Wednesday, May 16, 2012

Akikah Untuk Amina

15 Mei 2012, Amina genap usia 14 hari. Hari ini merupakan hari yang sibuk bagi Amina juga kaum keluarga Amina. Kehadiran Amina dalam keluarga Mama diraikan secara rasmi dan diumumkan kepada masyarakat sekitar melalui majlis akikah. Menurut sunnah Nabi, akikah afdal diadakan apabila bayi berusia tujuh atau empat belas atau dua puluh satu hari. Cadangan Mama pada mulanya hendak membuat akikah pada hari ketujuh. Tetapi, disebabkan kesihatan Mama yang belum begitu baik dan keadaan pun masih belum terurus sepenuhnya, majlis ditangguhkan pada hari ke-14.

Sejak malam Selasa, nenek-nenek saudara Amina sibuk membantu buat persediaan untuk kenduri. Kedua- dua orang bapa saudara Amina juga pulang ke kampung untuk raikan majlis akikah. Pagi Selasa, Daddy, dua orang datuk saudara Amina dan dua orang bapa saudara Amina pergi menyembelih dan melapah daging kambing sementara nenek- nenek saudara di rumah menyediakan bahan-bahan masakan. Semua orang sibuk untuk meraikan Amina.

Petangnya, Amina ditahnikkan oleh Ustaz Ubaidillah al-Hafiz, Imam Masjid Kg. Berangan yang juga seorang penghafaz al-Quran yang warak. Sebelum ini, Jaddah bercadang nak bawa Amina untuk ditahnikkan oleh Tuan Guru Menteri Besar Kelantan. Tapi, disebabkan jarak dan masa yang tidak mengizinkan, Amina dibawa kepada Ustaz Ubaidillah yang lebih dekat. Moga-moga Amina juga menjadi hamba Allah yang alim dan warak macam ustaz.

     
Malamnya, diadakan majlis selawat dan jamuan makan untuk meraikan Amina. Sayangnya, rambut Amina belum boleh dicukur sebab Amina ada ruam di kepala. Mama bimbang kulit kepala Amina luka nanti. Menariknya, kenduri akikah Amina ini turut dihadiri oleh YB Mohamad Zaki bin Ibrahim, iaitu ADUN Kelaboran merangkap Timbalan Speaker yang juga kenalan Daddy.

Kambing akikah Amina


Amina bersama YB Zaki

No comments:

Post a Comment