Friday, March 17, 2017

Ujian Cap Jari (Fingerprint Test)


Mama mula- mula tahu tentang ujian cap jari ini ketika Amina berusia sembilan bulan. Ketika itu, Syarikat Dutch Lady ada membuat promosi ujian ini secara percuma di tempat- tempat terpilih, dengan syarat pembeli membeli beberapa pek susu keluarannya. Tapi, ketika itu ujian ini cuma ditawarkan kepada kanak- kanak berusia tiga tahun ke atas.

Ada apa dengan ujian cap jari? 

Rupa- rupanya, cap jari manusia ni ada kaitan dengan otaknya. Para pengkaji telah lama menemui sepuluh bidang kepintaran yang ada pada manusia. Setiap manusia memiliki kepintaran dalam mana- mana bidang kepintaran ini, satu atau lebih. Bidang kepintaran yang berbeza itu didominasi oleh bahagian yang berlainan di dalam otak manusia. Ajaibnya, bahagian- bahagian yang berbeza di dalam otak itu boleh dibaca melalui cap jari! 

Keinginan untuk membuat ujian cap jari ini timbul semula setelah seorang kawan Mama bercerita tentangnya dua tahun lepas. Walau bagaimanapun, hanya pada tahun 2017 ini Mama berpeluang membuatnya.

Tempatnya ialah di Smart- IQ Kindies, 2-1 & 2-2, Jalan Putra 2, Taman Putra Kajang, 43000 Kajang, Selangor (012- 228 8284).

Semua kanak-  kanak yang belajar di Smart- IQ Kindies wajib menjalani ujian cap jari semasa mendaftar di situ.

Ujian ini boleh dibuat ke atas bayi berusia seawal sembilan bulan dan ke atas. 

Niat asal Mama buat ujian tersebut adalah untuk mengenal pasti bakat yang Amina dan Adam miliki dan cuba mengasahnya. Tetapi, apabila Mama ke sana dan berjumpa dengan Teacher Farah yang menjalankan ujian tersebut, beliau bercerita tentang seorang muridnya yang secara semulajadinya mempunyai kemampuan belajar yang rendah (diketahui melalui ujian cap jari). Oleh sebab itu, mereka membuat stimulasi yang sesuai kepada murid tersebut. Setelah beberapa lama, kemampuan belajar murid itu meningkat kepada aras yang sepatutnya. 

Baru Mama terfikir, bukan kelebihan saja yang mesti dikenal pasti dan dikembangkan. Kelemahan juga mesti dikenal pasti dan diubati.

Menariknya, perkhidmatan yang disediakan bukan saja membuat ujian cap jari, malah Smart- IQ Kindies turut memberikan konsultan tentang cara- cara untuk mengembangkan lagi potensi kanak- kanak atau mengubati kelemahan yang dikenal pasti melalui ujian tersebut. Panduan itu juga tertulis di dalam buku laporan yang mereka sediakan.

Setelah lebih kurang sebulan setengah menunggu, semalam, Mama pergi mengambil laporan ujian cap jari Amina dan Adam. Lebih kurang sejam juga Mama berdiskusi dengan Teacher Rika tentang keputusan itu. Alhamdulillah, banyak input baharu yang Mama dapat.

Ada banyak persamaan antara hasil ujian dengan pemerhatian Mama sendiri. Contohnya, memang tepat keputusan Mama menghantar Amina ke kelas seni lukis dan Adam ke kelas muzik. Kemahiran motor halus merupakan kepintaran ketiga yang ada pada Amina, Adam pula mempunyai kepintaran muzikal dan pendengaran sebagai kepintaran kedua yang Adam miliki.

Tapi, ada juga keputusan yang mengejutkan Mama. Selama ini, Mama bertanggapan bahawa Amina sangat pintar dalam linguistik dan Adam kurang menguasainya. Sehingga Mama berasa agak ragu- ragu untuk hantar Adam ke sekolah Cina. Mama bimbang Adam tak dapat mengikuti pelajaran dalam bahasa asing itu.

Rupa- rupanya, Adam bukan setakat pandai, malah mempunyai BAKAT SEMULAJADI dalam bidang linguistik! Adam mempunyai corak PEACOCK (PE) pada jari manis sebelah kanan. Menurut Teacher Rika, dalam ribuan orang yang pernah membuat ujian cap jari di tempat beliau, hanya beberapa orang yang memiliki cap jari jenis PE.

Amina tak kurang hebatnya dalam bidang linguistik. Linguistik merupakan kepintaran keempat yang Amina kuasai.

Alhamdulillah! Mujurlah Mama buat ujian ini.

Semoga Mama dapat membimbing Amina dan Adam membesar dengan lebih cemerlang.

Mama sayang Amina dan Adam!

No comments:

Post a Comment