Sunday, November 1, 2020

Kelip- kelip di Sungai Cherating


 29 Oktober 2020.

Bertolak ke Cherating, untuk menghantar Mok Su pulang ke Kelantan.

Sampai di Residence Inn, Cherating lebih kurang pukul 4.00 petang. Hotel ini terletak di kaki bukit. Pemandanganya indah. Lebih menyeronokkan, kolam renangnya besar dan luas.

Malamnya, selepas makan malam, kita keluar meronda ke kawasan sekitar. Dengan tidak disangka, ada tempat untuk melihat kelip- kelip di sini!

Sebelum ini, sudah lama Mama merancang untuk ke Kampung Kuantan di Kuala Selangor untuk melihat kunang- kunang. Tetapi, masa belum mengizinkan.

Mama pun tidak melepaskan peluang ini. Walaupun malam keesokannya jatuh pada malam 14 Rabiul Awal (bulan penuh,katanya kelip- kelip kurang bercahaya pada malam bulan penuh), Mama tetap nak bawa Amina, Adam dan Amira menyusuri sungai.

Tambang bot bagi seorang dewasa ialah RM45, manakala kanak- kanak RM35. Amira pula tidak dikenakan bayaran sebab duduk di pangkuan Mama.

Kita bertolak lebih kurang jam 9.00 malam (jadual asalnya 8.40). Selain kita, ada tujuh orang lain dalam trip yang sama.

Pada mulanya, pemandu hendak membawa kita mudik ke lebih hulu sungai. Malangnya, air sungai pasang dan bot tidak dapat lalu di bawah jambatan. Jadi, kita menghilir, menuju ke arah muara. 

Ada banyak juga kunang- kunang yang dapat kita lihat. Sayangnya, kita tak dibenarkan merakam gambar sebab tak boleh buka telefon. Cahaya dari skrin akan mengganggu kunang- kunang. 

Tak berapa lama kemudian, anak- anak mula berasa bosan dan mengajak pulang. Amira pula hendak kencing. Jadi, perjalanan agak tidak selesa. Mama pula berasa agak takut berada dalam gelap di atas air.

Dalam perjalanan pulang, bot tersangkut pada jala pula. Anak- anak mula cemas. Mujurlah, ketika itu Amira sudah tertidur. Kuranglah seorang yang buat bising dengan bermacam-macam soalan.

Akhirnya, semua dapat diselesaikan dengan baik. Kita selamat sampai ke jeti. Amira masih tidur, jadi Mama kena mendukungnya dari bot ke atas. Berat juga Amira!

Alhamdulillah! Pengalaman ini berharga dan menyeronokkan. Walaupun pada malamnya semua anak merungut dalam bot, keesokannya semua cakap "best" dan nak naik bot lagi.

Mama sayang Amina, Adam dan Amira! 

No comments:

Post a Comment