Tuesday, January 28, 2014

Adam Masuk Hospital Lagi

20 Januari 2014 - Mama bawa Adam ke Klinik Kesihatan Pengkalan Kubor buat kali ketujuh untuk pemeriksaan jaundis.
Alhamdulillah, bacaan jaundis Adam telah turun ke 191. Mama bersyukur sebab menurut jururawat, sekiranya hari ini bacaan jaundis Adam di bawah 200, Adam tak perlu ke klinik lagi.

Rupa- rupanya, ada kejutan lain menunggu Mama di bilik doktor. apabila diperiksa, doktor dapati Adam bernafas agak kencang dan tidak normal. Mama maklumkan yang Adam sudah diserang selsema kira- kira seminggu.
Doktor segera mengarahkan supaya dibuat pemeriksaan kandungan oksigen dan darah Adam.

Keputusannya mengejutkan : Adam didapati telah mendapat jangkitan kuman di paru- paru! Adam perlu segera dimasukkan ke wad!

Pada mulanya, Mama bercadang hendak masukkan Adam ke hospital Pakar Perdana. Adam ditahan sementara di Klinik Kesihatan Pengkalan Kubor (KKPK) untuk diberi bantuan pernafasan dengan oksigen sementara menunggu ambulan dari Pakar Perdana datang.

Malangnya, sehingga hampir jam 3 petang, ambulan belum datang. Akhirnya, Adam dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II menggunakan ambulan KKPK. Lagipun, Hospital Pakar Perdana "takut" hendak menerima Adam apabila diberitahu Adam terpaksa bernafas menggunakan bantuan oksigen.

Khabarnya, rawatan pesakit yang menggunakan bantuan pernafasan oksigen di hospital tersebut melebihi RM 30K!

Inilah pengalaman pertama Mama menaiki ambulan. Banyak betul pengalaman yang Adam beri kepada Mama. Doktor Azura dan Sister Fatimah dari KKPK menemani Mama menghantar Adam ke HRPZ II. Mama tiba di sana kira- kira jam 4 petang.

Hanya Allah yang tahu perasaan Mama ketika itu. Mama cukup bimbang melihat keadaan Adam. Mama juga rasa terseksa apabila perlu sekali lagi bermalam di hospital, dengan keadaannya yang pastinya kurang selesa berbanding rumah dan terpaksa pula meninggalkan Amina.

Mama menangis lagi!

Adam ditempatkan dalam bilik 4 di Wad 2. Bilik Adam merupakan bilik pengasingan yang khusus untuk pesakit yang mendapat jangkitan kuman. Ada 4 bayi lain yang menghuni bilik tersebut. Adam merupakan yang paling tidak teruk. Apabila diperiksa, Adam didapati tidak perlu menggunakan bantuan pernafasan.

Mama berasa syukur juga. Darah Adam diambil untuk diperiksa dan Adam diberi antibiotik.

Bilik penginapan Mama agak jauh daripada bilik Adam. Susah juga untuk berulang- alik antara 2 bilik itu. Nasib baik bilik Adam berhadapan dengan bilik penyusuan. Jadi, malam itu Mama tidur di bilik penyusuan saja supaya Mama dapat dengar apabila Adam menangis minta susu.

Mama tidur di atas sofa saja. Keadaan tentulah tidak selesa. Tambahan pula bilik itu sangat sejuk. Perut Mama kembung sebab masuk angin.

Nasib baik Mama ada teman, seorang ibu lain yang menjaga bayinya yang menjadi jiran katil Adam.Jadi, keadaan tidaklah sunyi sangat dan Mama tidak terlalu melayan perasaan sedih.

Dua malam Mama berada di hospital. Dengan segala ketidakselesaan dan tak cukup tidur.

Sedih tengok keadaan Adam yang dah merasa tinggal di hospital sejak awal usia lagi. Tambah lagi apabila lihat kaki dan tangan Adam dicucuk dan diambil darah. Mama yang dah hidup lebih 30 tahun ini pun tak pernah dimasukkan ke hospital.
Tapi, Mama cuba positifkan fikiran. Mama cakap pada Adam, agaknya Adam ni akan jadi doktor suatu hari nanti. Sebab itulah Allah dedahkan kepada Adam suasana di hospital dari kecil lagi. Di hospital memang berbeza. Adam dikelilingi bunyi pelbagai mesin dan suara tangisan bayi dan kanak- kanak. Adam dah tak kisah dan boleh tidur dalam keadaan bising macam tu.

Tengah hari 22 Januari, doktor beritahu Mama yang Adam akan dibenarkan keluar wad sekiranya keputusan ujian darah Adam baik. Keputusan darah itu hanya boleh diketahui petang nanti.

Mama berdoa sungguh- sungguh supaya Adam dapat keluar hari ini!

Kira- kira jam 2.45 petang, Mama bertanyakan keputusan ujian itu pada doktor. Alangkah gembiranya Mama apabila doktor sahkan yang Adam dibenarkan keluar hospital petang itu juga.

Tapi, Adam perlu teruskan ambil antibiotik selama 4 hari di rumah. Pemeriksaan susulan perlu pada 5 Februari.

Mama bersyukur sebab dapat tidur di rumah. Mama dah rasa melayang- layang sebab tak cukup tidur. Kadang- kadang, Mama hampir terlepas Adam yang Mama pangku semasa menyusu sebab Mama hampir terlelap.

Mama sayang Adam!

Sunday, January 19, 2014

Amina dan Adam

Kini, Mama dah bergelar ibu kepada dua orang insan kecil, Amina dan Adam.

Sejak Adam berada dalam kandungan, Mama sering tertanya- tanya dan rasa berdebar untuk mengetahui macam mana agaknya perasaan mempunyai lebih daripada seorang anak.

Persoalan yang selalu Mama fikirkan ialah, mampukah Mama melayan anak- anak Mama secara adil dan tidak kelihatan melebihkan perhatian hanya kepada anak tertentu?

Sejak itu juga, Mama tambahkan lagi doa Mama. Kalau sebelum ini Mama selalu berdoa supaya Allah jadikan Mama seorang ibu yang sabar dan berhikmah dalam membesarkan Amina, kini Mama berdoa supaya Allah jadikan Mama ibu yang sabar, berhikmah dan adil dalam membesarkan anak- anak Mama.

Sebabnya, Mama selalu tengok ibu bapa yang asyik menumpukan perhatian kepada anak yang paling kecil dan abang serta kakaknya sentiasa menjadi sasaran kemarahan dan dipaksa mengalah dengan si adik, walaupun ketika si adik yang bersalah dalam sesuatu perkara.

Perkara itulah yang menyebabkan anak yang lebih tua memberontak dan jauh hati, dan menjadikan anak bongsu selalu manja dan mengada- ngada.


Mama tak mahu jadi ibu yang begitu!

Sejak kehadiran Adam, Mama akui, memang tiba- tiba sahaja Mama terasa Amina dah besar. Amina tidak lagi kelihatan cute dan manja macam dulu.

Agaknya, inilah perasaan yang dirasai oleh setiap ibu bapa, menyebabkan mereka melayan anak yang lebih tua seperti orang dewasa yang mesti tahu semuanya.

Jadi, Mama sentiasa ingatkan diri Mama, yang Amina sebenarnya masih terlalu kecil. Umur Amina baharu genap 1 tahun 8 bulan semasa Adam dilahirkan...

Kalau Amina sedikit mengada- ngada, itu memang fitrah bayi. Sebab Amina masih perlu sangat bermanja dengan Mama.
Kalau Amina datang untuk mengusap kepala adik, Mama tahu itu tanda Amina sayangkan Adam. Walaupun kadang- kala Amina usap kepala adik dengan agak kasar, itu sebab Amina belum tahu membezakan, Amina tak tahu yang adik masih kecil dan perbuatan itu boleh menyakitkan adik.

Jadi, Mama selalu cuba terangkan apa- apa kepada Amina dengan baik. Mama juga cuba sedaya-upaya untuk luangkan masa dengan Amina supaya Amina boleh bermanja dengan Mama seperti dahulu. Mama tak mahu kehadiran Adam menyebabkan Amina tersisih terus dan "kehilangan" Mama.

Sewaktu baharu lepas bersalin, memang Mama langsung tak dapat uruskan Amina. Mama terangkan kepada Amina yang Mama sakit. Mama sayang Amina tetapi Mama tak dapat dukung atau riba Amina sebab Mama sakit, bukan Mama tak sayang.

Apabila Mama semakin pulih, Mama cuba buat apa yang Mama dapat untuk Amina seperti pakaikan baju dan sebagainya.

Mama tahu Amina faham sebab Amina budak yang cerdik.

Mama mahu segera sihat supaya Mama dapat layan kedua- dua anak Mama dengan baik.

Mama mahu semaikan keceriaan dan kemesraan dalam hidup anak- anak Mama. Mama tak mahu sikap Mama yang menyebabkan anak- anak Mama tidak puas hati dan saling membenci antara satu sama lain.

Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini untuk menjadi ibu yang paling solehah kepada Amina dan Adam!

Mama sayang Amina Ann dan Adam Ann.

Amina pujuk Adam yang menangis

Adam Selsema

Dalam usia yang baharu mencecah 2 minggu, anak Mama, Adam Ann Wei Sheng telah dijangkiti selsema. Adam dapat jangkitan selsema daripada Kak Long Amina.

Kasihan Mama tengok Adam susah nak bernafas. Adam juga susah nak batuk dan bersin. Mungkin Adam belum pandai lagi.

Adam selalu juga tersedak masa menyusu. Mungkin disebabkan kahak dalam tekak Adam. Mama jadi takut nak menyusukan Adam.

Mama bawa Adam ke Klinik Pakar Kanak- Kanak TMC di Kota Bharu. Tapi, kata doktor, tiada ubat yang boleh diberikan kepada bayi sekecil Adam. Hanya apabila berlaku komplikasi atau jangkitan, barulah doktor boleh ambil langkah sepatutnya. Yang Mama perlu buat sekarang hanyalah tunggu selsema Adam baik sendiri.

Kata doktor, keadaan Adam tak lah terlalu teruk.

Tapi Mama dah cukup terseksa apabila tengok Adam tersedak dan batuk. Mama selalu pangku Adam lama- lama pada waktu malam dan hanya letakkan Adam di tempat tidur apabila Adam dah lena. Mama kasihan tengok Adam tak dapat bernafas dengan baik sebab hidung tersumbat. Mama juga takut Adam muntah susu kalau baringkan Adam terus selepas Adam menyusu.

Mama sampai menangis- nangis berdoa minta Allah segera sembuhkan Adam daripada segala penyakit.

Mama ai Adam! 

Tuesday, January 14, 2014

The Second "MACHINE" Story

"MACHINE" (MAlay + CHINEse) Mama telah hadir ke dunia tanggal 2 Januari 2014.

Pagi 1 Januari 2014
Mama bercadang untuk menempah tiket kapal terbang yang Daddy minta, iaitu, pada 9 Januari 2014. Daddy mahu balik pada tarikh tersebut kerana Mama dijangka bersalin pada 10 Januari. Mengikut pengalaman lepas, Mama bersalin awal sehari daripada tarikh jangkaan. Tapi Mama menangguhkan dulu pembelian tiket itu sebab Mama nak bersarapan terlebih dahulu. Langsung Mama terlupa...

10. 30 pagi
Mama ke tandas. Mama dapati ada sedikit kesan darah pada seluar dalam. Tidak lama kemudian, perut Mama mula berasa tidak  selesa. Mama tidur. Amina duduk saja dalam bilik bermain dan membaca buku di sebelah Mama.

12.00 tengah hari
Mama bangun tidur. Ada terasa kontraksi sekali- sekala. Darah masih keluar sedikit- sedikit, bercampur lendir. Mama makan tengah hari dan bercadang untuk ke Pusat Perubatan an- Nisa' selepas solat Zohor. Kadang- kadang, kontraksi yang datang terasa sangat menyakitkan.

Mama maklumkan keadaan Mama kepada Daddy yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang. 

Selepas solat Zohor, kontraksi tidak terasa. Mama menangguhkan rancangan ke hospital. Tidak lama kemudian, kontraksi datang lagi. Mama agak ragu- ragu dengan tanda- tanda ini memandangkan semasa Amina, air ketuban pecah terlebih dahulu. Akhirnya, Mama pergi juga ke hospital.

3.00 petang
Mama tiba di hospital. Denyutan jantung bayi diperiksa. Apabila jururawat memeriksa bukaan jalan, bukaannya baharu 1 cm. Mama diberi pilihan untuk terus menunggu di hospital atau pulang ke rumah terlebih dahulu. Mama memilih untuk pulang ke rumah sebab memikiirkan tentang Amina yang hanya bersama Mak Yah, pengasuh Amina di rumah.

9.30 malam
Setelah selesai solat Isyak dan makan malam. Mama ke hospital semula. Kali ini, Amina dan Tok Yah ikut sama. Amina akan bermalamdi hospital dengan Mama, Jaddah dan Tok Yah sebab Mama tak mahu Amina terasa ketiadaan Mama. Tok Su Mat yang hantar Mama ke hospital. Di hospital, sekali lagi dijalankan CTG dan Mama diberi ubat untuk buang air besar.

Bilik di hospital penuh, tetapi ada pesakit yang baru bersiap-siap untuk keluar. Tok Su dan Cu Alif layan Amina sementara menunggu waktu untuk masuk ke bilik.

11.00 malam
Kontraksi yang Mama rasakan makin kerap, iaitu, kira- kira tiga minit sekali, dan amat menyakitkan. Tetapi, apabila diperiksa bukaan jalan, masih lagi 1 cm.

Hampir jam 12, barulah Jaddah, Tok Yah dan Amina dapat masuk ke bilik. Mama juga diminta berehat di bilik terlebih dahulu memandangkan bukaan jalan masih kecil. Di bilik, Mama lihat Amina sudah tertidur atas dukung Tok Yah. Mama terus  berjalan-jalan di sekeliling bilik menahan kesakitan sebab kalau berbaring, Mama rasa lebih sakit.

1.00 pagi
Mama minta Jaddah telefon jururawat supaya datang memeriksa bukaan jalan sebab Mama dah rasa sangat sakit. Jururawat datang. Pada mulanya, dia tidak yakin yang bukaan jalan Mama dah banyak sebab katanya perut Mama tak mengeras. Maknanya Mama belum hendak bersalin lagi. Tetapi, apabila dia  periksa jalan, bukaan sudah 4 cm.

1.30 pagi
Jururawat datang bawa kerusi roda dan sorong Mama ke wad bersalin. Kontraksi semakin kerap dan sangat menyakitkan. Kalau semasa Amina dahulu, Daddy ada bersama Mama, sekarang Mama bersendirian menahan kesakitan. Apabila kontraksi datang, Mama berpaut pada tiang besi untuk menahan sakit. Mama cuba ingat beberapa kebajikan yang pernah Mama buat dan bertawassul dengannya minta Allah kurangkan sakit dan mudahkan proses bersalin.

Mama juga meminta Jaddah yang menunggu tidak jauh dari situ berdoa dan membacakan al- Fatihah untuk Mama.

Hanya seorang jururawat menunggu Mama sebab ada seorang lagi ibu yang hendak bersalin. Bukaan jalannya sudah penuh dan Mama dapat dengar suara doktor dan jururawat lain mendorongnya meneran. Mama juga dapat dengar suaranya meneran dan mengeluh sebab bayi masih belum keluar. Semua itu menambahkan sakit  dan takut Mama. Dalam menahan kesakitan, Mama sempat berdoa supaya Allah permudahkan juga proses bersalinnya.

Sesekali, jururawat dan doktor datang memeriksa bukaan jalan Mama. Akhirnya, doktor mengatakan bukaan jalan Mama sudah 8 cm. Mama  terus berdoa supaya segalanya dipermudahkan. Hanya keluhan Allahuakbar dan doa "Rabbi yassir, wa la tu'assir wa tammim bil khair" yang Mama dapat ungkapkan untuk tahan kesakitan.

Akhirnya, doktor dan tiga orang jururawat datang kepada Mama. Bukaan jalan dah mencapai 10 cm. Air ketuban Mama dah keluar (dipecahkan?). Mama diminta mulakan proses meneran. Si ibu yang tadinya sudah dalam proses meneran, sudah diam. Tetapi bayinya belum lahir. Mungkin dia dah kehabisan tenaga.

Mama cuba meneran apabila kontraksi datang. Kata doktor, dia sudah dapat melihat kepala bayi. Mama diminta meneran lebih panjang dan kuat. Dalam kesakitan, Mama sempat terdengar perbualan doktor dengan jururawat yang mengatakan mungkin bayi Mama akan keluar terlebih dahulu berbanding si ibu tadi. Mama berasa mendapat sedikit kekuatan.

Proses meneran terjadi beberapa kali. Mama terpaksa berhenti sebab nafas pendek, dan mulakan lagi.

2.41 pagi
Akhirnya, BAYI MAMA KELUAR MENJENGAH DUNIA! Sebaik sahaja anak Mama keluar, Mama tidak mendengar tangisan. Mama terdengar doktor berkata "Patut la susah, umbilical cod terbelit leher" Kemudian Mama dengar bunyi doktor menggunting tali pusat, dan Mama dengar  tangisan anak Mama buat kali pertama. Kuat betul tangisan anak Mama.

Ya Allah, tidak terhingga syukur hamba kepada- Mu!

Doktor mengangkat bayi lelaki Mama dan menunjukkannya kepada Mama. Kemudian anak Mama dibawa ke sebelah untuk dibersihkan.

Mama terbiar sementara di situ sebab doktor bergegas semula kepada si ibu yang hendak melahirkan tadi. Bayinya lahir jam 3 lebih. Selepas itu barulah luka Mama dijahit.

4.15 pagi
Anak Mama dibawa kepada Mama untuk disusukan. Mama berasa seronok dapat memeluk dan menyusukan ADAM ANN WEI SHENG untuk kali pertama.

4.30 pagi
Mama di bawa masuk ke dalam bilik. Adam juga dibawa masuk bersama Mama sebab Mama nak susukan Adam lagi. Mama hantar SMS kepada Daddy mengkhabarkan kelahiran Adam.

Jam 5 lebih, Adam menangis dan Amina terjaga dari tidur. Amina diberitahu yang itu suara adik Adam, adik yang sudah lama disebut- sebutnya. Kak long Amina belum lagi melihat adik Adam tapi sudah mendengar suaranya.

Keesokannya, barulah Amina dapat melihat adik Adam.

Adam Ann Wei Sheng lahir pada hari pertama sekolah dibuka. Maknanya, Mama tak perlu minta cuti sakit sementara menunggu tarikh bersalin. Cuti Mama pun tak rugi sebab tak bertindan dengan cuti sekolah. Pandai betul anak Mama!

Mama sayang Adam dan Amina!

Wednesday, January 8, 2014

Aqiqah Untuk Adam

Mama belum sempat bercerita tentang kelahiran Adam Ann Wei Sheng.

Masa agak tidak mengizinkan memandangkan Mama terpaksa melayan kerenah 2 orang buah hati Mama di samping kerja- kerja lain. Mama juga perlu mencuri peluang untuk berehat sewaktu anak- anak Mama tidur. Kerap kali apabila Mama cuba untuk menulis blog, Adam atau Amina menangis datang untuk dapatkan perhatian Mama.

Tetapi, kali ini biarlah Mama mencatat dahulu tentang aqiqah yang Mama buat untuk Adam.

Aqiqah untuk Adam, Mama laksanakan hari ini, iaitu hari ketujuh kelahiran Adam. Mama buat di Kemboja melalui perkhidmatan Al- Ameen Serve. Mama ambil 2 bahagian lembu untuk diaqiqahkan.

Sebabnya, masa tidak mengizinkan untuk aqiqah dijalankan di sini. Mama tak mahu menangguhkan ibadah tersebut kerana nak ambil sunat melaksanakannya pada hari ke-7.

Mama bercadang nak cukur sendiri rambut Adam pada hari ni. Tapi tak sempat. Insya Allah, Mama akan buat juga apabila ada kesempatan nanti.

Mama ai Adam Ann Wei Sheng.

Catatan Dari Katil Hospital

Mama menulis dari katil Hospital Kelaboran, Tumpat, Kelantan.

Insan baharu yang belum sempat Mama umumkan kehadirannya di blog ini sedang lena tenang di sebelah komputer riba Mama.

Kehadiran insan baharu ini juga telah memberikan Mama pengalaman baharu...

Buat kali pertama, Mama merasa bermalam di hospital kerajaan.

Alhamdulillah, setelah dimasukkan ke Wad 4 disebabkan bacaan jaundis (kuning) yang tinggi, 270, semalam, anak Mama dibenarkan keluar hari ini.

Mama mencatat sementara menunggu masa keluar, jam 2 petang.

Semalam, Mama menangis apabila diberitahu yang Adam perlu dimasukkan ke wad.

Mama sedih fikirkan keadaan Adam dan sedih nak tinggalkan Amina tidur tanpa Mama di rumah.

Tiba di hospital jam 2. 30 petang. Mama berasa terhibur pula apabila disorong menggunakan kerusi roda menyusuri laluan hospital yang luas, lapang dan bersih.

Di wad, Adam perlu diletakkan di bawah lampu. Tapi, Adam asyik menangis dan nak menyusu. Jadi, Mama kena pangku Adam dan susukan. Apabila Adam tertidur, Mama cuba letakkan Adam,tapi tak lama kemudian Adam terjaga dan menangis lagi.

Mama tak dapat nak ke tandas atau makan.

Sehingga malam, Adam asyik menangis sehinggakan jiran- jiran katil Mama dan jururawat datang bertanyakan khabar. Mama rasa sangat sedih dan tertekan.

Apabila Adam tidur kira- kira jam 12 malam, Mama terus pangku Adam selama lebih kurang setengah jam sebab takut Adam terjaga lagi.

Selepas itu, Mama yang menangis sebab rasa sangat penat, sedih dan tertekan. Mama tak putus- putus panjatkan doa supaya jaundis Adam berkurangan dan segera dibenarkan keluar.

Adam tidur bawah lampu kira- kira 2 jam. Jam 12- 2 pagi. Selepas itu, seorang jiran katil Mama bawa adam ke katil dan kejutkan Mama sebab Adam menangis lagi....

Esoknya, Mama terpaksa pangku Adam tidur dan berjemur sekali di bawah lampu dengan Adam.

Menariknya di hospital ini,Mama bertemu dengan insan- insan yang baik hati, yang sudi membantu walaupun baru mengenali dan tiada pertalian.

Syukur atas pengalaman!

Mama sayang Adam!