Friday, May 25, 2012

Air Mata Mama

Semalam hari yang agak penat bagi Mama. Malam sebelumnya, Amina berjaga sehingga jam 1.25 pagi. Puas Mama susukan, Amina tak lena-lena. Amina asyik merengek nak susu.

Semalam pun, Amina tak tidur siang sangat. Amina tidur sekejap je, lepas tu terjaga semula. Nasib naik Daddy ada. Daddylah yang jaga Amina, jadi Mama sempat pergi mandi dan makan. Mama pun sempat baring sekejap  tapi tetap tak boleh tidur. Daddy rajin betul dukung Amina bawa jalan- jalan sampai Mama takut kalau- kalau Amina asyik nak dukung apabila Daddy tak ada nanti.

Malamnya, Mama ingat Amina boleh tidur lena sebab Amina tak tidur siang. Tapi Amina tetap juga tak mahu tidur. Mama susukan Amina sampai Amina betul- betul puas. Akhirnya Amina terlena. Mama pun letakkan Amina dan tengok jam sebab nak tahu berapa lama Amina tidur. Pukul 11.11 malam. Mama pun berbaring keletihan. 

Tiba- tiba, belum sempat Mama betul- betul lena, Amina menangis. Mama bangun tengok jam. Baru pukul 11.21 malam. Baru 10 minit Amina tidur. Daddy pun terjaga dan bimbang kenapa Amina tak mahu tidur. Daddy bangun dan nak dukung dan dodoi Amina. Mama tak bagi sebab Mama tahu nanti bila diletakkan Amina akan menangis lagi. Mama cuba susukan Amina sambil berbaring. Selalunya, apabila menyusu sambil baring, Amina cepat terlena. Tapi, kali ni lama betul Amina menyusu. Apabila susu terlepas dari mulut Amina, Amina merengek- rengek lagi. Lenguh badan Mama mengiring bagi Amina susu. Sambil tu Mama berdoa dalam hati minta dipermudahkan Amina tidur.

Akhirnya, Mama sampai menitiskan air mata fikirkan keadaan Amina yang tak mahu tidur. Tambahan pula badan dan tangan Mama dah rasa lenguh betul. Mama pun tadah tangan minta pertolongan daripada Allah supaya tidurkan Amina dan beri Amina kesihatan yang baik. Mama berdoa sungguh- sungguh sambil menangis. Mama usap- usap kepala Amina supaya Amina  tidur.

Tak lama selepas tu, Amina pun  lepaskan puting susu dan terus tidur. Mama tak berani nak betulkan kedudukan tidur Amina sebab takut Amina terjaga lagi.Jadi, Mama biarkan saja Amina tidur dalam keadaan muka mengiring ke kanan walaupun Mama takut Amina tak selesa. 

Mama pun boleh tidur sama. Hanya pada pukul 3.50 pagi, baru Amina bangun  untuk menyusu lagi. Lepas tu, Amina tidur semula sampai jam 7 lebih. Jadual tidur Amina dah teratur semula.

Amina...Amina. Mama tetap sayang Amina!

No comments:

Post a Comment