Friday, December 18, 2015

Kisah Anak Nilai

13 Disember 2015 – Kita sekeluarga dalam perjalanan pulang ke kampung. Setibanya di Kuala Krai, hari telah malam.

Amina melihat ke luar tingkap kereta.
“Eh, ada aeroplane!”

Mama mengiakan saja. Amina memang dah biasa sangat melihat kapal terbang. Kalau ada cahaya bergerak di langit pada waktu malam, Amina dah tahu itu ialah kapal terbang.

Beberapa minit kemudian, Amina masih leka melihat ke luar.
“Mama, Amina tengok aeroplane. Ada banyak aeroplane.”

Mama mula berasa pelik. Takkanlah kapal terbang kelihatan lama sangat di langit. Selalunya, kapal terbang lalu sekejap saja. Lagi pelik apabila Amina cakap ada banyak kapal terbang. Takkanlah di Kuala Krai ni boleh nampak banyak kapal terbang sekaligus. Kalau di Nilai, lainlah. Kadang kala nampak dua atau tiga kapal terbang yang terbang ke arah yang berbeza- beza dengan ketinggian yang berbeza juga.

Mama pun melihat ke arah yang Amina tengok. Rupa- rupanya, apa yang Amina panggil aeroplane itu ialah bintang- bintang yang bertaburan di langit. Mama ketawa.

“Itu bukan aeroplane, Amina. Itulah star. Macam yang Amina selalu nyanyi Twinkle Twinkle Little Star tu.”
Look high at the sky at night. What do you see?”   “Star!”
Mama mengulangi dialog yang ada dalam video Twinkle Twinkle Little Star yang Amina selalu tengok.

Kesian anak Mama. Tak kenal bintang. Yalah, langit di kawasan bandar macam Nilai selalunya tak gelap sangat. Jadi, susah nak tengok bintang. Nasib baik kita ada kampung. Jadi, bolehlah Amina belajar sesuatu yang berbeza daripada alam.


Mama sayang Amina.     

Thursday, November 19, 2015

Amina Mula Mengaji

Jumaat, 13 November 2015 - Amina mula belajar membaca al- Quran secara formal dengan Mama.

Sebelum ini, Mama memang dah mula mengajar al- Quran kepada Amina melalui kaedah hafazan dan juga mengenal huruf secara tidak langsung. Tetapi, bermula tarikh ini Amina mula belajar al- Quran secara tetap dan sistematik daripada Mama.

Mama tidak gunakan kaedah Iqra' untuk mengajar Amina. Sebaliknya, Mama ajar Amina mengenal huruf terlebih dahulu, barulah menyebut huruf yang berbaris. Mama lebih selesa dengan cara ini.

Tidak susah untuk mengajar Amina. Sebabnya, Amina memang telah mengenal sebahagian besar huruf hijaiyah. Mama cuma perlu memantapkan lagi kemahiran Amina mengenal huruf. Dalam masa 5 hari, Mama telah mulakan pengajaran kedua iaitu, mengajar Amina menyebut huruf- huruf berbaris di atas.

Amina anak yang sangat rajin mengaji. Amina selalu minta untuk belajar "alif, ba, ta" setiap kali ada masa lapang. 

Mama berasa seronok dan bangga dapat ajar sendiri anak Mama membaca al- Quran. Semoga Amina cepat menguasai al- Quran dan menjadi anak yang berpegang teguh kepada ajarannya.

Mama sayang Amina Ann Hui Fen!  

Tuesday, November 17, 2015

Inkuiri Adam

September 2015 - Dalam usia 1 tahun 8 bulan, Adam mula menunjukkan minat untuk belajar.

Sebelum ini, Adam kurang berminat dan tak mahu ikut apabila Mama menunjukkan gambar sesuatu dan memberitahu namanya kepada Adam.

Sekarang, Adam mula berminat untuk bertanya kepada Mama, "Pe ni? (Apa ni?)". Apabila Mama jawab, Adam akan ikut sebutan Mama.

Mama selalu gunakan risalah- risalah yang diedarkan oleh pasar-pasar raya dan kedai ke rumah- rumah untuk menambahkan perbendaharaan kata anak- anak Mama. Mama akan tunjukkan gambar dan beritahu, "Fish, carrot, watermelon, slippers...".

Sejak kecil, kakak Amina sangat suka "membaca" risalah tersebut dan akan ikut sebutan Mama. Tetapi, Adam berbeza, Adam tak mahu menyebut ikut Mama.

Sekarang, barulah Adam menunjukkan minat. Adam akan bawa risalah dekat Mama dan bertanya. Kemudian, Adam akan ikut sebutan Mama dengan sebutan pelat Adam.

Mama seronok dengan perkembangan Adam.

Semoga Adam membesar sebagai anak yang cerdik!

Mama sayang Adam  Ann Wei Sheng!

Monday, November 16, 2015

Aktiviti Membuat Kolaj

9 November 2015 - Amina membuat kolaj untuk kali pertama.

Sejak Mama mengalami alahan, Mama tidak lagi buat aktiviti bersama Amina dan Adam. Amina selalu tanya, "Kita nak buat aktiviti apa hari ni, Mama?"

Sebabnya dulu Mama selalu luangkan masa untuk buat pelbagai aktiviti dengan Amina. Malangnya, semasa Mama "mabuk", Mama selalu marah Amina, suruh Amina buat aktiviti sendiri. 
Kasihan anak Mama!

Alhamdulillah, akhirnya Mama pulih dan boleh buat aktiviti dengan anak- anak Mama lagi.

Aktiviti kolaj ini ialah yang pertama kita buat selepas Mama sembuh daripada alahan.
Amina sangat gembira dapat buat satu aktiviti yang baharu. Berkali- kali Amina ulang perkataan "kolaj", kosa kata baharu bagi Amina.

Mama pun sangat gembira apabila dapat luangkan masa dengan anak- anak Mama.


Amina tekun menyiapkan kolaj

Kolaj Amina yang pertama, berbentuk buat oren dah siap!

Ini pula kolaj kedua Amina yang dibuat pada 15 November 2015.
Mama ai Amina!

Amina Pandai Menulis Nama


1 November 2015 - Amina dah pandai menulis nama sendiri dalam usia 3 tahun 6 bulan, walaupun cara Amina menulis huruf-huruf masih salah.

2 November 2015 - Mama ajar Amina menulis nama Adam pula dan Amina segera menguasainya.

Alhamdulillah, Mama berasa sangat seronok dengan perkembangan Amina!

Mama sayang Amina!

Adam Pandai Bersila


25 Ogos 2015 - Adam cuba duduk bersila dan berjaya pada cubaan pertama.

Adam memang mempunyai kepintaran psikomotor yang baik. Banyak perkara yang melibatkan pergerakan dapat Adam buat dengan baik berbanding bayi seusia Adam.

Mama sayang Adam!

Thursday, August 27, 2015

Another Ann Is Coming!

24 Ogos 2015 - Mama ambil cuti sakit sebab Mama berasa sangat tidak sihat. Dah beberapa hari Mama rasa mual dan sangat penat.

Daddy bawa Mama ke klinik Bandar Baru Nilai untuk buat pemeriksaan.

Mama jalankan ujian urin.

Alhamdulillah, positif!

Amina dan Adam bakal mendapat adik.
Seorang lagi warga blog ini akan muncul pada April 2016, insya-Allah.

Semoga Allah permudahkan proses kehamilan ini. Setakat hari ini, Mama berasa lebih baik daripada semasa Mama mengandungkan Adam dulu, yang mana Mama betul- betul tak larat dan mengalami alahan yang teruk.

Alhamdulillah, semoga Allah terus kurniakan kesihatan supaya Mama  dapat menjaga Amina dan Adam dengan baik, juga dapat menjalankan tugas Mama di sekolah dengan baik.

Syukur juga kerana Daddy banyak membantu Mama menguruskan Adam dan Amina.

Mama sayang anak- anak Mama!

Tuesday, August 11, 2015

Anak-anak Mama & Alam

Mama seorang yang sukakan nature. Mama rasa seronok apabila berpeluang bawa Amina dan Adam keluar 'mengenal' alam.

10 Ogos 2015, Amina dan Adam dikenalkan dengan pohon semalu!


Seronok betul Amina menyentuh daun semalu untuk melihatnya menguncup.











Kebetulan pula ada giant mushroom di sini!






Seronoknya anak- anak Mama!

Mama sayang Amina dan Adam sangat- sangat.
Semoga anak- anak Mama terus membesar dengan sihat dan menjadi insan yang bijak!

Tuesday, July 28, 2015

Amina Ke Sekolah


28 Julai 2015 merupakan hari yang bersejarah dalam hidup Amina.

Hari ini merupakan hari pertama Amina menghadiri kelas percubaan di Al- Baghdadi Playtime Centre (APC) di Nilai Impian.

Pada mulanya, Mama tak berniat untuk menghantar Amina memasuki alam persekolahan terlalu awal.
Tapi,Amina selalu minta nak ke tadika.

Jaddah pula kurang sihat ahir- akhir ini. Jadi, Mama cuba cari taska untuk Amina dan Adam.

Mama bercadang nak hantar Amina dan Adam ke taska Widuri di Desa Cempaka, sebelum Amina masuk Tadika Widuri yang terletak bersebelahan pada tahun hadapan.
Tapi, Jaddah nak jaga Adam sampai dia berumur 2 tahun. Jaddah cakap, biarlah Amina seorang saja yang dihantar.

Apabila selalu dengar tentang APC di radio IKIM, Mama terfikir untuk hantar Amina ke situ. Mama tertarik dengan perkataan playtime tu (di samping hafazan al-Quran).
Mama nak anak Mama menikmati zaman kanak- kanak dengan cara yang  betul. Tak perlulah anak Mama dibebankan dengan cara belajar yang menekan.
Selama ini pun, Amina dah banyak belajar secara santai di rumah. Hasilnya, Amina dapat mengira dan mengenal nombor dalam 3 bahasa, kenal hampir kesemua abjad rumi dan beberapa abjad hijaiyah dan menghafaz beberapa ayat al- Quran serta banyak zikir.

Semalam, Mama ke Nilai Impian untuk tengok APC. Amina pun berminat nak belajar di situ. Jadi, hari ini Amina dah mula ke kelas percubaan.

Mama pula yang berasa seronok apabila fikirkan anak Mama dah mulakan alam persekolahan!

Pagi tadi, selepas solat Subuh, Mama berdoa sambil menangis. Entah kenapa,dalam keseronokan, timbul sedikit perasaan sayu.
Mama rasa, Amina dah Mama lepaskan untuk tidak lagi sentiasa berada "bawah" Mama.

ANAK MAMA, AMINA ANN HUI FEN DAH MULA MENEROKAI DUNIA LUAR!

Doa Mama :

Ya Allah, hari ini anakku Amina Ann Hui Fen akan mula ke sekolah.
Aku masukkan dia ke pusat Tahfiz kerana aku mahu dia mempelajari kalam- Mu.
Aku mahu kalam-Mu menjadi panduan hidupnya.
Aku mahu dia menjadi hamba-Mu yang solehah
Yang berbakti kepadaku apabila aku tua nanti
yang memberikan banyak manfaat kepada manusia lain
yang dapat memajukan umat Islam 
dan membebaskan mereka daripada penderitaan 
Ya Allah, bukakanlah pintu hati anakku
cerahkanlah mindanya supaya dia dapat belajar dengan baik
supaya dia menjadi insan yang cemerlang
Ya Allah, berikanlah dia keberkatan
Permudahkanlah urusannya semudah- mudahnya
Rezekikanlah dia untuk bertemu dengan guru yang baik 
serta kawan- kawan yang baik
yang akan mendorongnya ke jalan yang baik
Ya Allah, Engkaulah pelindung kami
Engkaulah yang mengatur segala urusan kami
Lindungilah kami semua daripada mara bencana
Jauhkanlah kami daripada takdir buruk
Ya Allah, aku serahkan segala- galanya kepada-Mu
kerana aku yakin Engkaulah yang Maha Mengetahui, Maha Berkuasa 
dan Engkaulah segala- galanya.

Menitis air mata Mama.

Mama sayang Amina Ann Hui Fen sangat- sangat.




Catatan selepas 28 Julai:
Rupa- rupanya hari ini benar- benar hari bersejarah untuk negara kita.
Petangnya, Mama terkejut apabila mendapat berita bahawa Timbalan Perdana Menteri Malaysia juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin telah dipecat daripada jawatan beliau.
Hari pertama Amina bersekolah ialah hari pertukaran Menteri Pendidikan. Menteri Pendidikan yang baharu ialah Datuk Sri Mahdzir Khalid.
Entah apalah perubahan yang bakal berlaku dalam sistem pendidikan kita, Amina, yang tentunya memberi impak besar kepada perkembangan anak- anak Mama.
Semoga Allah lindungi kita daripada apa sahaja takdir buruk!
Semoga apa sahaja perubahan yang dibuat menjurus kepada penambahbaikan, bukannya keburukan.

Thursday, July 23, 2015

Aidilfitiri 2015

Pada tahun ini, kita sekeluarga menyambut Aidilfitri di Nilai.

Ini kali pertama kita beraya di rumah kita ini.

Mama rasa tak sabar- sabar menunggu Hari Raya. Sebabnya? Mama tak sabar nak tengok Adam pakai baju Melayu.

Tahun ini merupakan kali pertama Adam berbaju Melayu.

Tahun lepas Adam kecil lagi, jadi, Mama tak buat baju Melayu untuk Adam.

Tahun ini juga, kali pertama Amina dan Adam jumpa Cik Farah. 

Cik Farah ialah saudara Mama. Kami amat rapat semasa kecil dulu sebab tinggal berdekatan. Mama tinggal di Pekan Sungai Besi dan dia di Salak South (sekarang Salak Selatan).

Sejak masing- masing dah bekerja dan berumahtangga, hubungan kami seakan terputus.

Mama mengunjungi rumah Atuk Kob, ayah Cik Farah di Ulu Langat pada Hari Raya Pertama. Rindu sangat nakjumpa Cik Farah.

Tapi dia tak ada di rumah sebab pergi beraya di tempat lain.

Pada Hari Raya Ketiga, Cik Farah dan keluarganya pula datang ke rumah kita di Nilai.

Mama rasa seronok sangat.

Teringat masa kecil- kecil dulu, kami selalu bermain sama- sama.

Insya-Allah, hubungan ini akan kembali erat.


Amina dan Adam di Masjid Putra Nilai



Di rumah Atuk Kob, Ulu Langat yang penuh dengan buah- buahan


Monday, July 13, 2015

Adam Dah Pandai Buat Ayat

Sekarang, dalam usia 1 tahun 6 bulan, Adam dah boleh menuturkan ayat yang terdiri daripada 2 dan 3 patah perkataan.

Kebanyakan ayat Adam tiru daripada pertuturan orang lain, terutamanya kakak.

Tapi, Adam masih sebut kebanyakan perkataan dengan satu suku kata sahaja macam "Di dah lak (Daddy dah solat)".

Adam juga boleh membina ayat sendiri untuk nyatakan sesuatu. Satu hari, Adam keluar dengan Jaddah dan Mok Su. Semasa melalui kawasan yang banyak pokok, Adam cakap, "Tok nak (Pokok banyak)".

Mama paling suka dengar jawapan Adam apabila ditanya, "Budak ni datang dari mana ni?" 
Adam akan jawab, "Puwok Mama (Perut Mama)"

Mama sayang Adam sangat- sangat.

Thursday, July 2, 2015

Kisah Arnab & Kura- kura Versi Amina

Amina anak yang suka mendengar cerita.

Setiap hari, Amina akan minta Mama bercerita kisah yang sama kepada Amina, babak yang Amina suka.

Semalam, usai solat Maghrib, Amina minta Mama ceritakan kisah Arnab dan Kura- kura.
"Mama, Mama ceritalah cerita Arnab dan Kura- kura. Kura- kura tu nak potong arnab."

Mama pun memaksa diri untuk bercerita kisah yang telah beberapa kali diulang- ulang....

"...arnab tertidur di bawah sebatang pokok..."

"...kura- kura terus berjalan. Walaupun dia penat, kura- kura tetap sabar dan terus berjalan..."

"Mama, kura- kura tu berjalan sebab dia nak ambik pisau kot," tiba- tiba Amina menyampuk.

"Laa, kenapa pulak kura- kura nak ambik pisau?" Mama bertanya sebab pelik dengan kenyataan Amina.

"Yalah, sebab dia nak potong arnab!" Jawab Amina.

Berdekah- dekah Mama ketawa!

Ya Allah, anak Mama, kenapalah Amina ni cerdik sangat?

Rupa- rupanya, selama ini Amina telah salah tafsir cerita Arnab dan Kura- kura.

Mama cuba menerangkan maksud "potong" tu kepada Amina. Tapi, tak tahulah Amina faham atau tidak.

Amina....Amina!

Mama ai Amina Ann Hui Fen.

Saturday, June 20, 2015

Adam dan Orang Miskin

Adam sangat suka sebuah buku cerita.

Di dalam buku itu, ada gambar perempuan dan beberapa orang kanak- kanak yang memakai pakaian yang bertampal.

Mama tunjuk pakaian tu kepada Adam. Mama kata :
"Tengok, Adam. Ini orang miskin. Kesian dia, baju dia koyak, kena tampal. Dia tak ada duit nak beli baju lain."

Adam sangat menghayati kata- kata Mama. Adam asyik buka muka surat itu dan cakap, "Teng, teng.. (Miskin, miskin...)".
Wajah Adam penuh dengan ekspresi kesedihan.

Adam asyik nak tengok gambar orang miskin tu. Nak tidur malam pun Adam bawa buku itu masuk ke dalam bilik.

Semalam, Mama tengok Adam asyik meraba- raba baju tidur yang Adam pakai. Sambil tu, mata Adam tengok gambar orang miskin di dalam buku itu.
Kemudian, Adam berusaha tanggalkan baju Adam. Sampai menangis- nangis Adam nak tanggalkan baju.

Mama perasan ada sesuatu yang tak kena. Mama tanya Adam, "Kenapa Adam nak tanggalkan baju ni,"
Adam tunjukkan pada tampalan baju perempuan yang ada dalam buku itu dan cakap, "Teng, teng".

Rupa- rupanya, Adam tak puas hati sebab baju tidur Adam tu ada tampalan juga. Adam tak mahu pakai "baju orang miskin".



Selepas Mama tanggalkan baju, barulah Adam puas hati. Terpaksalah pula Mama cari jalan untuk pujuk Adam.
Akhirnya, Mama tunjuk baju Adam dan bandingkan dengan baju orang miskin dalam gambar itu, Mama beritahu, "Tampal di baju Adam ni tak sama dengan tampal di baju orang miskin. Tengok, baju orang miskin tak ada gambar. Tampal di baju Adam ada gambar Mickey Mouse. Kalau ada gambar Mickey Mouse, tak apa. Tak miskin."

Selepas dipujuk, barulah Adam nak semula pakai baju itu.

Ya Allah, cerdiknya anak Mama ni. Jauh betul pemerhatian Adam.

Semoga pada suatu hari nanti, Adam akan menghapuskan air mata orang- orang miskin!

Mama ai Adam.

Sunday, June 14, 2015

Adam Dah Pandai Mengira

Dalam usia 1 tahun 5 bulan, Adam dah boleh mengira walaupun belum begitu sempurna.

Antara yang Adam ingat ialah 4, 5, 7, 8, 9 dan 10.

Apabila Mama kira 1,2,3, Adam akan sambung 4.

Adam juga dah kenal huruf U dan O.

Huruf U mula- mula Adam pelajari. Adam kenal dari televisyen. Sebab selalu keluar huruf U sebelum satu- satu rancangan bermula.

Mama sayang Adam sangat- sangat.


Wednesday, June 10, 2015

Aktiviti Anak-anak Mama

10 Jun 2015 : Habis sepeket tepung beras




31 Mei 2015, Habis ABM yang Mama tampal di dinding!





Adam Nak Jadi Pemimpin

Adam dan Amina suka sangat tengok video Umar al-Khattab tolong ibu dan anak- anaknya yang kelaparan.

Mama cakap pada Adam, "Bila besar nanti, Adam jadi pemimpin ya. Adam mesti jadi pemimpin macam Umar al- Khattab."

Adampun ulang kata- kata Mama. Adam memang akan ulang kata- kata orang lain sekarang ni. Adam dalam proses untuk bercakap sepenuhnya.

Selepas itu, apabila ditanya Adam nak jadi apa, Adam akan jawab :

"Peimpin"

"Pemimpin macam siapa?"

"Ottob"

Insya-Allah, Mama doakan anak Mama, Adam Ann Wei Sheng akan jadi pemimpin seperti Umar al- Khattab.

Mama sayang Adam!

Perkembangan Adam

Dalam usia 1 tahun 4 bulan, Adam Ann Wei Sheng dah boleh susun stacker dengan betul.

Mama perasan ada sesuatu yang menarik tentang Adam. Apabila ditanya soalan "Kenapa...", Adam akan jawab "Bak (sebab)", walaupun Adam tak dapat teruskan perkataan selepas itu.

Termasuk semasa sedang menangis. Adam akan jawab juga soalan itu dalam tangisan.

Dalam usia 1 tahun 5 bulan pula, Adam dah kenal huruf O.

Adam juga boleh mengira "juh, pan, lan, puloh".

Tapi tak pernah dengar pula Adam kira 'satu, dua, tiga'. Tak tahulah kenapa Adam dapat yang atas dulu. 

Adam juga dah boleh disuruh ambil itu dan ini serta letakkan sesuatu di satu tempat.

Adam tetap cerdik dan memahami semua benda walaupun Adam belum boleh bercakap dengan betul.

Mama ai Adam. 


Sunday, June 7, 2015

Amina dan Labah- labah

Semalam, Amina tengok seekor labah- labah memanjat dinding.

"Hei, spider, jangan panjat! Nanti jatuh, patah kaki, mati nanti, tak tau!"

Mama ketawa tengok telatah Amina.

"Spider tak jatuh, Amina. Allah dan buat kaki spider, kaki lizard boleh melekat kat dinding. Memang spider dan lizard berjalan di dinding."

"Kita tak boleh berjalan kat dinding sebab kita manusia. Kaki manusia tak melekat kat dinding."

Amina pun cuba panjat dinding. 

"Haa, tengok, tak boleh." Amina beritahu Mama.

"Mama buat kaki Amina melekat kat dinding." Amina minta.

"Mama tak boleh buat. Bukan kita yang buat. Allah yang buat." Mama terangkan pada Amina.

 "Amina nak minta Allah buatlah."

"Kita tak boleh minta Allah  buat, Amina. Kita hamba, Allah Tuhan. Allah sendiri yang nak buat, kita tak boleh suruh." Mama jelaskan lagi pada Amina.

"Allah ikut sistem, ya Mama?"

Haa? Ini perkataan baharu yang Mama dengar daripada mulut Amina. Ikut sistem la pulak! Manalah Amina dapat perkataan 'sistem' tu?

"Ya, Allah ikut sistem la," Mama jawab. Dalam hati Mama fikir, sistem tu sunnatullah lah.

Mama sayang Amina Ann Hui Fen!

Friday, June 5, 2015

Amina Dah Tahu Pembahagian Najis

(Nota untuk Amina: Ini perkembangan yang lambat dikemaskini. Mama minta maaf sebab masa selalu tidak mengizinkan)

Semasa Amina berusia 2 tahun lebih, Amina sudah tahu tentang najis mughallazah dan najis mutawassitah.

Bukan Mama yang mengajar Amina, sebaliknya Jaddah dan Mok Su.

Alhamdulillah, Amina dikelilingi insan- insan yang sentiasa membantu Amina menambahkan ilmu.

Suatu hari, Amina beritahu Mama, "Mama, dog tu najis mughallazah. Amina tak boleh pegang."

Semasa Mama buang najis Adam ke dalam tandas pula Amina beritahu, "Ini najis mutawassitah ni."

Paling melucukan Mama apabila satu hari Amina minta nak mandi. Apabila Mama tanggalkan pakaian Amina, Amina pegang pampers dan cakap "Busuknya, ada najis mutawassitah kat dalam ni, Mama."

Mama pun ajar Amina, "Nak bersihkan najis mutawassitah, kita kena istinjak dengan air."

Apabila masuk bilik air beberapa hari selepas itu, Amina beritahu Mama, "Amina nak istimbak dengan air."

Mama betulkan, "Bukan istimbak, istinjak."

Amina tanya Mama, "Istinjak tu apa, Mama?"

Mama terdiam sekejap. Lepas tu, Mama fikir, apa salahnya gunakan bahasa yang tinggi untuk menerangkannya kepada Amina. Sebabnya, otak kanak- kanak berusia 1 - 4 tahun dapat menyerap ilmu seperti span. Kenapa pula Mama nak merendahkan kemampuan Amina?

"Istinjak tu bersihkan qubul dan dubur daripada najis."

"Qubul dan dubur tu apa Mama?"

Mama pun tunjukkan qubul dan dubur Amina. Pada masa itu Mama terfikir, inilah baiknya kalau Mama sendiri yang mengajar anak- anak Mama dalam usia yang masih kecil. Perkara yang Mama beritahu Amina sebenarnya terkandung dalam sukatan pelajaran Pendidikan Islam Tahun 1. Dah beberapa tahun Mama mengajar pun, Mama tak dapat menerangkannya kepada murid- murid sejelas Mama yang terangkan kepada Amina.

Sekarang Amina dah tahu makna istinjak, qubul dan dubur. Amina boleh gunakannya dalam percakapan seharian. 

Ramai murid yang bertanggapan pelajaran itu susah sebab mereka hanya menemukannya dalam buku teks sekolah. 

Malah, anak-anak guru juga.

Mama rasa perkara ini satu kerugian besar sebab banyak perkara yang sebenarnya kita boleh pelajari secara semulajadi dan santai.

Terutamanya sesuatu yang berkaitan dengan Islam. Sebabnya, tujuan pelajaran Pendidikan Islam itu adalah untuk diaplikasikan dalam kehidupan, bukannya untuk dihafaz bagi tujuan peperiksaan sahaja.

Semoga anak Mama menjadi seorang yang berilmu dan beramal.

Mama akan terus berusaha untuk bantu Amina lebih mudah menghadapi pelajaran di bangku seekolah nanti. Supaya Amina rasa apa yang dipelajari nanti ialah sesuatu yang Amina dah biasa jumpa.

Mama ai Amina! 

Wednesday, June 3, 2015

Cerita EQ Untuk Kanak- kanak


Beberapa minggu lepas, Adam menonton video tentang kisah seorang ibu memasak batu untuk anak- anaknya kerana tiada makanan (pada zaman Umar al- Khattab) . Anak- anak itu menangis. Adam berlari kepada Mama, buat- buat menangis dan berkata, " tuk...tuk"

Mama peluk Adam dan cakap, "Bukan, Adam bukan takut. Adam sedih. Adam tengok budak menangis sebab tak ada makanan ya? Adam menangis sebab Adam sedih."

Peristiwa ini mengingatkan Mama kepada sebuah buku, CERITA EQ UNTUK KANAK- KANAK.

Sebabnya, buku ini ada memberikan panduan supaya ibu bapa membimbing anak- anak mengenali emosi mereka. Seperti dalam situasi Adam, Adam berasa sesuatu yang tidak menyeronokkan, tapi Adam tak tahu nak menamakan perasaan itu.

Buku ini telah Mama beli lama. Sebelum Mama berkahwin lagi. Mama beli buku ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Buku ini ditulis dan berdasarkan kajian yang dibuat oleh Dr Sohaimi Abdul Aziz.

Cerita EQ untuk Kanak- kanak ini merupakan sebuah buku panduan. Di dalamnya, disenaraikan 50 buah cerita kanak- kanak dari serata dunia (antaranya yang sudah kita ketahui), yang boleh digunakan untuk menyuburkan kecekapan emosi kanak- kanak.

Rupa- rupanya, kecerdasan emosi merupakan sesuatu yang boleh dipupuk dan diasuh, seperti juga kecerdasan IQ.

Salah satu cara mengasahnya adalah dengan menggunakan cerita- cerita.

Mama teringat pula kepada salah satu panduan pendidikan anak- anak menurut Dr Abdullah Nasih Ulwan melalui bukunya, Pendidikan Anak- anak Menurut Islam, beliau juga menekankan teknik mengajar melalui bercerita.

Tetapi, buku ini menyarankan bukan sahaja teknik bercerita atau membaca secara kuat untuk menyuburkan EQ kanak- kanak. Dr Sohaimi turut menyediakan satu set soalan yang mesti ditanya kepada kanak- kanak tersebut untuk membantu menyuburkan EQnya.

Menurut penulis, terdapat 3 domain utama dalam kecerdasan emosi :

1.Kesedaran dan pengurusan kendiri

2.Memotivasi emosi

3.Empati dan kemahiran sosial

Soalan- soalan yang disediakan membantu kanak- kanak meningkatkan domain- domain yang disebutkan. Contohnya, dalam cerita Gadis Kecil Si Penjual Mancis, antara soalan yang perlu ditanya ialah : 

1.Apakah yang dirasai oleh kanak- kanak itu apabila dia tidak dapat menjual mancisnya?

2.Mengapakah kanak- kanak itu berasa kecewa?

Dalam buku ini juga, dinyatakan 4 cara ibu bapa bertindak terhadap emosi negatif (seperti marah, kecewa, sedih dsb)  anak- anak mereka iaitu:

1.Tidak ambil kisah - membiarkan dan langsung tidak peduli kepada emosi negatif anak- anak.

2.Menolak - menghukum anak- anak yang menunjukkan emosi negatif

3.Liberal - berempati tetapi tidak membantu mengatasi masalah atau meletakkan sempadan emosi negatif itu

4.Pengasuh emosi - menghargai emosi negatif itu dan mengambil peluang mendekati mereka serta menerangkan cara mereka patut bertindak

Peristiwa bersama Adam itu menyedarkan Mama, betapa pentingnya panduan ibu bapa untuk kanak- kanak mengenal emosinya, meluah perasaannya dan mengawal emosi sendiri.

Thursday, May 28, 2015

Adam Pandai Menyanyi

Dua malam lepas, semasa Mama pakaikan Adam pampers, Mama terdengar satu irama keluar daripada mulut Adam.

"Tum, la la la lah. Tum, la la la lah."

Apabila Mama amati, baru Mama faham, rupa- rupanya Adam sedang menyanyi.

Ini ialah lagu yang Adam nyanyikan.

Mama selalu perdengarkan lagu ini untuk terapkan semangat jihad dalam jiwa Adam dan Amina.

Semasa kecil, kakak takut apabila lihat klip video ini. Tapi, Adam tak takut dan suka dengan video ini.




Pandai anak Mama menyanyi walaupun belum dapat bertutur sepenuhnya.

Selain daripada lagu itu, Adam juga pandai berselawat. Tapi Adam sambung hujung-hujung sajalah.

"Tola'al badru 'alai..." Adam akan sambung, "..naaa"

"Min thaniya til wa ..." Adam sambung, "...daaaa'"

Kadang- kadang, Adam menyanyi :

"Ya na na, Ya na na...aaa, aaa, aaa"

Adam juga pandai menyanyi lagu My Mother.

Semoga nanti Adam membesar menjadi insan yang bijak dan beriman untuk betul- betul men zal zil kan musuh- musuh Islam.

Mama sayang Adam sangat- sangat.

Sunday, May 10, 2015

Perkembangan Pertuturan Adam


Hari ini, pertama kali Mama mendengar Adam menuturkan ayat penuh.

Balik dari kelas seni kakak, kita sama- sama membuat aktiviti sand art, cenderahati daripada My Art Studio.

Petangnya, Adam bawa hasil kerja itu ke bilik Jaddah dan beritahu, "Mama...buat."

Ya Allah, anak Mama dah mula pandai guna ayat utuk menerangkan.

Alhamdulillah. 

Mama sayang Adam!  

Amina Ke Kelas Seni

Hari ini, Mama bawa Amina ke kelas percubaan di My Art Studio, Pekan Salak.

Anak Mama memang suka melukis. Jadi, Mama cuba untuk masukkan Amina ke kelas seni sekiranya sesuai.

Amina sangat gembira apabila dapat ke kelas seni. Walaupun Amina tidak pernah ada pengalaman ke tadika ataupun taska, Amina sangat pandai membawa diri. Amina tak malu langsung untuk berinteraksi dengan murid- murid lain ataupun guru. Amina duduk di tempat apabila diarahkan dan melukis mengikut kehendak Amina.

Mama tak sangka Amina boleh menghabiskan masa 2 jam yang diperuntukkan untuk aktiviti kelas percubaan. Memang Amina ada bangun, berjalan dan sekali dua keluar cari Mama. Tetapi, Amina masuk semula ke kelas dan teruskan aktiviti bersama guru.

Malah, Amina menangis dan tak mahu balik apabila kelas selesai.

Tetapi, Amina belum disyorkan untuk mengikuti kelas seni yang sebenar. Sebabnya, Amina belum bersedia untuk mengikut arahan dan fokus di dalam kelas.

Keputusan ini didapati hasil ujian yang dibuat dalam kelas percubaan tersebut.

Memang normal sebab anak Mama baru berusia 3 tahun 1 minggu.

Sekurang- kurangnya, Mama tahu di mana kelemahan Amina yang perlu diperbaiki, dan Mama tahu apa yang perlu Mama bimbing Amina.

Mama gembira dapat dedahkan Amina pengalaman di kelas seni. Apabila tiba masa yang sesuai, Mama akan daftarkan Amina ke kelas itu.

Mama sayang Amina!



Amina diminta lukis gambar keluarga, tapi, ini hasilnya


Thursday, May 7, 2015

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Pada 3 Mei 2015, Mama dan Daddy membawa Amina dan Adam ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015.

Semasa Mama kecil, PBAKL merupakan acara tahunan yang wajib Mama hadiri. sepanjang ingatan Mama, saban tahun, Jaddun dan Jaddah akan membawa Mama adik- beradik ke pesta buku.

Mama berazam akan buat perkara yang sama kepada anak- anak Mama.

Alhamdulillah,Daddy pun berkongsi minat yang sama dengan Mama. Kami berazam untuk jadikan anak- anak kami para pencinta buku.

Pada tahun ini merupakan kali pertama Amina dan Adam dibawa ke pesta buku. 3 Mei 2015 merupakan hari terakhir pesta buku dan juga hari pelancaran sebuah karya terbaharu Daddy, JUMAAT BERSAMA TOK GURU 2.

Amina dan Adam belum begitu faham lagi tentang kepentingan buku walaupun dah menunjukkan minat terhadap buku. Semasa di PBAKL 15, Amina sibuk merengek nak belon apabila tengok belon- belon yang menjadi hiasan di gerai- gerai di situ. Adam pula asyik nak didukung. Mama tak dapat nak menumpukan perhatian untuk pilih buku.

Apapun, Mama seronok dapat beri anak Mama pengalaman baharu di pesta buku. Insya Allah, pada tahun- tahun yang akan datang, anak- anak Mama akan terus dibawa ke pesta buku. 

Semoga anak- anak Mama juga akan menjadi bukan sahaja pembaca yang rajin, tetapi juga penulis yang akan menghasilkan karya- karya besar yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.

Mama sangat sayang anak- anak Mama.

Bersama "orang- orang kuat" Ana Muslim di reruai Ana Muslim



Di gerai DBP

Menunggu Daddy di hadapan PWTC

Saturday, May 2, 2015

Ulang Tahun Ketiga

Amina dan Adam pada 2 Mei 2015

Alhamdulillah, anak Mama, Amina Ann Hui Fen telah genap usia 3 tahun pada hari ini.

Dalam usia 3 tahun, Amina telah menunjukkan kecerdikan yang luar biasa. Cara Amina bercakap jauh lebih matang daripada usia Amina.

Begitu juga dengan beberapa pencapaian Amina seperti kebolehan mengenal huruf, nombor dan membaca beberapa ayat al-Quran.

Dalam masa yang sama, Amina juga seorang anak yang agak nakal dan sukar dikawal. Adakalanya, Amina sangat susah untuk mengikut nasihat. Amina selalu menimbulkan kemarahan Mama.

Mama selalu sangat marah Amina. Suatu perkara yang sangat Mama kesali. Tetapi, susah untuk Mama kawal perasaan apabila Amina buat perangai lebih- lebih.

Apapun, Mama tetap sayang Amina dan sangat bersyukur dikurnai anak secerdik Amina. Mama akan terus berusaha didik Amina menjadiinsan solehah yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Amina pun tahu yang Mama sangat sayangkan Amina. Amina selalu kata "Mama marah tu sebab Mama sayang."

Mama akan sentiasa ulangi kata- kata ini, "Mama sayang Amina sangat- sangat!"  

Pertama Kali Ke Perpustakaan

1 Mei 2015 - Amina dan Adam telah diperkenalkan dengan tempat kegemaran Mama dan Daddy untuk kali pertama, PERPUSTAKAAN.

Perpustakaan pertama yang Amina dan Adam kunjungi ialah Kampung Buku di Melaka.

Tempat ini sangat tenang dan damai, dikelilingi kehijauan hutan.

Kali terakhir Mama dan Daddy ke sini dahulu, Amina dan Adam belum wujud lagi di dunia ini.

Kali ini, kebetulan kita ikut Daddy yang ada program di Melaka. Keesokannya, Daddy bawa anak- anaknya ke tempat yang sangat Daddy cintai ini.

Mama dan Daddy dah berjanji untuk jadikan Amina dan Adam sebagai pewaris yang mencintai buku, sebagaimana kami berdua.

Amina dan Adam mesti menjadi antara orang yang menyemarakkan semula industri buku negara yang kian malap.

Selepas itu, Daddy bawa Amina dan Adam ke Taman Rama- rama dan Reptilia Melaka. Bayaran masuk ke taman ini ialah RM18/dewasa dan RM12/kanak- kanak. Disebabkan Amina dan Adam masih bawah usia 3 tahun, tiada bayaran yang dikenakan untuk anak- anak Mama.

Banyak pengalaman baharu yang Amina dan Adam perolehi di sini. Berbaloi Daddy bayar RM36 tu.

Mama gembira dapat bawa anak- anak Mama jalan- jalan.

Berkenalan dengan congkak di kampung buku.

Di Taman Koi, salah satu bahagian di dalam Taman Rama- Rama.

Bersama crocodile

Tuesday, April 28, 2015

Alhamdulillah!

Dalam usia 2 tahun 11 bulan, Amina telah berjaya menghafaz 7 ayat daripada surah Yasin.

Mama sangat bersyukur atas pencapaian Amina.

Semasa Amina mula menunjukkan minat untuk menghafaz, Mama sangka Amina hanya boleh menghafaz ayat- ayat pendek di awal surah. Apabila Amina dapat membaca "Yaasiin. Walquranil hakiim...", Mama rasa biasa je.

Tapi, apabila Amina berjaya hafaz ayat keenam yang lebih panjang, Mama mula berasa sangat seronok dan separuh tidak percaya.

Selepas itu, Amina berjaya pula hafaz ayat ketujuh.

Sekarang, Mama sedang bimbing Amina menghafaz ayat kelapan.

Apa yang Mama perhatikan, semakin banyak ayat al-Quran yang Amina hafaz, semakin kuat ingatan Amina. Buktinya, Amina ambil masa yang agak lama untuk hafaz ayat ketiga dan keempat yang mengandungi hanya tiga kalimah. Tetapi, selepas itu, Amina dapat hafaz ayat kelima dan keenam yang mengandungi tujuh kalimah dengan lebih cepat.

Benarlah yang ayat al- Quran itu penerang jiwa manusia.

Alhamdulillah. Mama bersyukur dengan pencapaian Amina. Walaupun sibuk, Mama akan cuba bimbing Amina menghafaz sebanyak mungkin ayat al-Quran yang Mama mampu, sebelum Amina melangkah ke sekolah untuk belajar ilmu lain.

Biarlah al-Quran menjadi asas kepada semua ilmu yang bakal anak Mama miliki.

Ya Allah, bantulah hamba-Mu yang lemah ini untuk mendidik anak- anakku menjadi hamba yang Engkau redhai.


Sunday, April 19, 2015

Adam Yang Cerdik

Adam anak Mama yang cerdik.

Adam menyimpan memori tentang semua yang diajar, walaupun Adam belum boleh membuktikannya melalui kata- kata.

Dalam usia 1 tahun 2 bulan, Adam melihat gambar seorang bayi di dalam akhbar, Mama menunjukkan gambar bayi itu dan cakap :

"Baby, baby like Adam".

Berhampiran gambar bayi itu, ada gambar seorang budak perempuan. Adam pun menunjukkan gambar budak perempuan itu dan cakap :

"Tatak...," lepas tu, Adam tunjuk pula kepada kakak Amina yang ada dekat- dekat situ dan cakap berulang- kali, "Tatak....tatak...." Adam tunjuk kepada kakak Amina dan gambar budak perempuan itu berselang- seli.

Maknanya, sel- sel dalam otak Adam dah berkembang dan berhubung antara satu sama lain. Sebab itu Adam dapat menghubungkaitkan gambar itu dengan kakak.

Pandai sangat anak Mama ni!

Mama sayang Adam!

Saturday, March 28, 2015

Inkuiri Amina

Amina mula berminat untuk mendalami bahasa.

Kebelakangan ini, Amina sentiasa kemukakan soalan :

"Mukminun tu apa, Mama?"

"Allahu raziquna tu apa?"

....malah, Amina pernah tanya makna perkataan Cina kepada Mama.

Kebanyakan perkataan itu Amina dapat daripada televisyen.

Disebabkan Mama selalu buka saluran TV Hijrah dan Oasis untuk Amina tonton, Amina dapat banyak perkataan bahasa Arab.

Dalam usia 2 tahun 10 bulan, Amina sudah berminat untuk mengetahui makna- makna perkataan bahasa asing yang Amina dengar.

Alhamdulillah. Cerdik anak Mama ni.

Nasib baik juga Mama Amina guru Bahasa Arab, dapatlah Mama jawab dan beri penjelasan kepada persoalan Amina.

Cuma untuk bahasa Cina, Mama minta Amina tanya Daddy.

Amina juga hafal dan dapat menyanyikan banyak lagu nasyid.

Sayang Amina anak Mama!


Friday, March 27, 2015

Kali Pertama di Kedai Gunting


19 Mac 2015- Adam ke kedai gunting untuk kali pertama.

Mama ingat anak lelaki Mama ni cool orangnya. 

Rupa- rupanya Adam menangis dan meraung apabila mendengar bunyi mesin rambut tu.

Pelik juga sebab Adam sebenarnya seorang yang tak takutkan bunyi yang kuat. Malah, Adam akan beria- ria untuk keluar bilik apabila terdengar bunyi mesin pengisar atau gerudi di luar.

Tak sangka anak Mama takut dengan bunyi mesin rambut.

Mama sayang Adam!


Dah handsome anak Mama




Friday, March 13, 2015

Perkembangan Amina

Dalam usia 2 tahun 10 bulan, Amina mula faham konsep mengira.

Kalau dahulu, apabila disuruh mengira sesuatu, Amina akan kira sampai 10 walaupun objek tersebut hanya ada 2. Sebabnya, Amina memang pandai mengira sampai 10.

2 hari lepas, Amina susun 3 ekor itik mainan dan kira, "1, 2, 3...Tiga saja, tak ada 4".

Kemudian, Amina letak pula patung kucing di belakang itik, Amina kira lagi, "1,2,3,4...Hmm, 4 saja, tak ada 5, 6, 7, 8, 9, 10".

Alhamdulillah, anak Mama ni dah semakin cerdik. Dah boleh menaakul.

Amina juga masih membuatkan seisi keluarga ketawa dengan perkataan- perkataan bombastik yang Amina guna.

Beberapa hari yang lepas, Amina cakap kepada adik Adam,  "Adik, buka pintu ni. Ada fakta menarik kat dalam."

"Fakta menarik"? Tercengang Mama dengar kata- kata Amina.

Apabila ditanya, Amina jawab, "Tadi Cu Man kata 'fakta menarik'."

Memang tengah harinya, Cu Man, sepupu Mama ada datang bermain dengan Amina. Dalam masa yang singkat, Amina dah dapat gunakan perkataan yang baru diterima.

Ya Allah, rezekikanlah anakku Amina menjadi hamba-Mu yang hebat, yang berjaya di dunia dan di akhirat, yang akan memberikan sumbangan besar kepada pembangunan umat Islam!

Mama sayang Amina Ann Hui Fen!

Adam Demam Untuk Kali Pertama

Pada 9 Mac 2015, Adam demam untuk kali pertama setelah berusia lebih 1 tahun 2 bulan.

Badan Adam sangat panas sampai Mama bangun berkali- kali pada malam itu untuk basahkan badan dan kepala Adam supaya kurang panas.

Adam tak merengek atau menangis. Demam ini juga buat Mama tahu yang Adam seorang bayi yang tak bermasalah untuk makan ubat. Malah, Adam sangat suka dan tak cukup  dengan sesudu ubat.

Demam Adam tak lama. Tak ke klinik pun. Adam sembuh apabila makan ubat kakak yang sedia ada di rumah.

Perkembangan lain, anak lelaki Mama ini dah boleh berlari. Memanjat memang dah lama hebat. Sekarang ni, meja makan dah jadi tempat Adam berjalan dan menari.

Adam masih dengan sikap suka baling barang. Setiap hari, beberapa kali Adam baling botol air sampai lantai basah.

Adam juga dah banyak bercakap. Banyak juga perkataan yang sudah boleh difahami.

Semoga anak Mama terus membesar dengan sihat.

Mama sayang Adam Ann Wei Sheng!

Saturday, February 21, 2015

Selamat Tahun Baharu Cina!

Tahun ini, Adam menyambut Tahun Baharu Cina buat kali pertama.

Daddy dah belikan baju baharu untuk Amina dan Adam sambut tahun baharu.

Sambutan agak terasa sebab tahun ini kita diapit oleh jiran- jiran Cina. Mereka dah menghias rumah untuk sambutan tahun baharu. Adam tumpang seronok tengok pokok bunga di hadapan rumah Auntie Joe meriah dengan warna merah.

Amina dan Adam juga merasa dapat angpau. Mula- mula dari Auntie Joe, kemudian dari Kong kong (ayah Auntie Joe) yang seronok tengok Amina dan Adam pakai cheongsam dan samfu untuk pergi berjalan.

Hari ini, sempena cuti tahun baharu, Mama bawa Amina dan Adam berjalan- jalan ke Melaka, ke Muzium Lebah.

Mama ai ni men!


Tumpang berposing di depan pokok Auntie Joe
dengan angpau yang Kong kong beri