Monday, December 29, 2014

Mengenang Detik Itu

Adam sudah menghampiri usia 1 tahun.

Mama asyik terkenang tarikh yang sama pada tahun lalu.

Tahun lalu, pada tarikh ini, Mama sedang menanti saat- saat kelahiran Adam. Penantian yang penuh debaran.

Hari ini, bayi yang Mama nantikan sudah berada di hadapan mata Mama. Adam bayi yang sihat dan ceria. Telatah Adam sentiasa menghiburkan ahli keluarga.

Adam suka bergolek- golek atas tilam. Setelah dapat kaki, Adam asyik berjalan ke sana sini. Sekarang, setelah dapat pensel warna, Adam selalu berjalan dengan kedua- dua tangan memegang pensel warna.

Apabila jumpa sejadah, Adam akan terus sujud. 

Pagi- pagi, Adam selalu cari tudung dan bagi pada Mama, cakap "Ba..ba..ba". selagi Mama tak pakai tudung dan dukung Adam keluar, Adam akan menangis dan merengek. Kalau Mama ambil tudung tu dan sangkut tempat lain, Adam akan menangis dan pergi ambil tudung tu lagi, bagi kepada Mama.

Adam juga dah faham apabila disuruh "kiss" dan "hug". Banyak perkara yang Adam dah faham. Apabila dapat sikat atau ikat rambut kakak, Adam akan letakkannya di rambut, dapat remote. Adam akan halakannya ke TV, paling menghairankan Mama, apabila dapat pensel warna, Adam ambil dan gosok- gosokkannya di atas kertas, sedangkan Mama belum pernah pun ajar Adam gunakan pensel warna sebelum ini.   



Melihat perkembangan Adam, Mama menyedari dan menginsafi betapa agungnya kebesaran Allah yang menciptakan makhluk bernama insan ini. Manusia sekecil Adam, walaupun tidak diajar secara langsung, faham banyak perkara. Betapa hebat Allah mencipta akal manusia sehingga dapat berfikir dan menaakul seawal kejadiannya.

Mama sangat bersyukur kepada Allah kerana dapat melihat bayi yang Mama lahirkan hampir setahun lalu di hadapan mata Mama pada hari ini. Mama tambah bersyukur kerana perkembangannya sangat positif.

Mama sedar, ada juga ibu yang sama menunggu kelahiran bayi seperti Mama pada tahun lepas, tapi, mereka tak berpeluang melihat bayi mereka membesar di hadapan mata seperti Mama pada hari ini.

Alhamdulillah, syukur ya Allah!

Mama sayang Adam sangat- sangat, walaupun ada masa Mama marahkan Adam sebab banyak kerenah dan suka menangis. 


Wednesday, December 17, 2014

Adam Mula Mengenal Huruf


Walaupun Adam belum boleh bercakap, Mama dah mula mengajar Adam mengenal huruf.

Mama ajar Adam menggunakan alphabets wall sticker yang Mama beli.

Oleh sebab kakak dah kenal huruf A - E, Mama tak tampal huruf- huruf  itu di dinding. Mama juga tak tampal semua huruf. Mama mula dengan tampal huruf F - Q sahaja. sebabnya, Mama tak nak mengganggu visual anak- anak Mama.

Lagipun, Mama tahu, perasaan excited melihat huruf- huruf yang cantik tertampal itu tak akan lama dirasai. Tak lama lagi, Amina dan Adam jemu melihat huruf-huruf itu dan tak akan belajar sesuatu lagi.

Jadi, setelah anak- anak Mama ingat sebahagian huruf yang telah ditampal itu, baru Mama akan tampal huruf baharu. Masa tu, Amina dan Adam akan excited semula apabila melihat benda baharu.

Kakak Amina tolong Mama tampal pelekat abjad tu di dinding, dan dia sangat seronok dengan aktiviti tersebut. Kakak juga sangat gembira melihat hasilnya. Kata kakak, "Tengok, dah cantik rumah kita."

Sekarang, huruf yang Adam agak kenal ialah F, L dan O. Apabila Mama sebut huruf itu dan minta Adam tunjuk, Adam selalu dapat tunjuk dengan betul.

Semalam, masa Mama dukung Adam dekat situ, Adam sendiri yang buat bunyi "Fehh, fehhh" dan tunjuk pada huruf F.

Pandai anak Mama!

Mama sayang Adam Ann! 

Sunday, December 14, 2014

Amina Belajar Melipat Pakaian

11 Disember 2014 : Amina melipat pakaian sendiri buat kali pertama.

Sebenarnya, Amina dan Adam memang sentiasa "membantu" Mama melipat pakaian. Mama nak jadikan kerja- kerja rumah sebagai aktiviti kita bersama. Jadi, Mama apabila nak lipat baju, Mama sentiasa ajak anak- anak Mama bersama.

Pada 11 Disember, Mama mengajar Amina secara langsung cara melipat baju. Mama ajar langkah demi langkah.

Amina memang anak yang rajin. Selain melipat pakaian, Amina juga rajin bantu Mama menyapu dan vacuum. Amina juga rajin mengelap meja.

Mama ai Amina!

Hasil kerja Amina

Kerenah Adam

Adam anak yang manja. Walaupun Adam anak lelaki, Adam lebih manja berbanding kakak.

Adam asyik nak berkepit dengan Mama. Mama memang tak boleh buat kerja apabila Adam tak tidur. Pantang Mama bergerak, Adam akan berpaut pada Mama. Kalau Mama duduk melipat kain atau sebagainya, Adam berpaut pada Mama juga. 

Kalau Mama bergerak jauh daripada Adam, Adam akan menangis. 

Adam juga suka menghantukkan kepala ke lantai atau dinding kalau tak dapat apa yang Adam nak atau apabila Adam tak puas hati dengan sesuatu.

Anak manja Mama dah pun banyak berjalan sekarang ni. Adam dah pun boleh membuka pintu almari dapur dan keluarkan piring dan lain- lain. Kalau dalam bilik, habis pakaian dalam almari Adam keluarkan.

Penat Mama layan Adam. Ada masa, Mama hilang sabar juga dan tinggalkan Adam menangis apabila Mama nak buat kerja.

Apapun, Mama ai Adam!

Thursday, December 11, 2014

Anak Mama Yang Cerdik

Amina anak yang cerdik dan selalu ucapkan sesuatu yang tak dijangka.

Adam bayi yang agak montel. Ahli keluarga selalu panggil Adam, "Bulat". Satu hari, semasa bermain- main dengan Adam, Amina cakap, "Adik bulat, Amina square, Adik circle."

Sejak hari itu, Adam dapat gelaran baharu, Adam Circle.

Pandai betul anak Mama ni menerjemah!

Ada sekali pula, Nek Chik pakaikan Adam songkok. Apabila Amina tengok adik pakai songkok, Amina terus tanya, "Eh, adik nak azan kat mana tu?"



Lepas tu, Amina tanya Mok Su, "Mok Su, adik jadi apa?"

Mok Su tanya Amina balik, "Adik jadi apa?"

Amina jawab, "Adik jadi tuk ime."

Pandai betul anak Mama ni berfikir. Moga- moga masin mulut Amina, adik Adam akan jadi imam solat kita suatu hari nanti.

Mama sayang Amina dan Adam sangat- sangat!    

Persekitaran Baharu

Pemandangan di hadapan rumah kita


9 November 2014 : Hari pertama Mama berpeluang bawa Amina dan Adam keluar meneroka kawasan kejiranan kita.

Persekitaran di sini menyeronokkan dan menenangkan. Petang itu Mama bawa Amina dan Adam berjalan- jalan di hadapan rumah, di tepi padang.

Beberapa orang jiran kita duduk di tepi padang sambil menemani anak- anak mereka bermain. Mama menyertai mereka. Ramai kanak- kanak, anak-anak jiran kita dan kanak- kanak lain dari rumah- rumah yang agak jauh dari padang datang bermain di situ pada waktu petang. Mereka mermain bola atau duduk- duduk di pangkin yang ada dihujung padang. Ada yang memanjat pokok.

Suasana nyaman dengan tiupan angin. Amina dan Adam dilayan oleh kakak- kakak dan abang- abang jiran kita.

Amina sangat seronok berlari dan bermain. Amina nak turut serta abang- abang bermain bola di padang.

Ini kali pertama Amina keluar, bermain, berlari dan buat kawan dengan bebas. Mama tengok, Amina sangat riang.

Mama gembira sangat tengok Amina seronok dan bebas berlari!

Alhamdulillah. Persekitaran di sini baik untuk Amina dan Adam.

Sekurang- kurangnya, fitrah kanak- kanak Amina dan Adam untuk bermain dapat dipenuhi.

Semoga anak- anak Mama terus membesar dengan baik dan sihat.

Mama sayang anak- anak Mama!

Tuesday, December 9, 2014

Adam Mula Berjalan

Adam mula banyak menapak setelah cukup usia 11 bulan pada 2 November lepas. Nampaknya, Adam tunggu cukup 11 bulan untuk berjalan.

Selepas itu, seperti meniarap juga, Adam jarang- jarang berjalan. Tapi, Adam suka berjalan dengan dipimpin sebelah tangan.

Dalam usia 11 bulan juga, Adam batuk dan selsema sedikit untuk kali pertama setelah Adam keluar hospital pada 22 Januari 2014.

Alhamdulillah, Allah kurniakan kesihatan kepada Adam dalam jangka masa  yang lama.

Mama sayang Adam Ann Wei Sheng!

Sunday, December 7, 2014

Hijrah Kita


Alhamdulillah, tanggal 23 November 2014, hari Ahad, kita telah selamat berpindah masuk ke rumah kita di Taman Semarak, Nilai.

Selepas dua minggu, baru Mama berpeluang menulis tentang hijrah ini kerana terlalu sibuk menguruskan banyak hal.

Mama berasa sangat seronok dan bersyukur. Inilah kali pertama Mama tinggal di dalam rumah yang Mama beli dengan hasil titik peluh Mama sendiri.

INILAH RUMAH KITA!

Rumah ini lebih luas dan selesa. Amina pun dapat berlari dan bermain dengan lebih bebas. 

Lebih menyeronokkan, rumah kita ini menghadap padang. Jadi, apabila memandang ke luar rumah, kita dapat lihat pokok- pokok dan rumput di padang. Pemandangan yang hijau ini menyejukkan mata.

Memang rumah ini lebih sejuk berbanding dengan rumah di Desa Jasmin.

Cuma, yang agak tidak seronok, di padang itu, selalu kelihatan anjing berkeliaran. Udara di sini juga agak tidak sihat kerana berhampiran dengan kilang.

Di dalam rumah, Mama sudah sediakan penyegar udara (air purifier). Untuk halaman, Mama akan tanam banyak pokok bunga dan hiasan berdaun supaya dapat memerangkap habuk, supaya udara akan lebih segar.

Apapun, Mama berdoa dan berharap supaya rumah kita ini menjadi rumah yang diberkati, yang damai dan menenangkan untuk kita sekeluarga.