Wednesday, December 25, 2013

Terus Menanti...

Pada 15 Disember yang lalu, Mama dah nampak jantina bayi dalam kandungan Mama melalui imbasan yag dibuat di klinik.

Bayi lelaki!

Mama berasa gembira dan syukur. Mama telah mempunyai seorang anak perempuan yang sangat cerdik, baik dan keletah. Tentulah Mama teringin untuk merasai pengalaman memiliki  anak lelaki pula.

Alhamdulillah!

Bagaimanapun, Mama risaukan keadaan darah Mama yang terlalu cair. Hemoglobinnya cuma 9.5. Selepas seminggu Mama ambil ubat yang diberi oleh doktor di Klinik an- Nisa', HB naik kepada cuma 9.6. Kata doktor, HB Mama tidak selamat untuk proses kelahiran. Mama terpaksa ditambah darah selepas bersalin dalam keadaan ini. Sekurang- kurangnya HB  mesti mencapai 10.

Mama berasa risau.

Amina pula agak agresif dan suka mengamuk akhir- akhir ini. Kalau ada sesuatu yang tak kena, Amina akan berguling- guling di lantai dan menangis. Susah pula nak reda tangisan Amina. Mama rasa penat pujuk dan layan kerenah Amina.

Amina juga sangat suka tengok youtube ABC dan Alif, Ba, Ta melalui tablet. Setiap hari Amina akan tengok beberapa kali dan leka dengan tablet. Apabila bangun sahaja tidur, Amina terus sebut nak ABC atau Alif, Ba, Ta.

Ya Allah, tetapkanlah kesabaran Mama untuk terus mendidik anak- anak Mama menjadi hamba- Mu yang soleh dan solehah.

Mama penat tapi Mama bahagia dengan kehadiran anak- anak Mama. Mama akan cuba sedaya upaya untuk menjadi Mama yang solehah buat anak- anak Mama, walaupun ada masanya Mama hilang sabar dan berkasar dengan Amina.

Mama ai Amina dan adik! 

Monday, December 9, 2013

Menanti Detik Itu...

Jam dah menghampiri 2.00 pagi.

Seperti malam- malam yang lepas, sejak kira- kira sebulan yang lalu, Mama tak dapat melelapkan mata. Mata sangat mengantuk. Tetapi badan Mama terasa lenguh apabila berbaring, berasa sangat tidak selesa yang menyebabkan Mama menghadapi masalah tidur yang teruk.

Adakalanya, menjelang jam 3.00 atau 4.00 pagi, baru Mama dapat lena.

Masalah yang sama Mama hadapi semasa mengandungkan Amina. Tetapi, tidaklah seteruk ini. Masalah ini menyebabkan Mama selalu tidak terjaga untuk solat Subuh. 

Mama rasa berdosa dan terseksa. Beratnya cabaran yang dihadapi semasa mengandung kali ini. Amina pula semakin manja akhir- akhir ini. Amina pantang Mama tak ada di depan mata, asyik cari Mama walaupun ramai orang lain di rumah Jaddah ni.  Apapun, Mama sentiasa terangkan kepada Amina yang tidak lama lagi Mama terpaksa tinggalkan Amina sekejap sebab Mama nak ke hospital untuk "ambil" baby. Masa tu, Amina kena tinggal dengan Jaddah. Mama tahu Amina faham sebab Amina anak yang cerdik.

Mama berharap agar waktu bersalin segera tiba sebab rasa dah taak larat bawa baby dalam perut ni, beserta pelbagai masalah dan kesakitan yang timbul. Tapi, mengingatkan sakit yang bakal ditanggung semasa melahirkan, Mama bertambah ngeri!

Ya Allah, permudahkanlah segalanya. Kepada Engkaulah aku menyerahkan segalanya!  

Saturday, December 7, 2013

Al- Quran Untuk Baby Ann

Hari ini, Mama telah khatamkan bacaan al-Quran sebanyak 30 juzuk, yang Mama hadiahkan khusus untuk bayi dalam kandungan Mama. Bacaan al- Quran ini Mama mulakan pada bulan Mei yang lepas, sebaik sahaja Mama mengetahui kewujudan bayi yang Mama sayangi di dalam rahim Mama.

Mama berasa sangat bersyukur sebab berjaya mengkhatamkan bacaan al- Quran ini sebelum kelahiran anak Mama. Pada mulanya, Mama agak bimbang Mama tak dapat khatam al-Quran sebab semasa alahan yang teruk dahulu, beberapa hari juga Mama tidak baca al-Quran.

Mama harap, al-Quran yang Mama bacakan akan sebati dalam diri anak Mama. Semoga anak Mama menjadi seorang ahli al-Quran, dan hidup mengikut panduan al-Quran.

Kalau boleh, Mama nak anak Mama jadi penghafaz al-Quran.

                        اَللَّهُمَّ اَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي

Mama sayang anak Mama! 

Sunday, November 24, 2013

Lagu Kegemaran Amina

Amina dah berusia 18 bulan dengan berat badan 10.5 kg dan ketinggian 79 cm. BMI Amina normal dan seimbang.

Alhamdulillah! 

Sekarang, Amina ada lagu kegemaran yang baharu. Lagunya ialah Tobat Maksiat nyanyian Wali Band. Pada mulanya, Amina selalu dengar lagu tu di televisyen saluran 114 jam 5 petang. Lagu itu jadi lagu tema cerita Islam KPT. Apabila tengok Amina minat lagu tu, Mama pasang bagi Amina dengar melalui radio kecil Mama.

Sekarang, hampir setiap hari Amina minta nak dengar lagu tu. Tadi sebelum tidur pun Amina minta Mama pasangkan. Amina akan kata "nak ingat tatik (ingat sakit)".

Amina ingat beberapa patah lirik lagu tersebut. Antaranya..."ingat ati...ingat tatik".

Amina juga akan sambung apabila Mama nyanyi, "Ingat, ingat hidup cuma ..." 

"satu tayi (satu kali)"

Bila Mama nyanyi "Cepat ucap.."

Amina akan sambung "As..."

Mama sebut "taghfiru..."

Amina sambung lagi "lah zhiiim" 

Sayang anak Mama yang keletah!


Sunday, November 17, 2013

Kognitif Amina Semakin Berkembang

Dalam usia 1 tahun 5 bulan, Amina sudah mampu menyusun "stacker" dengan betul.



Malah, apabila tersalah memasukkannya, Amina sendiri yang akan kata, "Tan (bukan)", mengeluarkannya, dan memasukkan semula "donut" yang betul.

Amina juga semakin faham tentang "do's" dan "don'ts". Apabila melihat benda- benda yang Mama pernah larang Amina mengambilnya sebelum ini, Amina sendiri yang akan goyangkan tangan dan kata "Weh (tak boleh)" dengan dahi yang berkerut.

Semakin mudah untuk kawal Amina sekarang.

Mama bersyukur tengok perkembangan Amina yang positif.

Amina juga sangat suka membaca al-Quran. Amina selalu baca al-Quran dengan Mama selepas solat Maghrib. Kadang- kadang, pada waktu lain pun, Amina hampiri meja tulis Mama dan minta "An (al- Quran)". Kalau Mama tak ambilkan, Amina berguling- guling merajuk.

Mama sayang Amina. Semoga Amina menjadi anak solehah yang bacakan al-Quran untuk Mama setelah Mama tiada nanti.

Tuesday, October 22, 2013

Amina Sayang Mama!

Pada 17 Oktober 2013, Mama mendengar Amina berkata "Sayang Mama " untuk kali pertama.

Seronoknya Mama dengar ayat pendek tu keluar daripada mulut comel Amina. Amina dah semakin petah bercakap dan dah boleh menuturkan ayat- ayat pendek.

Sebelum ini, Amina belum pernah cakap macam tu walaupun Mama tahu Amina memang seorang bayi yang penyayang. Sejak usia Amina lebih kurang 1 tahun 2 bulan, Amina selalu usap rambut Mama, kemudian cium Mama dan cakap "Sayaaang", persis seperti yang Mama selalu lakukan kepada Amina sejak Amina kecil. Kalau jumpa bayi pun, Amina akan buat macam itu. Apabila melihat telatah Amina, Mama menyedari betapa pentingnya ibu bapa tunjukkan amalan yang baik kepada anak- anak sebab mereka akan meniru apa yang mereka lihat dan alami sejak kecil, sebaik sahaja mereka mampu lakukannya.

Anak Mama, Amina juga dah pandai menconteng. Dalam usia 1 tahun 4 bulan, Amina dah menconteng dinding rumah.

Tapi, yang peliknya, sekarang Amina suka menambah huruf "K" di hujung perkataan yang disebut. Jadi, Amina panggil Mama, "Mamak". Amina juga sebut "babik" untuk "baby", "bok" untuk "ball" dan lain- lain.

Macam- macam Amina ni!

Mama ai Amina!

Monday, October 7, 2013

Nama Untuk Anak Mama

Mama gembira!

Sebabnya, Mama dah dapat nama untuk anak dalam kandungan Mama ni. Susah juga Mama mencari nama Cina yang baik dan sesuai, akhirnya dapat juga. Daddy pun setuju dengan nama yang Mama pilih.

Tapi, tak bolehlah lagi diumumkan dalam blog ini. Kena tunggu tuan punya nama keluar dulu, baru Mama isytiharkan nanti.

Anak Mama semakin aktif di dalam perut Mama. Bertambah rasa kasih sayang dan kebahagiaan Mama. Mama tak sabar tunggu kehadiran si kecil Mama ni supaya bertambah meriah suasana di rumah yang sekarang dah meriah dengan keletah kakak Amina.

Setakat ni, masalah yang Mama hadapi semasa proses mengandung ni ialah Hb darah Mama terlalu rendah, 9.2, menyebabkan Mama selalu letih dan pening. Tapi minggu lepas Hb tu dah meningkat kepada 9.9.

Mama akan terus cuba jaga kesihatan sebaik mungkin supaya anak Mama tetap sihat dan cerdas. 

Setakat ini, Mama dan baca al- Quran sehingga juzuk 20. Insya Allah, Mama akan cuba khatamkan bacaan ini untuk anak Mama sebelum kelahirannya.

Mama sayang anak Mama.     

Tuesday, October 1, 2013

Amina Di Meja Makan

Amina dah mula kurang menyusu dan mula berselera makan.

Suatu perkembangan yang baik. Sebelum ini, Mama belanjakan lebih RM200 untuk susu Amina sebulan, sejak Amina berhenti menyusu badan dan kurang selera makan.

Sekarang, Amina akan bersama Mama hampir setiap kali waktu makan. Amina duduk di kerusi makan Amina bersebelahan Mama. Mama dah latih Amina makan sendiri. Amina pun memang nak makan sendiri dan tak suka disuap lagi. 

Mama kepalkan sedikit nasi membentuk bebola kecil supaya Amina senang ambil dan suapkan ke mulut. Mama juga akan carikkan ayam atau ikan menjadi cebisan kecil serta letakkan beberapa keping sayur dalam mangkuk kecil Amina.  

Yang bagusnya, Amina ialah bayi yang tidak bermasalah dengan sayur- sayuran. Amina suka makan lobak merah dan tomato. Amina juga makan kubis cina, batang Chew Pak Choy dan sayuran lain.

Tapi, selalunya selepas makan, Amina perlu terus dimandikan. Sebabnya...



...inilah telatah Amina di meja makan!

Mama ai Amina!

Monday, September 30, 2013

Taman Untuk Amina

Mama berasa seronok tengok perkembangan Amina sekarang.

Sekarang, petang- petang, Amina dah pandai tarik tangan Mama dan ajak Mama "out".

Selain daripada rutin ke Taman Awam Nilai sekurang- kurangnya 2 kali seminggu, Amina akan keluar bermain di halaman rumah setiap petang.

Dengan keluar bermain, Amina belajar banyak perkara baharu. Amina suka tengok flower. Kadang- kala, ada rama- rama datang hinggap pada bunga untuk menghisap madu. Mama beritahu Amina, "The butterfly sucks honey from the flower, just like Amina suck milk and water from bottle". Amina sangat suka tengok rama- rama dan bunga. Amina akan cakap,  "ower...oney".

Amina dah belajar sains! 

Amina juga suka tengok spider. Kadang- kadang ada labah- labah kecil yang merayap di tangan Mama atau duduk dalam bakul basikal Amina.

Melihat perkembangan Amina, Mama mula berfikir untuk wujudkan taman mini di halaman rumah. Kasihan juga tengok Amina main dalam rumput yang agak panjang. Jadi, walaupun pada mulanya Mama tidak bercadang untuk buat landskap yang elok sebab kita hanya mendiami rumah sewa (kita dah tak jadi pindah ke rumah yang Mama beli sebab Mama dapati kawasan itu dekat sangat dengan kilang- kilang, jadi udaranya tidak segar), Mama ubah fikiran. Mama bercadang untuk buang rumput liar di halaman rumah dan tanam rumput karpet. Lagipun, halaman rumah kita kecil saja. Tiga atau empat rumput karpet dah cukup untuk Mama beli dan biakkan. Tak apalah Mama habiskan sikit duit pun untuk anak- anak Mama.

Mama berasa seronok tengok anak Mama semakin membesar dan terasa nak dedahkan Amina dengan banyak perkara supaya Amina membesar dengan lebih banyak pengalaman yang bermanfaat.

Mama nak jadikan rumah dan halaman rumah kita sekolah pertama yang sangat menyeronokkan untuk Amina dan adik.

Mama sangat bahagia tengok telatah Amina yang cerdik, ditambah pula apabila terasa gerakan adik Amina yang semakin aktif  di dalam perut Mama. 

Mama sayang Amina dan baby brother

Dua pasu bunga yang Mama beli untuk memulakan projek taman kita.

Thursday, September 19, 2013

Amina Mula Memanjat

18 September 2013 - Amina berjaya memanjat kerusi meja makan, seterusnya naik ke atas meja makan, buat kali pertama. Terkejut Mama tengok!

Perkembangan ini membimbangkan Mama. Nampaknya, Amina mesti diawasi dengan lebih ketat supaya tidak berlaku kecederaan. Sebabnya, meja makan agak tinggi dan berbahaya untuk Amina kalau Amina terjatuh.

Akhir- akhir ini, Mama memang agak bimbang dengan Amina. Sebabnya, Amina sangat lasak dan berani. Apabila keluar, Amina suka berjalan dan tak mahu dipimpin. Yang peliknya, Amina suka menuju ke jalan raya yang sibuk dengan kenderaan.

Kalau ada masa terluang, Mama akan bawa Amina berjalan- jalan di Taman Awam Nilai yang terletak tidak jauh dari rumah untuk memenuhi keinginan berjalan Amina. Amina sangat sukakan tempat itu. Mama tengok Amina ni sukakan alam semulajadi. Amina akan sibuk tengok ant, worm dan flower. 


Amina di taman

Kerana bimbangkan Amina, Mama buatkan air penawar untuk lembutkan hati Amina dengan harapan Amina akan jadi anak yang mudah mendengar kata dan terang hati. Mama bacakan surah al- Fatihah (1x) dan surah Taha, ayat 1 - 23 (11x) pada air yang diberi minum pada Amina.

Mama sayang Amina dan tak mahu Amina ditimpa apa- apa kemalangan.

Semoga Allah lindungi Amina!

Thursday, September 12, 2013

"Buku Busuk" Amina

Kalau bayi lain ada "bantal busuk" yang tidak boleh ditinggalkan, anak Mama, Amina, agak berbeza. Amina ada sebuah "buku busuk". Mama menyedari hal ini apabila pulang berhari raya ke kampung tempoh hari, tanpa membawa pulang buku tersebut.

Inilah "buku busuk" Amina.


Inilah hasilnya apabila Amina "membaca" buku ini setiap hari.
Buku ini Mama beli dan Mama baca semasa hamil dahulu, dengan harapan anak Mama akan menjadi seperti Muhammad bin Ahmad Zahid, tokoh yang diceritakan dalam buku ini. 

Sejak kecil Amina minat dengan buku ini. Memang setiap hari Amina akan cari buku ini. Mama pernah sembunyikan buku ini apabila dapati Amina renyukkannya. Mama takut buku ini rosak. Tetapi, apabila Mama sorokkan, Amina akan pusing sekeliling ruang tamu cari buku ini. Amina akan sebut, "Ammad, Ammad...". Mama tak sampai hati tengok Amina tercari- cari macam tu. Jadi, Mama biarkan buku tersebut jadi bahan bacaan harian Amina, yang Amina akan baca entah berapa puluh kali sehari.

Walaupun Mama tahu Amina cari buku itu setiap hari, Mama sengaja tidak bawa apabila ke mana- mana sebab Mama takut Amina akan addict sangat dengan buku itu. Tetapi, apa yang Mama takuti terjadi juga. Semasa balik raya, pukul 12 malam Amina belum dapat tidur, Amina cari buku tersebut di rumah Jaddah. Amina jalan ke sana sini cari "Ammad"

Kesian Mama tengok Amina. Mama cari buku lain yang ada gambar Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk hiburkan hati Amina. Amina baca buku itu dan tenang sekejap. Tapi, tak lama kemudian Amina sebut "Ammad" lagi.

Nasib baik Amina dapat tidur juga malam itu.

Kejadian yang sama berulang pada malam esoknya...

Hmmm, memang Amina mewarisi Mama dan Daddy yang suka membaca. Semoga Amina menjadi seorang yang berilmu tinggi.

Mama ai Amina!   

Monday, August 26, 2013

Amina Yang Genius

Pada usia 1 tahun, Amina dah kenal beberapa orang tokoh seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Profesor Dr Muhaya Mohamad. Apabila Amina tengok gambar mereka, Amina akan sebut "Najib" atau "Aya".

Amina juga kenal bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz (Amina sebut - Tuk Duyu), Ke Bawah Duli Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V (Satan) dan Datuk Husam Musa (Sham).

Ketika berusia 15 bulan, Amina dah boleh lengkapkan nama sendiri. Apabila Mama cakap, "Your name is Amina Ann Hui ...", Amina akan sambung "...Fen".

"Your Daddy's name is Ann Wan ..."

"...Sheng"

"Your Mama's name is Faa..."

"...iiimah".

Amina juga cukup suka apabila tiba di perhentian lampu isyarat. Amina dah tahu "Red light we....", "...top" dan "Green light we ...", "...do (go dalam bahasa Amina)".

Semoga anak Mama terus cemerlang. Mama sayaaaaang Amina!

Thursday, August 22, 2013

Minggu Ke-19

Kandungan Mama sudah berusia 19 minggu.

Pada 19 Ogos 2013, Mama dapat mendengar degupan jantung anak Mama buat kali pertama. Mama rasa gembira sangat.

Mama dah sihat dan boleh buat aktiviti hampir seperti biasa. Mama cuba sedaya upaya buat apa yang termampu untuk memberikan yang terbaik buat anak Mama, seperti mana yang Mama buat untuk kakak dulu.

Mama baca al- Quran selalu untuk anak Mama. Mama berazam untuk khatamkan 30 juzuk al- Quran buat anak dalam kandungan Mama.

Walaupun Mama agak letih dan mempunyai masa yang lebih terbatas kini, Mama tetap akan cuba berikan yang terbaik untuk anak Mama.

Mama sayang anak Mama!

Amina Dah Pandai Mengira!

Anak Mama dah pandai mengira pada usia 15 bulan! Mama berasa sangat bangga dan bersyukur.

Mama perasan, semasa bermain, Amina selalu sebut "ge, pat, me, nam, juh, apan". 6 nombor itu saja yang selalu Mama dengar. Semalam, Mama cuba uji Amina, Mama sebut,

"Satu"

Amina sambung, "We"

Mama sebut lagi, "Tiga"

Amina sambung, "Pat"

Mama cakap "Lima"

Amina sambung lagi, "Nam"

....dan seterusnya sehingga nombor 10.

Ya Allah, Mama rasa macam tak percaya! Cerdiknya anak Mama! Alhamdulillah, Mama syukur sangat- sangat kepada Allah.

Yang Mama pelik, macam mana Amina boleh pandai mengira dalam Bahasa Melayu, sedangkan Mama selalu ajar Amina mengira dalam Bahasa Inggeris. Ada orang lain agaknya yang ajar Amina. Apabila Mama cuba uji Amina mengira "One, two, three...", Amina taklah selancar "Satu, dua, tiga...". 

Tapi yang seronoknya, apabila Mama sebut "One", Amina jawab "Two", siap dengan tunjuk dua jari lagi. Mama sebut "Three", Amina jawab "Four", bila Mama sebut "Five", Amina tak sambung, jadi Mama sebut "Six", Amina pun sambung, "Even"...

Apapun, Mama sangat bersyukur sebab Allah rezekikan kecerdikan kepada anak Mama. Semoga Amina terus dilindungi Allah dan menjadi Mukminah yang cemerlang!

Monday, July 8, 2013

Amina Bercerai Susu

Bismillahirrahmanirrahim.

Cukup lama Mama tak mencatat perihal Amina dalam blog ini. Sebabnya?...Mama baharu saja beransur sihat setelah mengalami alahan yang teruk. Nampaknya, lebih teruk daripada semasa mengandungkan Amina dahulu sehingga Mama terpaksa ambil cuti sakit hampir 2 minggu.

Amina juga terpaksa bercerai susu pada 23 Mei 2013. Hanya 1 tahun 3 minggu Amina membesar dengan susu Mama. Sebenarnya, Mama bercadang nak genapkan tempoh penyusuan Amina sehingga 2 tahun. Malangnya, badan Mama terlalu lemah dan tidak cukup nutrien untuk mengandung dan menyusukan dalam masa  yang sama. Kata doktor, kandungan Mama boleh mengalami keguguran sekiranya Mama terus menyusukan Amina.

Badan Mama juga menjadi sangat lemah sehingga Mama tak larat nak bangun dan terpaksa tunaikan solat dalam keadaan duduk.

Amina terpaksa berkorban untuk kesihatan Mama dan adik Amina. Mama berasa sedih sangat nak lepaskan susu Amina. Menitis air mata Mama tengok Amina tak berapa mahu menyusu botol dan asyik menangis. Mama hanya mampu berdoa, semoga Allah balas pengorbanan Amina ini dengan rezeki baik yang berlipat kali ganda sepanjang hidup Amina.

Sekarang, Amina dah boleh sesuaikan diri dengan susu botol.

Mama sayang Amina!

Thursday, May 16, 2013

Hadiah Hari Guru Untuk Mama

Sejak Isnin, Mama berasa tidak sihat. Kepala Mama sakit- sakit dan Mama berasa agak mual.

Hari ini, Mama terpaksa ambil cuti sakit sebab pagi tadi Mama rasa teruk sangat. Mama ke klinik untuk pemeriksaan.

Mama disahkan mengandung! Ya Allah, Amina bakal dapat adik! Suatu perasaan yang sukar digambarkan terasa di hati Mama. Akan hadir seorang lagi manusia kecil dalam kehidupan Mama, Daddy dan Amina.

Hari ini, 16 Mei merupakan Hari Guru. Ini merupakan hadiah Hari Guru buat Mama. Mama teringat, dua tahun lepas, Mama sedar kehadiran Amina dalam perut Mama pada 16 September, iaitu, Hari Malaysia. Hmm, semua anak Mama ada peristiwa untuk diingati.

Amina bakal jadi kakak. Apapun Mama tetap sayang Amina sangat- sangat!

Thursday, May 2, 2013

Selamat Hari Lahir, Amina!

Hari ini merupakan ulang tahun kelahiran Amina yang pertama!

Sejak semalam, Mama asyik teringatkan detik-detik kelahiran Amina. Mama terkenang betapa manisnya saat itu.

Pada usia setahun ini, Amina dah pandai macam- macam. Amina bercakap banyak dan sudah boleh berjalan beberapa langkah. Amina ialah seorang bayi yang sangat aktif sehingga Mama rasa sangat penat menjaga Amina.

Masalah yang Mama hadapi ialah Amina kurang makan dan tak mahu menyusu botol beberapa hari kebelakangan ini. Kesannya, Amina asyik minta nak menyusu. Pantang nampak Mama, Amina akan segera minta "Mik, mik (Milk, milk)".

Apapun, Amina tetap bayi yang sihat dan ceria. Mama sangat bersyukur sebab Allah kurniakan Amina kepada Mama. Mama akan cuba sedaya upaya untuk menjadi Mama yang solehah kepada Amina. Mama akan jaga amanah Allah yang sangat berharga ini sebaik mungkin.

Semoga Allah bantu Mama! 

Tidak ada apa yang Mama buat untuk sambut hari lahir Amina. Mama memang tidak bercadang untuk membudayakan sambutan hari lahir dalam keluarga kita. Tak payahlah kita bersibuk- sibuk dengan urusan dunia yang tidak seberapa itu. Cukuplah sekadar ucapan kesyukuran kerana Allah kurniakan kita kehidupan ini, dan muhasabah diri, apakah yang kita telah dilakukan dengan kurniaan itu?

Amina setahun yang tak tahu duduk diam
sampai Mama nak ambil gambar pun susah!
Nek Su merupakan orang pertama hantar SMS kepada Mama ucap Selamat Hari Lahir. Ngah Anis dah ingat hari lahir Amina sejak semalam.

Terima kasih!

Ya Allah, panjangkan umur Amina Ann Hui Fen dalam ketaatan kepada-Mu. 

Mama sayang Amina Ann Hui Fen.


Wednesday, April 24, 2013

Amina Berjalan!

Pada 18 April 2013, Amina dah berjaya berjalan beberapa tapak. Tapi, Mama tak sempat rakamkan Amina berjalan buat kali pertama.

Pada hari tersebut juga, Mama menghadiri Kursus Pemantapan Pengajaran Kaedah Iqra' di Pejabat Pelajaran Daerah Port Dickson. Mama belikan Amina kad imbasan Iqra'. Mama rasa, sudah tiba masanya Amina didedahkan dengan pelajaran Iqra' secara santai dan bermain. 

Mama bercadang untuk ajar Amina satu bunyi untuk seminggu. Sekarang Amina dah kenal bunyi "Alif berbaris atas". Amina suka sangat apabila Mama berikan kad kepada Amina. Amina akan tersenyum lebar macam dapat permainan, dan sebut "A, A". 

Amina juga akan cium kad itu dan renyukkannya. Tak apalah, Mama tak kisah kad itu rosak asalkan Amina dapat belajar.

Mama ai Amina.

Sunday, April 21, 2013

Amina Yang Suka Menari

Amina memang pantang dengar muzik, mesti badan Amina bergoyang- goyang menari.

Ini lagu yang paling Amina suka.


Sayang Amina!

Sunday, April 14, 2013

Perkembangan Amina

Amina sudah berusia 11 bulan.

Pada 10 April 2013, Amina dah pandai bersalam dan mencium tangan orang. Tradisi dan budaya masyarakat Melayu yang didedahkan kepada Amina sejak kecil kagi.

11 April 2013, Amina berjaya menyuap sendiri makanan ke dalam mulut. Anak Mama dah pandai makan sendiri! Mama sempat rakamkan detik Amina menyuap makanan sendiri buat kali pertama.

13 April 2013, Amina ikut Mama ke latihan nasyid lagi. Bilik muzik sekolah Mama dan bunyi- bunyian alat muzik dah menjadi sebahagian daripada kehidupan Amina. Hari ini, Amina dapat satu perkataan baharu, GITAR. Cikgu Zul bermain gitar. Mama tunjukkan kepada Amina dan beritahu nama alat itu, gitar. Amina tengok saja. Tak lama selepas tu, semasa kami berbual- bual, Amina tunjuk ke arah gitar dan sebut, "Giii..tar". Pandainya!

Anak Mama memang semakin membesar dan belajar banyak perkara.

Sayang Amina!

Wednesday, March 27, 2013

Amina Berlatih Nasyid

Cuti sekolah pertengahan penggal pertama dah bermula.

Bagaimana pun, Mama tak cuti sepenuhnya sebab perlu melatih murid- murid nasyid untuk MTQ Peringkat Daerah Seremban.

Amina ikut Mama pergi latihan nasyid yang berjalan lebih kurang 3 jam. Sebenarnya, Amina dah biasa dengan aktiviti ini sejak berada dalam perut Mama lagi.


Mungkin sebab itulah Amina tak buat perangai. Amina selesa dengan keadaan ini. Amina goyang- goyangkan kaki dan badan apabila dengar muzik. Malah, Amina boleh tidur lena dalam suasana yang bising dengan suara nasyid dan bunyi alat muzik.



Pada hari pertama, Amina tidur lebih sejam. Sampai orang tamat latihan dan semua murid balik, Amina masih tidur sampai Mama terpaksa angkat Amina dalam keadaan tidur masuk ke dalam kereta.

Hari kedua, Amina tidur hampir sejam saja. Apabila dekat masa habis latihan, Amina terjaga. Tapi, Amina tak menangis pun walaupun Mama tak ada dekat Amina masa tu.

Mama sayang Amina.

Saturday, March 23, 2013

Amina Dah Pandai Menyanyi!

Semalam, Mama buka youtube lagu "Twinkle Twinkle Little Star" untuk Amina.

Mama ulang lagu tu beberapa kali sebab Amina suka sangat dengan "star". Apabila tengok bentuk bintang di mana- mana, Amina sibuk tunjuk "tar, tar".

Selepas itu, Mama tutup komputer riba Mama. Tiba- tiba Mama dengar ...

"tel..tel..te..tar" ...dari mulut kecil Amina.

Ya Allah, anak Mama dah pandai menyanyi! Amina cuba membunyikannya mengikut rentak lagu walaupun tak menjadi sangat.

Amina ni memang bayi yang suka mencuba dan meniru macam- macam perkara.

Mama sayang Amina!

Amina, Upin dan Ipin!

Amina Ann Hui Fen, bayi yang Mama lahirkan dah berusia lebih 10 bulan.

Anak Mama menjadi hiburan bagi seisi keluarga. Amina menjadi kesayangan semua.

Amina dah kenal huruf A. Amina juga baru kenal huruf D.

Amina dah boleh sebut pelbagai perkataan. Antaranya kakak, abang, baby, star, car, rabbit, cat, bird, nice, cantik, jatuh, sakit dan lain- lain.

Seperti yang Mama katakan, Amina bayi dwi bahasa. Tetapi, sekarang bahasa Amina masih cacamarba. Salah Mama juga sebab campurkan macam- macam bahasa apabila bercakap dengan Amina. Selain kuasai Bahasa Melayu, Amina juga pandai berbahasa Melayu dialek Kelantan sebab keluarga Mama cakap Kelantan dengan Amina.

Yang masih menjadi masalah kepada Mama sekarang ialah nak terangkan maksud pain kepada Amina. Amina faham makna "sakit" dan boleh menggunakannya pada situasi yang betul. Tapi, apabila Amina jatuh ataupun terkena apa- apa, dan menangis, Mama tanya pada Amina, "You're in pain?" , Amina akan terus berhenti menangis dan sebut, "Pin,pin...pin,pin.." beberapa kali. Selalunya bila macam tu, Mama kena bagi Amina telefon bimbit Mama untuk tengok video Upin dan Ipin.

"Pin, pin" yang Amina sebut tu maksudnya Upin dan Ipin!

Amina belum faham yang "Pain" tu maknanya "sakit". Yang Amina tahu cuma Upin dan Ipin.

Sayang Amina!

Monday, March 11, 2013

Amina 10 Bulan

Pada 7 Mac 2013, Amina ke Klinik Kesihatan Nilai untuk kali pertama.

Amina dah cukup 10 bulan. Sepatutnya, temujanji di Poliklinik Bukit Serampang ialah pada 5 Februari 2013, semasa Amina berusia 9 bulan. Sebab Mama berpindah, Amina tak dibawa ke klinik pada tarikh itu. Masa tu Mama tinggal sementara di Tasik Selatan dan tidak ada masa untuk bawa Amina ke klinik. Mama pun tak pasti nak bawa Amina ke klinik mana.

Berat Amina 6.8 kg. Bertambah sikit je dari semasa umur Amina 8 bulan. Panjang Amina 67 cm. 

Amina  dah semakin cerdik. Amina sangat suka meniru percakapan orang. Jadi, Amina pandai sebut macam- macam perkataan. Amina seorang bayi yang dwi bahasa dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa dominan. Amina faham soalan "Where is fan?", tapi apabila tengok kipas Amina akan sebut "Pah, pah.." bukannya "Fan".

Amina anak yang aktif dan ceria. Mama bersyukur sebab Allah kurniakan Amina kepada Mama.

Mama ai Amina Ann Hui Fen!

Tuesday, March 5, 2013

Amina Masuk Universiti!

Pada 13 Februari 2013, Amina telah "masuk U"!

Universiti pertama yang Amina jejaki pada usia 9 bulan ini ialah Universiti Putra Malaysia.

Amina ikut Mama hantar Mak Su untuk pendaftaran Masters Mak Su di UPM.

15 Februari 2013 - Amina mula pandai bertepuk tangan. Hari yang sama juga, Amina dah boleh berdiri tanpa sokongan untuk jangka masa yang agak lama.

Amina juga dah mula angkat kaki untuk hisap ibu jari. Argghhh! Ini yang buat Mama risau.

Mama sayang Amina.


Tuesday, February 19, 2013

BRINGING UP BEBE


Semasa bersiar- siar di Kedai Buku Popular, Nilai bersama Amina dan Daddy pada cuti Tahun Baru Cina, Mama terpikat dengan sebuah buku.

Tajuknya, Bringing Up Bebe.

Sebelum ini, memang dah berpuluh buah buku dan artikel tentang pendidikan anak- anak yang Mama baca. Mama pun dah tak mahu beli lagi buku tentang ini sebab Mama rasa isinya lebih kurang sama.

Tetapi, buku ini berbeza!

Buku tersebut ditulis oleh Pamela Druckerman, seorang wartawan Amerika yang pernah bertugas di Perancis. Semasa tinggal di sana, beliau kagum dan tertanya- tanya apabila mendapati kanak- kanak dan bayi orang Perancis sangat tertib dan terkawal tingkah laku mereka. Dalam masa yang sama, mereka bukanlah pasif. Mereka tetap juga kanak- kanak yang ceria, aktif dan kreatif.

Hal ini (menurut penulis) berbeza daripada sikap anak- anak orang Amerika yang sangat sukar dikawal. Mama rasa, tidak jauh bezanya dengan anak- anak di Malaysia ini.

Percaya atau tidak, penulis menceritakan pengalamannya masuk ke sebuah kedai untuk membeli cenderahati semasa percutiannya di salah sebuah pantai di Perancis. Anaknya yang ketika itu berusia 1 tahun lebih menarik- narik baju T yang tergantung di situ. Seorang pekerja kedai itu memandang dengan jengkel dan berkata, "Oh, saya tak pernah jumpa budak yang buat macam ni sebelum ni".

Pelik kan? Mama rasa, kalau di Malaysia, bukan budak setahun lebih saja yang tarik- tarik baju macam tu, budak 10 tahun pun ada yang berlari- lari dan main- main barang apabila masuk ke kedai orang. 

Ibu bapa Perancis juga tidak tertekan dalam menguruskan anak mereka serta tidak perlu banyak menjerit. Anak- anak Perancis sangat mudah memahami dan mematuhi perkataan "tidak".

Semua ini membuatkan beliau cuba menyiasat dan membuat kajian tentang cara orang Perancis mendidik anak.

Kajian yang dibuat selama beberapa tahun, melalui penelitian, temubual dan sebagainya ini akhirnya dibukukan. 

Beliau dapati, perbezaannya bukanlah pada falsafah pendidikan anak itu, sebaliknya, orang Perancis melihat anak mereka daripada sudut yang berbeza.

Secara asasnya, orang Perancis menganggap bayi juga seorang manusia. Jadi, sebagai manusia, mereka mempunyai hati, perasaan, fikiran yang sama dengan kita, orang dewasa. Oleh sebab itu, mereka bertanggapan bahawa bayi boleh memahami dan menurut arahan. Bayi juga boleh mengikut disiplin dan mematuhi batasan sesuatu perkara.

Kefahaman dan tanggapan ini dikongsi oleh masyarakat Perancis secara keseluruhannya. Sebab itu, anak- anak kecil dilayan dan di"mesti"kan bertingkah laku mengikut etika yang betul. Hasilnya, anak- anak di Perancis membesar dalam keadaan beradab dan mematuhi peraturan.

Membaca buku ini, Mama menyedari satu kesilapan yang selama ini kita buat. Perasan atau tidak, selama ini ramai dari kalangan kita yang sebenarnya menganggap bahawa bayi atau kanak- kanak kecil itu "bukan manusia" (maksud Mama dari segi moralnya). Sebab itu kita "membenarkan" perlakuan salah dalam kalangan kanak- kanak. Apabila seorang anak mengamuk di khalayak ramai, merosakkan barang, bermain barang- barang di rumah orang, kita tidak melarang dengan alasan, "Alah, dia budak kecil. Bukannya tahu apa". Istilah "bukannya tahu apa" itulah yang telah menafikan kemampuan intelek dan emosi anak- anak daripada mempelajari sesuatu.

Hasilnya? Seperti ramai anak- anak yang Mama jumpa di sekolah atau di mana sahaja. Mereka tidak pandai mematuhi peraturan. Menjerit dan berlari tak kena tempat, memukul dan mengambil barang orang dan lain- lain salah laku.

Sebabnya mereka tidak dididik untuk menjadi "manusia" sedari kecil!

Banyak lagi perkara baharu yang Mama temukan dalam buku ini. Harap- harap, Mama dapat ilmu berguna daripada buku ini untuk membesarkan anak Mama menjadi anak yang lebih baik.

Mama sayang Amina dan mahu buat yang terbaik untuk anak Mama!

Tuesday, February 12, 2013

Gong Xi Fa Chai!

10 Februari 2013 merupakan Tahun Baru Cina yang pertama untuk Amina.

Tahun ini merupakan tahun Ular Air. Tahun kelahiran Amina, tahun lepas ialah tahun Naga Air.

Comel sangat Amina pakai samfu warna merah!


Mama ai Amina!

Tuesday, February 5, 2013

Amina Yang Suka Muzik & Tumbuh Gigi

Amina dah semakin aktif dan cerdik. Sekarang, Amina dan faham dan beri tindak balas kepada soalan "Who is Amina Ann Hui Fen? Raise up your hand"

Amina juga dah betul- betul pandai panggil Mama, Jaddah dan kadang- kadang Daddy. 

Gigi Amina juga dah keluar! Dua batang gigi di sebelah bawah.

Minat Amina terhadap muzik memang Mama sedari dari dahulu. Semasa dalam kandungan, Amina akan bergerak- gerak apabila dengar nasyid. Semasa kecil pun, walaupun tengah menangis, Amina akan diam apabila dengar muzik. Sekarang, minat tersebut semakin jelas. Amina akan goyang- goyangkan badan atau tangan, menari apabila dengar muzik. Semua orang ketawa dan seronok dengan telatah Amina. Amina cukup suka dengan beruang koala yang Daddy belikan.


Mama sayang Amina!

Kehidupan Baharu Amina

Lamanya Mama tak menulis tentang Amina. 8 Januari lalu, Mama mula melapor diri di sekolah baharu, SK Desa Jasmin, Bandar Baru Nilai. Kita pun berpindahlah dari Sri Jaya ke Nilai. Mama kelam kabut sikit meninggalkan Sri Jaya.

Mama belum dapat rumah sewa di Nilai. Jadi, Mama berulang- alik dari rumah Nek Chik di Sungai Besi ke Nilai setiap hari. Perjalanan lebih kurang 40 minit. Jaraknya juga 40 km. Mama turun awal setiap hari, paling lewat 6.45 pagi. 

Sekolah baharu Mama ni selalu adakan mesyuarat di sebelah petang. Jadi, Mama selalu sampai lewat ke rumah, kadang-kadang hampir pukul 6 petang.

Kasihan, Amina. Petang- petang baru dapat jumpa Mama. Tapi, di rumah Nek Chik, ada ramai orang layan Amina. Amina seronok dan ceria di sana. Amina pun dah pandai macam- macam kemahiran sebab Nek Chik rajin melayan dan mengajar Amina.

Di sini, waktu mengajar dan tugasan di sekolah tidak banyak. Selalunya, Mama dapat selesaikan semuanya di sekolah. Jadi, apabila di rumah, Mama memang tumpukan perhatian kepada Amina. Cuma masalahnya perjalanan jauh meletihkan Mama. Sebab itu Mama tiada masa untuk benda lain termasuk menulis di blog Amina.

Bagaimanapun, semalam, Mama dah dapat kunci untuk rumah sewa di Nilai. Dekat dengan sekolah Mama. Jauh sikit je berbanding dengan rumah kita dengan sekolah di Sri Jaya dulu. Mama rasa lega sangat- sangat. Selepas ini, Mama akan ada lebih masa untuk anak yang Mama sayang.

Alhamdulillah, nanti kita akan mulakan kehidupan di tempat baharu. Bezanya, tak ramailah orang yang layan Amina lepas ni.

Mama ai Amina.