Thursday, July 3, 2014

Melahirkan Tanpa Rasa Sakit


"Melahirkan Tanpa Rasa Sakit" , Mama beli pada Mei 2011. Ketika itu Mama belum mengandung pun. Semasa ikut Daddy ke satu program di The Mines, kami ke Pesta Buku yang diadakan di situ. Tiba- tiba, Mama tertarik dengan buku ini serta "Membesarkan Bayi Jadi Anak Pintar". Mama terus minta Daddy belikan.

Alhamdulillah, Ogos tahun itu, Mama disahkan hamil. Memang nalurilah yang mendorong Mama beli buku ini.

"Melahirkan Tanpa Rasa Sakit" memberi panduan kepada bakal ibu untuk mengurangkan kesakitan semasa bersalin dengan kaedah  Relaksasi HypnoBirthing. 

Buku ini juga memberikan banyak penerangan tentang proses kelahiran, termasuklah tanda- tanda kelahiran seperti kontraksi, air ketuban, bukaan jalan lahir,malah menyenaraikan peralatan yang perlu dibawa ke hospital bagi keperluan ibu dan bayi yang baru lahir.

Perkongsian pengalaman melahirkan menggunakan kaedah Relaksasi HypnoBirthing ini sangat menarik. Sedikit petikan daripada pengalaman seorang ibu yang menggunakan teknik ini ketika bersalin secara pembedahan :

Ketika anak saya ditarik keluar - karena rupanya kakinya tersangkut di antara tulang iga, yang kalau dirasakan sebenarnya terasa sakit luar biasa- saya membayangkan sebuah tangan yang besar sekali, lembut dan putih, mengalihkan anak itu ke dalam pelukan saya. Sungguh, itu adalah pengalaman yang sulit saya gambarkan. Tiba- tiba saja bidan sudah memperlihatkan wajah bayi yang benar- benar masih berselimut lendir. Kami pun berkontak mata.

Buku ini memang sangat berguna sebagai panduan untuk bakal ibu, terutamanya bagi yang pertama kali hendak bergelar ibu. Kaedah relaksasi diterangkan secara langkah demi langkah. Secara umumnya, kaedah yang digunakan ialah kaedah hipnosis, iaitu, suatu seni komunikasi yang dapat mempengaruhi alam bawah sedar manusia secara efektif.

Menggunakan metod ini, bakal ibu menghipnosis diri sendiri supaya berada dalam keadaan tenang dan relaks. Secara tidak langsung keadaan itu menjadi bius kepada kesakitan yang dirasai semasa proses kelahiran.

Mama sendiri ada mencuba satu dua kaedah relaksasi yang dicadangkan tetapi Mama tidak mampu untuk mempraktikkannya sehingga mencapai tahap alpha. Relaksasi telah Mama buat sejak masih mengandung. Berkomunikasi dengan bayi juga telah Mama lakukan sebelum membaca buku ini tetapi buku ini ada mencadangkan kaedah yang lebih sistematik dan berfokus.

Panduan yang cukup Mama ingat dalam buku ini ialah teknik mengatur pernafasan, iaitu menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan- lahan. Apabila berada dalam kesakitan, seseorang cenderung untuk bernafas pendek- pendek. Hal tersebut tidak baik bagi bayi dan proses kelahiran. Buku ini mencadangkan supaya ibu yang sedang dalam proses melahirkan menarik nafas panjang dan teratur supaya si ibu dan bayi mendapat cukup oksigen. Oksigen yang cukup akan membantu melancarkan proses bersalin.

Satu lagi panduan yang Mama ingat ialah, "terdapat kaitan antara otot vagina dan otot mulut". Oleh itu, jangan kacip rapat rahang dan jangan tegangkannya. Biarkan mulut sedikit terbuka dan kendurkan rahang supaya vagina juga akan membuka. Apabila rahang rileks, vagina juga akan rileks. Semasa kontraksi, Mama ingat petua ini dan cuba praktikkannya. Alhamdulillah, memang ada kesan positif.

Buku ini banyak membantu dan memberi ilmu kepada Mama untuk menjalani proses melahirkan yang sememangnya perit dan menyakitkan.

Tetapi hasilnya amat manis dan menggembirakan...

Amina dan Adam yang comel dan keletah, yang sangat Mama cintai! 

No comments:

Post a Comment