Thursday, January 21, 2016

Hadiah Untuk Amina & Adam



Sepanjang minggu transisi tahun 1 yang dibuat di sekolah Mama, tiga kali Mama bawa balik lebihan lembaran kerja murid- murid untuk Amina dan Adam.

Suatu hari, selepas Mama bawa balik kertas bergambar seekor gajah untuk Amina warnakan, Amina buat permintaan,"Esok Mama bawa balik gambar dinasour pulak, ya."

Selepas itu, ada beberapa kali Amina tanya Mama, "Hari ni, Mama pergi sekolah, Mama bawa balik apa?"
Mama cuma jawab, "Tak ada apa la, Amina."

Dua hari lepas, Amina tanya soalan yang menyentuh hati Mama, "Hari ni, Mama pergi sekolah, Mama bawa balik hadiah apa?"
Ya Allah, nak menitik air mata Mama dengar soalan tu. Sebabnya, apa yang Amina maksudkan dengan hadiah tu sebenarnya hanya "sampah". Lebihan kertas yang bersepah- sepah di atas meja guru, yang Mama ambil sebab Mama fikir ada faedahnya untuk anak- anak Mama.

Mama belajar sesuatu daripada soalan Amina. Kalau seorang kanak- kanak diajar sejak kecil yang skrin itu menyeronokkan, dia akan menganggap  skrin itulah hiburannya. Begitu juga kalau dia dididik yang kertas itu sesuatu yang menyeronokkan, kertas akan menjadi bahan hiburannya.

Mama bersyukur sebab Amina memang seorang kanak- kanak yang sukakan buku dan aktiviti bercorak pembelajaran seperti melukis, mewarna dan menulis. Minat dan suka itu lahir dari hati Amina sendiri. Mungkin sebab kecil Amina tidak terlalu didedahkan dengan TV dan gajet.

Adam pun mengikut kakak secara tidak langsung. Tapi, sebagai anak lelaki, Adam agak kurang fokus dan tak boleh lama dengan aktiviti- aktiviti itu.

Kedai buku juga menjadi tempat liburan bagi Amina dan Adam. Sebabnya, Mama tak pernah bawa anak- anak ke taman tema dan sebagainya. Tapi kita selalu ke kedai buku, mengikut minat Daddy. Lama pulak tu tunggu Daddy pilih buku. Sampai pekerja di Seremban Book Centre (SBC) tu dah kenal la dengan Amina dan Adam.

Apabila diberitahu nak ke kedai buku, Amina dan Adam akan bersorak keriangan. Begitu juga, apabila ditanya kepada Adam, nak pergi jalan ke mana, Adam akan jawab dengan pelatnya, "Tedai butu."

Semoga aktiviti murah yang Mama buat untuk anak- anak Mama ini, semoga bahan- bahan terbuang yang Mama bawa balik untuk anak Mama ini, betul- betul menjadi HADIAH yang paling berharga dalam kehidupan kalian, yang menjadikan kalian orang- orang yang mencintai ilmu pengetahuan dan serius mengejar dan mengamalkannya.

Mama sayang anak- anak Mama! 

No comments:

Post a Comment