Friday, May 25, 2012

Air Mata Mama

Semalam hari yang agak penat bagi Mama. Malam sebelumnya, Amina berjaga sehingga jam 1.25 pagi. Puas Mama susukan, Amina tak lena-lena. Amina asyik merengek nak susu.

Semalam pun, Amina tak tidur siang sangat. Amina tidur sekejap je, lepas tu terjaga semula. Nasib naik Daddy ada. Daddylah yang jaga Amina, jadi Mama sempat pergi mandi dan makan. Mama pun sempat baring sekejap  tapi tetap tak boleh tidur. Daddy rajin betul dukung Amina bawa jalan- jalan sampai Mama takut kalau- kalau Amina asyik nak dukung apabila Daddy tak ada nanti.

Malamnya, Mama ingat Amina boleh tidur lena sebab Amina tak tidur siang. Tapi Amina tetap juga tak mahu tidur. Mama susukan Amina sampai Amina betul- betul puas. Akhirnya Amina terlena. Mama pun letakkan Amina dan tengok jam sebab nak tahu berapa lama Amina tidur. Pukul 11.11 malam. Mama pun berbaring keletihan. 

Tiba- tiba, belum sempat Mama betul- betul lena, Amina menangis. Mama bangun tengok jam. Baru pukul 11.21 malam. Baru 10 minit Amina tidur. Daddy pun terjaga dan bimbang kenapa Amina tak mahu tidur. Daddy bangun dan nak dukung dan dodoi Amina. Mama tak bagi sebab Mama tahu nanti bila diletakkan Amina akan menangis lagi. Mama cuba susukan Amina sambil berbaring. Selalunya, apabila menyusu sambil baring, Amina cepat terlena. Tapi, kali ni lama betul Amina menyusu. Apabila susu terlepas dari mulut Amina, Amina merengek- rengek lagi. Lenguh badan Mama mengiring bagi Amina susu. Sambil tu Mama berdoa dalam hati minta dipermudahkan Amina tidur.

Akhirnya, Mama sampai menitiskan air mata fikirkan keadaan Amina yang tak mahu tidur. Tambahan pula badan dan tangan Mama dah rasa lenguh betul. Mama pun tadah tangan minta pertolongan daripada Allah supaya tidurkan Amina dan beri Amina kesihatan yang baik. Mama berdoa sungguh- sungguh sambil menangis. Mama usap- usap kepala Amina supaya Amina  tidur.

Tak lama selepas tu, Amina pun  lepaskan puting susu dan terus tidur. Mama tak berani nak betulkan kedudukan tidur Amina sebab takut Amina terjaga lagi.Jadi, Mama biarkan saja Amina tidur dalam keadaan muka mengiring ke kanan walaupun Mama takut Amina tak selesa. 

Mama pun boleh tidur sama. Hanya pada pukul 3.50 pagi, baru Amina bangun  untuk menyusu lagi. Lepas tu, Amina tidur semula sampai jam 7 lebih. Jadual tidur Amina dah teratur semula.

Amina...Amina. Mama tetap sayang Amina!

Wednesday, May 23, 2012

Hiduplah Amina Kerana Allah

Pagi tadi, sambil memangku Amina yang tertidur selepas menyusu, Mama belek-belek wajah Amina. Tiba- tiba, Mama terperasan yang pada kelopak mata kiri Amina yang sedang tertutup, ADA URAT YANG MEMBENTUK HURUF LAM LAM HA YANG BERSAMBUNG, membentuk ejaan lillah dalam bahasa Arab yang bermaksud "kerana Allah"!

Mama tunjukkan urat tu kepada Nek Su dan Jaddah. Nek Su kata Amina ni budak bertuah. Sayangnya, Mama tak boleh nak ambil gambar  sebab tulisan tu kecil sangat. Amina sendiri pun tentu tak boleh tengok sebab tulisan tu cuma nampak apabila Amina pejam mata.

Tak apalah, apa- apa pun, Mama harap Amina hiduplah kerana Allah. Jadikan seluruh pancaindera dan anggota badan Amina berbuat sesuatu semata- mata untuk menunaikan ketaatan kepada-Nya. Mama nak, catatan ini akan sentiasa mengingatkan Amina bahawa Amina ialah hamba yang Allah pilih untuk menjadi seorang yang solehah.  

Mama ai Amina!

Tuesday, May 22, 2012

Amina 3.4



Hari ini, usia Amina genap 3 minggu. Ada jururawat klinik desa ke rumah untuk timbang berat Amina. Mama tak sangka yang berat Amina dah bertambah hampir 1 kg dalam masa 3 minggu! Daripada 2.5 kg semasa mula-mula dilahirkan, berat Amina sekarang ialah 3.4 kg.

Memang Amina kuat menyusu. Mama selalu lenguh tangan apabila Amina menyusu. Amina...Amina...Kata orang, baby boy yang kuat menyusu. Tapi, girl Mama ni pun kuat menyusu juga.

Tak apalah...macam Mama selalu cakap kat Amina, susu Mama ni memang Allah ciptakan untuk Amina. Tanpa kehadiran Amina, Mama takkan ada susu. Jadi Amina menyusulah sepuas- puasnya. Semoga Amina menjadi hamba Allah yang mensyukuri nikmat-Nya.

Daddy gembira bila Mama beritahu perkembangan Amina. Daddy ucapkan terima kasih kepada Mama sebab katanya itu tanda Mama jaga Amina betul- betul. 

Mama sayang Amina Ann Hui Fen!

Saturday, May 19, 2012

Selepas 2 Minggu

Hari ini usia Amina dah masuk 18 hari. Amina semakin mudah dijaga. Jarang dapat dengar Amina menangis kuat- kuat. Pada waktu siang, Amina banyak tidur dan merengek- rengek minta susu setiap 2 atau 3 jam. Selepas disusukan, Amina terus tidur. Kadang- kadang, Amina main agah- agah sekejap. Pada waktu malam pun, Amina macam dah ada jadual. Amina akan bangun jam 3 pagi lebih, dan sekali lagi jam 6 atau 7 pagi lebih. 

Mama makin senang jaga Amina. Alhamdulillah. Lagi satu, sekarang Amina memang dah menyusu badan sepenuhnya. Amina dah tak mahu susu botol. Maknanya, hari tu cuma lebih kurang seminggu Amina minum susu botol. Mama rasa syukur dan bangga dapat susukan anak Mama dengan susu badan Mama sendiri. 

Semoga Amina membesar jadi anak yang sihat dan solehah.

Mama sayang Amina!

  

Wednesday, May 16, 2012

Akikah Untuk Amina

15 Mei 2012, Amina genap usia 14 hari. Hari ini merupakan hari yang sibuk bagi Amina juga kaum keluarga Amina. Kehadiran Amina dalam keluarga Mama diraikan secara rasmi dan diumumkan kepada masyarakat sekitar melalui majlis akikah. Menurut sunnah Nabi, akikah afdal diadakan apabila bayi berusia tujuh atau empat belas atau dua puluh satu hari. Cadangan Mama pada mulanya hendak membuat akikah pada hari ketujuh. Tetapi, disebabkan kesihatan Mama yang belum begitu baik dan keadaan pun masih belum terurus sepenuhnya, majlis ditangguhkan pada hari ke-14.

Sejak malam Selasa, nenek-nenek saudara Amina sibuk membantu buat persediaan untuk kenduri. Kedua- dua orang bapa saudara Amina juga pulang ke kampung untuk raikan majlis akikah. Pagi Selasa, Daddy, dua orang datuk saudara Amina dan dua orang bapa saudara Amina pergi menyembelih dan melapah daging kambing sementara nenek- nenek saudara di rumah menyediakan bahan-bahan masakan. Semua orang sibuk untuk meraikan Amina.

Petangnya, Amina ditahnikkan oleh Ustaz Ubaidillah al-Hafiz, Imam Masjid Kg. Berangan yang juga seorang penghafaz al-Quran yang warak. Sebelum ini, Jaddah bercadang nak bawa Amina untuk ditahnikkan oleh Tuan Guru Menteri Besar Kelantan. Tapi, disebabkan jarak dan masa yang tidak mengizinkan, Amina dibawa kepada Ustaz Ubaidillah yang lebih dekat. Moga-moga Amina juga menjadi hamba Allah yang alim dan warak macam ustaz.

     
Malamnya, diadakan majlis selawat dan jamuan makan untuk meraikan Amina. Sayangnya, rambut Amina belum boleh dicukur sebab Amina ada ruam di kepala. Mama bimbang kulit kepala Amina luka nanti. Menariknya, kenduri akikah Amina ini turut dihadiri oleh YB Mohamad Zaki bin Ibrahim, iaitu ADUN Kelaboran merangkap Timbalan Speaker yang juga kenalan Daddy.

Kambing akikah Amina


Amina bersama YB Zaki

Sunday, May 13, 2012

Hari Ibu Yang Pertama Buat Mama

Hari ini, 13 Mei 2012 ialah Hari Ibu. Buat pertama kali, Mama menyambutnya. Semuanya kerana kehadiran Amina Ann Hui Fen dalam hidup Mama.

Kadang-kadang Mama rasa mcam tak percaya. Tahun lepas, masa Hari Ibu, Mama beritahu Daddy, tak kira apapun, tahun depan Mama nak juga sambut Hari Ibu. Alhamdulillah, Allah kabulkan hasrat Mama.

Mama tak tahu nak gambarkan betapa syukurnya Mama atas anugerah yang Allah beri kepada Mama, Amina Ann Hui Fen. Mama sentiasa berdoa supaya Mama boleh menjadi ibu yang paling baik untuk Amina dan Mama tidak akan sia-siakan amanah yang Allah beri ini.

Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini.Bimbinglah aku supaya sentiasa berada di jalan-Mu yang lurus. Berikanku kesabaran, hikmah dan kebijaksanaan dalam mendidik anakku. Ampunkan segala dosaku dan jangan jadikan dosaku hijab untuk aku mendapat petunjuk-Mu! 


p/s : Hmm..Mama tak sempat-sempat lagi nak tukar background blog ni. Hari tu, baru saja Mama nak edit html, Amina merengek nak susu pula. Terpaksalah Mama tutup laptop dan susukan Amina dulu.

Friday, May 11, 2012

Janji Mama Kepada Amina

Ini wajah puteri solehah Mama yang bakal memimpin Mama ke Jannah


Wasiat As-Syahid Dr Abdullah Azzam kepada kaum muslimat :

Wahai kaum muslimat…
Jauhilah kemewahan kerana ia musuh kepada jihad
Ia juga pembinasa diri manusia
Oleh itu, janganlah menunjukkan sesuatu yang berlebihan
Cukuplah sekadar keperluan sahaja.

Didiklah dan latihlah anak-anak kalian dengan kegagahan
dan kejantanan serta kepahlawanan dan jihad
jadikan rumah-rumah kalian sebagai kandang-kandang singa
dan bukannya reban ayam yang menunggu gemuk
untuk disembelih oleh taghut
Tanamkan ke dalam jiwa anak-anak kalian kecintaan kepada jihad
Keinginan kepada medan perang
Dan lapangan yang penuh dengan keributan perang

Hiduplah kalian dengan tidak melupakan penderitaan yang ditanggung oleh umat Islam
Cubalah sedaya upaya menjadikan sehari dalam seminggu sekuarng-kurangnya
Hidup bagaikan mujahidin
Dengan hanya memakan roti kering tanpa lauk
Dan meminum secawan teh tanpa gula 



Mama nak, anak Mama Amina Ann Hui Fen hayati pesanan ini. Mama berjanji, Mama akan didik Amina untuk menjadi seorang mujahidah. Mama tak akan biasakan Amina dengan kehidupan yang mewah dan selesa. Sebabnya, mewah dan selesa selalu menjadikan seseorang itu malas dan manja. Jadi, Amina jangan marah dan salahkan Mama kalau kehidupan Amina tak macam kanak-kanak lain. Kerana Amina anak Mama, orientasi Amina akan diarahkan ke akhirat. Dunia ni cuma persinggahan kita yang sementara. Akhirat yang kekal itulah matlamat sebenar kita.

Anak Mama akan dididik menjadi pejuang, tidak kira dalam lapangan apa. Kalau pedang dan senjata sudah tidak releven lagi pada zaman ini, anak Mama akan berjuang melalui pena, melalui kata-kata, melalui harta atau apa saja sarana yang sesuai dengan peredaran zaman kini.

Yang penting, anak Mama mesti menjadi "seekor singa" yang gagah menerkam musuh Islam, bukannya ayam daging yang gemuk yang cuma menunggu masa untuk disembelih musuh.

Wednesday, May 9, 2012

Amina Dah Pandai Pegang Botol

Semalam, masa Mama ke bilik air, Nek Su jaga Amina. Masa tu jugalah Amina menangis meronta- ronta nak susu. Nek Su pun buatkan susu botol untuk Amina. Apabila Mama keluar bilik air, mereka semua kecoh suruh Mama tengok Amina. Anak Mama yang baru umur tujuh hari ni dah pandai pegang botol susu sendiri!


Amina....Amina. Anak Mama ni cergas betul. Jaddah selalu kata Amina ni bergerak aktif macam bayi yang dah besar. Kadang- kadang Amina sampai macam nak balikkan badan untuk meniarap. Lagi satu yang lain sikit, Amina tak genggam jari macam bayi lain. Masa tidur saja Amina agak selalu genggam jari. Kata nenek sepupu yang datang tengok Amina hari tu, bayi yang tak genggam jari ni tandanya dia mudah dijaga. Harap- harap macam tulah.

Amina pun dah makin kurang minum susu botol. Sebenarnya, Mama memang berniat nak bagi Amina menyusu badan sepenuhnya. Sampai botol susu pun Mama tak beli. Tapi masa awal-awal kelahiran Amina, susu badan Mama tak cukup banyak sampai Amina menangis  tak puas menyusu. Terpaksalah pergi cari botol susu juga. Sekarang ni, Mama rasa susu Mama pun dah banyak. Macam semalam, Amina cuma minum 30 ml susu botol. Insya Allah, akan Mama kurangkan dan hapuskan terus.

Semalam pun, Amina tidur dengan baik. Amina bangun menyusu pukul 11.00 malam, 1.30, 3.00, 5.00 dan 6.30 pagi. Lepas menyusu, Amina tak menangis apabila Mama letak Amina tidur atas katil Amina sendiri. Nampaknya anak Mama dan makin pandai berdikari.

Amina Ann, mama ai ni!

Tuesday, May 8, 2012

Amina Tanggal Pusat

7 Mei 2012, Amina tanggal pusat selepas lebih 5 hari dilahirkan.

Habislah sisa terakhir alat yang menghubungkan Mama dengan Amina selama 9 bulan Amina tinggal dalam rahim Mama. Alat itulah yang selama ini membekalkan zat- zat makanan kepada Amina dan jadi saluran bahan buangan Amina.

Tapi di perut Amina, seperti juga manusia lain, Allah tinggalkan satu tanda yang dipanggil pusat supaya menjadi kenangan abadi hubungan antara seorang ibu dengan anak. Sebagaimana kekalnya tanda itu di tubuh seorang manusia, begitulah hubungan ibu dan anak yang tidak mungkin akan putus.  

Semoga anak Mama menjadi hamba Allah yang sentiasa merenung serta mengambil pengajaran daripada setiap kejadian-Nya.


Monday, May 7, 2012

Surat Beranak Amina

Alhamdulillah, hari ini anak Mama, telah sah didaftarkan sebagai seorang warganegara Malaysia dengan nama Amina Ann Hui Fen. Bagaimanapun, keturunannya yang sepatutnya didaftarkan sebagai Cina jika mengikut nasab bapa telah ditulis sebagai Melayu oleh jabatan pendaftaran. Tak apalah, agaknya itu rezeki Amina. Mungkin apa yang berlaku ada hikmahnya pada masa akan datang.

Om yang pergi uruskan pendaftaran nama Amina hadapi sedikit masalah. Dia sampai dipanggil masuk ke bilik ketua jabatan pendaftaran di Tumpat tu. Semuanya sebab nama Amina yang sedikit kontroversi.Yalah, nama Amina kan nama Cina. Di Malaysia, jarang orang Islam guna nama lain selain nama Arab.Jadi nama Amina dipersoalkan. Kata Om kepada orang tu, "Apa masalahnya dengan nama Cina? Kita pun bukan guna nama Melayu. Kita guna nama Arab. Orang Arab yang tak Islam di negara Arab pun guna nama macam kita."

Ketua pejabat pendaftaran tu sampai telefon Daddy untuk pastikan betul tak nak guna nama yang didaftarkan tu.

Tak apalah nama Amina lain dari yang lain. Nama Amina ada maksud yang baik. Amina maknanya yang amanah atau keamanan. Ann, nama keluarga Daddy bermakna selamat atau sejahtera. Hui Fen maknanya cerdik dan berbau harum.

Amina Ann Hui Fen mesti menjadi seorang "MACHINE" dan muslimah yang baik!  

Hari-hari Awal Bersama Amina

Rupa-rupanya Amina ni jenis bayi yang tidur siang dan berjaga malam. Jadi, beberapa malam ni memang Mama dan Jaddah tak cukup tidur. Malam kedua Amina di rumah, Mama perasan rupanya Amina boleh tidur dengan lebih nyenyak dan lama atas lengan Mama. Kalau tak, Amina akan terjaga selepas 5 minit diletakkan atas tilam.

Mama minta Jaddah letakkan Amina atas lengan Mama supaya Jaddah boleh tidur. Tapi Jaddah tetap tak boleh tidur dan asyik bangun jenguk Amina sebab dia takut Mama tertindih cucu kesayangannya ni. Sebenarnya Mama memang tak boleh tidur sangat bila Amina tidur macam tu sebab Mama pun bimbang sama macam Jaddah. Tapi kesian la kalau Jaddah terpaksa duduk tersengguk-sengguk dodoi Amina sebab Mama tak boleh duduk lama sangat. Sakit jahitan luka masih terasa sikit-sikit.

Apapun, semalam Amina tidur dengan lebih baik. Jaddah pun dapat tidur agak selesa sebab Mama berkeras nak dodoi Amina dan suruh Jaddah tidur.

Siang hari Amina selalu tidur lama sampai Mama terpaksa kejutkan untuk beri susu. Jadi, Mama adalah masa untuk tidur juga supaya malam nanti Mama boleh berjaga.

Apapun, Mama tetap sayangkan Amina.


Friday, May 4, 2012

Pengalaman Baru Sebagai Ibu

Semalam merupakan hari yang sangat penat bagi Mama dan Jaddah (Nenek).Anak Mama berjaga dari jam 12 malam lebih sehingga jam 6 pagi. Tidur sekejap bila disusukan, menangis apabila diletakkan di tempat tidur. Kasihan Jaddah berjaga, dodoikan baby dan tukar lampin sehingga ke pagi.

Mama pun mengantuk tunggu baby menyusu lama sangat. Sampai Mama tersengguk- sengguk. Nasib baik anak Mama tak terlepas dari dukungan. Walaupun sangat penat dan tidur terganggu, sedikit pun tak timbul rasa geram atau marah dengan anak Mama. Yang bertambah cuma rasa kasih sayang. Semasa menyusukan, Mama berdoa banyak2 supaya apa yang Mama buat ni merupakan satu jihad untuk melahirkan seorang hamba Allah yang bertaqwa suatu hari nanti.

Inilah naluri seorang Mama! 

Thursday, May 3, 2012

The First MACHINE That We Produced!

2nd May 2012, at 10.54 am, our first "MACHINE" (MAlay + CHINEse) was produced! She's a girl!

Akhirnya saat yang Mama tunggu tiba. Semuanya berlaku dalam masa lebih kurang 6 jam saja. Alhamdulillah, Allah permudahkan proses kelahiran baby Mama. Sesetengah orang terpaksa melalui kesakitan selama lebih 24 jam untuk proses kelahiran sulung.

Nampaknya, Mama kenalah tukar latar blog ini sebab baby Mama tunggu-tunggu ni rupanya seorang bayi perempuan yang baik dan comel. Tapi, tak apalah, yang penting sekarang Mama nak kongsikan dulu saat- saat kelahiran anak Mama ke dunia ini, buat tatapan anak Mama suatu hari nanti.

1 Mei 2012, 10.00 malam

Mama masuk tidur agak awal. Petang tadi Mama ke lapangan terbang bersama nenek untuk ambil Daddy. Masa balik, sempat singgah beli nasi lemak kukus. Makan malam Mama ialah nasi lemak kukus dan nasi putih dengan paprik dan ayam goreng. Tok Su buat mee kari tapi Mama dan Daddy dah kenyang sangat jadi kami bercadang nak makan mee kari untuk sarapan esok.
Mama belum menunjukkan tanda-tanda untuk melahirkan. Mama rasa bimbang pula. Daddy dah ada di sini. Mama berharap dapat lahirkan baby semasa Daddy ada. Mama paling bimbang kalau masa Daddy nak balik atau baru balik ke KL semula, baru baby lahir.
Mama habiskan masa sebelum tidur dengan berbual-bual dengan Daddy tentang baby. Sambil tu, Mama bercakap dengan baby juga.

"When will you come? Daddy's here. Daddy wants to take turn to carry you. Mama feel a little bit tired. Don't you want to see Daddy?"

"A clever baby, you're coming out soon, right?"

2 Mei 2012, 2-3 pagi

Mama terjaga untuk ke tandas. Perkara rutin. Tapi tak lama kemudian Mama rasa nak ke tandas lagi. Kerap pula Mama buang air kecil malam ni! Ari- ari Mama pun rasa sakit, lebih daripada biasa. Dady pun ikut terjaga apabila Mama kerap bangun. Mama tunjukkan pada Daddy perut Mama yang terbonjol di sebelah kiri bila baby mengeras di situ. Perut Mama nampak pelik.

4 -5 pagi

Mama masih cuba untuk tidur tapi Mama cuma tidur-tidur ayam. Mama tertanya-tanya, ini tanda-tanda kelahiran ke? Tiba-tiba Mama rasa ada cecair keluar dari bawah. Mama bangun membuka lampu untuk pastikan apa yang berlaku. Ada lagi cecair keluar dan jatuh ke atas lantai. Warnanya jernih saja. Memang air ketubanlah ni! Mama tak berasa sakit apa-apa. Mama kejutkan Daddy. Sementara Daddy masuk bilik air, Mama pergi kejutkan nenek pula dan tunjukkan kesan air yang meleleh di betis Mama.
Kami bersiap-siap ke hospital. Air terus keluar. Dalam perjalanan, Mama mula berasa sakit perut sikit-sikit. Tapi, semuanya tenang dan berjalan lancar. Jalanraya pun lengang sebab masih awal pagi.
Kami tiba di Pusat Perubatan An-Nisa', Kota Bharu lebih kurang jam 4.45 pagi, disambut oleh jururawat bertugas yang masih menguap-nguap sampai Mama rasa agak bimbang. CTG dipasang untuk kesan denyutan jantung bayi. Jururawat periksa bukaan jalan keluar baby. Baru lebih kurang 2-3 cm. Mama diberi ubat supaya buang air besar. 

5 - 7.40 pagi

Kami diberi sebuah bilik, Kasih 03. Jururawat beri Mama sebuah bungkusan yang mengandungi barang-barang keperluan macam tuala, berus gigi dan sebagainya. Telekung sembahyang turut disediakan. Selepas solat Subuh, ada pekerja yang hantar minuman 3 dalam 1 dan biskut. Daddy bancuh air dan Mama bersarapan sedikit supaya ada tenaga untuk proses melahirkan nanti.
Selepas itu, ada pula pekerja yang hantar roti bakar, jem dan mentega. Mama makan lagi dan minum Milo.
Bermula lebih kurang jam 7.15, kontraksi yang berlaku agak kuat dan selang 5 minit. Mama minta dimasukkan ke bilik bersalin. Jalan keluar diperiksa lagi tapi masih lebih kurang 3 cm. 

7.40 - 11.30 pagi

Daddy masuk ke bilik bersalin bersama Mama. Mama terus merasakan kontraksi yang makin kerap dan makin menyakitkan sehingga Mama terjerit-jerit sebut Allahu Akbar dan sebagainya apabila sakit. Waktu sela antara kontraksi itu pula, Mama masih boleh berbual-bual dengan jururawat-jururawat bertugas. Daddy duduk di sebelah Mama, genggam tangan Mama masa kontraksi kuat dan urut belakang Mama. Jururawat bertugas pun banyak membantu, tolong usap perut Mama, baca doa dan ajar Mama untuk berdoa dan tarik nafas apabila rasa sakit.
Apabila kontraksi makin kuat dan kerap, Mama rasa nak muntah pula. Nasib baik jururawat sempat bawa bekas untuk tadah muntah. Mama muntah 3 kali dan banyak air keluar. Lepas muntah rasa lega sikit tapi sakit kontraksi makin kuat.
Akhirnya seorang jururawat periksa bukaan jalan sekali lagi. Katanya mungkin dan 10 cm. Mereka semua terkejut dan kata bukaan jalan Mama berlaku agak cepat. Doktor datang. Mama ditanya adakah Mama rasa nak meneran. Mama kata belum rasa. Doktor periksa bukaan. Rupanya lebih kurang 8 cm. Air dimasukkan untuk membantu buka jalan keluar.
Mereka ajar Mama supaya tarik nafas, kacip gigi dan meneran sekuat hati apabila rasa sakit. Daddy tolong pegang kaki Mama dan seorang jururawat pelatih tolong pegang tangan Mama supaya Mama boleh meneran dengan lebih kuat.
Proses meneran mengambil masa yang agak lama. Mama tak berapa bertenaga untuk meneran lama. Doktor dan jururawat terjerit-jerit bagi semangat pada Mama supaya terus meneran. Kata mereka, kepala baby dah nampak. Nenek duduk agak jauh di tepi sambil baca doa. Apabila dah sampai saat-saat baby hampir nak keluar, rasanya ada 5 atau 6 orang petugas yang pegang Mama sampai Daddy pun terpaksa ke tepi dan jadi pemerhati sahaja. Doktor gunting jalan keluar 3 kali untuk mudahkan serta cepatkan baby keluar. Mama terus meneran sambil berdoa banyak-banyak "Rabbi yassir, wa la tu'assir wa tammim bil khair" (Tuhanku permudahkanlah, jangan disusahkan, dan sempurnakanlah urusan ini dengan pengakhiran yang baik). Pada masa tu, Mama hanya bimbang kalau-kalau anak Mama lemas, jadi Mama cuba sekuat tenaga untuk keluarkan anak Mama ke dunia ini.
Akhirnya, pada pukul 10.54 pagi, anak Mama berjaya keluar menghirup udara di bumi Tuhan ni. Sebaik saja baby keluar, terus hilang semua kesakitan Mama. Tapi badan Mama masih sangat lemah untuk pedulikan baby. Mama cuma tengok sekali imbas sahaja. Muka Mama pada masa tu penuh dengan peluh dan air mata yang keluar dengan sendirinya semasa Mama meneran.
Anak Mama menangis dengan suara yang cukup kuat. Selepas bayi dibersihkan dan luka Mama siap dijahit, jururawat bawa anak Mama untuk disusukan. Seronoknya Mama rasa apabila anak Mama hisap susu Mama buat pertama kalinya!


Add caption