Sunday, November 1, 2020

Kelip- kelip di Sungai Cherating


 29 Oktober 2020.

Bertolak ke Cherating, untuk menghantar Mok Su pulang ke Kelantan.

Sampai di Residence Inn, Cherating lebih kurang pukul 4.00 petang. Hotel ini terletak di kaki bukit. Pemandanganya indah. Lebih menyeronokkan, kolam renangnya besar dan luas.

Malamnya, selepas makan malam, kita keluar meronda ke kawasan sekitar. Dengan tidak disangka, ada tempat untuk melihat kelip- kelip di sini!

Sebelum ini, sudah lama Mama merancang untuk ke Kampung Kuantan di Kuala Selangor untuk melihat kunang- kunang. Tetapi, masa belum mengizinkan.

Mama pun tidak melepaskan peluang ini. Walaupun malam keesokannya jatuh pada malam 14 Rabiul Awal (bulan penuh,katanya kelip- kelip kurang bercahaya pada malam bulan penuh), Mama tetap nak bawa Amina, Adam dan Amira menyusuri sungai.

Tambang bot bagi seorang dewasa ialah RM45, manakala kanak- kanak RM35. Amira pula tidak dikenakan bayaran sebab duduk di pangkuan Mama.

Kita bertolak lebih kurang jam 9.00 malam (jadual asalnya 8.40). Selain kita, ada tujuh orang lain dalam trip yang sama.

Pada mulanya, pemandu hendak membawa kita mudik ke lebih hulu sungai. Malangnya, air sungai pasang dan bot tidak dapat lalu di bawah jambatan. Jadi, kita menghilir, menuju ke arah muara. 

Ada banyak juga kunang- kunang yang dapat kita lihat. Sayangnya, kita tak dibenarkan merakam gambar sebab tak boleh buka telefon. Cahaya dari skrin akan mengganggu kunang- kunang. 

Tak berapa lama kemudian, anak- anak mula berasa bosan dan mengajak pulang. Amira pula hendak kencing. Jadi, perjalanan agak tidak selesa. Mama pula berasa agak takut berada dalam gelap di atas air.

Dalam perjalanan pulang, bot tersangkut pada jala pula. Anak- anak mula cemas. Mujurlah, ketika itu Amira sudah tertidur. Kuranglah seorang yang buat bising dengan bermacam-macam soalan.

Akhirnya, semua dapat diselesaikan dengan baik. Kita selamat sampai ke jeti. Amira masih tidur, jadi Mama kena mendukungnya dari bot ke atas. Berat juga Amira!

Alhamdulillah! Pengalaman ini berharga dan menyeronokkan. Walaupun pada malamnya semua anak merungut dalam bot, keesokannya semua cakap "best" dan nak naik bot lagi.

Mama sayang Amina, Adam dan Amira! 

Wednesday, February 14, 2018

Rezeki Hujung Minggu

Rezeki hujung minggu Amina : 

10 Februari 2018 - Naib Johan Pertandingan Mewarna di Masjid Al- Azim, Taman Semarak sempena Program Ziarah Mesra Jabatan Mufti Negeri Sembilan. Kategori 5 - 7 tahun.

Hadiahnya hamper makanan.





11 Februari 2018 - Naib Johan Pertandingan Mewarna di Tapak Pasar Malam Taman Semarak sempena Majlis Semarak Kasih Pemimpin. Kategori 5 - 6 Tahun.

Hadiahnya set peralatan mewarna.




Tahniah Amina, anak Mama yang berbakat!

Monday, February 12, 2018

Adam Yang Berani



11 Februari 2018 - Kali pertama Adam naik ke pentas untuk membuat persembahan.

Adam, Mama, Kakak dan Amira mengunjungi program Semarak Kasih Pemimpin di Taman Semarak. Ada acara senamrobik di atas pentas. Pengerusi menjemput kanak- kanak naik sama ke atas  pentas. Adam berani naik bersama beberapa orang kanak- kanak lain.

Alhamdulillah, Mama tengok sangat banyak perubahan pada diri Adam dari sudut keberanian. Jauh berbeza dengan Adam lebih setahun lepas.

Nampaknya, langkah Mama menghantar Adam ke kelas muzik, seterusnya Kinder Kaizen untuk meningkatkan keyakinan diri berhasil.

Mama sayang Adam!

Wednesday, November 15, 2017

Hadiah Untuk Amina


Sebaik saja Mama pulang dari sekolah, Amina memberitahu dengan gembira :

"Mama, hari ni Amina dapat hadiah!"

"Ye ke? Kenapa?"

"Sebab Amina pandai baca."

"Pandainya. Amina baca apa?".

"Baca Peter and Jane."

Seronoknya Amina dapat hadiah. Adam pun turut bersemangaf.

"Nanti Adam lima tahun, Adam pun nak pandai baca jugak, lepas tu cikgu bagi hadiah."

Insya - Allah,sayang. Semoga anak- anak Mama jadi anak- anak yang cemerlang!

Mama sayang anak- anak Mama.

Tuesday, November 14, 2017

Adam Pendakwah Cilik



Adam ke sekolah Mama. Adam nampak ada brosur buku Galeri Ilmu atas meja Mama. Brosur yang lebih lepas diberikan kepada murid- murid sebelum Galeri Ilmu ke sini sempena Hari Kanak- kanak 3 November lalu.

Adam minta brosur tu dari Mama. Mama bagi. Adam beritahu kakak :

"Adam nak tunjuk kertas ni kat Auntie Joe dengan Uncle Chin. Biar dia tau pasal syaitan."

Auntie Joe dan Uncle Chin tu jiran di sebelah kiri dan kanan rumah.

Malamnya, Adam masih sibuk- sibuk dengan kertas tu. Adam asyik cakap nak bagi kat Auntie Joe. Lepas tu Adam tanya :

"Ada tak lagi orang tak Islam yang buat rumah jauh?" (Maksudnya yang bukan jiran kita).

Mama jawab, ada.

"Kalau macam tu, Adam kena ambil banyak- banyak lagi kertas ni kat sekolah Mama. Adam nak cakap kat orang tak Islam : Kena solat. Kalau tak, syaitan cakap yes, yes."
"Boleh tak pagi esok Mama panggil auntie Joe? Adam nak tunjuk kertas ni kat Auntie Joe."

Ya Allah, Mama tak sangka langsung Adam boleh terfikir untuk berdakwah. Adam baru umur tiga tahun. Dalam usia sekecil ni, Adam dah terfikir nak cerita tentang Islam kat orang lain?

Mama rasa sangat tersentuh. Mama cakap pada Adam :

"Adam nak jadi pendakwah ya? Kalau Adam nak berdakwah, Adam buat perangai baik- baik ya. Adam jangan bergaduh dengan kakak. Adam kena cakap elok- elok. Nanti, orang akan suka pada Islam. Orang tengok, bagusnya orang Islam."

Mama memang rasa sangat terkejut dan terharu.

Ya Allah, jadikanlah Adam Ann Wei Sheng hamba yang Engkau redai. Tetapkan imannya dan jadikan dia sebab orang tertarik kepada Islam. Jadikan dia seorang pendakwah yang ikhlas berdakwah pada jalan- Mu.

Mama sayang Adam Ann Wei Sheng!