Thursday, May 28, 2015

Adam Pandai Menyanyi

Dua malam lepas, semasa Mama pakaikan Adam pampers, Mama terdengar satu irama keluar daripada mulut Adam.

"Tum, la la la lah. Tum, la la la lah."

Apabila Mama amati, baru Mama faham, rupa- rupanya Adam sedang menyanyi.

Ini ialah lagu yang Adam nyanyikan.

Mama selalu perdengarkan lagu ini untuk terapkan semangat jihad dalam jiwa Adam dan Amina.

Semasa kecil, kakak takut apabila lihat klip video ini. Tapi, Adam tak takut dan suka dengan video ini.




Pandai anak Mama menyanyi walaupun belum dapat bertutur sepenuhnya.

Selain daripada lagu itu, Adam juga pandai berselawat. Tapi Adam sambung hujung-hujung sajalah.

"Tola'al badru 'alai..." Adam akan sambung, "..naaa"

"Min thaniya til wa ..." Adam sambung, "...daaaa'"

Kadang- kadang, Adam menyanyi :

"Ya na na, Ya na na...aaa, aaa, aaa"

Adam juga pandai menyanyi lagu My Mother.

Semoga nanti Adam membesar menjadi insan yang bijak dan beriman untuk betul- betul men zal zil kan musuh- musuh Islam.

Mama sayang Adam sangat- sangat.

Sunday, May 10, 2015

Perkembangan Pertuturan Adam


Hari ini, pertama kali Mama mendengar Adam menuturkan ayat penuh.

Balik dari kelas seni kakak, kita sama- sama membuat aktiviti sand art, cenderahati daripada My Art Studio.

Petangnya, Adam bawa hasil kerja itu ke bilik Jaddah dan beritahu, "Mama...buat."

Ya Allah, anak Mama dah mula pandai guna ayat utuk menerangkan.

Alhamdulillah. 

Mama sayang Adam!  

Amina Ke Kelas Seni

Hari ini, Mama bawa Amina ke kelas percubaan di My Art Studio, Pekan Salak.

Anak Mama memang suka melukis. Jadi, Mama cuba untuk masukkan Amina ke kelas seni sekiranya sesuai.

Amina sangat gembira apabila dapat ke kelas seni. Walaupun Amina tidak pernah ada pengalaman ke tadika ataupun taska, Amina sangat pandai membawa diri. Amina tak malu langsung untuk berinteraksi dengan murid- murid lain ataupun guru. Amina duduk di tempat apabila diarahkan dan melukis mengikut kehendak Amina.

Mama tak sangka Amina boleh menghabiskan masa 2 jam yang diperuntukkan untuk aktiviti kelas percubaan. Memang Amina ada bangun, berjalan dan sekali dua keluar cari Mama. Tetapi, Amina masuk semula ke kelas dan teruskan aktiviti bersama guru.

Malah, Amina menangis dan tak mahu balik apabila kelas selesai.

Tetapi, Amina belum disyorkan untuk mengikuti kelas seni yang sebenar. Sebabnya, Amina belum bersedia untuk mengikut arahan dan fokus di dalam kelas.

Keputusan ini didapati hasil ujian yang dibuat dalam kelas percubaan tersebut.

Memang normal sebab anak Mama baru berusia 3 tahun 1 minggu.

Sekurang- kurangnya, Mama tahu di mana kelemahan Amina yang perlu diperbaiki, dan Mama tahu apa yang perlu Mama bimbing Amina.

Mama gembira dapat dedahkan Amina pengalaman di kelas seni. Apabila tiba masa yang sesuai, Mama akan daftarkan Amina ke kelas itu.

Mama sayang Amina!



Amina diminta lukis gambar keluarga, tapi, ini hasilnya


Thursday, May 7, 2015

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Pada 3 Mei 2015, Mama dan Daddy membawa Amina dan Adam ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015.

Semasa Mama kecil, PBAKL merupakan acara tahunan yang wajib Mama hadiri. sepanjang ingatan Mama, saban tahun, Jaddun dan Jaddah akan membawa Mama adik- beradik ke pesta buku.

Mama berazam akan buat perkara yang sama kepada anak- anak Mama.

Alhamdulillah,Daddy pun berkongsi minat yang sama dengan Mama. Kami berazam untuk jadikan anak- anak kami para pencinta buku.

Pada tahun ini merupakan kali pertama Amina dan Adam dibawa ke pesta buku. 3 Mei 2015 merupakan hari terakhir pesta buku dan juga hari pelancaran sebuah karya terbaharu Daddy, JUMAAT BERSAMA TOK GURU 2.

Amina dan Adam belum begitu faham lagi tentang kepentingan buku walaupun dah menunjukkan minat terhadap buku. Semasa di PBAKL 15, Amina sibuk merengek nak belon apabila tengok belon- belon yang menjadi hiasan di gerai- gerai di situ. Adam pula asyik nak didukung. Mama tak dapat nak menumpukan perhatian untuk pilih buku.

Apapun, Mama seronok dapat beri anak Mama pengalaman baharu di pesta buku. Insya Allah, pada tahun- tahun yang akan datang, anak- anak Mama akan terus dibawa ke pesta buku. 

Semoga anak- anak Mama juga akan menjadi bukan sahaja pembaca yang rajin, tetapi juga penulis yang akan menghasilkan karya- karya besar yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.

Mama sangat sayang anak- anak Mama.

Bersama "orang- orang kuat" Ana Muslim di reruai Ana Muslim



Di gerai DBP

Menunggu Daddy di hadapan PWTC

Saturday, May 2, 2015

Ulang Tahun Ketiga

Amina dan Adam pada 2 Mei 2015

Alhamdulillah, anak Mama, Amina Ann Hui Fen telah genap usia 3 tahun pada hari ini.

Dalam usia 3 tahun, Amina telah menunjukkan kecerdikan yang luar biasa. Cara Amina bercakap jauh lebih matang daripada usia Amina.

Begitu juga dengan beberapa pencapaian Amina seperti kebolehan mengenal huruf, nombor dan membaca beberapa ayat al-Quran.

Dalam masa yang sama, Amina juga seorang anak yang agak nakal dan sukar dikawal. Adakalanya, Amina sangat susah untuk mengikut nasihat. Amina selalu menimbulkan kemarahan Mama.

Mama selalu sangat marah Amina. Suatu perkara yang sangat Mama kesali. Tetapi, susah untuk Mama kawal perasaan apabila Amina buat perangai lebih- lebih.

Apapun, Mama tetap sayang Amina dan sangat bersyukur dikurnai anak secerdik Amina. Mama akan terus berusaha didik Amina menjadiinsan solehah yang cemerlang di dunia dan di akhirat.

Amina pun tahu yang Mama sangat sayangkan Amina. Amina selalu kata "Mama marah tu sebab Mama sayang."

Mama akan sentiasa ulangi kata- kata ini, "Mama sayang Amina sangat- sangat!"  

Pertama Kali Ke Perpustakaan

1 Mei 2015 - Amina dan Adam telah diperkenalkan dengan tempat kegemaran Mama dan Daddy untuk kali pertama, PERPUSTAKAAN.

Perpustakaan pertama yang Amina dan Adam kunjungi ialah Kampung Buku di Melaka.

Tempat ini sangat tenang dan damai, dikelilingi kehijauan hutan.

Kali terakhir Mama dan Daddy ke sini dahulu, Amina dan Adam belum wujud lagi di dunia ini.

Kali ini, kebetulan kita ikut Daddy yang ada program di Melaka. Keesokannya, Daddy bawa anak- anaknya ke tempat yang sangat Daddy cintai ini.

Mama dan Daddy dah berjanji untuk jadikan Amina dan Adam sebagai pewaris yang mencintai buku, sebagaimana kami berdua.

Amina dan Adam mesti menjadi antara orang yang menyemarakkan semula industri buku negara yang kian malap.

Selepas itu, Daddy bawa Amina dan Adam ke Taman Rama- rama dan Reptilia Melaka. Bayaran masuk ke taman ini ialah RM18/dewasa dan RM12/kanak- kanak. Disebabkan Amina dan Adam masih bawah usia 3 tahun, tiada bayaran yang dikenakan untuk anak- anak Mama.

Banyak pengalaman baharu yang Amina dan Adam perolehi di sini. Berbaloi Daddy bayar RM36 tu.

Mama gembira dapat bawa anak- anak Mama jalan- jalan.

Berkenalan dengan congkak di kampung buku.

Di Taman Koi, salah satu bahagian di dalam Taman Rama- Rama.

Bersama crocodile