Sunday, April 10, 2016

The Third MACHINE Story

Amira Berusia 1 hari
 

MACHINE (MAlay + CHINEse) Mama & Daddy yang ketiga telah hadir ke dunia ini pada 7 April 2016, awal 12 hari daripada tarikh jangkaan.  Alhamdulillah, betapa syukur Mama dapat melahirkan seorang lagi umat Nabi  Muhammad s.a.w. yang insya Allah akan mengharumkan nama Islam suatu hari nanti.

6 April 2016
Mama berasa sangat penat selepas balik dari sekolah jam 4 lebih. Selepas solat Maghrib, Mama terus tidur. Mama terfikir, kalaulah tiba- tiba pecah ketuban, macam mana dengan solat Isyak yang belum ditunaikan. Tapi, Mama betul- betul keletihan dan tak larat nak bangun.

7 April 2016

2.35 pagi
Mama terjaga. Rasa letih dah kurang, tapi Mama teruskan tidur sikit lagi walaupun tak berapa lena.

3.39 pagi
Mama bangun untuk ke tandas. Selepas itu Mama ke dapur, makan biskut & minum. Mama rasa lapar sebab semalam, Mama langsung tak makan malam. Jaddah buat kari daging. Mama teringin nak makan kari daging tapi tak sempat sebab letih sangat.
Mama mula terasa sakit- sakit perut tapi Mama masih tak dapat pastikan sakit apa. Mama takut tertukar rasa kontraksi dengan rasa sakit perut untuk buang air.
Apabila sakit makin kerap, Mama agak yakin yang Mama dah mula rasa kontraksi. Mama pun segera tunaikan solat Isyak dan solat sunat hajat selepasnya, mohon supaya dipermudahkan kelahiran. Mama juga beritahu Daddy tentang rasa sakit tu.
Selepas solat, Mama ambil al-Quran untuk baca surah Maryam. Dalam  masa yang sama, abang Adam terjaga dan menangis minta susu. Jaddah tolong buatkan susu dan abang Adam yang manja minta Mama temankan dia tidur. Mama pun terlena sekejap dengan rasa sakit yang makin kuat dan kerap datang.

6.40 pagi
Selesai Mama dan Daddy solat Subuh, kami bertolak ke Hospital Islam Az-Zahrah di Bangi. Beberapa kilometer sebelum sampai ke tol Bangi, jalan jem. Daddy terpaksa gunakan lorong kecemasan. Rupa- rupanya, lebih kurang 2 km daripada simpang tol Bangi, ada kemalangan berlaku. Sebuah lori terbalik dan mengakibatkan kesesakan.

7.20 pagi
Jururawat membuat pemeriksaan jantung bayi. Masa ni, Mama perhatikan kontraksi berlaku setiap 5 minit dan berlangsung kira- kira seminit. Apabila diperiksa, bukaan jalan dah 4 cm.

8.30 pagi
Jururawat dah minta Mama masuk ke bilik bersalin tapi bilik itu perlu dibersihkan dulu. Mama pun masuk ke bilik Tun Teja 2. Daddy pula turun membeli sarapan untuk Mama. Sementara itu, Mama makan kurma dan minum air zam zam yang dibawa.
Mama diberi ubat untuk buang air besar. Sambil menunggu jururawat datang untu membawa Mama ke bilik bersalin, Mama duduk di bilik sambil berbual- bual dengan Daddy. Masa ini, kontraksi dan makin kerap datang dan Mama berasa sangat sakit.
Peliknya, tiada tanda seperti air atau darah yang keluar.

9.50 pagi
Mama disorong masuk ke bilik bersalin. Jururawat menawarkan untuk menyuntik ubat bagi mengurangkan kesakitan. Setelah bertanya tentang kesan sampingan ubat itu, Mama bersetuju untuk disuntik.
Memang ubat itu mengurangkan banyak rasa sakit. Mama berasa agak lali, tapi semasa konstraksi, Mama masih dapat rasakan separuh kesakitan.
Doktor datang memeriksa bukaan jalan. Lebih kurang 7 atau 8 cm. Doktor memecahkan air ketuban untuk mempercepatkan proses bersalin. Rupa- rupanya, anak Mama dah membuang najis di dalam perut.
Doktor meminta Mama dimasukkan air untuk mempercepatkan proses bukaan jalan. Tak lama kemudian, Mama mula berasa hendak meneran. Tapi bukaan jalan baru 9 cm dan jururawat meminta Mama menunggu seketika.
Mama mula meneran. Doktor, jururawat dan Daddy sudah boleh nampak kepala anak Mama. Semua orang mendorong Mama untuk terus meneran supaya anak Mama cepat keluar. Mama cuba sedaya upaya untuk keluarkan anak Mama ke dunia ini.
Setelah beberapa kali meneran, doktor ambil keputusan untuk menggunting bagi membantu anak Mama keluar.
Tepat jam 11.01 pagi, anak Mama selamat dilahirkan. Jururawat meletakkan anak Mama di atas dada Mama. Tak tergambar perasaan gembira Mama melihat anak Mama yang kecil dan comel. Suara tangisannya pun sangat halus. Anak Mama memang kecil, 2.45kg saja beratnya.
Tapi, Mama masih lagi dalam keadaan lali dan tak dapat nak dukung anak Mama. Dalam keadaan  lali dan mengantuk tu, Mamadengar jururawt dan Daddy berbual- bual cakap anak Mama macam Cina.
Anak Mama terpaksa diberikan bantuan oksigen sebab dah tertelan air najis. Mama sempat cium anak Mama sekejap sebelum anak Mama dibawa keluar.

12.20 tengah hari
Mama dibawa masuk ke bilik Tun Teja 2 semula. Semasa disorong ke bilik, Mama bertembung dengan jururawat yang mula- mula memeriksa bukaan jalan Mama pagi tadi. Dia terkejut apabila melihat Mama telah selamat bersalin. Katanya, cepat sangat proses Mama bersalin.
Anak Mama masih tiada di sisi. Mama rasa janggal sikit tanpa bayi bersama Mama selepas melahirkan. Tapi, disebabkan Mama masih rasa lali dan pening sikit, Mama ambil kesempatan ini untuk berehat. Mama cuba tidur tapi tak berapa lena. Setiap kali terjaga, Mama teringatkan anak Mama. Lalu, Mama baca surah al- Fatihah dalam hati dengan niat untuk disedekahkan kepada anak Mama.

4.35 petang
Mama minta jururawat bawakan anak Mama untuk disusukan. Tapi, jururawat cakap anak Mama masih diberikan oksigen dan akan dibawa masuk ke bilik sebaik sahaja keadaannya pulih. Bilik yang Mama duduk ini berhadapan dengan masjid. Mama dapat dengar azan dengan jelas setiap kali massuk waktu. Setiap kali selepas menjawab azan, Mama doakan supaya anak Mama kuat dan segera pulih.

5.15 petang
Jururawat bawa anak Mama masuk ke bilik. Mama berasa lega. Mama sangat teringin nak susukan anak Mama. Tapi, anak Mama asyik tidur.

7.50 malam
Setelah dikejutkan, anak Mama bangun. Ya Allah, seronoknya Mama dapat tengok mata anak Mama buat kali pertama. Mama picit susu dan kolestrum keluar. Mama beri anak Mama menjilat dan menghisap susu. Mama rasa susu tiada atau sangat sikit, tapi Mama beri juga anak Mama hisap untuk merangsang pengeluaran susu. Perasaan menyusukan anak Mama buat kali pertama sangat membahagiakan.
Tak lama selepas diletakkan, anak Mama bangun menangis lagi. Mungkin masih kelaparan sebab susu Mama sikit sangat. Mama minta jururawat bawa anak Mama pergi untuk diberi susu.
Malam itu,Mama bermalam tanpa bayi di sisi. Mama tidur tak berapa lena. Setiap kali terjaga, Mama tertanya- tanya keadaan anak Mama. Mama terbayangkan anak Mama menangis tanpa ada orang yang mempedulikannya. Mama tahu, di hospital ada ramai bayi sampai jururawat tak sempat nak melayan tangisan setiap bayi.

8 April 2016
7.00 pagi
Jururawat bawa masuk anak Mama ke bilik. Mama berasa lega dapat tengok wajah anak Mama lagi. Hari ini, insya Allah kita akan balik ke rumah.

2.00 petang
Setelah diperiksa oleh doktor dan menunggu pelbagai prosedur untuk keluar hospital, akhirnya Mama dan bayi yang Mama lahirkan disorong keluar dari Hospital Islam Az- Zahrah, Bangi untuk pulang ke rumah kita di Nilai.

3.00 petang
Anak Mama menghirup udara di rumah kita buat kali pertama. 

Mama ai ni!    

     

No comments:

Post a Comment