Wednesday, August 6, 2014

Kisah-Kisah Inspirasi Para Ibu Yang Melahirkan Orang-orang Berjaya


Buku ini Mama beli semasa dalam cuti selepas melahirkan Amina. Dibeli di Kedai Buku Muda Osman, Tesco Kota Bharu.

Kisah- kisah inspirasi yang dimuatkan di dalam buku ini cukup menyentuh hati. Antara kisah tokoh yang dimuatkan dalam buku ini ialah Siti Hajar , bonda Nabi Ismail; Ibu Imam Syafie, Nancy Mattews Edison, ibu kepada Thomas Alva Edison; Blanche Rudolph, ibu kepada pelari wanita terpantas di dunia dan 12 tokoh lain.

Ibu- ibu yang cerita mereka dimuatkan di dalam buku ini bukan sekadar melahirkan, malah mereka telah berjaya mendidik seorang manusia kecil sehingga menjadi tokoh besar.

Lebih hebat lagi, terdapat di antara anak mereka yang merupakan anak yang dipandang lemah dan bodoh sewaktu kecil. Tetapi, dengan keyakinan diri dan sikap tidak mudah menyerah kalah, para ibu tersebut berjaya "mengubah takdir" anak mereka, menjadikan anak yang lemah dan bodoh itu seorang yang terpandang di sisi masyarakat!

Contohnya ialah Thomas Alva Edison yang disingkir daripada sekolah kerana menurut gurunya dia "sangat bodoh dan sukar diajar".

Wilma Rudolph pula lahir sebagai anak yang menghidapi pelbagai penyakit dalam sebuah keluarga berkulit hitam yang miskin.Sewaktu kecil, doktor menyatakan bahawa dia tidak akan boleh berjalan. Tetapi, ibunya meyakinkan bahawa dia pasti boleh berjalan. Si ibu dengan tidak kenal putus asa membawanya menempuh jarak sejauh 80km untuk mendapatkan rawatan sebanyak 2 kali seminggu.

Akhirnya, Wilma bukan sahaja boleh berjalan, malah menjadi pelari wanita yang terpantas di dunia!

Keyakinan dan doa ibu memang membuahkan keajaiban dalam kehidupan anak- anak!
  
Mama berasa sangat terinspirasi dan bersemangat untuk mencontohi ibu- ibu tersebut dalam mendidik anak- anak Mama. Mama mahu anak- anak Mama menjadi tokoh besar dunia, bukan untuk kebanggaan Mama dan kesenangan dunia semata- mata, tetapi supaya anak Mama boleh mengubah dunia ini menjadi tempat yang lebih tenang, aman dan selamat untuk manusia sejagat.

Semoga Allah makbulkan hajat Mama.

Mama sayang Amina dan Adam.

No comments:

Post a Comment