Tuesday, July 28, 2015

Amina Ke Sekolah


28 Julai 2015 merupakan hari yang bersejarah dalam hidup Amina.

Hari ini merupakan hari pertama Amina menghadiri kelas percubaan di Al- Baghdadi Playtime Centre (APC) di Nilai Impian.

Pada mulanya, Mama tak berniat untuk menghantar Amina memasuki alam persekolahan terlalu awal.
Tapi,Amina selalu minta nak ke tadika.

Jaddah pula kurang sihat ahir- akhir ini. Jadi, Mama cuba cari taska untuk Amina dan Adam.

Mama bercadang nak hantar Amina dan Adam ke taska Widuri di Desa Cempaka, sebelum Amina masuk Tadika Widuri yang terletak bersebelahan pada tahun hadapan.
Tapi, Jaddah nak jaga Adam sampai dia berumur 2 tahun. Jaddah cakap, biarlah Amina seorang saja yang dihantar.

Apabila selalu dengar tentang APC di radio IKIM, Mama terfikir untuk hantar Amina ke situ. Mama tertarik dengan perkataan playtime tu (di samping hafazan al-Quran).
Mama nak anak Mama menikmati zaman kanak- kanak dengan cara yang  betul. Tak perlulah anak Mama dibebankan dengan cara belajar yang menekan.
Selama ini pun, Amina dah banyak belajar secara santai di rumah. Hasilnya, Amina dapat mengira dan mengenal nombor dalam 3 bahasa, kenal hampir kesemua abjad rumi dan beberapa abjad hijaiyah dan menghafaz beberapa ayat al- Quran serta banyak zikir.

Semalam, Mama ke Nilai Impian untuk tengok APC. Amina pun berminat nak belajar di situ. Jadi, hari ini Amina dah mula ke kelas percubaan.

Mama pula yang berasa seronok apabila fikirkan anak Mama dah mulakan alam persekolahan!

Pagi tadi, selepas solat Subuh, Mama berdoa sambil menangis. Entah kenapa,dalam keseronokan, timbul sedikit perasaan sayu.
Mama rasa, Amina dah Mama lepaskan untuk tidak lagi sentiasa berada "bawah" Mama.

ANAK MAMA, AMINA ANN HUI FEN DAH MULA MENEROKAI DUNIA LUAR!

Doa Mama :

Ya Allah, hari ini anakku Amina Ann Hui Fen akan mula ke sekolah.
Aku masukkan dia ke pusat Tahfiz kerana aku mahu dia mempelajari kalam- Mu.
Aku mahu kalam-Mu menjadi panduan hidupnya.
Aku mahu dia menjadi hamba-Mu yang solehah
Yang berbakti kepadaku apabila aku tua nanti
yang memberikan banyak manfaat kepada manusia lain
yang dapat memajukan umat Islam 
dan membebaskan mereka daripada penderitaan 
Ya Allah, bukakanlah pintu hati anakku
cerahkanlah mindanya supaya dia dapat belajar dengan baik
supaya dia menjadi insan yang cemerlang
Ya Allah, berikanlah dia keberkatan
Permudahkanlah urusannya semudah- mudahnya
Rezekikanlah dia untuk bertemu dengan guru yang baik 
serta kawan- kawan yang baik
yang akan mendorongnya ke jalan yang baik
Ya Allah, Engkaulah pelindung kami
Engkaulah yang mengatur segala urusan kami
Lindungilah kami semua daripada mara bencana
Jauhkanlah kami daripada takdir buruk
Ya Allah, aku serahkan segala- galanya kepada-Mu
kerana aku yakin Engkaulah yang Maha Mengetahui, Maha Berkuasa 
dan Engkaulah segala- galanya.

Menitis air mata Mama.

Mama sayang Amina Ann Hui Fen sangat- sangat.




Catatan selepas 28 Julai:
Rupa- rupanya hari ini benar- benar hari bersejarah untuk negara kita.
Petangnya, Mama terkejut apabila mendapat berita bahawa Timbalan Perdana Menteri Malaysia juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin telah dipecat daripada jawatan beliau.
Hari pertama Amina bersekolah ialah hari pertukaran Menteri Pendidikan. Menteri Pendidikan yang baharu ialah Datuk Sri Mahdzir Khalid.
Entah apalah perubahan yang bakal berlaku dalam sistem pendidikan kita, Amina, yang tentunya memberi impak besar kepada perkembangan anak- anak Mama.
Semoga Allah lindungi kita daripada apa sahaja takdir buruk!
Semoga apa sahaja perubahan yang dibuat menjurus kepada penambahbaikan, bukannya keburukan.

Thursday, July 23, 2015

Aidilfitiri 2015

Pada tahun ini, kita sekeluarga menyambut Aidilfitri di Nilai.

Ini kali pertama kita beraya di rumah kita ini.

Mama rasa tak sabar- sabar menunggu Hari Raya. Sebabnya? Mama tak sabar nak tengok Adam pakai baju Melayu.

Tahun ini merupakan kali pertama Adam berbaju Melayu.

Tahun lepas Adam kecil lagi, jadi, Mama tak buat baju Melayu untuk Adam.

Tahun ini juga, kali pertama Amina dan Adam jumpa Cik Farah. 

Cik Farah ialah saudara Mama. Kami amat rapat semasa kecil dulu sebab tinggal berdekatan. Mama tinggal di Pekan Sungai Besi dan dia di Salak South (sekarang Salak Selatan).

Sejak masing- masing dah bekerja dan berumahtangga, hubungan kami seakan terputus.

Mama mengunjungi rumah Atuk Kob, ayah Cik Farah di Ulu Langat pada Hari Raya Pertama. Rindu sangat nakjumpa Cik Farah.

Tapi dia tak ada di rumah sebab pergi beraya di tempat lain.

Pada Hari Raya Ketiga, Cik Farah dan keluarganya pula datang ke rumah kita di Nilai.

Mama rasa seronok sangat.

Teringat masa kecil- kecil dulu, kami selalu bermain sama- sama.

Insya-Allah, hubungan ini akan kembali erat.


Amina dan Adam di Masjid Putra Nilai



Di rumah Atuk Kob, Ulu Langat yang penuh dengan buah- buahan


Monday, July 13, 2015

Adam Dah Pandai Buat Ayat

Sekarang, dalam usia 1 tahun 6 bulan, Adam dah boleh menuturkan ayat yang terdiri daripada 2 dan 3 patah perkataan.

Kebanyakan ayat Adam tiru daripada pertuturan orang lain, terutamanya kakak.

Tapi, Adam masih sebut kebanyakan perkataan dengan satu suku kata sahaja macam "Di dah lak (Daddy dah solat)".

Adam juga boleh membina ayat sendiri untuk nyatakan sesuatu. Satu hari, Adam keluar dengan Jaddah dan Mok Su. Semasa melalui kawasan yang banyak pokok, Adam cakap, "Tok nak (Pokok banyak)".

Mama paling suka dengar jawapan Adam apabila ditanya, "Budak ni datang dari mana ni?" 
Adam akan jawab, "Puwok Mama (Perut Mama)"

Mama sayang Adam sangat- sangat.

Thursday, July 2, 2015

Kisah Arnab & Kura- kura Versi Amina

Amina anak yang suka mendengar cerita.

Setiap hari, Amina akan minta Mama bercerita kisah yang sama kepada Amina, babak yang Amina suka.

Semalam, usai solat Maghrib, Amina minta Mama ceritakan kisah Arnab dan Kura- kura.
"Mama, Mama ceritalah cerita Arnab dan Kura- kura. Kura- kura tu nak potong arnab."

Mama pun memaksa diri untuk bercerita kisah yang telah beberapa kali diulang- ulang....

"...arnab tertidur di bawah sebatang pokok..."

"...kura- kura terus berjalan. Walaupun dia penat, kura- kura tetap sabar dan terus berjalan..."

"Mama, kura- kura tu berjalan sebab dia nak ambik pisau kot," tiba- tiba Amina menyampuk.

"Laa, kenapa pulak kura- kura nak ambik pisau?" Mama bertanya sebab pelik dengan kenyataan Amina.

"Yalah, sebab dia nak potong arnab!" Jawab Amina.

Berdekah- dekah Mama ketawa!

Ya Allah, anak Mama, kenapalah Amina ni cerdik sangat?

Rupa- rupanya, selama ini Amina telah salah tafsir cerita Arnab dan Kura- kura.

Mama cuba menerangkan maksud "potong" tu kepada Amina. Tapi, tak tahulah Amina faham atau tidak.

Amina....Amina!

Mama ai Amina Ann Hui Fen.