Saturday, March 24, 2012

Minggu Ke-34

Khamis,22 Mac dan Jumaat 23 Mac 2012, dua hari berturut- turut Mama menjalani pemeriksaan ibu mengandung. Hari Khamis merupakan pemeriksaan rutin di Poliklinik Bukit Serampang, manakala hari Jumaat Mama diminta ke Hospital Sultanah Fatimah di Muar untuk tempahan wad dan pemeriksaan di sana. Satu prosedur yang mesti dilalui oleh ibu- ibu mengandung yang menjalani pemeriksaan di klinik-klinik kerajaan di daerah Muar, terutamanya bagi anak pertama.

Semuanya baik. Cuma berat badan Mama meningkat kurang 700 gram daripada yang sepatutnya.Memang akhir- akhir ini selera makan Mama tidak sehebat sebelum ini. Mungkin juga sejak kelas tasmik pada sebelah petang berjalan, jadual makan tengah hari Mama mulai tidak teratur. Tapi, tak apalah, Mama akan cuba untuk terus menjaga pemakanan demi anak yang Mama sayangi ini.

Sejak seminggu lalu, Mama mengalami sakit di urat paha yang menyebabkan langkah Mama agak perlahan. Seksanya ke hospital seorang diri. Parkir kereta di hospital penuh macam biasa. Jadi, Mama terpaksa meletakkan kereta agak jauh daripada bangunan hospital. Terpaksalah Mama melangkah berdengkut- dengkut untuk mencari  bahagian klinik ibu mengandung. Setelah selesai, terpaksa pula melangkah payah di tengah panas untuk ke tempat letak kereta semula. Inilah cabaran bagi seorang ibu hamil yang tinggal berjauhan dengan suami. Kalau datang dengan suami, mungkin dia boleh turunkan berdekatan dengan pintu masuk, kemudian baru dia pergi mencari tempat parkir. Ada sedikit rasa sedih dan sayu dalam hati Mama. Tapi, Mama cuba kuatkan hati dan semangat. Moga- moga anak Mama nanti pun akan menjadi seorang yang kuat semangat.

Yang seronoknya, jururawat di poliklinik dan doktor di hospital mengatakan bahawa kepala baby Mama sudah pun berada di bahagian bawah perut. Semasa scan pada minggu ke-30, doktor menyatakan yang baby  Mama berada dalam keadaan menyongsang, iaitu, kepalanya berada di atas, berhampiran pusat Mama. Bimbang juga Mama dengan keadaan ini walaupun masa kelahiran masih jauh. Apabila balik dari klinik, Mama bercakap dengan baby, "When the time comes, you must turn you head down, ok. The way out is down there." Sejurus selepas itu, Mama dapat rasakan gerakan anak Mama agak kuat, lebih daripada kebiasaannya. Agaknya, pada masa tu anak Mama dah pusingkan kepalanya mengadap ke bawah. Baiknya anak Mama ni. Mendengar kata. Bertuah Mama dapat anak yang baik macam ni.


Baby Ann, Mama ai ni!

No comments:

Post a Comment