Saturday, December 22, 2012

BERITA GEMBIRA!

18 Dis 2012 : Mama semak keputusan rayuan pertukaran. Alhamdulillah, pertukaran Mama diluluskan ke Negeri Sembilan! Gembiranya Mama!

20 Dis 2012 : Mama bawa Amina ke HUSM untuk buat ECHO. Imbas untuk tengok keadaan jantung Amina. Alhamdulillah, Amina dah tak menghadapi masalah lagi. Syukur.

Semasa menunggu untuk bayar bil hospital, Mama duduk merenung. Betapa indah percaturan Allah. Agaknya, Allah beri Amina sedikit masalah jantung baru- baru ni hanya untuk membolehkan Mama dapat surat doktor untuk mohon bertukar.

Mama berasa gembira sangat. Mama mula membayangkan kehidupan baharu di Negeri Sembilan. Akhir- akhir ni, Mama dan mula sibuk melayari internet mencari tentang dekorasi rumah untuk menghias rumah yang baru dibeli. Mama mula buat belanjawan untuk buat kabinet dapur, rak buku di dinding, pergola, rumput hiasan, air terjun mini dan pondok kecil untuk halaman.
Inilah gambar rumah yang Mama beli. Mama akan jadikannya syurga tempat Amina dibesarkan, insya Allah.

Tapi, buat sementara ini, Mama perlu cari rumah sewa dulu di Negeri Sembilan. Sebabnya, rumah itu masih dalam proses pembelian. Apabila selesai nanti, Mama akan buat pengubahsuaian dulu sebelum kita berpindah ke rumah tu.

Mama sayang Amina!

Saturday, December 15, 2012

Amina Yang Aktif

Hmmm...Mama cukup penat melayan Amina sekarang. Amina dah semakin aktif dan lasak. Nak suap makanan pun susah sebab Amina tak mahu duduk diam. Mama kena kejar Amina keliling rumah untuk habiskan semangkuk makanan. Apapun, Mama bersyukur kepada Allah kerana anugerahkan Mama seorang anak yang sihat, baik dan aktif. Mama tetap seronok melayan Amina walaupun kepenatan dan kadang- kadang sangat menduga kesabaran Mama.

Amina masih belum boleh duduk, tapi Amina dah berpaut dan berdiri. Nampaknya, Amina dah tak ikut turutan lagi. Selalunya, seorang bayi dapat duduk dulu, baru berdiri. Malah, Amina sangat suka nak berdiri dan memanjat. Pantang ada orang duduk dekat Amina, atau ada sesuatu yang agak tinggi, Amina akan panjat, berpaut dan cuba untuk berdiri. Mama suka betul tengok wajah Amina yang penuh keazaman apabila cuba buat sesuatu.

Mama rasa seronok dapat layan Amina sepanjang hari. Entah macam manalah apabila sekolah dibuka nanti.Mama tentu kepenatan dan tak dapat layan Amina macam sekarang. Nampaknya, terpaksalah Amina makan beberapa suap setakat Amina nak duduk diam saja sebab Mama tentu tak berapa banyak masa nak mengejar Amina untuk disuap.

Dalam keadaan ni, Mama terasa betapa bertuahnya ibu yang tak perlu bekerja untuk menyara anaknya. Mama berharap Mama dapat duduk rumah dan tumpukan perhatian jaga Amina. Tapi, nampaknya sekarang belum rezeki Mama untuk buat begitu. 

Semoga Allah bukakan pintu rezeki supaya Mama dapat berhenti kerja dan jaga Amina.

Mama sayang anak Mama dan nak lihat Amina membesar depan mata!

Thursday, December 6, 2012

Jongkong Emas Untuk Amina

Semalam, Mama ke Kuwait Finance House untuk tambah simpanan Amina. Dengan tidak disangka- sangka, Amina mendapat satu cenderamata, SEKETUL JONGKONG EMAS 1000 g!

 Inilah jongkong emas Amina.

He...he...sebenarnya sebuah tabung duit. Inilah tabung Amina yang pertama. Mama memang bercadang nak belikan Amina tabung. Dengan adanya "jongkong emas" ini, tak payahlah Mama belikan lagi.

Mama nak pupuk sikap suka menabung pada Amina. Mama masih ingat, semasa kecil, Mama dan pak cik- pak cik Amina pun ada tabung sebuah seorang. Sebuah tabung berbentuk bulat, diperbuat daripada buluh. Akhirnya, hanya tabung Mama yang penuh dan isinya dimasukkan ke bank. Tabung, pak cik Amina yang berdua tu...hampeh.

Semoga Amina ikut sikap Mama yang suka menabung.

Ai Amina!

Wednesday, December 5, 2012

Maafkan Mama, Sayang

3 Disember 2012 - Amina dah boleh berpaut pada kerusi dan berdiri. Tahniah, anak Mama sayang!

Amina semakin lasak dan selalu menguji keabaran Mama. Amina kuat merengek dan selalu nak Mama saja. Selalunya, walaupun Amina tengah bergelak ketawa dengan orang lain, apabila Mama muncul saja, Amina terus menangis dan merengek minta Mama angkat. Amina...Amina...

Mama selalu sabar menghadapi kerenah Amina walaupun kadang- kala ada orang  merungut tentang perangai Amina. Pada Mama, Amina ialah anugerah Allah yang tidak ternilai dalam hidup Mama. Mama akan jaga amanah yang Allah beri ini sebaik mungkin. Mama tak mahu marah- marah, tinggikan suara dan buat suasana hidup Amina tak tenteram. Mama mahu Amina membesar menjadi anak yang tenang dan sabar.

Tetapi, 3 Dis ini, kesabaran Mama benar- benar teruji. Amina meronta- ronta tak mahu duduk masa Mama nak bersihkan Amina yang buang air besar. Kebetulan Mama tengah penat sangat. Mama tinggikan suara. Amina terkejut dan peluk Mama. Mama kasihan tengok Amina lalu Mama pujuk Amina dan bersihkan Amina. 

Keluar dari bilik air, Amina buat perangai lagi. Mama susah betul nak pakaikan Amina lampin sebab Amina tak mahu duduk diam. Semasa Mama nak pakaikan baju pun, Amina asyik meronta dan merengek. Akhirnya, Mama tampar lengan Amina. Mama rasa geram sangat. Amina terdiam. Lepas tu Amina tak banyak meronta. Amina cuma menangis sikit- sikit saja. Mungkin Amina terkejut sangat sebab inilah kali pertama Mama berkasar dengan Amina.

Selepas saja pukul Amina, Mama rasa bersalah sangat- sangat. Mama peluk dan cium Amina. Mama tak mahu berkasar dengan Amina tapi Mama hilang sabar. Mama mohon keampunan daripada Allah sebab hilang sabar.

Ya Allah, tolonglah berikan aku hikmah dan kesabaran dalam mendidik anakku ini. Aku mahu dia menjadi seorang yang berEQ tinggi.

Maafkan Mama, sayang. Mama sayang Amina.