Friday, June 5, 2015

Amina Dah Tahu Pembahagian Najis

(Nota untuk Amina: Ini perkembangan yang lambat dikemaskini. Mama minta maaf sebab masa selalu tidak mengizinkan)

Semasa Amina berusia 2 tahun lebih, Amina sudah tahu tentang najis mughallazah dan najis mutawassitah.

Bukan Mama yang mengajar Amina, sebaliknya Jaddah dan Mok Su.

Alhamdulillah, Amina dikelilingi insan- insan yang sentiasa membantu Amina menambahkan ilmu.

Suatu hari, Amina beritahu Mama, "Mama, dog tu najis mughallazah. Amina tak boleh pegang."

Semasa Mama buang najis Adam ke dalam tandas pula Amina beritahu, "Ini najis mutawassitah ni."

Paling melucukan Mama apabila satu hari Amina minta nak mandi. Apabila Mama tanggalkan pakaian Amina, Amina pegang pampers dan cakap "Busuknya, ada najis mutawassitah kat dalam ni, Mama."

Mama pun ajar Amina, "Nak bersihkan najis mutawassitah, kita kena istinjak dengan air."

Apabila masuk bilik air beberapa hari selepas itu, Amina beritahu Mama, "Amina nak istimbak dengan air."

Mama betulkan, "Bukan istimbak, istinjak."

Amina tanya Mama, "Istinjak tu apa, Mama?"

Mama terdiam sekejap. Lepas tu, Mama fikir, apa salahnya gunakan bahasa yang tinggi untuk menerangkannya kepada Amina. Sebabnya, otak kanak- kanak berusia 1 - 4 tahun dapat menyerap ilmu seperti span. Kenapa pula Mama nak merendahkan kemampuan Amina?

"Istinjak tu bersihkan qubul dan dubur daripada najis."

"Qubul dan dubur tu apa Mama?"

Mama pun tunjukkan qubul dan dubur Amina. Pada masa itu Mama terfikir, inilah baiknya kalau Mama sendiri yang mengajar anak- anak Mama dalam usia yang masih kecil. Perkara yang Mama beritahu Amina sebenarnya terkandung dalam sukatan pelajaran Pendidikan Islam Tahun 1. Dah beberapa tahun Mama mengajar pun, Mama tak dapat menerangkannya kepada murid- murid sejelas Mama yang terangkan kepada Amina.

Sekarang Amina dah tahu makna istinjak, qubul dan dubur. Amina boleh gunakannya dalam percakapan seharian. 

Ramai murid yang bertanggapan pelajaran itu susah sebab mereka hanya menemukannya dalam buku teks sekolah. 

Malah, anak-anak guru juga.

Mama rasa perkara ini satu kerugian besar sebab banyak perkara yang sebenarnya kita boleh pelajari secara semulajadi dan santai.

Terutamanya sesuatu yang berkaitan dengan Islam. Sebabnya, tujuan pelajaran Pendidikan Islam itu adalah untuk diaplikasikan dalam kehidupan, bukannya untuk dihafaz bagi tujuan peperiksaan sahaja.

Semoga anak Mama menjadi seorang yang berilmu dan beramal.

Mama akan terus berusaha untuk bantu Amina lebih mudah menghadapi pelajaran di bangku seekolah nanti. Supaya Amina rasa apa yang dipelajari nanti ialah sesuatu yang Amina dah biasa jumpa.

Mama ai Amina! 

No comments:

Post a Comment