Monday, April 30, 2012

Detik-detik Awal

Masih belum ada tanda-tanda kelahiran baby yang menyebabkan Mama berasa agak bimbang. Agaknya seronok ya duduk dalam perut Mama sampai baby belum nak keluar? Esok, Daddy akan datang untuk luangkan masa bersama Mama sampai 3 Mei. Mungkin juga anak Mama ni nak tunggu kedatangan Daddynya, baru nak keluar.

Mama baru berkesempatan untuk uploadkan detik-detik awal kehamilan yang Mama catat, khusus untuk tatapan anak Mama apabila dia dewasa nanti. Moga-moga anak Mama memahami apa yang Mama lalui untuk membolehkan dia menghirup udara di dunia ini. Moga-moga anak Mama menjadi hamba-Nya yang lebih menghargai kehidupan :

Jumaat, 16 September 2011
Sudah seminggu Mama tidak sihat. Mama rasa badan Mama panas dan kepala terasa pening. Dua malam lepas, Mama muntah. Haid Mama sudah terlewat kira- kira 2 minggu. Beberapa orang kawan mengatakan mungkin Mama telah “berisi”. Tapi, Mama takut untuk mempercayainya sebab dah banyak kali Mama kecewa dengan keputusan ujian kehamilan yang Mama buat.
Hari ini Daddy ada bersama Mama. Daddylah yang tidak sabar- sabar menyuruh Mama buat ujian kehamilan. Mama sudah pun membeli alat ujian kehamilan semalam.
Pagi- pagi, bangun sahaja daripada tidur, Mama terus membuat ujian tersebut. Hati Mama berdebar- debar. Dalam masa beberapa saat sahaja, Mama melihat hasilnya bersama Daddy. Ohh, ada dua garisan yang timbul. Nampaknya, MAMA HAMIL! Mama bagaikan tidak percaya, MAMA HAMIL?
Daddy sangat gembira. Mama juga. Selesai solat Subuh, Mama buat sujud syukur. Tetapi, Mama masih dalam keadaan percaya atau tidak. Berkali- kali Mama melihat semula alat ujian kehamilan itu, memang ada dua garisan merah. Apapun, Mama akan ke klinik untuk membuat ujian sekali lagi pada Isnin nanti.
Tiba- tiba, Mama teringat tarikh hari ini 16 September, Hari Malaysia. Memang anak Mama Anak Malaysia. Anak Mama kan hasil penyatuan 2 bangsa terbesar di Malaysia.

Isnin, 19 September 2011
Mama ke Poliklinik Bukit Serampang untuk membuat ujian kehamilan sekali lagi. Alhamdulillah, keputusannya memang positif. Mama hamil kira-kira 7 minggu. Petang itu juga Mama buat buku ibu mengandung. Mama mula menghebahkan berita gembira ini kepada saudara- mara dan sahabat rapat. Semua bergembira dengan berita ini.
Hari- hari seterusnya dilalui dengan perasaan gembira yang tidak dapat digambarkan walaupun kesihatan Mama terus dalam keadaan tidak begitu baik. Rasa syukur, seronok dan sedikit tidak percaya bercampur- baur dalam diri Mama. I’m going to be a mother? Itulah persoalan yang selalu bermain di fikiran Mama.
“Bolehkan aku jadi seorang ibu yang  baik?”
“Sudah lengkapkah persediaanku untuk menjadi seorang ibu yang boleh mendidik anak- anak menjadi hamba-Nya yang bertaqwa?”
“Ya Allah, jadikanlah aku seorang ibu yang solehah, dan jadikan suamiku seorang bapa yang soleh. Moga- moga kami boleh menjadi contoh yang baik untuk anak kami dan membimbingnya menjadi hamba-Mu yang soleh.”
Setiap hari Mama panjatkan doa. Ramai orang berdoa supaya anaknya menjadi anak yang soleh. Tetapi, Mama lebih takut sekiranya Mama tidak berjaya menjadi ibu yang solehah kerana Mama percaya bahawa anak yang soleh hanya akan lahir daripada seorang ibu yang solehah.
Dalam masa yang sama, perasaan takut dan bimbang masih menebal. Takut untuk terlalu berharap kerana dengan usia kandungan yang masih terlalu muda, masih banyak risiko yang boleh berlaku. Setiap Mama berpesan kepada janin dalam kandungan :
“Anak Mama pegang kuat-kuat ya kat dalam. Anak Mama tak boleh jatuh. Mama dan Daddy dah lama tunggu anak Mama ni datang. Anak Mama kan kuat. Daripada berjuta-juta benih Daddy, anak Mama saja yang berjaya senyawakan ovum Mama.”  

Khamis, 22 September 2011
Ulang tahun kelahiran Mama yang ke-30. Mama menyambutnya di atas katil. Hari ini, Mama rasa sangat teruk sampai Mama terpaksa ambil cuti sakit. Kepala rasa pening dan pandangan berpinar- pinar. Bagaimanapun, Mama cuba paksa diri untuk mengambil makanan sebab Mama bimbang anak Mama tak dapat cukup nutrien untuk terus membesar dalam rahim Mama. Hari ini juga, Mama perlu ke klinik untuk menjalani pemeriksaan kehamilan buat kali pertama. Mama gagahkan juga diri untuk pergi.
Hari- hari yang dilalui dengan alahan ini menyebabkan Mama semakin memahami betapa besarnya pengorbanan seorang ibu. Setiap waktu ada rasa mual dan loya. Badan pun rasa lemah, panas dan tidak sihat. Makan pun tidak berselera dan ditelan dengan terpaksa. Jenis makanan juga dipilih- pilih. Patutlah Allah meletakkan kedudukan ibu pada darjat yang sangat tinggi. Patutlah syurga itu berada di bawah tapak kaki ibu. Susahnya mengandung ni! Tapi, segalanya dihadapi dengan tabah kerana rasa kasih sayang yang mendalam terhadap anak yang berada dalam kandungan. Rasa syukur dan sayang telah berjaya mengatasi semua rasa tidak selesa yang dialami.
Suatu perkara yang Mama perhatikan, ada banyak kebetulan dan nasib baik yang berlaku berkaitan dengan makanan. Apabila Mama terasa nak makan pizza yang dibuat oleh isteri seorang cikgu di sekolah, tiba-tiba esoknya dia bawa pizza tersebut walaupun Mama tak suarakan pun keinginan itu kepadanya. Pernah sekali Mama terasa nak makan pisang, seorang cikgu di sekolah bawa pisang untuk dimakan beramai- ramai di bilik guru. Agaknya, anak Mama ni murah rezeki.
Mama juga bersyukur sebab kawan- kawan di sekeliling sangat prihatin dan memahami. Semoga Allah membalas semua kebaikan mereka.

Sabtu, 24 September 2011
Mama telah khatam bacaan al-Quran buat kali yang entah keberapa. Lalu, hari ini Mama mulakan bacaan yang baru. Kali ini, bezanya ialah Mama sedekahkan bacaan Mama ini kepada bayi yang sedang terbentuk dalam rahim Mama. Mama berharap supaya Mama dapat khatamkan bacaan al-Quran ini sebelum anak Mama dilahirkan. Biar bayi ini terbentuk sempurna bersama 30 juzuk al- Quran dalam jiwanya.
Mama juga mengamalkan membaca al-Fatihah setiap hari dengan niat menyedekahkannya kepada roh anak Mama ini.
Moga- moga dengan cara tersebut anak Mama akan terbentuk menjadi insan yang soleh.

Jumaat, 7 Oktober 2011
Mama baru habis mengikuti kursus KSSR Bahasa Arab bagi Tahun 2 2012 di Muar, yang bermula 3 Oktober. Selama 5 hari ni, Mama berulang setiap hari ke Muar. Tumpang kereta kawan. Kursus bermula jam 8 pagi sehingga 4.30 petang. Penat.
Malam, apabila Mama ke tandas sebelum tidur, ada sedikit darah keluar semasa Mama buang air kecil. MAMA TERKEJUT DAN BIMBANG! Mama segera hubungi jiran yang Mama tahu pernah alami kejadian yang sama. Dia yakinkan Mama yang tidak apa- apa yang bahaya berlaku. Lagipun Mama tak rasa sakit pun.
Mama batalkan niat untuk ke klinik malam itu. Tapi, Mama tidur dalam keadaan bimbang. MAMA SANGAT TAKUT KEHILANGAN ANAK YANG BARU SEKEJAP MAMA NIKMATI KEBAHAGIAAN MENGANDUNGKANNYA INI. Mama panjatkan doa kepada Allah, “Tolonglah jangan ambil anak ini. Rezekikanlah dia untuk Mama miliki.”

Sabtu, 8 Oktober 2011
Ketul kecil darah masih keluar semasa Mama buang air kecil. Pagi-pagi lagi, Mama hubungi jururawat di Poliklinik Bukit Serampang untuk maklumkan keadaan Mama.
Mama ke Klinik Keluarga di Bukit Gambir. Buat kali pertamanya, Mama dapat lihat ciptaan Allah yang cukup indah dalam rahim Mama.     ITULAH ANAK MAMA! Janin itu masih sangat kecil tapi sudah bergerak aktif. Kata doktor, dia sedang menggerak- gerakkan tangannya (kata Daddy apabila Mama beritahu tentang ini, anak Mama tengah menulis. Hmmm...like daddy like baby). Doktor mengesahkan bahawa tidak ada apa- apa masalah tentang janin yang Mama kandung. Mungkin darah yang keluar itu datang dari salur kencing. Mungkin air kencing Mama kotor. Mama rasa lega.  

24 – 26 November 2011
Mama mewakili Johor dalam Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan. Sebenarnya, Mama hampir menarik diri dari pertandingan ini memandangkan kesihatan yang tidak begitu baik. Walau bagaimanapun, syukurlah tarikh pertandingan dipinda beberapa kali sehingga Mama kesihatan Mama agak stabil. Mama rasa anak Mama ni akan menjadi seorang yang berani ke hadapan sebab sepanjang tempoh hamil Mama selalu juga kena buat pengucapan awam. Semasa anak Mama baru kira-kira sebulan dalam kandungan, Mama buat pementasan tentang Tun Dr Mahathir di Dataran Tangkak sempena sambutan sambutan kemerdekaan peringkat daerah, yang turut disaksikan oleh YB Menteri Besar Johor, Dato Abdul Ghani Othman. Semasa menghadiri kursus KSSR, walaupun Mama dah memilih untuk duduk di barisan belakang sebab tidak begitu sihat, Mama tetap juga kena pilih jadi pengacara majis. Sekarang, Mama buat pementasan untuk pertandingan ini pula. Walaupun kumpulan Mama, Permata Ledang gagal mendapat tempat pertama, kedua atau ketiga, pengalaman yang didapati sangat berharga bagi Mama.

Khamis, 1 Disember 2011
Mama pulang ke Kelantan. Mama memang berniat nak luangkan banyak masa cuti ni di Kelantan sebab Mama nak isi masa dengan menghadiri kelas al-Quran, bacaan Hadis dan ceramah Tafsir yang selalu nenek baby hadiri. Nasib baik Daddy izinkan Mama bercuti di kampung. Mama nak anak Mama ni jadi seorang yang mencintai ilmu dan suka menghadiri majlis-majlis ilmu. Kalau boleh, biarlah anak Mama sampai ke tahap jadi orang alim yang mengendalikan majlis ilmu seperti datuk dan moyang-moyangnya.

Mama sayang anak Mama!

No comments:

Post a Comment