Wednesday, June 3, 2015

Cerita EQ Untuk Kanak- kanak


Beberapa minggu lepas, Adam menonton video tentang kisah seorang ibu memasak batu untuk anak- anaknya kerana tiada makanan (pada zaman Umar al- Khattab) . Anak- anak itu menangis. Adam berlari kepada Mama, buat- buat menangis dan berkata, " tuk...tuk"

Mama peluk Adam dan cakap, "Bukan, Adam bukan takut. Adam sedih. Adam tengok budak menangis sebab tak ada makanan ya? Adam menangis sebab Adam sedih."

Peristiwa ini mengingatkan Mama kepada sebuah buku, CERITA EQ UNTUK KANAK- KANAK.

Sebabnya, buku ini ada memberikan panduan supaya ibu bapa membimbing anak- anak mengenali emosi mereka. Seperti dalam situasi Adam, Adam berasa sesuatu yang tidak menyeronokkan, tapi Adam tak tahu nak menamakan perasaan itu.

Buku ini telah Mama beli lama. Sebelum Mama berkahwin lagi. Mama beli buku ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Buku ini ditulis dan berdasarkan kajian yang dibuat oleh Dr Sohaimi Abdul Aziz.

Cerita EQ untuk Kanak- kanak ini merupakan sebuah buku panduan. Di dalamnya, disenaraikan 50 buah cerita kanak- kanak dari serata dunia (antaranya yang sudah kita ketahui), yang boleh digunakan untuk menyuburkan kecekapan emosi kanak- kanak.

Rupa- rupanya, kecerdasan emosi merupakan sesuatu yang boleh dipupuk dan diasuh, seperti juga kecerdasan IQ.

Salah satu cara mengasahnya adalah dengan menggunakan cerita- cerita.

Mama teringat pula kepada salah satu panduan pendidikan anak- anak menurut Dr Abdullah Nasih Ulwan melalui bukunya, Pendidikan Anak- anak Menurut Islam, beliau juga menekankan teknik mengajar melalui bercerita.

Tetapi, buku ini menyarankan bukan sahaja teknik bercerita atau membaca secara kuat untuk menyuburkan EQ kanak- kanak. Dr Sohaimi turut menyediakan satu set soalan yang mesti ditanya kepada kanak- kanak tersebut untuk membantu menyuburkan EQnya.

Menurut penulis, terdapat 3 domain utama dalam kecerdasan emosi :

1.Kesedaran dan pengurusan kendiri

2.Memotivasi emosi

3.Empati dan kemahiran sosial

Soalan- soalan yang disediakan membantu kanak- kanak meningkatkan domain- domain yang disebutkan. Contohnya, dalam cerita Gadis Kecil Si Penjual Mancis, antara soalan yang perlu ditanya ialah : 

1.Apakah yang dirasai oleh kanak- kanak itu apabila dia tidak dapat menjual mancisnya?

2.Mengapakah kanak- kanak itu berasa kecewa?

Dalam buku ini juga, dinyatakan 4 cara ibu bapa bertindak terhadap emosi negatif (seperti marah, kecewa, sedih dsb)  anak- anak mereka iaitu:

1.Tidak ambil kisah - membiarkan dan langsung tidak peduli kepada emosi negatif anak- anak.

2.Menolak - menghukum anak- anak yang menunjukkan emosi negatif

3.Liberal - berempati tetapi tidak membantu mengatasi masalah atau meletakkan sempadan emosi negatif itu

4.Pengasuh emosi - menghargai emosi negatif itu dan mengambil peluang mendekati mereka serta menerangkan cara mereka patut bertindak

Peristiwa bersama Adam itu menyedarkan Mama, betapa pentingnya panduan ibu bapa untuk kanak- kanak mengenal emosinya, meluah perasaannya dan mengawal emosi sendiri.

No comments:

Post a Comment