Thursday, May 3, 2012

The First MACHINE That We Produced!

2nd May 2012, at 10.54 am, our first "MACHINE" (MAlay + CHINEse) was produced! She's a girl!

Akhirnya saat yang Mama tunggu tiba. Semuanya berlaku dalam masa lebih kurang 6 jam saja. Alhamdulillah, Allah permudahkan proses kelahiran baby Mama. Sesetengah orang terpaksa melalui kesakitan selama lebih 24 jam untuk proses kelahiran sulung.

Nampaknya, Mama kenalah tukar latar blog ini sebab baby Mama tunggu-tunggu ni rupanya seorang bayi perempuan yang baik dan comel. Tapi, tak apalah, yang penting sekarang Mama nak kongsikan dulu saat- saat kelahiran anak Mama ke dunia ini, buat tatapan anak Mama suatu hari nanti.

1 Mei 2012, 10.00 malam

Mama masuk tidur agak awal. Petang tadi Mama ke lapangan terbang bersama nenek untuk ambil Daddy. Masa balik, sempat singgah beli nasi lemak kukus. Makan malam Mama ialah nasi lemak kukus dan nasi putih dengan paprik dan ayam goreng. Tok Su buat mee kari tapi Mama dan Daddy dah kenyang sangat jadi kami bercadang nak makan mee kari untuk sarapan esok.
Mama belum menunjukkan tanda-tanda untuk melahirkan. Mama rasa bimbang pula. Daddy dah ada di sini. Mama berharap dapat lahirkan baby semasa Daddy ada. Mama paling bimbang kalau masa Daddy nak balik atau baru balik ke KL semula, baru baby lahir.
Mama habiskan masa sebelum tidur dengan berbual-bual dengan Daddy tentang baby. Sambil tu, Mama bercakap dengan baby juga.

"When will you come? Daddy's here. Daddy wants to take turn to carry you. Mama feel a little bit tired. Don't you want to see Daddy?"

"A clever baby, you're coming out soon, right?"

2 Mei 2012, 2-3 pagi

Mama terjaga untuk ke tandas. Perkara rutin. Tapi tak lama kemudian Mama rasa nak ke tandas lagi. Kerap pula Mama buang air kecil malam ni! Ari- ari Mama pun rasa sakit, lebih daripada biasa. Dady pun ikut terjaga apabila Mama kerap bangun. Mama tunjukkan pada Daddy perut Mama yang terbonjol di sebelah kiri bila baby mengeras di situ. Perut Mama nampak pelik.

4 -5 pagi

Mama masih cuba untuk tidur tapi Mama cuma tidur-tidur ayam. Mama tertanya-tanya, ini tanda-tanda kelahiran ke? Tiba-tiba Mama rasa ada cecair keluar dari bawah. Mama bangun membuka lampu untuk pastikan apa yang berlaku. Ada lagi cecair keluar dan jatuh ke atas lantai. Warnanya jernih saja. Memang air ketubanlah ni! Mama tak berasa sakit apa-apa. Mama kejutkan Daddy. Sementara Daddy masuk bilik air, Mama pergi kejutkan nenek pula dan tunjukkan kesan air yang meleleh di betis Mama.
Kami bersiap-siap ke hospital. Air terus keluar. Dalam perjalanan, Mama mula berasa sakit perut sikit-sikit. Tapi, semuanya tenang dan berjalan lancar. Jalanraya pun lengang sebab masih awal pagi.
Kami tiba di Pusat Perubatan An-Nisa', Kota Bharu lebih kurang jam 4.45 pagi, disambut oleh jururawat bertugas yang masih menguap-nguap sampai Mama rasa agak bimbang. CTG dipasang untuk kesan denyutan jantung bayi. Jururawat periksa bukaan jalan keluar baby. Baru lebih kurang 2-3 cm. Mama diberi ubat supaya buang air besar. 

5 - 7.40 pagi

Kami diberi sebuah bilik, Kasih 03. Jururawat beri Mama sebuah bungkusan yang mengandungi barang-barang keperluan macam tuala, berus gigi dan sebagainya. Telekung sembahyang turut disediakan. Selepas solat Subuh, ada pekerja yang hantar minuman 3 dalam 1 dan biskut. Daddy bancuh air dan Mama bersarapan sedikit supaya ada tenaga untuk proses melahirkan nanti.
Selepas itu, ada pula pekerja yang hantar roti bakar, jem dan mentega. Mama makan lagi dan minum Milo.
Bermula lebih kurang jam 7.15, kontraksi yang berlaku agak kuat dan selang 5 minit. Mama minta dimasukkan ke bilik bersalin. Jalan keluar diperiksa lagi tapi masih lebih kurang 3 cm. 

7.40 - 11.30 pagi

Daddy masuk ke bilik bersalin bersama Mama. Mama terus merasakan kontraksi yang makin kerap dan makin menyakitkan sehingga Mama terjerit-jerit sebut Allahu Akbar dan sebagainya apabila sakit. Waktu sela antara kontraksi itu pula, Mama masih boleh berbual-bual dengan jururawat-jururawat bertugas. Daddy duduk di sebelah Mama, genggam tangan Mama masa kontraksi kuat dan urut belakang Mama. Jururawat bertugas pun banyak membantu, tolong usap perut Mama, baca doa dan ajar Mama untuk berdoa dan tarik nafas apabila rasa sakit.
Apabila kontraksi makin kuat dan kerap, Mama rasa nak muntah pula. Nasib baik jururawat sempat bawa bekas untuk tadah muntah. Mama muntah 3 kali dan banyak air keluar. Lepas muntah rasa lega sikit tapi sakit kontraksi makin kuat.
Akhirnya seorang jururawat periksa bukaan jalan sekali lagi. Katanya mungkin dan 10 cm. Mereka semua terkejut dan kata bukaan jalan Mama berlaku agak cepat. Doktor datang. Mama ditanya adakah Mama rasa nak meneran. Mama kata belum rasa. Doktor periksa bukaan. Rupanya lebih kurang 8 cm. Air dimasukkan untuk membantu buka jalan keluar.
Mereka ajar Mama supaya tarik nafas, kacip gigi dan meneran sekuat hati apabila rasa sakit. Daddy tolong pegang kaki Mama dan seorang jururawat pelatih tolong pegang tangan Mama supaya Mama boleh meneran dengan lebih kuat.
Proses meneran mengambil masa yang agak lama. Mama tak berapa bertenaga untuk meneran lama. Doktor dan jururawat terjerit-jerit bagi semangat pada Mama supaya terus meneran. Kata mereka, kepala baby dah nampak. Nenek duduk agak jauh di tepi sambil baca doa. Apabila dah sampai saat-saat baby hampir nak keluar, rasanya ada 5 atau 6 orang petugas yang pegang Mama sampai Daddy pun terpaksa ke tepi dan jadi pemerhati sahaja. Doktor gunting jalan keluar 3 kali untuk mudahkan serta cepatkan baby keluar. Mama terus meneran sambil berdoa banyak-banyak "Rabbi yassir, wa la tu'assir wa tammim bil khair" (Tuhanku permudahkanlah, jangan disusahkan, dan sempurnakanlah urusan ini dengan pengakhiran yang baik). Pada masa tu, Mama hanya bimbang kalau-kalau anak Mama lemas, jadi Mama cuba sekuat tenaga untuk keluarkan anak Mama ke dunia ini.
Akhirnya, pada pukul 10.54 pagi, anak Mama berjaya keluar menghirup udara di bumi Tuhan ni. Sebaik saja baby keluar, terus hilang semua kesakitan Mama. Tapi badan Mama masih sangat lemah untuk pedulikan baby. Mama cuma tengok sekali imbas sahaja. Muka Mama pada masa tu penuh dengan peluh dan air mata yang keluar dengan sendirinya semasa Mama meneran.
Anak Mama menangis dengan suara yang cukup kuat. Selepas bayi dibersihkan dan luka Mama siap dijahit, jururawat bawa anak Mama untuk disusukan. Seronoknya Mama rasa apabila anak Mama hisap susu Mama buat pertama kalinya!


Add caption

No comments:

Post a Comment