Saturday, September 27, 2014

Selepas 10 Hari

Tambahan stor/ bilik di belakang dapur...

Pemandangan dari lorong belakang rumah

Pemandangan dari tepi/ dalam. Lantai basah sebab mereka bersihkan lepas habis buat kerja.

Tepi bilik kedua dan ketiga@ tapak mini indoor garden
Memang bersepah sebab belum siap sepenuhnya lagi. Sliding door sebagai ganti tingkap yang dipecahkan di Bilik B belum dipasang.

Halaman depan @ tempat letak kereta

Alhamdulillah, selepas 10 hari, inilah hasil kerja- kerja pengubahsuaian rumah kita. Mama rasa, kerja yang dibuat berjalan dengan agak cepat. Itu pun, Ustaz Ali kata dah lambat sebab masalah cuaca.

Di sini, Mama nak berbicara tentang masalah kontraktor rumah. Mama dapati, ramai orang lebih suka memilih kontraktor Cina berbanding Melayu. Alasan yang paling selalu diberi ialah kerja orang Cina lebih cepat dan cekap, serta bayaran perkhidmatan yang lebih rendah.

Mama bukan rasis (kalau Mama rasis, Amina dan Adam takkan lahir). Tapi, dalam memilih kontraktor atau apa sahaja urus niaga, Mama akan mengutamakan orang Islam terlebih dahulu (dalam konteks Malaysia, majoriti Islam ialah Melayu). Walaupun harga yang ditawarkan sedikit mahal dan ada sedikit kelemahan.

Sebabnya mudah. Kita mesti membantu orang yang lemah. Kita mesti menghulur tangan untuk memimpin orang yang baru bertatih. Contohnya antara Amina dan Adam, mestilah Mama dukung dan pimpin adik Adam sebab Adam masih kecil dan baharu hendak belajar berjalan sedangkan Amina dah boleh berlari, melompat dan memanjat.

Begitu juga dalam dunia perniagaan. Orang Melayu-Islam baru bertatih dalam bidang ini, sedangkan orang Cina sudah mempunyai empayar yang besar.

Mama bersyukur sebab dapat kenal ustaz Ali. Terima kasih kepada kawan Mama yang perkenalkan ustaz ini kepada Mama. Menurut kawan Mama, dia mula- mula dapatkan khidmat ustaz ini semasa nak ubahsuai bilik air di rumahnya. Dia dapatkan sebut harga daripada beberapa orang kontraktor. Semuanya mahu RM2500. Paling murah RM2400. Ustaz meletakkan harga sebanyak RM1500 sahaja. Ada lagi tawaran yang lebih menarik, ustaz boleh beri harga RM1000 saja kalau dia beli sendiri jubin.

Menarik kan?

Semasa mula- mula Mama hubungi ustaz, dia ada beritahu, kalau Mama mahu khidmat tukang Melayu, harganya mahal sikit, dan kadang- kadang lambat sikit. Mama beritahu dia, Mama tak kisah bayar sedikit mahal atau terpaksa menunggu. Yang Mama tak mahu, kerja terbengkalai atau tak sempurna, tak berbaloi dengan harga yang dibayar.

Memang orang Melayu terpaksa menjual mahal sebab mereka bayar harga yang lebih mahal kepada pembekal bukan Melayu.

Kalau orang Melayu sendiri tak mahu menyokong Melayu sebab harga mahal. Sampai bila pun peniaga Melayu akan terus jadi peniaga kecil.

Mama tak kisah bayar mahal, selagi mana harga itu dalam kemampuan Mama. Mama anggap lebihan wang yang dibayar itu sebagai satu sedekah kepada saudara seagama. Mereka berusaha mencari rezeki, apa salahnya kita bantu. Pekerjaan itu ibadah bagi orang Islam. Apabila kita membuka jalan untuk mereka bekerja, maknanya kita membuka jalan untuk mereka beribadah. Setiap sen yang orang Islam belanjakan untuk keluarganya itu dianggap sebagai sedekah. Kalau kita memberi wang untuk mereka belanjakan kepada keluarga mereka, bukankah kita membantu mereka untuk bersedekah.

Alhamdulillah,Mama tak menyesal pilih ustaz Ali untuk ubahsuai rumah. Beliau dah buktikan yang orang Islam pun boleh buat kerja dengan baik. Malah, frame untuk sliding door dalam bilik kedua tu dah lama ustaz siapkan. Tapi, sliding doornya yang Cina kedai tu lambat  siapkan, sebab itu tak boleh pasang lagi.

Tapi, ramai orang Melayu sendiri yang kalau dengan Cina, dia boleh sabar menunggu. Tapi, kalaulah orang Melayu yang buat lambat tu, mulalah riuh satu negara, orang Melayu lambat, tak boleh harap.......

Mungkin juga bukan salah pengguna, sebab Mama banyak juga dengar masalah yang ditimbulkan oleh peniaga/ penyedia perkhidmatan berbangsa Melayu- Islam yang memang buat kerja secara melepaskan batuh di tangga.

Jadi, kita orang Islam ni kenalah banyak muhasabah dan perbaiki diri supaya menjadi khaira ummah ...

Bagi orang yang di sekitar Nilai dan kejiranannya, memang Mama cadangkan supaya cari ustaz Ali untuk kerja- kerja renovation, wiring dan seumpamanya.

Memang berbeza kerja orang yang anggap kerja tu ibadah dan berpegang teguh kepada agama ni. 

Sunday, September 21, 2014

Sedikit Masalah

Kerja pengubahsuaian rumah hanya ada sedikit perkembangan.

Hujan yang selalu turun dalam beberapa hari ni melambatkan proses.

Sedikit masalah timbul. Jubin yang Mama beli hari tu, banyak yang retak dan ada sekotak yang pecah.

Kesan retak pada jubin

Sedih!

Memang silap Mama. Mama beli jubin yang murah sangat. Hari tu memang Mama kelam- kabut sangat sebab rancangan kita untuk bertolak ke Pulau Pinang awal- awal pagi terpaksa ditangguhkan ke tengah hari sebab Mama kena bergegas beli jubin.

Mama ke kedai yang Ustaz Ali cadangkan, tapi di situ tak ada jubin yang Mama berkenan. Jadi, Mama pergi ke kedai satu lagi dan terus beli sebab memang ada corak yang Mama suka semasa Mama pergi survey hari Jumaat sebelumnya.

Memang harganya murah sangat. Mama dah cuba berhati- hati untuk tak beli yang murah sangat sebab Mama memang dah dengar pengalaman orang lain yang beli jubin murah, tapi tak lama lepas tu, banyak yang pecah.

Tapi hari tu Mama memang kelam- kabut!

Terpaksalah terima je keadaan ini dan anggap ini satu pengajaran. Tapi, pengajaran ni agak perit la bagi Mama dengan sumber kewangan Mama yang terhad.

Sedih lagi!

Sekarang ni, Mama cuma berharap pada Ustaz Ali. Dia dah cuba kurangkan risiko jubin tu cepat pecah dengan mampatkan simen di bawahnya. 

Moga- moga dapat membantu! 

Saturday, September 20, 2014

Permainan Yang Mengajar

Amina dah kenal banyak nombor bahasa Melayu dan bahasa Arab.

Mama hanya ajar Amina mengira dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Mama jarang kenalkan Amina dengan bentuk nombor. Hanya nombor 1 yang Amina dah kenal sejak berumur setahun sebab Amina kenal logo 1Malaysia. Nombor 3 Amina tahu sebab Mama ajar Amina tengok saiz untuk bezakan antara baju adik dan baju Amina.

Amina tahu mengira dan mengenal nombor bahasa Arab melalui permainan. Begitu juga dengan nombor lain dalam bahasa Melayu.


Telefon ini Mama beli di pasar malam dengan harga RM15. Laptop itu pula Mama kirim pada Auntie Zirah beli di Mekah, juga dengan harga RM15 (Rial).


Inilah permainan yang mudah dan murah, tetapi membantu dalam pengajaran. Mama rasa para ibu bapa patut beli mainan ini untuk anak- anak.

Melalui telefon itu, Amina bukan sahaja belajar nombor, Amina turut belajar nama- nama bentuk (triangle, square, circle, heart).

Mama harap selepas ni Adam boleh manfaatkan pula permainan ini. Sekarang ni pun Adam memang suka berebut permainan ni dan permainan lain dengan kakak. Tapi Adam ambil untuk tepuk- tepuk dan masukkan dalam mulut saja.

Sayang anak- anak Mama, Amina dan Adam.


Amina suka betul apabila keluar muzik "Teng...teng teng...teng teng teng teng teng teng... Excellent!" kalau Amina tekan nombor yang betul. Lepas tu Amina dah tak dengar soalan "Where is number....?", jadi Mama lah yang kena cakap nombor berapa yang ditanya.

Monday, September 15, 2014

Pengubahsuaian Bermula


Hari ini, kerja- kerja pengubahsuaian rumah kita bermula.

Mama rasa seronok sangat.

Sejak beberapa minggu lepas, Mama dah sibuk bawa Ustaz Ali, kontraktor yang akan menjalankan kerja pengubahsuaian meninjau rumah itu.

Mama pun jadilah pelukis pelan dan pereka dalaman tak bertauliah, buat lakaran penambahan ruang dan kabinet dapur untuk panduan ustaz Ali.





Hee... hee... disebabkan Mama nk cikgu, bukannya arkitek lakaran dibuat atas kertas buku tulis saja.

Lukisan pun macam murid pra sekolah.

Mama juga sibuk buat belanjawan berdasarkan sebut harga yang Ustaz Ali beri. Juga sibuk ke sana sini dan layari internet untuk tinjau harga barang macam jubin.

Mama buat kerja- kerja pengubahsuaian sebelum kita berpindah masuk supaya Amina dan Adam tak terganggu oleh bunyi bising dan habuk- habuk yang banyak.

Sebenarnya sekarang rumah tu ada penyewa. Nasib baiklah penyewanya anak- anak muda bujang. Cikgu sekolah Mama juga, dan mereka memahami. Macam mana pun, Mama kurangkan sewa mereka sebab mereka terganggu juga dengan kerja- kerja ni.

Pagi-pagi lagi Mama dah keluar beli jubin untuk dipasang di stor yang baru nak dibina dan garaj kereta.

Baru Mama tahu yang untuk garaj kita kena guna jubin yang tebal dan lasak. Istilah yang digunakan dalam pembinaan nk ialah heavy duty.

Jumlah semuanya ialah RM 1322. Nasib baik di Nilai mudah untuk Mama ke beberapa kedai untuk bandingkan harga. Tapi Mama ke dua buah kedai saja, ikut saranan kawan -kawan.

Mama tak larat dan kesuntukan masa untuk survey  banyak sangat.

Saturday, September 13, 2014

Adam 8 Bulan

Dalam usia 8 bulan, berat Adam 8.76kg dan panjang 67.5cm. 

Berat Adam bertambah sedikit je sekarang. Tapi, berat Adam masih seimbang dengan usia dan ketinggian.

Pada 10 September 2014, Adam mula pandai bertepuk tangan. Jaddah yang ajar Adam. Cara Adam tepuk tangan comel sangaaaatt!

Ai Adam!

Friday, September 12, 2014

Teratak Kecil Kita

Mulai hari ini, Mama akan tambah satu lagi label dalam blog ini. Label bertajuk "Teratak Kecil Kita".

Sebabnya, sekarang Mama sedang sibuk dengan urusan mengubahsuai rumah sebelum kita berpindah masuk pada awal Disember ini, insya Allah.

Tiba- tiba saja Mama terceburkan diri dalam bidang pembinaan. Semenjak dua menjak ni, Mama banyak belajar dan cari maklumat tentang pengubahsuaian rumah, pembinaan kabinet dapur, pembinaan kabinet bilik tidur, wiring, tiling, ....

Bukan itu saja, Mama juga sibuk cari rekaan landskap taman mini,  jenis- jenis bunga dan tanaman daun yang sesuai ditanam, digantung dan sebagainya.

Sambil- sambil tu, Mama intai juga binaan pergola, garden stepping, bla...bla...bla.

Banyak pengetahuan baharu yang Mama dapat akhir- akhir ini.

Macam- macam Mama ni kan. Sebabnya, Mama nak jadikan rumah kita rumah yang baik dan selesa untuk Amina dan Adam diami. Dari rumah inilah Amina dan Adam akan melangkah keluar ke dunia yang lebih luas dan mencabar....

Jadi, rumah Mama mestilah berperanan dalam membentuk peribadi anak- anak yang ceria, tenang berkeyakinan diri, mempunyai nilai- nilai murni dan berfikiran tajam dan terbuka.

Rumah kita kecil saja. Sebab Mama tak mampu nak beli rumah yang besar dan mewah untuk anak- anak Mama. Tapi, Mama akan usahakan sedaya upaya untuk jadikan teratak kecil kita ini tempat yang selesa, tenang dan mendamaikan untuk kita sekeluarga.

Mama yakin, dari rumah kecil ini, akan lahir insan- insan yang berjiwa besar, yang bakal beri sumbangan besar kepada dunia!


Huu...huuuu, tersedih pulak Mama. Memang setiap kali berfikir tentang rumah, hati Mama tersentuh.
Mama wujudkan entri dan label dalam blog ini supaya suatu hari nanti Amina dan Adam boleh membaca "sejarah" rumah kita dan "perjuangan" Mama menbangunkannya.

Nanti anak- anak Mama tahu yang Mama ni sebenarnya seorang superwoman. Haa...haaa...

Nanti Mama akan snap gambar- gambar rumah kita yang belum diubahsuai dan keadaannya selepas pengubahsuaian.

Mama sayang sangat Amina dan Adam! 

Wednesday, September 10, 2014

Amina Terus Belajar

Amina terus membesar dan belajar banyak perkara.

Sekarang, Amina suka bertanya. Apabila lihat sesuatu (serangga dsb) Amina akan tunjuk dan tanya "Apa tu, Mama?"

Entah kenapa, Mama berasa sangat bahagia mendengar soalan Amina tu. Mungkin sebab soalan itu menunjukkan yang anak Mama sedang dalam perjalanannya untuk mencari seorang ilmuwan.

Mama akan cuba jawab soalan Amina dengan penjelasan sebaik mungkin. Mama mahu kognitif Amina berkembang dengan baik.

Mama teringat satu peristiwa semasa Mama mengandungkan Amina. Ketika itu Mama ke klinik untuk pemeriksaan bulanan. Di situ, ada seorang budak lelaki berusia lebih kurang 4 tahun yang datang bersama ibunya.
Bagi Mama, budak itu cukup cerdik. Dia banyak bertanya "Apa tu?" apabila melihat atau mendengar sesuatu.
Tiba- tiba, ada bunyi yang agak kuat kedengaran dari dalam sebuah bilik. Dia bertanya kepada ibunya dengan perasaan ingin tahu, "Apa tu?"
Ibunya menjawab, "Hiii, takut- takut".
Budak itu terus lari dan duduk dekat ibunya.

Mama berasa sedih melihat cara ibu budak itu melayan pertanyaan anaknya. Budak itu tidak mendapat jawapan yang sepatutnya bagi soalan yang ditanya. Perasaan ingin tahu yang sepatutnya mendorong dia menjadi lebih cerdik seakan disekat oleh ibu sendiri.

Mama berjanji kepada diri untuk tidak melayan anak- anak Mama seperti itu. Apa salahnya menerangkan sesuatu dengan tepat dan logik.

Mama sendiri tidak pernah mangajar Amina takut tak bertempat. Ada masanya, Amina takut mendengar bunyi mesin pengisar dsb. Mama bertahu Amina "No need to be scared. That is only sound. It's not dangerous. That is blender."

Anak Mama tak boleh membesar sebagai penakut sebab anak Mama nak jadi pejuang Islam. Anak- anak Mama mesti berani dan kuat.

Sayang Amina!


Monday, September 8, 2014

Adam Tumbuh Gigi

Adam dah tumbuh sebatang gigi semasa berusia 7 bulan, muncul lebih kurang selepas Hari Raya tempoh hari.

Adam juga dah pandai panggil Mama, terutamanya semasa menangis. Sekarang Adam dah banyak cakap dan membebel macam- macam. seronok layan Adam bercakap.

Adam tetap manja dan suka menangis nak Mama macam dulu juga.

Hobi Adam sekarang ialah makan. Adam memang pantang tengok orang makan, mesti Adam merengek nak sama.

Adam juga dah sangat cerdik dan faham banyak perkara. Apabila nampak Mama bawa air panas ke dalam bilik, Adam dah tau itu masa mandi dan ikut masuk ke bilik. 
Adam juga faham kalau Mama tanya, "Adam want milk?", Adam akan senyum dan ketawa kalau Adam nak.
Hari tu, semasa Adam sedang bermain dalam bilik Jaddah, Jaddah cakap pada Adam, "Pergilah main dengan kakak", Adam pun merangkak keluar dari bilik Jaddah, nak pergi bilik Mama cari kakak.

Adam sangat lasak dan mula memanjat. Susah betul nak jaga Adam sekarang. Nak pakaikan lampin dan baju selepas mandi pun susah.

Kalau dulu, masa kakak sebaya adam, dia akan menggoyang- goyangkan badan apabila dengar muzik. Adam berbeza sikit. Apabila orang menyanyi atau berselawat atau bernasyid, Adam akan menepuk- nepuk meja atau apa- apa permukaan. Kadang- kadang Adam tepuk paha atau perut sendiri.

Adam minat muzik, sama macam kakak.

Mama sayang Adam dan nak Adam terus membesar jadi anak yang sihat dan cerdik.