Wednesday, November 28, 2012

Amina Merangkak & Percutian

Perkembangan penting : Amina telah merangkak untuk kali pertama pada 27 November 2012 di rumah Jaddah di kampung!



Amina menempuh perjalanan jauh dan dapat banyak pengalaman semasa cuti sekolah ini. Dalam perjalanan pulang ke kampung di Kelantan, Amina singgah bermalam di rumah kawan Jaddah di Kuantan dan Sutera Resort di Setiu, Terengganu. Amina dapat pengalaman pertama bermalam di resort tepi pantai yang indah, mendengar deruan ombak dan menikmati angin laut.
Pemandangan yang indah dari beranda bilik resort.

Di kampung, Mama bawa Amina keluar setiap pagi dan petang. Amina dapat udara pantai yang segar. Amina dapat tengok ayam, kambing dan lembu. Amina juga tengok bunga- bungaan dan rama- rama. Menariknya, disebabkan rumah Jaddah terletak di tepi jalan, Amina juga dapat tengok pelbagai jenis kenderaan. Sesuatu yang Amina tak dapat di Sri Jaya. Amina nampak seronok di kampung.

Semasa Mama cuti ini juga, makan Amina lebih teratur. Amina makan 3 kali sehari. Menu Amina ialah :
 Pagi - Nestum + Kurma/ Pisang/ Mangga
 Tengah hari & Malam - Bubur nasi + sayur- sayuran + ayam/ daging/ isi ikan/ ikan bilis

Mama juga susukan Amina lebih kurang 3 jam sekali. Sesekali, Mama beri juga Amina susu botol sebab Mama takut Amina tak mahu susu botol kalau lama tidakdiberi.

Mama seronok sediakan makanan dan suapkan Amina makan. Mama akan cuba buat yang terbaik dan beri makanan yang berkhasiat untuk Amina. Mama mahu anak Mama menbesar dengan sihat. Mama mahu otak Amina terbentuk dengan baik dan cerdas.

Sayang Amina!  

Sunday, November 18, 2012

Amina Bercakap

Amina, anak Mama semakin membesar. Mama seronok lihat perkembangan Amina. Sekarang, Amina dah boleh angkat dada dan punggung. Tapi, Amina belum lagi boleh gerakkan kaki dan tangan ke depan untuk merangkak.

Amina semakin aktif. Amina selalu menyusur dan bergolek- golek atas tilam sampai Mama dah tak boleh biarkan Amina bersendirian lagi.

Amina juga dah mula makan banyak. Mama seronok suap Amina makan. Mama harap, Amina akan terus membesar dengan sihat, aktif dan ceria. Mama sangat bersyukur tengok perkembangan Amina.

Amina juga dah mula suka membebel. Macam- macam yang Amina sebut. Kadang- kadang, apa yang Amina sebut menyerupai perkataan tertentu.



Ya Allah, peliharalah anakku Amina. Jadikan dia bayi yang sihat dan cergas. Jadikan dia hamba-Mu yang solehah!

Sayang Amina!

Tuesday, November 13, 2012

6 Bulan

Alhamdulillah, Amina dah genap 6 bulan pada 2 November 2012. Sebagai bayi 6 bulan, Amina dah mula makan makanan pepejal. Mama beri Amina bubur nasi dan pisang.

Selama 6 bulan, susu Mama menjadi sumber utama tumbesaran Amina. Daripada seorang bayi yang kecil dan lemah, Amina sudah jadi bayi yang aktif, pandai meniarap, membebel dsb. Sekarang, bermula fasa lain dalam hidup Amina.Amina tidak lagi bergantung sepenuhnya pada susu Mama. Sudah ada sumber lain yang lebih banyak untuk Amina. Alhamdulillah, Mama bersyukur. Tetapi, jauh di sudut hati Mama , Mama menginsafi bahawa semakin terlerailah (secara fizikalnya) hubungan antara Mama dan Amina. Itulah juga yang terjadi bagi semua hubungan ibu-anak di dunia ini.

Pada 4 November 2012, Amina demam. Inilah kali pertama dalam sejarah, Amina demam. Sebelum ini, Amina tak pernah demam walaupun dicucuk imunisasi. Amina banyak merengek semasa demam. Pada mulanya, Mama cuma lekatkan Kool Fever untuk kurangkan panas Amina. Apabila badan Amina masih panas, Mama terpaksa beri Amina ubat demam.


Amina yang tetap ceria walaupun pakai Kool Fever

Dalam usia 6 bulan ini, berat Amina 6.5 kg dan panjang 65 cm.

Mama sayang Amina sangat- sangat!