Monday, August 13, 2012

3 Bulan

Amina genap 3 bulan pada 2 Ogos 2012. Tapi, Mama bawa Amina ke klinik pada 7 Ogos sebab tarikh tersebut jatuh pada hari Selasa, hari untuk bawa bayi ke klinik di Poliklinik Bukit Serampang. 

Berat Amina sudah 5.6kg. Panjang 63 cm.

Amina berperangai lain sikit apabila dah 3 bulan ni. Amina tak berapa layan bila orang bercakap dengan Amina. Amina tak peramah macam dulu. Tapi, Amina suka tengok siling, bercakap dan ketawa. Amina lebih berminat pada benda bukan hidup macam kipas dsb.

Dua tiga hari ini juga, Amina banyak meragam. Amina suka menangis kuat- kuat. Mama risau tengok Amina. Beberapa hari lepas, Amina tak mahu menyusu badan sebelah kiri. Amina menangis kuat- kuat bila Mama beri susu. Lepas tu, Amina menangis lagi sebab lapar. Apabila diberi susu botol, Amina hisap sampai habis sebab Amina lapar sangat. Apabila diberi susu badan sebelah kanan pun Amina hisap juga. Tak tahulah Mama kenapa Amina tak mahu menyusu sebelah kiri sampai Mama terpaksa pam susu keluar sebab dada Mama dah bengkak.

Tapi, petang semalam dan pagi ni, Amina dah nak menyusu di kedua- dua belah.Mama rasa lega.

Sabtu lalu, Mama belikan Amina baju Doraemon. Comel sangat anak Mama dalam bentuk Doraemon. Mama juga belikan Amina almari Angry Birds untuk simpan baju Amina.



Almari pertama Amina!

Thursday, August 9, 2012

Lailatul Qadar?

Semalam, Amina tidur agak awal. Lebih kurang jam 9.50 p.m.Biasanya, Amina tidak akan bangun malam walaupun seawal manapun Amina tidur. Mama pun ambil peluang tidur sebab Mama sangat penat. Tapi, Amina terjaga semula jam 10 lebih. Mama beri susu dan Amina tidur lagi. Sekali lagi Amina terjaga hampir jam 11. Akhirnya, lepas Amina tidur semula hampir jam 12, Mama dah tak terasa mengantuk sebab tidur dah terganggu 2 kali.

Mama pun ambil keputusan untuk tunaikan solat sunat. Inilah peluangnya sebab Mama dah jarang tunaikan ibadah sunat akhir- akhir ni. 

Mama solat dan berdoa untuk kesejahteraan semua.

Pagi ini, seorang guru di sekolah Mama nyatakan bahawa mungkin semalam Lailatul Qadar. Dia sebutkan beberapa tanda.

Mungkinkah? Kalau betul begitu, alangkah bertuahnya Mama. Semalam, Amina ubah tabiat untuk membolehkan Mama beribadat pada malam Qadarkah? 

Bertuahnya Mama ada anak macam Amina!

Mama sayang Amina!

Tuesday, August 7, 2012

Di Keheningan Malam...

Jam 2.00 pagi.

Mama bangun untuk tukar lampin Amina. Selepas lampin ditukar, dalam keadaan mata masih terpejam, Amina meronta- ronta dan nganga mulut. Tanda nak menyusu la tu. Mama pun susukan Amina dan tak lama kemudian Amina tidur semula.

Apabila tengok wajah comel Amina semasa tidur, bertambah- tambah kasih sayang dan rasa syukur Mama kerana Allah kurniakan Amina kepada Mama.

Dua tiga hari ini, Mama asyik terkenangkan nostalgia Ramadhan tahun lalu. Pada 5 Ogos tahun lalulah, Mama dapat tahu yang saluran tiub fallapio Mama tersumbat apabila menjalani pemeriksaan di Klinik Tey, Muar. Hanya Allah yang tahu betapa sedihnya perasaan Mama masa tu.

Pada masa tu, Mama tahu hanya Allah sahajalah yang mampu menolong Mama untuk membolehkan Mama hamil. Mama cuba mencari zikir dan selawat yang dapat membantu. Melalui sebuah buku, Mama dapat tahu bahawa Selawat Munjiah elok diamalkan oleh pasangan yang inginkan zuriat. Caranya ialah dengan membacanya sebanyak 500 kali sehari.

Mama cuba amalkan selawat tersebut. Setiap hari, semasa menunggu waktu berbuka, Mama duduk di sofa dan membaca selawat. 2 atau 3 minit sebelum waktu berbuka yang juga waktu mustajab doa, Mama panjatkan doa supaya dikurniakan zuriat yang baik. Memang Mama tak mampu nak baca selawat Munjiah sampai 500 kali sehari. Tapi, Mama baca sahaja seberapa banyak yang Mama mampu sebab Mama yakin Allah itu Maha Pengasih dan tidak akan membebankan hamba-Nya.

Pada akhir Ramadhan 1432, sepatutnya Mama datang bulan. Tapi, haid Mama terus tidak datang, sehinggalah Mama disahkan hamil beberapa minggu selepas Aidilfitri.

Betapa besar rahmat Allah. Mama cukup yakin akan janji dan pertolongan-Nya. Mama cukup syukuri akan anugerah-Nya, Amina Ann Hui Fen kepada Mama.

Maha Suci Engakau, Ya Allah!  

Amina membaca al-Quran

Sunday, August 5, 2012

Amina Cuba Meniarap

Semalam, Amina cuba meniarap. Tapi belum berjaya. Lama- lama, Amina pun menangis....



Permainan Kegemaran Amina

Minggu lepas, semasa ke Bukit Gambir, Mama belikan Amina kotak muzik berbentuk beruang di Pasaraya KINI. Amina suka sangat dengan permainan ini. Kalau Amina menangis pun, Amina akan berhenti (kadang- kadang sekejap je), senyum dan bercakap- cakap dengan beruang ni. Berbaloi rasanya Mama beli mainan ni untuk Amina.

Mama sayang Amina!