalam bahasa ibunda mereka sendiri.

Tidak tahan dengan rungutannya, Mama mengeluarkan kertas ujian Amina dan menunjukkan kepadanya. Dia tidak hairan dengan keputusan itu. Katanya, ada murid yang mendapat 98% tapi langsung tidak tahu membaca. Markahnya tinggi kerana guru tadika memandunya menjawab soalan. Dia menguji Amina membaca, Amina dapat membaca semua perkataan dengan betul. Tidak puas hati, dia menutup gambar dan meminta Amina membaca lagi perkataan dan menerangkan maknanya. Amina berjaya juga melakukannya.

Selepas itu, barulah nampak agak kendur dan beralah. 

Alhamdulillah, Amina berjaya membuktikan yang Amina boleh!

Mama berazam untuk membuktikan yang Amina boleh cemerlang dalam pelbagai bahasa.

Ya Allah, rezekikan anak- anakku untuk menguasai pelbagai bahasa. Permudahkanlah urusan mereka dalam mempelajari bahasa asing!

Mama sayang Amina Ann!  

Kad Hari Guru Yang Pertama

15 Mei 2017 - Amina dan Adam buat kad ucapan Hari Guru yang pertama. Amina beri kepada Lao Zhe Choy, guru tadika Amina. Adam beri kepada Teacher  di kelas muzik.

Pada mulanya, Mama nak beli kad ucapan Hari Guru untuk Amina beri kepada cikgu. Tiba- tiba terfikir, lebih baik buat sendiri untuk mengasah kreativiti anak- anak. Lagipun, dah agak lama kita tak buat aktiviti seperti ni bersama.

Mama pun beli dua keping kertas kartun yang agak keras, kemudian cetak ucapan untukAmina dan Adam warnakan.

Alhamdulillah, anak-anak Mama sangat gembira dengan aktiviti ini!

Kad Adam

Kad Amina



Mama sayang anak- anak Mama!

Tuesday, March 21, 2017

Kali Pertama Menaiki Bas


Hari ini, Amina , Adam dan Amira menaiki bas buat kali pertama.

Dah lama Mama berniat nak bawa anak- anak Mama merasai pengalaman menaiki bas. Kebetulan hari ini Daddy nak ke KLIA 2 untuk menaiki kapal terbang ke Kelantan. Jadi, Mama ambil peluang ni untuk bawa anak- anak menaiki bas sambil menghantar Daddy (kononnya) ke lapangan terbang.

Kita menaiki bas di terminal bas Nilai. Sampai di KLIA 2 kita makan dan berjalan- jalan sekejap sebelum Mama dan anak- anak menaiki bas untuk balik semula ke Nilai.

Anak- anak Mama sangat seronok dapat naik bas. Sampai di Nilai, Adam mengamuk tak mahu balik sebab nak naik bas lagi.

Insya-Allah, selepas ini Mama bawa anak- anak naik tren pula ya.

Mama sayang Amina, Adam dan Amira.

Friday, March 17, 2017

Ujian Cap Jari (Fingerprint Test)


Mama mula- mula tahu tentang ujian cap jari ini ketika Amina berusia sembilan bulan. Ketika itu, Syarikat Dutch Lady ada membuat promosi ujian ini secara percuma di tempat- tempat terpilih, dengan syarat pembeli membeli beberapa pek susu keluarannya. Tapi, ketika itu ujian ini cuma ditawarkan kepada kanak- kanak berusia tiga tahun ke atas.

Ada apa dengan ujian cap jari? 

Rupa- rupanya, cap jari manusia ni ada kaitan dengan otaknya. Para pengkaji telah lama menemui sepuluh bidang kepintaran yang ada pada manusia. Setiap manusia memiliki kepintaran dalam mana- mana bidang kepintaran ini, satu atau lebih. Bidang kepintaran yang berbeza itu didominasi oleh bahagian yang berlainan di dalam otak manusia. Ajaibnya, bahagian- bahagian yang berbeza di dalam otak itu boleh dibaca melalui cap jari! 

Keinginan untuk membuat ujian cap jari ini timbul semula setelah seorang kawan Mama bercerita tentangnya dua tahun lepas. Walau bagaimanapun, hanya pada tahun 2017 ini Mama berpeluang membuatnya.

Tempatnya ialah di Smart- IQ Kindies, 2-1 & 2-2, Jalan Putra 2, Taman Putra Kajang, 43000 Kajang, Selangor (012- 228 8284).

Semua kanak-  kanak yang belajar di Smart- IQ Kindies wajib menjalani ujian cap jari semasa mendaftar di situ.

Ujian ini boleh dibuat ke atas bayi berusia seawal sembilan bulan dan ke atas. 

Niat asal Mama buat ujian tersebut adalah untuk mengenal pasti bakat yang Amina dan Adam miliki dan cuba mengasahnya. Tetapi, apabila Mama ke sana dan berjumpa dengan Teacher Farah yang menjalankan ujian tersebut, beliau bercerita tentang seorang muridnya yang secara semulajadinya mempunyai kemampuan belajar yang rendah (diketahui melalui ujian cap jari). Oleh sebab itu, mereka membuat stimulasi yang sesuai kepada murid tersebut. Setelah beberapa lama, kemampuan belajar murid itu meningkat kepada aras yang sepatutnya. 

Baru Mama terfikir, bukan kelebihan saja yang mesti dikenal pasti dan dikembangkan. Kelemahan juga mesti dikenal pasti dan diubati.

Menariknya, perkhidmatan yang disediakan bukan saja membuat ujian cap jari, malah Smart- IQ Kindies turut memberikan konsultan tentang cara- cara untuk mengembangkan lagi potensi kanak- kanak atau mengubati kelemahan yang dikenal pasti melalui ujian tersebut. Panduan itu juga tertulis di dalam buku laporan yang mereka sediakan.

Setelah lebih kurang sebulan setengah menunggu, semalam, Mama pergi mengambil laporan ujian cap jari Amina dan Adam. Lebih kurang sejam juga Mama berdiskusi dengan Teacher Rika tentang keputusan itu. Alhamdulillah, banyak input baharu yang Mama dapat.

Ada banyak persamaan antara hasil ujian dengan pemerhatian Mama sendiri. Contohnya, memang tepat keputusan Mama menghantar Amina ke kelas seni lukis dan Adam ke kelas muzik. Kemahiran motor halus merupakan kepintaran ketiga yang ada pada Amina, Adam pula mempunyai kepintaran muzikal dan pendengaran sebagai kepintaran kedua yang Adam miliki.

Tapi, ada juga keputusan yang mengejutkan Mama. Selama ini, Mama bertanggapan bahawa Amina sangat pintar dalam linguistik dan Adam kurang menguasainya. Sehingga Mama berasa agak ragu- ragu untuk hantar Adam ke sekolah Cina. Mama bimbang Adam tak dapat mengikuti pelajaran dalam bahasa asing itu.

Rupa- rupanya, Adam bukan setakat pandai, malah mempunyai BAKAT SEMULAJADI dalam bidang linguistik! Adam mempunyai corak PEACOCK (PE) pada jari manis sebelah kanan. Menurut Teacher Rika, dalam ribuan orang yang pernah membuat ujian cap jari di tempat beliau, hanya beberapa orang yang memiliki cap jari jenis PE.

Amina tak kurang hebatnya dalam bidang linguistik. Linguistik merupakan kepintaran keempat yang Amina kuasai.

Alhamdulillah! Mujurlah Mama buat ujian ini.

Semoga Mama dapat membimbing Amina dan Adam membesar dengan lebih cemerlang.

Mama sayang Amina dan Adam!

Monday, March 6, 2017

Amina Yang Pandai

Semalam, Amina dan Adam mengikut Mama hantar Jaddah ke sebuah kinik akulpuntur di Klang.

Klinik itu mengamalkan perubatan tradisional Cina. Informasi di dalamnya juga semua dalam tulisan Cina.

Amina melihat poster- poster yang terpampang di situ dan mula membaca satu dua perkataan Cina yang Amina pelajari di tadika.

Tak lama kemudia, seorang Cina di situ bertanya kepada Mama :
"Dia pergi sekolah Cina ke?"

Agaknya, betullah perkatan- perkataan yang Amina baca tu. Sebab tu Cina tu agak Amina sekolah Cina sebab pandai baca.

Pandainya anak Mama!

Mama doakan Amina terus cemerlang dan menguasai pelbagai bahasa.

Mama sayang Amina!

Wednesday, February 15, 2017

..........

Semalam, balik saja daripada sekolah, anak- anak Mama terus menagih perhatian. Amira nak didukung, menangis apabila diletakkan, Amina sibuk tunjukkan perkataan- perkataan yang baru dipelajari di sekolah dan mengejanya kuat- kuat,  minta Mama puji. Adam pula sibuk nak mewarna buku dan minta Mama temankan.

Mama rasa sangat penat dan suasana jadi sangat kelam- kabut.

Tapi Mama tahu, anak- anak Mama memang perlukan Mama.

Mama sayang anak-anak Mama sangat- sangat.

Mama harap, Allah  berikan Mama kesabaran yang sangat tinggi untuk melayan kerenah anak- anak Mama yang comel dan cerdik ni.

Malamnya, Mama mengajar Amina baca Iqra' sambil dukung Amira. Adam pula merengek- rengek di sebelah minta Mama bacakan buku cerita.

Pagi ni, Amira bangun sangat awal. Lepas tu, Amira menangis kuat- kuat semasa Mama tengah sibuk bersiap nak ke sekolah.

Adam pula bangun. Adam sibuk suruh Mama cuti dan tak benarkan Mama pergi kerja.

Amina bangun dan sibuk nak siapkan kerja sekolah. Amina cakap tak mahu ke sekolah. Mama pujuk Amina dan beri  galakan supaya Amina menulis cepat- cepat untuk siapkan kerja. Alhamdulillah, berjaya.

Amira terus menangis kuat semasa dalam perjalanan ke rumah pengasuh. Sampai akhirnya Mama terpaksa dukung Amira sambil memandu. 

Ya Allah, pagi ini cukup mencabar apabila Amira meronta- ronta atas dukungan Mama yang sedang memandu. 

Akhirnya selamat juga sampai ke rumah pengasuh yang Amira panggil ibu. Nasib baik selepas itu Amira diam dan nak didukung ibu.

Penat Mama layan kerenah anak- anak Mama, tapi Mama tetap kasih, sayang dan cinta akan kalian.

Semoga anak-anak Mama mebesar menjadi hamba Allah yang diredhainya. Semoga takdir yang baik sentiasa bersama kalian.

Mama sayang Amina, Adam dan Amira.  

Aktiviti Kreatif

Mewarna batang aiskrim untuk membuat tempat meletak pensil.


Menggunting kertas.


Membuat rantai daripada manik



Membuat gelang daripada straw.

Sunday, February 5, 2017

Meja Belajar Amina


Ini meja belajar Amina yang pertama. Dibeli pada Januari 2017 sebab Amina dah masuk tadika. Amina seronok sangat dapat meja belajar ni. 

Semoga Amina menjadi anak yang tekun belajar dan cemerlang dalam pelajaran.

Adam pun sibuk- sibuk nak meja belajar juga sebab kakak ada meja belajar. Adam nak meja Boboiboy. Tunggu ya, Adam. Apabila Adam umur lima tahun, Mama akan belikan meja untuk Adam pula, insya Allah. Adam faham apabila Mama terangkan begitu. 

Mama sayang anak- anak Mama!

Tuesday, December 13, 2016

Permainan Pancing Ikan




Ini permainan memancing ikan yang Mama buat untuk anak- anak Mama. Prosesnya mengambil masa hampir dua bulan. Sebabnya, Mama sangat sibuk. Tapi, Mama nak juga buat aktiviti yang menarik dan berfaedah untuk anak- anak.

Permainan ini mudah saja. Mama cetak bentuk ikan dengan suku kata di atasnya, kemudian Mama laminasikan dan distapler pada hujung mulutnya. Pada batang kail, Mama lekatkan magnet di hujung benang. Jadi, magnet akan menangkap stapler pada mulut ikan. Untuk magnet, terima kasih kepada seorang murid Mama, Farish Rayyan yang beri magnet itu kepada Mama.

Rupa- rupanya, banyak cara permainan ni boleh dimainkan untuk mendedahkan anak- anak Mama kepada macam- macam ilmu. Selain mengenal huruf dan suku kata, Mama juga guna untuk ajar mengira. Mama minta Amina dan Adam berlumba pancing ikan, kemudia kira bilangan ikan yang dipancing.

Malangnya, setelah siap, Mama kurang masa pula untuk menemani Amina dan Adam bermain. Apabila Amina dan Adam bermain sendiri, adalah ikan yang hancur.

Tak apalah, semoga Allah berkati usaha ini dan jadikan anak- anak Mama insan yang berilmu.

Mama sayang anak- anak Mama sangat- sangat! 

Basikal Baharu Amina & Adam


9 Disember 2016 - Mama belikan Amina dan Adam basikal baharu.Harga basikal Amina RM180 dan basikal Adam RM160.

Seronok tengok anak Mama gembira dapat basikal baharu.

Yang istimewanya, basikal ini Mama beli dengan duit yang Mama kumpul hasil perniagaan dropship Mama!

Alhamdulillah.

Mama sayang Amina dan Adam.

Monday, October 24, 2016

Bernaung Di Bawah Sayap Malaikat




Dah lama Mama bercita- cita untuk membawa anak- anak Mama ke masjid untuk menghadiri majlis ilmu. Mama nak membudayakan budaya ilmu dalam keluarga kita. 

Alhamdulillah. akhirnya tercapai juga hasrat Mama dengan menghadiri Kuliah Mingguan Dhuha oleh Sahibus Samahah Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri di Masjid Putra Nilai. Sehingga entri ini ditulis, telah tiga minggu berturut- turut anak- anak Mama berpeluang menghadiri kuliah tersebut.

Mama nak sangat anak-  anak Mama menjadi ahli masjid dan ahli al- Quran. Itulah doa Mama selalu. Mama berasa sangat tenang apabila berada di rumah Allah. Mama berdoa supaya anak- anak Mama diberikan rezeki untuk sentiasa berada di rumah Allah ini.

Ya Allah, perkenankanlah hajatku! Rezekikan kami menjadi ahli solat, ahli al-Quran dan ahli masjid.

Mama sayang Amina, Adam dan Amira sangat- sangat! 







Wednesday, October 19, 2016

Hasil Kreativiti Amina

Sejak kecil, Amina memang sukakan seni. Habis dinding rumah penuh dengan hasil seni Amina @ lukisan. 

Baru- baru ini, Mama ajar Amina satu cabang seni yang baharu menggunakan tablet. Amina pun mula meneroka dan mengasah kemahiran dalam bidang baharu ini.

Tapi, Amina cuma berpeluang menghasilkan karya baharu ini kadang- kadang saja. Sebab Mama jarang beri Amina gunakan tablet.

Tak apalah, apa yang Mama ajar cuma pendedahan awal untuk Amina. Nanti, apabila tiba masa yang sesuai, Amina tonjolkanlah bakat Amina dalam bidang layout dan grafik ini ya.

Semoga anak Mama menjadi anak yang berjaya dan berkemahiran dalam banyak bidang!

Inilah antara hasil kreativiti Amina :




Mama sayang Amina Ann Hui Fen!

Tuesday, October 18, 2016

Anak-anak Mama Yang Kreatif


Mama duduk dalam bilik, menyusukan & menidurkan Amira. Dua orang lagi buah hati Mama bermain berdua di ruang tamu. Apabila Mama keluar, Mama lihat hasil kreativiti kedua- dua budak bertuah ni :



Lebih menarik, inilah gam yang digunakan....


Ini pula telatah Amina & Adam apabila jumpa bunga di dalam stor. Nak tergelak Mama dengar anak- anak Mama menyanyi dengan lirik lagu yang direka secara spontan. Pandainya budak- budak ni!



Mama sayang Amina & Adam sangat- sangat!