Monday, December 29, 2014

Mengenang Detik Itu

Adam sudah menghampiri usia 1 tahun.

Mama asyik terkenang tarikh yang sama pada tahun lalu.

Tahun lalu, pada tarikh ini, Mama sedang menanti saat- saat kelahiran Adam. Penantian yang penuh debaran.

Hari ini, bayi yang Mama nantikan sudah berada di hadapan mata Mama. Adam bayi yang sihat dan ceria. Telatah Adam sentiasa menghiburkan ahli keluarga.

Adam suka bergolek- golek atas tilam. Setelah dapat kaki, Adam asyik berjalan ke sana sini. Sekarang, setelah dapat pensel warna, Adam selalu berjalan dengan kedua- dua tangan memegang pensel warna.

Apabila jumpa sejadah, Adam akan terus sujud. 

Pagi- pagi, Adam selalu cari tudung dan bagi pada Mama, cakap "Ba..ba..ba". selagi Mama tak pakai tudung dan dukung Adam keluar, Adam akan menangis dan merengek. Kalau Mama ambil tudung tu dan sangkut tempat lain, Adam akan menangis dan pergi ambil tudung tu lagi, bagi kepada Mama.

Adam juga dah faham apabila disuruh "kiss" dan "hug". Banyak perkara yang Adam dah faham. Apabila dapat sikat atau ikat rambut kakak, Adam akan letakkannya di rambut, dapat remote. Adam akan halakannya ke TV, paling menghairankan Mama, apabila dapat pensel warna, Adam ambil dan gosok- gosokkannya di atas kertas, sedangkan Mama belum pernah pun ajar Adam gunakan pensel warna sebelum ini.   



Melihat perkembangan Adam, Mama menyedari dan menginsafi betapa agungnya kebesaran Allah yang menciptakan makhluk bernama insan ini. Manusia sekecil Adam, walaupun tidak diajar secara langsung, faham banyak perkara. Betapa hebat Allah mencipta akal manusia sehingga dapat berfikir dan menaakul seawal kejadiannya.

Mama sangat bersyukur kepada Allah kerana dapat melihat bayi yang Mama lahirkan hampir setahun lalu di hadapan mata Mama pada hari ini. Mama tambah bersyukur kerana perkembangannya sangat positif.

Mama sedar, ada juga ibu yang sama menunggu kelahiran bayi seperti Mama pada tahun lepas, tapi, mereka tak berpeluang melihat bayi mereka membesar di hadapan mata seperti Mama pada hari ini.

Alhamdulillah, syukur ya Allah!

Mama sayang Adam sangat- sangat, walaupun ada masa Mama marahkan Adam sebab banyak kerenah dan suka menangis. 


Wednesday, December 17, 2014

Adam Mula Mengenal Huruf


Walaupun Adam belum boleh bercakap, Mama dah mula mengajar Adam mengenal huruf.

Mama ajar Adam menggunakan alphabets wall sticker yang Mama beli.

Oleh sebab kakak dah kenal huruf A - E, Mama tak tampal huruf- huruf  itu di dinding. Mama juga tak tampal semua huruf. Mama mula dengan tampal huruf F - Q sahaja. sebabnya, Mama tak nak mengganggu visual anak- anak Mama.

Lagipun, Mama tahu, perasaan excited melihat huruf- huruf yang cantik tertampal itu tak akan lama dirasai. Tak lama lagi, Amina dan Adam jemu melihat huruf-huruf itu dan tak akan belajar sesuatu lagi.

Jadi, setelah anak- anak Mama ingat sebahagian huruf yang telah ditampal itu, baru Mama akan tampal huruf baharu. Masa tu, Amina dan Adam akan excited semula apabila melihat benda baharu.

Kakak Amina tolong Mama tampal pelekat abjad tu di dinding, dan dia sangat seronok dengan aktiviti tersebut. Kakak juga sangat gembira melihat hasilnya. Kata kakak, "Tengok, dah cantik rumah kita."

Sekarang, huruf yang Adam agak kenal ialah F, L dan O. Apabila Mama sebut huruf itu dan minta Adam tunjuk, Adam selalu dapat tunjuk dengan betul.

Semalam, masa Mama dukung Adam dekat situ, Adam sendiri yang buat bunyi "Fehh, fehhh" dan tunjuk pada huruf F.

Pandai anak Mama!

Mama sayang Adam Ann! 

Sunday, December 14, 2014

Amina Belajar Melipat Pakaian

11 Disember 2014 : Amina melipat pakaian sendiri buat kali pertama.

Sebenarnya, Amina dan Adam memang sentiasa "membantu" Mama melipat pakaian. Mama nak jadikan kerja- kerja rumah sebagai aktiviti kita bersama. Jadi, Mama apabila nak lipat baju, Mama sentiasa ajak anak- anak Mama bersama.

Pada 11 Disember, Mama mengajar Amina secara langsung cara melipat baju. Mama ajar langkah demi langkah.

Amina memang anak yang rajin. Selain melipat pakaian, Amina juga rajin bantu Mama menyapu dan vacuum. Amina juga rajin mengelap meja.

Mama ai Amina!

Hasil kerja Amina

Kerenah Adam

Adam anak yang manja. Walaupun Adam anak lelaki, Adam lebih manja berbanding kakak.

Adam asyik nak berkepit dengan Mama. Mama memang tak boleh buat kerja apabila Adam tak tidur. Pantang Mama bergerak, Adam akan berpaut pada Mama. Kalau Mama duduk melipat kain atau sebagainya, Adam berpaut pada Mama juga. 

Kalau Mama bergerak jauh daripada Adam, Adam akan menangis. 

Adam juga suka menghantukkan kepala ke lantai atau dinding kalau tak dapat apa yang Adam nak atau apabila Adam tak puas hati dengan sesuatu.

Anak manja Mama dah pun banyak berjalan sekarang ni. Adam dah pun boleh membuka pintu almari dapur dan keluarkan piring dan lain- lain. Kalau dalam bilik, habis pakaian dalam almari Adam keluarkan.

Penat Mama layan Adam. Ada masa, Mama hilang sabar juga dan tinggalkan Adam menangis apabila Mama nak buat kerja.

Apapun, Mama ai Adam!

Thursday, December 11, 2014

Anak Mama Yang Cerdik

Amina anak yang cerdik dan selalu ucapkan sesuatu yang tak dijangka.

Adam bayi yang agak montel. Ahli keluarga selalu panggil Adam, "Bulat". Satu hari, semasa bermain- main dengan Adam, Amina cakap, "Adik bulat, Amina square, Adik circle."

Sejak hari itu, Adam dapat gelaran baharu, Adam Circle.

Pandai betul anak Mama ni menerjemah!

Ada sekali pula, Nek Chik pakaikan Adam songkok. Apabila Amina tengok adik pakai songkok, Amina terus tanya, "Eh, adik nak azan kat mana tu?"



Lepas tu, Amina tanya Mok Su, "Mok Su, adik jadi apa?"

Mok Su tanya Amina balik, "Adik jadi apa?"

Amina jawab, "Adik jadi tuk ime."

Pandai betul anak Mama ni berfikir. Moga- moga masin mulut Amina, adik Adam akan jadi imam solat kita suatu hari nanti.

Mama sayang Amina dan Adam sangat- sangat!    

Persekitaran Baharu

Pemandangan di hadapan rumah kita


9 November 2014 : Hari pertama Mama berpeluang bawa Amina dan Adam keluar meneroka kawasan kejiranan kita.

Persekitaran di sini menyeronokkan dan menenangkan. Petang itu Mama bawa Amina dan Adam berjalan- jalan di hadapan rumah, di tepi padang.

Beberapa orang jiran kita duduk di tepi padang sambil menemani anak- anak mereka bermain. Mama menyertai mereka. Ramai kanak- kanak, anak-anak jiran kita dan kanak- kanak lain dari rumah- rumah yang agak jauh dari padang datang bermain di situ pada waktu petang. Mereka mermain bola atau duduk- duduk di pangkin yang ada dihujung padang. Ada yang memanjat pokok.

Suasana nyaman dengan tiupan angin. Amina dan Adam dilayan oleh kakak- kakak dan abang- abang jiran kita.

Amina sangat seronok berlari dan bermain. Amina nak turut serta abang- abang bermain bola di padang.

Ini kali pertama Amina keluar, bermain, berlari dan buat kawan dengan bebas. Mama tengok, Amina sangat riang.

Mama gembira sangat tengok Amina seronok dan bebas berlari!

Alhamdulillah. Persekitaran di sini baik untuk Amina dan Adam.

Sekurang- kurangnya, fitrah kanak- kanak Amina dan Adam untuk bermain dapat dipenuhi.

Semoga anak- anak Mama terus membesar dengan baik dan sihat.

Mama sayang anak- anak Mama!

Tuesday, December 9, 2014

Adam Mula Berjalan

Adam mula banyak menapak setelah cukup usia 11 bulan pada 2 November lepas. Nampaknya, Adam tunggu cukup 11 bulan untuk berjalan.

Selepas itu, seperti meniarap juga, Adam jarang- jarang berjalan. Tapi, Adam suka berjalan dengan dipimpin sebelah tangan.

Dalam usia 11 bulan juga, Adam batuk dan selsema sedikit untuk kali pertama setelah Adam keluar hospital pada 22 Januari 2014.

Alhamdulillah, Allah kurniakan kesihatan kepada Adam dalam jangka masa  yang lama.

Mama sayang Adam Ann Wei Sheng!

Sunday, December 7, 2014

Hijrah Kita


Alhamdulillah, tanggal 23 November 2014, hari Ahad, kita telah selamat berpindah masuk ke rumah kita di Taman Semarak, Nilai.

Selepas dua minggu, baru Mama berpeluang menulis tentang hijrah ini kerana terlalu sibuk menguruskan banyak hal.

Mama berasa sangat seronok dan bersyukur. Inilah kali pertama Mama tinggal di dalam rumah yang Mama beli dengan hasil titik peluh Mama sendiri.

INILAH RUMAH KITA!

Rumah ini lebih luas dan selesa. Amina pun dapat berlari dan bermain dengan lebih bebas. 

Lebih menyeronokkan, rumah kita ini menghadap padang. Jadi, apabila memandang ke luar rumah, kita dapat lihat pokok- pokok dan rumput di padang. Pemandangan yang hijau ini menyejukkan mata.

Memang rumah ini lebih sejuk berbanding dengan rumah di Desa Jasmin.

Cuma, yang agak tidak seronok, di padang itu, selalu kelihatan anjing berkeliaran. Udara di sini juga agak tidak sihat kerana berhampiran dengan kilang.

Di dalam rumah, Mama sudah sediakan penyegar udara (air purifier). Untuk halaman, Mama akan tanam banyak pokok bunga dan hiasan berdaun supaya dapat memerangkap habuk, supaya udara akan lebih segar.

Apapun, Mama berdoa dan berharap supaya rumah kita ini menjadi rumah yang diberkati, yang damai dan menenangkan untuk kita sekeluarga.

Saturday, November 15, 2014

Adam 10 Bulan

Dalam usia 10 bulan, Adam mula menapak. Hari itu, Adam dah menapak lebih daripada dua tiga langkah, tetapi, Adam belum betul- betul berjalan lagi.

Tapi, anak Mama ni dah hebat dalam memanjat. Adam bukan sahaja panjat ke atas sofa, malah Adam cuba pula panjat ke kabinet TV dari sofa tu.

Adam dah faham apabila Mama suruh kiss. Apabila orang sebut azan, Adam akan angkat kedua- dua tangan dan cakap "Bak...bak". Mungkin maksudnya Allahuakbar. Adam juga suka main bubble dan pandai sebut perkataan itu, "bab ber".

Adam dah faham kalau orang tanya "Mana baju?". Adam akan tunjuk baju yang Adam pakai. Adam juga dah pandai tunjuk kepada beberapa objek apabila ditanya.

Adam dikira lambat bercakap jika dibandingkan dengan kakak. Tapi, Mama tahu yang anak Mama ini tetap cerdik dan bijak macam kakak juga.

Mama sayang Adam Ann Wei Sheng!

Monday, November 3, 2014

Amina Yang Bermaklumat

1 November 2014 - Daddy sedang baca SMS. Amina yang duduk di tepi Daddy tiba- tiba cakap :

"Ada maklumat dalam ni."

Terkejut Daddy dengan kata- kata Amina. Mama pun teerkejut juga. Ini kali pertama Amina gunakan perkataan "maklumat". Entahlah Amina dengar dari mana. Mungkin daripada perbualan Mama dengan orang lain, mungkin juga dari TV.

Amina baru berumur 2 tahun setengah. Kata Daddy, mana ada budak 2 tahun guna perkataan "maklumat".

Amina memang selalu gunakan perkataan yang tak dijangka. Contohnya, Amina kata : "Amina nak tulis sesuatu."

Perkataan lain yang Amina tiba- tiba guna ialah kesihatan, seimbang, berkhasiat.

Amina memang anak yang cerdik.

Semoga Amina terus jadi anak yang cerdik dan solehah dan jadi aset untuk agama dan negara kita.

Mama sayang Amina!

Adam Memanjat

31 Oktober 2014 - Adam berjaya memanjat sofa. Adam juga dah boleh memanjat meja kopi.

Anak Mama ni semakin kuat dan aktif. Adam juga dah boleh berdiri tanpa berpaut dengan agak lama. Malah, Adam boleh bertepuk tangan semasa berdiri tanpa jatuh.

Alhamdulillah,  Mama sangat gembira tengok perkembangan Adam yang positif.

Semoga anak Mama terus kuat dan sihat untuk menjadi seorang pejuang Islam.

Mama sayang Adam!


Sunday, October 26, 2014

Tabung Warisan Anak Selangor

Inilah wajah anak Cina Selangor Mama
Amina & Adam di Pantai Morib

Hari ini, Mama daftarkan Amina dan Adam sebagai ahli Tabung Warisan Anak Selangor atau TAWAS.

Walaupun kedua- dua anak Mama dilahirkan di Kelantan dan tidak menetap di Selangor pun, Amina dan Adam diiktiraf sebagai anak Selangor kerana Daddy merupakan anak kelahiran Selangor. Kira anak- anak Mama ni bertuah la sebab dapat tumpang kod 10 Daddy.

Sebenarnya, Mama dah lama tahu tentang kewujudan TAWAS. Sebelum Mama bergelar Mama lagi. Tetapi, selepas Amina dan Adam lahir, niat Mama untuk mendaftarkan anak- anak sebagai ahli TAWAS asyik terbantut.

Entah kenapa, tiba- tiba semalam, Mama tergerak hati untuk mencari maklumat tentang TAWAS di internet. Sebaik sahaja membuka laman web berkaitan, Mama terus tertarik dengan iklannya :

HADIAH RM1,500 UNTUK ANAK KELAHIRAN SELANGOR

Lebih menarik, Mama terbaca yang kaunter pendaftaran sebagai ahli TAWAS akan dibuka di Dataran Pantai Morib pada hari Ahad, 26 Oktober 2014.

Walaupun Mama boleh buat pendaftaran secara atas talian, Mama memilih untuk ke Morib sambil membawa Amina dan Adam bersiar- siar pada hujung minggu.

Apa yang menariknya tentang tabung ini? 

Pendaftaran TAWAS perlu dibuat sebelum ulang tahun kelahiran ketiga bagi anak. Apabila anak itu cukup umur 18 tahun, dia akan menerima RM1,500 sebagai hadiah daripada kerajaan negeri Selangor.

Di samping itu, ada juga keistimewaan lain seperti boleh memohon biasiswa kerajaan Selangor.

Mula- mula, Mama fikir, kayanya kerajaan Selangor nak bagi duit RM1,500 pada budak- budak ni. Tapi, kerajaan Selangor memang la kaya sebab hasil negerinya sangat banyak.

Rupa- rupanya macam ini, apabila seorang anak didaftarkan, kerajaan Selangor akan hadiahkan pembukaan akaun sebanyak RM100. Duit itu akan terus disimpan sampai anak tersebut berusia 18 tahun. Masa tu, duit dalam akaun itu akan berjumlah sebanyak RM1,500 setelah dapat dividen,barulah boleh dikeluarkan.




Thumbs up untuk kerajaan negeri Selangor atas inisiatif buat projek macam ini!

Mama tak tahulah negeri lain ada atau tidak skim macam ini. Tapi,bagi Mama, skim ini sangat baik untuk dilaksanakan di setiap negeri di Malaysia.

Bertuahlah Amina dan Adam yang berbapakan orang Selangor!

#Maklumat lanjut boleh didapati daripada www.tawas.org.my

Friday, October 10, 2014

Adam 9 Bulan

Dalam usia 9 bulan, Adam dah boleh berdiri dan meniti. 

Adam sangat kuat makan. Dengar perkataan "makan" pun, mata Adam dah terbuka luas dan Adam senyum.

Adam bayi yang comel dan lucu. Gelagat Adam selalu buat orang ketawa.

Walaupun belum boleh bercakap, Adam faham banyak perkara. Apabila orang cakap "tak ada" atau "no more", Adam akan goyang- goyang tangan buat isyarat tiada. Kalau Mama cakap "tak boleh" atau "cannot" pun, Adam akan buat isyarat tangan juga.

Adam dah pun berjaya merangkak naik tangga sehingga ke tingkat 2 di rumah Teh La di Senawang!

Adam masih suka menangis dan selalu bangun awal pagi sehingga Mama agak susah nak bersiap ke sekolah.

Apapun, Mama sayang Adam.

Saturday, September 27, 2014

Selepas 10 Hari

Tambahan stor/ bilik di belakang dapur...

Pemandangan dari lorong belakang rumah

Pemandangan dari tepi/ dalam. Lantai basah sebab mereka bersihkan lepas habis buat kerja.

Tepi bilik kedua dan ketiga@ tapak mini indoor garden
Memang bersepah sebab belum siap sepenuhnya lagi. Sliding door sebagai ganti tingkap yang dipecahkan di Bilik B belum dipasang.

Halaman depan @ tempat letak kereta

Alhamdulillah, selepas 10 hari, inilah hasil kerja- kerja pengubahsuaian rumah kita. Mama rasa, kerja yang dibuat berjalan dengan agak cepat. Itu pun, Ustaz Ali kata dah lambat sebab masalah cuaca.

Di sini, Mama nak berbicara tentang masalah kontraktor rumah. Mama dapati, ramai orang lebih suka memilih kontraktor Cina berbanding Melayu. Alasan yang paling selalu diberi ialah kerja orang Cina lebih cepat dan cekap, serta bayaran perkhidmatan yang lebih rendah.

Mama bukan rasis (kalau Mama rasis, Amina dan Adam takkan lahir). Tapi, dalam memilih kontraktor atau apa sahaja urus niaga, Mama akan mengutamakan orang Islam terlebih dahulu (dalam konteks Malaysia, majoriti Islam ialah Melayu). Walaupun harga yang ditawarkan sedikit mahal dan ada sedikit kelemahan.

Sebabnya mudah. Kita mesti membantu orang yang lemah. Kita mesti menghulur tangan untuk memimpin orang yang baru bertatih. Contohnya antara Amina dan Adam, mestilah Mama dukung dan pimpin adik Adam sebab Adam masih kecil dan baharu hendak belajar berjalan sedangkan Amina dah boleh berlari, melompat dan memanjat.

Begitu juga dalam dunia perniagaan. Orang Melayu-Islam baru bertatih dalam bidang ini, sedangkan orang Cina sudah mempunyai empayar yang besar.

Mama bersyukur sebab dapat kenal ustaz Ali. Terima kasih kepada kawan Mama yang perkenalkan ustaz ini kepada Mama. Menurut kawan Mama, dia mula- mula dapatkan khidmat ustaz ini semasa nak ubahsuai bilik air di rumahnya. Dia dapatkan sebut harga daripada beberapa orang kontraktor. Semuanya mahu RM2500. Paling murah RM2400. Ustaz meletakkan harga sebanyak RM1500 sahaja. Ada lagi tawaran yang lebih menarik, ustaz boleh beri harga RM1000 saja kalau dia beli sendiri jubin.

Menarik kan?

Semasa mula- mula Mama hubungi ustaz, dia ada beritahu, kalau Mama mahu khidmat tukang Melayu, harganya mahal sikit, dan kadang- kadang lambat sikit. Mama beritahu dia, Mama tak kisah bayar sedikit mahal atau terpaksa menunggu. Yang Mama tak mahu, kerja terbengkalai atau tak sempurna, tak berbaloi dengan harga yang dibayar.

Memang orang Melayu terpaksa menjual mahal sebab mereka bayar harga yang lebih mahal kepada pembekal bukan Melayu.

Kalau orang Melayu sendiri tak mahu menyokong Melayu sebab harga mahal. Sampai bila pun peniaga Melayu akan terus jadi peniaga kecil.

Mama tak kisah bayar mahal, selagi mana harga itu dalam kemampuan Mama. Mama anggap lebihan wang yang dibayar itu sebagai satu sedekah kepada saudara seagama. Mereka berusaha mencari rezeki, apa salahnya kita bantu. Pekerjaan itu ibadah bagi orang Islam. Apabila kita membuka jalan untuk mereka bekerja, maknanya kita membuka jalan untuk mereka beribadah. Setiap sen yang orang Islam belanjakan untuk keluarganya itu dianggap sebagai sedekah. Kalau kita memberi wang untuk mereka belanjakan kepada keluarga mereka, bukankah kita membantu mereka untuk bersedekah.

Alhamdulillah,Mama tak menyesal pilih ustaz Ali untuk ubahsuai rumah. Beliau dah buktikan yang orang Islam pun boleh buat kerja dengan baik. Malah, frame untuk sliding door dalam bilik kedua tu dah lama ustaz siapkan. Tapi, sliding doornya yang Cina kedai tu lambat  siapkan, sebab itu tak boleh pasang lagi.

Tapi, ramai orang Melayu sendiri yang kalau dengan Cina, dia boleh sabar menunggu. Tapi, kalaulah orang Melayu yang buat lambat tu, mulalah riuh satu negara, orang Melayu lambat, tak boleh harap.......

Mungkin juga bukan salah pengguna, sebab Mama banyak juga dengar masalah yang ditimbulkan oleh peniaga/ penyedia perkhidmatan berbangsa Melayu- Islam yang memang buat kerja secara melepaskan batuh di tangga.

Jadi, kita orang Islam ni kenalah banyak muhasabah dan perbaiki diri supaya menjadi khaira ummah ...

Bagi orang yang di sekitar Nilai dan kejiranannya, memang Mama cadangkan supaya cari ustaz Ali untuk kerja- kerja renovation, wiring dan seumpamanya.

Memang berbeza kerja orang yang anggap kerja tu ibadah dan berpegang teguh kepada agama ni. 

Sunday, September 21, 2014

Sedikit Masalah

Kerja pengubahsuaian rumah hanya ada sedikit perkembangan.

Hujan yang selalu turun dalam beberapa hari ni melambatkan proses.

Sedikit masalah timbul. Jubin yang Mama beli hari tu, banyak yang retak dan ada sekotak yang pecah.

Kesan retak pada jubin

Sedih!

Memang silap Mama. Mama beli jubin yang murah sangat. Hari tu memang Mama kelam- kabut sangat sebab rancangan kita untuk bertolak ke Pulau Pinang awal- awal pagi terpaksa ditangguhkan ke tengah hari sebab Mama kena bergegas beli jubin.

Mama ke kedai yang Ustaz Ali cadangkan, tapi di situ tak ada jubin yang Mama berkenan. Jadi, Mama pergi ke kedai satu lagi dan terus beli sebab memang ada corak yang Mama suka semasa Mama pergi survey hari Jumaat sebelumnya.

Memang harganya murah sangat. Mama dah cuba berhati- hati untuk tak beli yang murah sangat sebab Mama memang dah dengar pengalaman orang lain yang beli jubin murah, tapi tak lama lepas tu, banyak yang pecah.

Tapi hari tu Mama memang kelam- kabut!

Terpaksalah terima je keadaan ini dan anggap ini satu pengajaran. Tapi, pengajaran ni agak perit la bagi Mama dengan sumber kewangan Mama yang terhad.

Sedih lagi!

Sekarang ni, Mama cuma berharap pada Ustaz Ali. Dia dah cuba kurangkan risiko jubin tu cepat pecah dengan mampatkan simen di bawahnya. 

Moga- moga dapat membantu! 

Saturday, September 20, 2014

Permainan Yang Mengajar

Amina dah kenal banyak nombor bahasa Melayu dan bahasa Arab.

Mama hanya ajar Amina mengira dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Mama jarang kenalkan Amina dengan bentuk nombor. Hanya nombor 1 yang Amina dah kenal sejak berumur setahun sebab Amina kenal logo 1Malaysia. Nombor 3 Amina tahu sebab Mama ajar Amina tengok saiz untuk bezakan antara baju adik dan baju Amina.

Amina tahu mengira dan mengenal nombor bahasa Arab melalui permainan. Begitu juga dengan nombor lain dalam bahasa Melayu.


Telefon ini Mama beli di pasar malam dengan harga RM15. Laptop itu pula Mama kirim pada Auntie Zirah beli di Mekah, juga dengan harga RM15 (Rial).


Inilah permainan yang mudah dan murah, tetapi membantu dalam pengajaran. Mama rasa para ibu bapa patut beli mainan ini untuk anak- anak.

Melalui telefon itu, Amina bukan sahaja belajar nombor, Amina turut belajar nama- nama bentuk (triangle, square, circle, heart).

Mama harap selepas ni Adam boleh manfaatkan pula permainan ini. Sekarang ni pun Adam memang suka berebut permainan ni dan permainan lain dengan kakak. Tapi Adam ambil untuk tepuk- tepuk dan masukkan dalam mulut saja.

Sayang anak- anak Mama, Amina dan Adam.


Amina suka betul apabila keluar muzik "Teng...teng teng...teng teng teng teng teng teng... Excellent!" kalau Amina tekan nombor yang betul. Lepas tu Amina dah tak dengar soalan "Where is number....?", jadi Mama lah yang kena cakap nombor berapa yang ditanya.

Monday, September 15, 2014

Pengubahsuaian Bermula


Hari ini, kerja- kerja pengubahsuaian rumah kita bermula.

Mama rasa seronok sangat.

Sejak beberapa minggu lepas, Mama dah sibuk bawa Ustaz Ali, kontraktor yang akan menjalankan kerja pengubahsuaian meninjau rumah itu.

Mama pun jadilah pelukis pelan dan pereka dalaman tak bertauliah, buat lakaran penambahan ruang dan kabinet dapur untuk panduan ustaz Ali.





Hee... hee... disebabkan Mama nk cikgu, bukannya arkitek lakaran dibuat atas kertas buku tulis saja.

Lukisan pun macam murid pra sekolah.

Mama juga sibuk buat belanjawan berdasarkan sebut harga yang Ustaz Ali beri. Juga sibuk ke sana sini dan layari internet untuk tinjau harga barang macam jubin.

Mama buat kerja- kerja pengubahsuaian sebelum kita berpindah masuk supaya Amina dan Adam tak terganggu oleh bunyi bising dan habuk- habuk yang banyak.

Sebenarnya sekarang rumah tu ada penyewa. Nasib baiklah penyewanya anak- anak muda bujang. Cikgu sekolah Mama juga, dan mereka memahami. Macam mana pun, Mama kurangkan sewa mereka sebab mereka terganggu juga dengan kerja- kerja ni.

Pagi-pagi lagi Mama dah keluar beli jubin untuk dipasang di stor yang baru nak dibina dan garaj kereta.

Baru Mama tahu yang untuk garaj kita kena guna jubin yang tebal dan lasak. Istilah yang digunakan dalam pembinaan nk ialah heavy duty.

Jumlah semuanya ialah RM 1322. Nasib baik di Nilai mudah untuk Mama ke beberapa kedai untuk bandingkan harga. Tapi Mama ke dua buah kedai saja, ikut saranan kawan -kawan.

Mama tak larat dan kesuntukan masa untuk survey  banyak sangat.

Saturday, September 13, 2014

Adam 8 Bulan

Dalam usia 8 bulan, berat Adam 8.76kg dan panjang 67.5cm. 

Berat Adam bertambah sedikit je sekarang. Tapi, berat Adam masih seimbang dengan usia dan ketinggian.

Pada 10 September 2014, Adam mula pandai bertepuk tangan. Jaddah yang ajar Adam. Cara Adam tepuk tangan comel sangaaaatt!

Ai Adam!

Friday, September 12, 2014

Teratak Kecil Kita

Mulai hari ini, Mama akan tambah satu lagi label dalam blog ini. Label bertajuk "Teratak Kecil Kita".

Sebabnya, sekarang Mama sedang sibuk dengan urusan mengubahsuai rumah sebelum kita berpindah masuk pada awal Disember ini, insya Allah.

Tiba- tiba saja Mama terceburkan diri dalam bidang pembinaan. Semenjak dua menjak ni, Mama banyak belajar dan cari maklumat tentang pengubahsuaian rumah, pembinaan kabinet dapur, pembinaan kabinet bilik tidur, wiring, tiling, ....

Bukan itu saja, Mama juga sibuk cari rekaan landskap taman mini,  jenis- jenis bunga dan tanaman daun yang sesuai ditanam, digantung dan sebagainya.

Sambil- sambil tu, Mama intai juga binaan pergola, garden stepping, bla...bla...bla.

Banyak pengetahuan baharu yang Mama dapat akhir- akhir ini.

Macam- macam Mama ni kan. Sebabnya, Mama nak jadikan rumah kita rumah yang baik dan selesa untuk Amina dan Adam diami. Dari rumah inilah Amina dan Adam akan melangkah keluar ke dunia yang lebih luas dan mencabar....

Jadi, rumah Mama mestilah berperanan dalam membentuk peribadi anak- anak yang ceria, tenang berkeyakinan diri, mempunyai nilai- nilai murni dan berfikiran tajam dan terbuka.

Rumah kita kecil saja. Sebab Mama tak mampu nak beli rumah yang besar dan mewah untuk anak- anak Mama. Tapi, Mama akan usahakan sedaya upaya untuk jadikan teratak kecil kita ini tempat yang selesa, tenang dan mendamaikan untuk kita sekeluarga.

Mama yakin, dari rumah kecil ini, akan lahir insan- insan yang berjiwa besar, yang bakal beri sumbangan besar kepada dunia!


Huu...huuuu, tersedih pulak Mama. Memang setiap kali berfikir tentang rumah, hati Mama tersentuh.
Mama wujudkan entri dan label dalam blog ini supaya suatu hari nanti Amina dan Adam boleh membaca "sejarah" rumah kita dan "perjuangan" Mama menbangunkannya.

Nanti anak- anak Mama tahu yang Mama ni sebenarnya seorang superwoman. Haa...haaa...

Nanti Mama akan snap gambar- gambar rumah kita yang belum diubahsuai dan keadaannya selepas pengubahsuaian.

Mama sayang sangat Amina dan Adam! 

Wednesday, September 10, 2014

Amina Terus Belajar

Amina terus membesar dan belajar banyak perkara.

Sekarang, Amina suka bertanya. Apabila lihat sesuatu (serangga dsb) Amina akan tunjuk dan tanya "Apa tu, Mama?"

Entah kenapa, Mama berasa sangat bahagia mendengar soalan Amina tu. Mungkin sebab soalan itu menunjukkan yang anak Mama sedang dalam perjalanannya untuk mencari seorang ilmuwan.

Mama akan cuba jawab soalan Amina dengan penjelasan sebaik mungkin. Mama mahu kognitif Amina berkembang dengan baik.

Mama teringat satu peristiwa semasa Mama mengandungkan Amina. Ketika itu Mama ke klinik untuk pemeriksaan bulanan. Di situ, ada seorang budak lelaki berusia lebih kurang 4 tahun yang datang bersama ibunya.
Bagi Mama, budak itu cukup cerdik. Dia banyak bertanya "Apa tu?" apabila melihat atau mendengar sesuatu.
Tiba- tiba, ada bunyi yang agak kuat kedengaran dari dalam sebuah bilik. Dia bertanya kepada ibunya dengan perasaan ingin tahu, "Apa tu?"
Ibunya menjawab, "Hiii, takut- takut".
Budak itu terus lari dan duduk dekat ibunya.

Mama berasa sedih melihat cara ibu budak itu melayan pertanyaan anaknya. Budak itu tidak mendapat jawapan yang sepatutnya bagi soalan yang ditanya. Perasaan ingin tahu yang sepatutnya mendorong dia menjadi lebih cerdik seakan disekat oleh ibu sendiri.

Mama berjanji kepada diri untuk tidak melayan anak- anak Mama seperti itu. Apa salahnya menerangkan sesuatu dengan tepat dan logik.

Mama sendiri tidak pernah mangajar Amina takut tak bertempat. Ada masanya, Amina takut mendengar bunyi mesin pengisar dsb. Mama bertahu Amina "No need to be scared. That is only sound. It's not dangerous. That is blender."

Anak Mama tak boleh membesar sebagai penakut sebab anak Mama nak jadi pejuang Islam. Anak- anak Mama mesti berani dan kuat.

Sayang Amina!


Monday, September 8, 2014

Adam Tumbuh Gigi

Adam dah tumbuh sebatang gigi semasa berusia 7 bulan, muncul lebih kurang selepas Hari Raya tempoh hari.

Adam juga dah pandai panggil Mama, terutamanya semasa menangis. Sekarang Adam dah banyak cakap dan membebel macam- macam. seronok layan Adam bercakap.

Adam tetap manja dan suka menangis nak Mama macam dulu juga.

Hobi Adam sekarang ialah makan. Adam memang pantang tengok orang makan, mesti Adam merengek nak sama.

Adam juga dah sangat cerdik dan faham banyak perkara. Apabila nampak Mama bawa air panas ke dalam bilik, Adam dah tau itu masa mandi dan ikut masuk ke bilik. 
Adam juga faham kalau Mama tanya, "Adam want milk?", Adam akan senyum dan ketawa kalau Adam nak.
Hari tu, semasa Adam sedang bermain dalam bilik Jaddah, Jaddah cakap pada Adam, "Pergilah main dengan kakak", Adam pun merangkak keluar dari bilik Jaddah, nak pergi bilik Mama cari kakak.

Adam sangat lasak dan mula memanjat. Susah betul nak jaga Adam sekarang. Nak pakaikan lampin dan baju selepas mandi pun susah.

Kalau dulu, masa kakak sebaya adam, dia akan menggoyang- goyangkan badan apabila dengar muzik. Adam berbeza sikit. Apabila orang menyanyi atau berselawat atau bernasyid, Adam akan menepuk- nepuk meja atau apa- apa permukaan. Kadang- kadang Adam tepuk paha atau perut sendiri.

Adam minat muzik, sama macam kakak.

Mama sayang Adam dan nak Adam terus membesar jadi anak yang sihat dan cerdik.

Saturday, August 30, 2014

Amina, Adam & Gaza


Suatu hari, tiba- tiba saja Amina membebel- bebel cakap :

"Askar Israel jahat."

Amina ulang kata- kata tu beberapa kali.

Memang apabila tengok berita tentang Gaza, Mama selalu beritahu Amina,

"Tengok, orang Islam kena bom. "

"Kesian baby menangis. Baby tak ada susu."

"Tengok, abang/ kakak berdarah. Mama dia mati. Dia tak ada rumah. Rumah dia terbakar, kena bom."

"Askar Israel jahat, bom  orang Islam."

"Bila Amina besar, bila Adam besar, Amina dan Adam mesti selamatkan orang Islam."



"Amina dan Adam kena belajar rajin- rajin. Kena jadi orang hebat."

"Allah sayang orang yang rajin belajar."

"Bila Amina dan Adam jadi orang pandai, boleh tolong orang Islam."

"Kalau Amina dan Adam jadi orang hebat baru boleh selamatkan orang Islam."

Rupa-rupanya apa yang Mama cakap berkesan juga di hati Amina. Mama percaya dalam hati Adam juga. Cuma Adam belum boleh bercakap untuk luahkan perasaannya. 

Mama percaya Mama sedang berada atas jalan yang betul untuk lahirkan generasi pembebas al-Aqsa.



Tapi masih banyak yang perlu dilakukan, masih banyak ranjau yang perlu dibuang untuk sampai ke situ.

Semoga Allah bantu!

Sayang Amina & Adam.

Friday, August 29, 2014

Kali-kali Pertama

18 Ogos 2014 - Kali pertama Adam guna walker.

21 Ogos 2014 - Kali pertama Amina "belajar" dalam kelas.
                        Kali pertama Amina menggunakan kapur tulis dan papan hitam
 
Sebabnya, Amina ikut Mama ke sekolah untuk Kem Bestari Solat.



25 Ogos 2014 -Kali pertama Mama belikan Amina Jalur Gemilang. Amina gembira sangat memiliki Jalur Gemilang berharga RM1 itu  walaupun tak lama selepas itu batang bendera tu patah.

27 Ogos 2014 - Kali pertama Mama tengok anak- anak Mama bermain kejar- kejar. Gembiranya tengok Adam dah pandai kejar kakak guna walker. Kakak bukan main seronok lagi apabila adik kejar dia.

Tak lama lagi, riuhlah rumah Mama bila anak- anak Mama dah pandai bermain dan bergurau senda. 

Saturday, August 16, 2014

Anakku Seorang Hafiz

Baku ini Mama beli semasa cuti selepas melahirkan Adam. Dibeli di Kedai  Buku  Muda Osman di Terbak,Tumpat.


Buku ini ditulis oleh Ustaz Mohd Solleh bin ab Razak yang juga seorang hafiz dan imam. Penulisan beliau santai tetapi tidak lari dari bentuk ilmiah kerana beliau memberi rujukan- rujukan kepada fakta yang beliau nyatakan.

Menariknya buku ini kerana di dalamnya dinyatakan sebab perlunya anak- anak dididik untuk menghafaz al-Quran sebelum mempelajari ilmu- ilmu lain. Setelah membaca buku ini, Mama berazam dan berdoa supaya anak- anak Mama dapat menjadi hafiz dan hafizah seawal usia mungkin.

Di dalam buku ini juga, penulis memberi tips-tips dan langkah untuk membimbing anak- anak menghafaz al-Quran. Antaranya yang Mama praktikkan ialah selalu memperdengarkan al- Quran kepada anakyangmasih belum boleh bertutur (yang ini Mama dah praktikkan sejak lama dahulu). Bagi anak- anak yang sudah boleh bercakap, ibu bapa boleh mengajar anak menghafaz dengan memperdengarkan satu ayat secara berulang- berulang dalam masa beberapa hari, dan dibaca secara perlahan-lahan (satu persatu) supaya anak boleh mengikutnya.

Cara ini juga Mama praktikkan kepada Amina. Lagipun, Mama tengok Amina boleh nyanyi lagu "Twinkle Little Star", "Insha Allah" dan "Tobat Maksiat" apabila selalu dengar. Jadi, lebih baik Mama gunakan kecerdikan Amina itu untuk Amina hafaz ayat- ayat Allah.

Setakat ini, Amina dah boleh baca surah al-Ikhlas, An- Nas dan tiga ayat al-Falaq dengan cara tersebut. Amina pelat dan agak sukar menyebut perkataan yang panjang. Jadi, apabila Amina boleh menyambung bacaan Mama daripada surah itu, Mama tahu yang Amina dah ingat. Kalau surah an- Nas, Amina boleh baca ayat kedua "malikin nas", dan ayat ketiga "ilahinnas" dengan penuh. Yang lain, Amina akan sambung- sambung yang Mama baca.

Mama akan terus berusaha sebab Mama mahu sangat anak-anak Mama jadi penghafaz al-Quran. 

Semoga Allah makbulkan!

Sayang Amina dan Adam!

Tuesday, August 12, 2014

Amina Using Eraser

Hari ini, Amina dapat kosa kata dan tahu kegunaan satu benda baharu.

Amina conteng dinding. Mama rasa terconteng sebab ada kesan sikit saja di dinding. Lagipun, Mama selalu pesan supaya Amina tak tulis di dinding, Amina cuma boleh tulis di buku.

Amina pun sibuk- sibuk suruh Mama lap. Amina pergi ambil tisu dan berusaha mengelap kesan contengan di dinding itu.

Mama cakap pada Amina, "Tak boleh guna tisu. Amina should use eraser".

Mama ambil pemadam dan ajar Amina cara menggunakannya.

Mula- mula, Amina panggil pemadam tu, "square".

Mama beritahu namanya "eraser".

Amina sangat excited dengan penemuan baharu ini. Amina asyik pegang pemadam tu dan sebut namanya. Amina juga cuba gunakannya. Tapi, Amina belum pandai sangat gunakannya.

Semasa Amina mengamuk nak tidur tadi, Mama tanya Amina nak milk ke, Amina jawab tak nak. Nak water? Amina tak nak juga. 

Habis tu, Amina nak apa?

"Amina nak yang tu. Tu...tu...eraser."

Hmm, seronok sangat la tu dengan pengetahuan baharu. Tidur pun sambil pegang pemadam.

Adik Adam pula, sibuk la nak rebut pemadam dari tangan kakak.

Sayang anak- anak Mama!

Amina Dah Tahu WhatsApp

Semalam, Amina main tablet Mama macam biasa.

Tiba- tiba Amina cakap, "Eh, Amina tetan (tekan) WhatsApp!"

Apabila Mama tengok, memang Amina dah buka senarai WhatsApp Mama.

Ya Allah, Mama tak pernah pula ajar Amina pasal WhatsApp. Mama pun jarang sangat guna WhatsApp. Amina je yang selalu WhatsApp Mok Su masa main  tablet Mama.

Mama tanya Mok Su kalau- kalau dia pernah tunjuk ikon WhatsApp dan cakap pada Amina. Mok Su pun tak pernah cakap.

Mama buka tablet dan cuba tanya Amina sekali lagi,yang mana WhatsApp.

Amina cari dan tunjuk ikon telefon dalam bulatan hijau :                         

"Yang ni lah WhatsApp," kata Amina.

Memang Amina tahu daripada pemerhatian secara tak langsung saja.

Cerdiknya anak Mama!

Sayang Amina!  

Monday, August 11, 2014

I Love You

"I love you, you love me
We're happy family
with the great big hug
and a kiss from me to you
won't you say you love me too"

Ini ialah lagu yang Mama nyanyikan untuk Amina dan Adam sejak anak- anak Mama masih berada dalam kandungan.

Amina dan Adam memang sangat suka lagu ini. Kalau sedang menangis pun, anak- anak Mama akan berhenti menangis dan segera pandang Mama apabila Mama nyanyikan  lagu ini.

Malah, Amina dan boleh nyanyikan lagu ini sendiri, dengan bahasa pelat Amina.

Amina juga suka ulang kata- kata Mama, "We love each other".

Mama memang nak terapkan kasih sayang dan kemesraan dalam keluarga kita.

Mama seronok tengok anak- anak Mama rapat dan mesra antara satu sama lain.

Adam pantang tengok kakak, mesti Adam terus nak datang dekat dan gesel- gesel muka ke muka dan badan kakak.

Amina pun suka main dengan adik. Adik suka tarik rambut kakak, tapi Amina tak kisah dan tak pukul adik. Amina cuma mengelak dan cakap, "sakit- sakit".

Adam memang suka sangat dengan kakak. Maklumlah, Aminalah kawan pertama Adam. Suara Amina juga yang paling selalu Adam dengar semasa dalam perut, selepas suara Mama.

Kalau Adam nak tertidur pun, apabila dengar suara kakak, Adam akan bingkas bangun dan segar semula.


Adam juga akan ketawa terbahak- bahak apabila kakak buat sesuatu macam berlari dan melompat. Kalau kakak agah sikit pun bukan main Adam ketawa, sedangkan kalau orang lain buat, Adam tak ketawa pun.

Mama seronok dan bahagia tengok telatah anak- anak Mama.

Wednesday, August 6, 2014

Kisah-Kisah Inspirasi Para Ibu Yang Melahirkan Orang-orang Berjaya


Buku ini Mama beli semasa dalam cuti selepas melahirkan Amina. Dibeli di Kedai Buku Muda Osman, Tesco Kota Bharu.

Kisah- kisah inspirasi yang dimuatkan di dalam buku ini cukup menyentuh hati. Antara kisah tokoh yang dimuatkan dalam buku ini ialah Siti Hajar , bonda Nabi Ismail; Ibu Imam Syafie, Nancy Mattews Edison, ibu kepada Thomas Alva Edison; Blanche Rudolph, ibu kepada pelari wanita terpantas di dunia dan 12 tokoh lain.

Ibu- ibu yang cerita mereka dimuatkan di dalam buku ini bukan sekadar melahirkan, malah mereka telah berjaya mendidik seorang manusia kecil sehingga menjadi tokoh besar.

Lebih hebat lagi, terdapat di antara anak mereka yang merupakan anak yang dipandang lemah dan bodoh sewaktu kecil. Tetapi, dengan keyakinan diri dan sikap tidak mudah menyerah kalah, para ibu tersebut berjaya "mengubah takdir" anak mereka, menjadikan anak yang lemah dan bodoh itu seorang yang terpandang di sisi masyarakat!

Contohnya ialah Thomas Alva Edison yang disingkir daripada sekolah kerana menurut gurunya dia "sangat bodoh dan sukar diajar".

Wilma Rudolph pula lahir sebagai anak yang menghidapi pelbagai penyakit dalam sebuah keluarga berkulit hitam yang miskin.Sewaktu kecil, doktor menyatakan bahawa dia tidak akan boleh berjalan. Tetapi, ibunya meyakinkan bahawa dia pasti boleh berjalan. Si ibu dengan tidak kenal putus asa membawanya menempuh jarak sejauh 80km untuk mendapatkan rawatan sebanyak 2 kali seminggu.

Akhirnya, Wilma bukan sahaja boleh berjalan, malah menjadi pelari wanita yang terpantas di dunia!

Keyakinan dan doa ibu memang membuahkan keajaiban dalam kehidupan anak- anak!
  
Mama berasa sangat terinspirasi dan bersemangat untuk mencontohi ibu- ibu tersebut dalam mendidik anak- anak Mama. Mama mahu anak- anak Mama menjadi tokoh besar dunia, bukan untuk kebanggaan Mama dan kesenangan dunia semata- mata, tetapi supaya anak Mama boleh mengubah dunia ini menjadi tempat yang lebih tenang, aman dan selamat untuk manusia sejagat.

Semoga Allah makbulkan hajat Mama.

Mama sayang Amina dan Adam.

Adam Dah Berdiri



Anak Mama dah boleh berdiri!

4 Ogos 2014 - Mama ke dapur sekejap untuk basuh botol Amina. Adam berada di ruang tamu dengan kakak.

Macam biasa, apabila ditinggalkan Mama, Adam akan menangis dan menjerit.

Apabila Mama keluar, Mama terkejut tengok Adam sedang berdiri sambil berpegang pada sofa.

Ya Allah, dah kuat kaki anak Mama!

Alhamdulillah.

Melihat Adam berusaha untuk berpaut, kemudian berjaya berdiri, Mama terbayangkan, 20 atau 30 tahun akan datang, anak kecil, anak yang baru mendapat kaki di hadapan Mama sekarang, akan berdiri di hadapan ribuan khalayak, akan menjadi perhatian ramai orang, kerana sesuatu yang bermanfaat yang Adam sumbangkan untuk kesejahteraan dunia.

Espérons!

Mama ai Adam.

Saturday, August 2, 2014

Adam Merangkak

Hmm, cukup lama Mama menunggu untuk tulis entri ni.

Pada 31 Julai 2014, Adam merangkak beberapa langkah untuk kali pertama.

Esoknya, 1 Ogos 2014, Adam mula duduk!

Walaupun Adam meniarap awal sebulan daripada kakak, Adam dapat merangkak lewat sikit. Dulu, Amina dapat merangkak lebih kurang usianya 6 1/2 bulan, Adam dah nak masuk 7 bulan.

Satu lagi perbezaan antara Adam dan Amina yang Mama perasan ialah, Adam tak selalu praktikkan kemahiran yang Adam dah dapat. Macam dulu, lepas kali pertama dapat meniarap, beberapa hari lepas tu baru Adam meniarap untuk kali kedua. Beberapa minggu kemudian, baru Adam selalu meniarap.

Untuk merangkak ni, Mama tengok macam tu juga.

Berbeza dengan Amina, selepas dia dapat sesuatu, dia akan terus gunakan kemahiran tu.

Tak apalah, anak- anak Mama memang unik dan punyai keistimewaan masing- masing.

Apapun, Mama tetap sayang! 

Saturday, July 19, 2014

Detik Kelahiran Si Permata Hati


Buku ini Mama baca pada mingu- minggu terakhir kehamilan, sebelum melahirkan Amina.

Detik Kelahiran Si Permata Hati memuatkan beberapa pengalaman bersalin. Perkongsian pengalaman ini sangat menarik dan banyak membantu Mama meningkatkan pengetahuan tentang persedian yang perlu dibuat, cara melegakan kesakitan, cara menghadapi situasi ketika kontraksi dan sebagainya.

Lebih memudahkan, perkongsian pengalaman dalam buku ini disusun mengikut cara bersalin, iaitu, secara normal, secara normal dengan bantuan peralatan, secara caesarean dan teknik natural childbirth.

Bagi Mama, buku ini perlu dibaca oleh bakal ibu, terutamanya bagi yang akan bergelar ibu buat kai pertama!

Wednesday, July 16, 2014

Amina Yang Penyayang

Dalam rasa bersalah atas ketidaksempurnaan, Mama masih lagi boleh berbangga apabila ada sikap positif yang Mama rasa Amina warisi dari Mama.

Antara yang menggembirakan Mama ialah, Amina suka gunakan perkataan "Sayang", macam yang selalu Mama gunakan apabila bercakap dengan Amina.

Semalam, semasa berebut tablet dengan adik Adam, Mama seronok bila Amina cakap:

 "Ini kakak punya, sayang!"

Sambil tu, Amina larikan tablet dari adik.

Mama pun sayaaannnggg sangat anak- anak Mama!



Monday, July 14, 2014

Don't Let Me Be Misunderstood

Baru dua tahun lebih Mama bergelar ibu, banyak penyesalan yang telah Mama rasakan. Mama cuba untuk jadi Mama yang baik, yang sabar, yang berhikmah untuk Amina dan Adam, tapi, Mama selalu terlanjur dan terkasar dengan anak- anak Mama.

Ya Allah, ampunkanlah dosaku!

Mama selalu berdoa supaya jiwa anak Mama tidak dicacatkan oleh kesalahan yang Mama buat.

Mama harap, suatu hari nanti anak- anak Mama dapat baca entri ini dan memahami perasaan Mama terhadap kalian. 

Mama sertakan lagu yang cukup touching ni sebab Mama rasa lirik ini boleh meluahkan apa yang Mama rasa : 


Don't Let Me Be Misunderstood

People, do you understand me now,
If sometimes I feel a little mad
Don't you know no one alive can
always be an ANGEL
When things go wrong I seem a little sad
But I'm just a soul whose intentions are good
Oh Lord, please don't let me be misunderstood
You know sometimes, I'm so carefree
With a joy that's hard to hide
Sometimes seems that all I have is worry
And then you're bound to see my other side
But I'm just a soul whose intentions are good
Oh Lord, please don't let me be misunderstood
If I seem edgy, I want you to know
That I never mean to take it out on you
Life has its problems and I get more
THAN MY SHARE
But that's one thing I never mean to do
I don't mean it
People, don't you know I'm only human
Don't you know I have faults like any one

But sometimes I find myself alone regretting

Some little thing; some foolish thing

that I have done,

But I'm just a soul whose intentions are good
Oh Lord, please don't let me be misunderstood
Don't let me be misunderstood
I'm just someone whose intentions are good
Don't let me be misunderstood,
Don't let me be misunderstood


Friday, July 11, 2014

Adam 6 Bulan

Usia Adam dah 6 bulan!

Berat Adam bertambah sikit je, jadi 8.58kg. Panjang 67.5 cm.

Adam dah mula makan bubur nasi. Adam juga makin kuat menyusu.

Adam dah mula tunjukkan tanda- tanda nak merangkak. Adam dah boleh angkat punggung dan dada, cuma belum boleh menapak ke depan saja.

Anak Mama ni sangat aktif. Bila diletak, cepat je Adam meniarap, lepas tu bergolek-golek ke sana- sini. Adam suka masuk bawah kerusi!

Mama tinggal masuk bilik sekejap je, keluar- keluar tengok Adam dah ada kat bawah kerusi.
Ceria pulak tu dapat masuk bawah kerusi!


Adam juga sangat pandai mengikut orang. Kalau Mama pakai tudung, mulalah Adam gelisah minta diangkat.

Adam suka sangat bergurau dengan kakak. Kalau Kak Amina ada dekat Adam, Adam terus geselkan muka ke badan kakak. Kalau dapat rambut kakak, lagi Adam suka.

Berebut tablet dengan kakak pun Adam pandai!

Sejak dahulu hingga kini, Adam memang cukup sukakan selawat. Kalau Adam menangis, Adam akan berhenti, walaupun untuk seketika, apabila Mama berselawat. Moga- moga, anak Mama jadi umat Nabi Muhammad yang sangat mencintai dan dicintai Baginda.

Mama ai Adam! 

Sunday, July 6, 2014

Janji Mama Kepada Adam

Wasiat As-Syahid Dr Abdullah Azzam :

Wahai kaum muslimin...
kehidupan kalian adalah jihad
kemuliaan kalian juga terhasil daripada jihad
dan kewujudan kalian di atas muka bumi ini,
terikat dengan ikatan yang berpanjangan dengan jihad.

Wahai kaum muslimat…
Jauhilah kemewahan kerana ia musuh kepada jihad
Ia juga pembinasa diri manusia
Oleh itu, janganlah menunjukkan sesuatu yang berlebihan
Cukuplah sekadar keperluan sahaja.

Didiklah dan latihlah anak-anak kalian dengan kegagahan
dan kejantanan serta kepahlawanan dan jihad
jadikan rumah-rumah kalian sebagai kandang-kandang singa
dan bukannya reban ayam yang menunggu gemuk
untuk disembelih oleh taghut
Tanamkan ke dalam jiwa anak-anak kalian kecintaan kepada jihad
Keinginan kepada medan perang
Dan lapangan yang penuh dengan keributan perang

Hiduplah kalian dengan tidak melupakan penderitaan yang ditanggung oleh umat Islam
Cubalah sedaya upaya menjadikan sehari dalam seminggu sekuarng-kurangnya
Hidup bagaikan mujahidin
Dengan hanya memakan roti kering tanpa lauk
Dan meminum secawan teh tanpa gula 



Adam dah berusia 6 bulan, baru Mama sempat ikrarkan janji ini secara langsung kepada Adam. Tapi, secara simboliknya telah Mama terapkan dalam diri Adam sejak Adam mula- mula wujud dalam rahim Mama.

Mama nak, anak Mama Adam Ann Wei Sheng hayati pesanan ini. Mama berjanji, Mama akan didik Adam untuk menjadi seorang mujahid. Mama tak akan biasakan Adam dengan kehidupan yang mewah dan selesa. Sebabnya, mewah dan selesa selalu menjadikan seseorang itu malas dan manja. Jadi, Adam jangan marah dan salahkan Mama kalau kehidupan Adam tak macam kanak-kanak lain. Jangan kecewa kerana tiada Legoland dan water park sebagai tempat percutian Adam. Kerana Adam anak Mama, orientasi Adam akan diarahkan ke akhirat. Dunia ni cuma persinggahan kita yang sementara. Akhirat yang kekal itulah matlamat sebenar kita.

Anak Mama akan dididik menjadi pejuang, tidak kira dalam lapangan apa. Kalau pedang dan senjata sudah tidak releven lagi pada zaman ini, anak Mama akan berjuang melalui pena, melalui kata-kata, melalui harta atau apa saja sarana yang sesuai dengan peredaran zaman kini.

Lagi pula, Adam anak lelaki. Harapan Mama sangat besar supaya Adam menjadi mujaddid umat ini. Entah kenapa, naluri Mama kuat menyatakan yang suatu hari nanti, anak Mama Adam Ann Wei Sheng AKAN MENJADI PERDANA MENTERI!

Adam akan bawa pembaharuan dan mengislahkan masyarakat kita. Adam akan bebaskan bangsa Rohingya dan umat Islam minoriti di rantau kita yang selama ini hidup tertindas.

Besar harapan Mama kepadamu, nak!

Yang penting, anak Mama mesti menjadi "seekor singa" yang gagah menerkam musuh Islam, bukannya ayam daging yang gemuk yang cuma menunggu masa untuk disembelih musuh!


Ini wajah mujahid dan mujaddid yang bakal mempermudahkan jalan Mama ke Jannah!