Tuesday, June 6, 2017

Amina dan SJK (C)

Setelah lima bulan belajar di tadika Cina, perkembangan Amina agak memuaskan. Mengikut laporan daripada guru Amina, Amina menguasai bacaan bahasa Cina. Amina boleh membaca lebih baik daripada budak Cina sendiri. Cuma Amina berat mulut, tidak  mahu bercakap dan bergaul dengan rakan- rakan sekelas. Keputusan ujian pertengahan tahun Amina juga sangat baik dalam semua mata pelajaran. Amina mendapat markah 55/ 58 bagi subjek Bahasa Cina.

Mendengar laporan itu, Daddy mula cuba- cuba bercakap Cina dengan Amina di rumah. Alhamdulillah,perkembangan yang positif. Tapi, Amina pula yang tak mahu bercakap. Mama minta Daddy teruskan juga usaha itu.  

Hari ini, Mama dan Daddy ke sekolah untuk pendaftaran tahun satu Amina. Di kawasan ini, ada dua SJK (C). Pada mulanya, Mama memohon kemasukan ke SJK (C) A yang lebih dekat dengan rumah kita dan sekolah Mama. Apabila ke sana, Mama dapati enrolment murid berbangsa lain di sekolah itu lebih ramai daripada murid berbangsa Cina. Mama bimbang Amina tak akan bercakap Cina dan tidak menguasainya apabila berada dalam situasi begitu. Jadi, setelah berfikir dan meminta pandangan dua orang guru Cina, Mama menukar permohonan ke SJK (C) B.

Di SJK (C) B, semua murid bukan Cina yang memohon masuk perlu ditemuduga oleh Guru Besar terlebih dahulu. Guru Besarnya agak tegas dalam mengawal kemasukan murid bukan Cina ke sekolahnya. Melalui enrolment yang Mama lihat di pejabat sekolahnya, bilangan murid Melayu dan bangsa lain jauh lebih sedikit berbanding murid Cina.

Sejak awal perbualan, Guru Besar itu nampak keberatan dan cuba menukar fikiran kami untuk tidak menyekolahkan anak di sekolah Cina. Dia menyatakan sama saja sekolahnya dengan sekolah A, ramai juga murid bukan Cina, jadi, jangan harapkan Amina dapat pandai bahasa Cina di sekolah. Guru Besar itu siap mengeluarkan keputusan muridnya dan menunjukkan betapa teruk gred yang diperolehi oleh murid- murid bukan Cina dalam subjek Bahasa Cina, Matematik dan Sains. Sedangkan murid itu mendapat gred yang baik dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Menurutnya, tidak pernah ada murid bukan Cina yang cemerlang di sekolahnya. Tetapi, di sekolah A, ada.

Guru Besar itu bertanya soalan mudah dalam bahasa Cina kepada Amina dan Amina menjawabnya dengan salah (padahal Daddy dah ajar tapi Amina tak mahu ikut). Kemudian, dia meminta Amina menulis nama dalam tulisan Cina. Amina baru belajar tulis nama ni beberapa minggu yang lepas. Amina cuma dapat tulis "Ann" saja. Mama rasa tidaklah pelik sebab ramai budak lima tahun belum pandai menulis nama sendiri walaupun dalam bahasa ibunda mereka sendiri.

Tidak tahan dengan rungutannya, Mama mengeluarkan kertas ujian Amina dan menunjukkan kepadanya. Dia tidak hairan dengan keputusan itu. Katanya, ada murid yang mendapat 98% tapi langsung tidak tahu membaca. Markahnya tinggi kerana guru tadika memandunya menjawab soalan. Dia menguji Amina membaca, Amina dapat membaca semua perkataan dengan betul. Tidak puas hati, dia menutup gambar dan meminta Amina membaca lagi perkataan dan menerangkan maknanya. Amina berjaya juga melakukannya.

Selepas itu, barulah nampak agak kendur dan beralah. 

Alhamdulillah, Amina berjaya membuktikan yang Amina boleh!

Mama berazam untuk membuktikan yang Amina boleh cemerlang dalam pelbagai bahasa.

Ya Allah, rezekikan anak- anakku untuk menguasai pelbagai bahasa. Permudahkanlah urusan mereka dalam mempelajari bahasa asing!

Mama sayang Amina Ann!  

Kad Hari Guru Yang Pertama

15 Mei 2017 - Amina dan Adam buat kad ucapan Hari Guru yang pertama. Amina beri kepada Lao Zhe Choy, guru tadika Amina. Adam beri kepada Teacher  di kelas muzik.

Pada mulanya, Mama nak beli kad ucapan Hari Guru untuk Amina beri kepada cikgu. Tiba- tiba terfikir, lebih baik buat sendiri untuk mengasah kreativiti anak- anak. Lagipun, dah agak lama kita tak buat aktiviti seperti ni bersama.

Mama pun beli dua keping kertas kartun yang agak keras, kemudian cetak ucapan untukAmina dan Adam warnakan.

Alhamdulillah, anak-anak Mama sangat gembira dengan aktiviti ini!

Kad Adam

Kad Amina



Mama sayang anak- anak Mama!

Amira Pandai Berjalan

16 Mei 2017 - Amira mula berjalan. Tiba- tiba saja Amira melepaskan tangan dari kerusi dan menapak beberapa langkah. Terkejut Mama dan Jaddah tengok.

Alhamdulillah, anak cikgu ni, tunggu Hari Guru baru nak berjalan ya.

Amira mula berjalan dalam usia setahun sebulan, agak lewat berbanding kakak dan abang.

Tapi, Amira cukup rajin berlatih dan sekejap saja dah mahir menapak.

Mama sayang Amira!